Inilah Pilihanraya Kecil yang paling tempang, berat sebelah dan buruk yang pernah saya saksikan sepanjang hidup saya. Memang dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini parti-parti pembangkang sering menjadi mangsa kerakusan dan keangkuhan Barisan Nasional yang akan mengunakan apa sahaja yang mampu dicapai oleh tangan kotornya untuk terus berkuasa, namun dalam kes Ijok ini kegilaan mereka adalah pada tahap luarbiasa.
Amalan demokrasi yang sepatutnya dijelmakan dalam proses pilihanraya kita semakin terhakis dan dalam kes Ijok ia hampir sahaja lemas dan mungkin juga telah mati angkara keganasan yang melampau oleh pihak BN.
Dari hari pertama media arus perdana yang berada dalam genggaman pihak BN telah dilacurkan untuk memberikan gambaran buruk kepada calon PKR mempersetankan terus apa sahaja etika dan nilai kewartawanan. Kes hujan botol mineral contohnya hanya memaparkan versi pihak BN sedangkan kenyataan pihak PKR khasnya Sdr Azmin Ali yang membuat kenyataan pada wakil-wakil media di tapak kejadian langsung tidak mendapat liputan.
Tidak cukup dengan itu pihak BN telah mengerahkan agar setiap inci jalan yang ada di bumi Ijok diturap semula dan jika perlu dilebarkan bagi tujuan memenangi undi. Perhentian-perhentian bas segera naik dalam sekelip mata begitu juga lampu-lampu jalan dan traffic light. Pemimpin-pemimpin tertinggi mereka dengan sewenang-wenangnya, tanpa memperdulikan apa sahaja peraturan yang ada, meluluskan peruntukkan disana-sini dalam kadar jutaan ringgit, dari sekolah-sekolah, masjid, surau, padang permainan, dewan orang-ramai dan kemudahan awam di estet-estet, semuanya dilimpah dan dipunggahkan semata-mata untuk mengalahkan calon PKR.
Dalam pilihanraya kecil ini nafsu serakah BN terus memuncak sehingga memperalatkan pula pihak keselmatan khasnya pihak polis untuk menganggu dan mengagalkan ceramah-ceramah kempen pihak pembangkang atas alasan kononnya tidak berpermit. Sedangkan pada waktu yang sama ceramah, konsert, karaoke mereka dibiarkan berjalan tanpa mana pihak pun berani menghalang atau menyentuh.
Ijok juga melihat samseng-samseng BN khasnya dari kalangan anggota Umno, secara terang-terangan menganggu, menghalang dan malah mencederakan petugas-petugas parti terasuklah calon PKR sendiri. Mereka seolah diberi lesen menghalau para petugas parti yang masuk ke kampung-kampung atau estet yang kononnya di bawah kawalan mereka. Beberapa laporan polis telah dibuat oleh para petugas yang terbabit namun pihak yang sepatutnya melindungi keselamatan dan ketenteraman awam seolah tidak memberi perhatian dan lebih tertumpu memberikan kawalan keselamatn dan mengiringi pimpinan BN.
Kadang-kadang terlintas difikiran kita masih bernyawa lagikah demokrasi dalam negara kita ini?
Contohnya sejak semalam, RTM dan TV3 mengulang-ulangi video kesilapan yang tidak disengajakan oleh Tan Sri Khalid calon PKR semasa berkempen di Ladang Tuan Mee. Dalam kejadian itu Tan Sri tersasul dan mengajak para hadirin mengundi calon BN. Satu kejadian yang sepatutnya tidak menjadi bahan berita tetapi bagi saluran media perdana ini, tetapi itulah berita yang berharga bagi mereka yang murahan ini sehingga diulang-ulangi walaupun semasa waktu perdana dalam siaran berita mereka.
Hari ini adalah hari terakhir kempen, kita menjangkakan BN akan semakin mengganas dalam round terakhir ini. Namun pihak BA akan tersu menjalankan kerja-kerja kempen mereka tanpa berputus-asa. Esok rakyat mungkin termakan dengan segala taktik kotor dan murahan BN ini, tetapi mungkin juga tidak.
Apa pun kita telah mengemukakan segala yang baik-baik, calon yang terbaik, kempen yang penuh beretika, lalu akhirnya kita hanya menyterah diri pada Allah swt. Kiranya ditakdirkan kalah, kita menerimanya, tetapi tidak sekali-kali akan melupa dan memaafkan kegilaan BN ini, dan kiranya Allah menganugerahkan kemenangan kepada kita, kita akan mengucap syukur ke hadrat Allah swt dan inilah tanda kehancuran dan kemusnahan BN dalam waktu yang terdekat.
Ya Allah kami serahkan segala-galanya kepada ketentuan Mu.
No comments:
Post a Comment