Khir mulakan gendang menyogok di Ijok
Saya mendapat laporan bahwa sebanyak 700 lebih Temporary Occupation License (TOL) atau lesen penempatan sementara tanah-tanah kerajaan sudah pun siap untuk diedar-edarkan di seluruh Kuala Selangor khususnya di DUN Ijok semasa kempen Pilihanraya Kecil di kawasan berkenaan nanti.
Belum pun selesai pilihanraya kecil di Machap MB Selangor Khir Toyo sudah pun mengumumkan beberapa peruntukkan dari kerajaan pusat dan negeri untuk Ijok. Semalam di sana ketika meresmikan majlis pecah tanah Masjid Jamiul Ubudiyah, Rantau Panjang , DUN Ijok beliau berkata RM16 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Pusat untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.
RM10 juta untuk menaik taraf dan membesarkan jalan dan jalan-jalan kampung manakala RM6juta untuk membaiki dan menaik taraf masjid dan surau-surau.
Kata Khir ini bukan kebetulan kerana ada pilihanraya kecil di sini tetapi sebenarnya ikhlas dari kerajaan. Nerita Harian memetik beliau sebagai berkata:
Kita berharap penduduk Ijok bersyukur dengan peruntukan ini. Peruntukan besar ini membuktikan keikhlasan Barisan Nasional (BN) tanpa mengira wakil rakyat sudah meninggal atau masih berkhidmat. Janji yang sudah dibuat tetap akan dilaksanakan.
Tetapi mengapa ianya diberi dan diisytiharkan semasa tarikh pilihanraya kecil diumumkan? Mengapa tidak ada kelulusan yangs sama waktu ini contohnya untuk DUN Sg Pinang atau DUN Dengkil atau DUN Sijangkang? Kenapa Ijok?
Pada majlis itu juga Khir meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Sekolah Rendah Agama Rantau Panjang untuk membaiki jalan, pagar jeriji, tandas, bilik darjah dan kemudahan lain. Menurut akhbar Berita Harian lagi pembinaan masjid ini bukanlah untuk memancing undi pilihanraya:
Pembinaan masjid ini bukan untuk memancing undi pada pilihan raya tetapi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin yang dipilih rakyat.
Inilah murahnya pemimpin kita. Jelas beliau turun itu dengan tujuan khusus iaitu bersempena pilihnaraya kecil di Ijok yang bakal diadakan, sebagaimana spesifiknya pejabat tanah satu malam mengerjakan lesen-lesen TOL yang dimaksudkan di atas. Tetapi berbohong kononnya tanggungjawab, kononnya berkebetulan.
Satu yang jelas, Khir mahu memastikan yang lebih 51% pengundi Melayu di DUN ini tidak SWING kepada poembangkang pada 28 haribulan nanti iaitu hari mengundi untuk DUN Ijok. Harapan BN (MIC) di sini adalah semata-mata pada para pengundi Melayu. Mungkin Khir tidak memancing kerana memancing cuma dapat seekor demi seekor, betullah tu. Semalam beliau menjala atau lebih efektif lagi memukat, habis ditundanya pukat beliau untuk memastikan pengundi Melayu terperangkap dan naik ke darat semuanya sebagai habuan memenangkan anak emas Samy Vellu!
Kepada para pengundi di Ijok hanya anda sahaja berhak menghentikan amalan buruk ini. Buktikan anda bukan kambing lapar yang akan mengikut membuta tangan yang membawa pucuk daun kemana sahaja, anda rakyat Malaysia yang bermaruah dan punya harga diri. BN akan memunggah harta dan kekayaan untuk membeli apa sahaja maruah yang tinggal pada anda, kerana mereka yakin anda semua memang boleh dibeli. Buktikan sebaliknya.
Kembalikan dan pertahankan harga diri dan maruah bangsa dan agama!
No comments:
Post a Comment