Saturday, April 21, 2007

Semalam di Ijok (Jumaat 21 April)

Ijok semalam terus hangat walaupun disirami hujan lebat diwaktu petang sehingga maghrib namun suasana dan semangat para petugas dan pekerja parti khususnya dari PKR dan PAS terus membara.

Jentera BN yang digerakkan dengan wang ringgit itu sebelum hujan kelihatan menaikkan poster dan kain rentang sepanjang-panjang DUN Ijok. Apabila dipukul hujan dan sebahagian poster kertas layu dan ranap, mereka keluar kembali selepas hujan sudah pasti dengan dorongan wang ringgit juga. Saya kira hujan rahmat dari Allah swt ini turut merupakan sumber rezeki tambahan bagi para pekerja BN.




Di sebelah siang jentera-jentera berat yang telah pun selesai menurap sebahagian besar jalan-jalan di DUN ini termasuklah jalan masuk ke ladang Tuan Mee (jalan estet milik swasta pun menerima limpahan nikmat anugerah Samy Vellu) kelihatan membuat kerja mengeruk dan meratakan bahu-bahu jalan pula, barangkali Samy dan Khir merasakan jalan-jalan ini belum cukup luas untuk menerima ratusan ribu penyokong mereka yang disuap siang dan malam dengan wang ringgit itu.

Malam di Ijok walaupun dingin setelah hujan namun tidak lembab dari sudut gerak-kerja BA. Dato Seri Anwar Ibrahim serta para pimpinan PKR dan Dato Dr Hasan Ali, Dr Hatta Ramli dan para pimpinan PAS berhempas-pulas berjumpa para pengundi dalam pelbagai aktiviti termasuklah minum petang dan ceramah dengan diiringi calon Tan Sri Abd Khalid Ibrahim.

Spekaer DUN Kelantan Dato Wan Abdul Rahim, telah pun berkampung di Ijok sejak beberapa malam bersama rombongannya dari PAS Kota Bharu. Veteran gerakerja pilihanraya PAS ini lebih terlibat dengan aktiviti penyusunan jentera dan bertemu para pengundi secara satu dengan satu.


Tanpa mahu kelihatan terlalu overconfident saya menyaksikan kesungguhan para petugas parti yang keluar beramai-ramai menjalankan kerja-kerja pilihanraya ini merupakan satu petunjuk awal yabg Tan Sri Khalid memiliki harapan cerah di sini.

Pimpinan kanan parti termasuklah khususnya Dato Seri Anwar dan pimpinan PAS (Dato Husam Musa dijangka turun ke Ijok hari ini diikuti Presiden dan Timbalan Presiden keesokkan harinya) perlulah terus-menerus turun ke Ijok untuk berjumpa dengan para pengundi. Tak mengapalah kalau BN turun dengan artis dan sogokan, tak mengapalah jalan-jalan beratus kilometer diturap di pekan, di kampung, di estet, rakyat sudah 50 tahun Merdeka dan jangan memandang rendah kemampuan mereka berfikir.

Cuba perhatikan apa komen seorang surirumah Haritini Jonoh yang ditemuramah oleh akhbar THE STAR:

However all of us agree that we cannot accept corruption, bad public service or arrogant leaders. The elected leaders must remember that they are there to serve us.



Semua kami (ahli keluarganya) bersetuju bahawa kami tidak dapat menerima (pemimpin) yang rasuah, perkhidmatan awam yang buruk atau pemimpin yang bongkak. Wakil rakyat perlu ingat yang mereka itu dipilih untuk mewakili kami.



Jika inilah suara hati seluruh rakyat Ijok terutama dikalangan 51% lebih pengundi Melayu, jentera BA perlu begelutu lebih kuat lagi kerana jelas kemenangan sedang menghampiri kita isnyallah.

No comments: