Semakin nyata sekarang, sesungguhnya mereka yang kecundang
dalam pemilihan PAS tempoh hari benar-benar tidak dapat menerima kekalahan
mereka. Mereka bertanding semata-mata untuk menang dan tidak bersedia untuk
tewas. Mereka jelas telah berpatah arang dan berkerat rotan dengan PAS.
Ini terbukti dalam laporan akhbar The Star hari ini apabila
jurucakap mereka, Dr Dzulkifli Ahmad dipetik berkata bahawa Jawatankuasa
Bertindak G18 yang mereka anggotai dan beliau selaku Setiausahanya akan
menubuhkan sebuah Parti Islam yang baru dalam masa terdekat.
Kononnya parti itu nanti akan menggantikan PAS di dalam
Pakatan Rakyat.
Mat Sabu dinamakan sebagai Pengerusinya dan Salahuddin Ayub Timbalannya manakala Suhaizan Kayat pula
Penolong Setiausaha.
Menurut Dr Dzul lagi parti baru itu akan berkerjasama dengan
NGO Islam termasuklah Pasma, ABIM, JIM dan Ikram selain badan-badan lain.
Tambah beliau objektif parti baru itu nanti adalah untuk mempelopori politik
inklusif yang lebih sesuai buat masyarakat berbilang kaum dan agama dalam
negara ini.
Dengan pengumuman itu, saya kira wajarlah Dr Dzul dan kumpulan
G18 nya itu mengisytiharkan sahaja keluar PAS, dan berjalanlah sendiri. Semoga
sebagaimana mereka berani menyatakan sikap dan pendirian, keluar dari bahtera
PAS, diharapkan mereka yang menang atas tiket PAS juga akan mengosongkan kerusi
masing-masing, kerana kerusi-kerusi Parlimen dan DUN itu sesungguhnya dimenangi
atas tiket PAS. Pengorbanan, harta, wang ringgit dan penat-lelah orang-orang
PAS lah yang memungkinkan mereka menang dahulu.
Mungkinkah pengumuman ini juga mengesahkan bahawa Salahuddin
Ayub telah menolak tawaran AJK Pusat tambahan lantikkan PAS sebagaimana
diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS baru-baru ini, jika benar tak perlulah
orang-orang PAS bersusah payah untuknya lagi. Dan mungkin ada lagi kawannya
yang sama juga begitu?
Saya terhibur juga bila Dr Dzul menyatakan bahawa mereka
nanti mahu menunjukkan yang parti baru mereka tidak bermusuh dengan sesiapa. Saya
mahu bertanyakan Dr Dzul: Anda bertanding dalam PAS dengan berbagai slogan dan
kempen kemudian tewas, anda lari keluar dan tubuhkan parti Islam baru, lalu
anda tergamak menyatakan anda tidak bermusuh dengan sesiapa?!
Pastinya parti yang apa sahaja namanya itu nanti akan
bertanding dalam pilihanraya. Dan pasti juga mereka akan bertanding bukan
dikerusi milik PKR atau DAP tetapi di kerusi-kerusi yang PAS bertanding. Sudah
pasti akan berlaku pertembungan dan Dr Dzul boleh berkata tidak mahu bermusuh
dengan sesiapa.
PAS saya yakin tidak akan merasa rugi sedikit pun dengan
perkembangan ini sekurang-kurangnya segala masalah yang ada dalam parti selama
ini telah terkikis keluar dengan sendirinya.
Dan PAS saya yakin bersedia berhadapan dengan sesiapa pun
termasuklah parti yang entah apa namanya itu nanti, demi memartabatkan
perjuangan Islam yang PAS bawa. Ini bukan pengalaman pertama buat PAS. Ini
sekadar siaran ulangan sebagaimana pernah berlaku semasa wujudnya Berjasa, Hamim dan
kemudiannya Kumpulan Islah dahulu. Dan kita semua tahu nasib mereka itu.
Tahniahlah Dr Dzul, angkutlah mana saki baki yang merupakan
penyokong tegar anda itu, segeralah susun dan tubuhkan parti anda itu.Di
sinilah kita berpisah dan bermula dari sinilah nanti kita bertarung dalam
gelanggang politik berbeza, tidak lagi dari dalam tetapi sebagai seteru politik
PAS yang sebenar.
3 comments:
MP/ADUN bertanding atas tiket PAS sebelum ni kena kosongkan kerusi tak... ke jadi katak?
KIPIDAP = Kumpulan Islam Progressive + DAP
#KIPIDAP = Kumpulan Islam Progressive + DAP
Post a Comment