Mampukah rakyat menghentikan taktik murah dan keji BN
Petang semalam saya berkunjung ke Ijok untuk melihat perkembangan kawasan hangat di Selangor ini yang akan menyaksikan Pilihanraya Kecil terakhir sebelum Pilihanraya Umum ke 12 nanti. Juga saya berhajat mengambil kesempatan menghadiri majlis pengisytiharan calon PKR pada sebelah malamnya di Batang Berjuntai.
Sebaik sahaja kenderaan kami menghampiri DUN Ijok dari arah Subang, berlaku kesesakan lalulintas, saya sedih bercampur marah melihat apa yang tidak pernah saya lihat dalam sejarah hidup saya. Sepanjang-panjang jalan dari situ terus melewati Pekan Ijok kerja-kerja penurapan jalan secara besar-besaran sedang dijalankan oleh para kontraktor. Disebelah malanya apabila menuju ke Batang Berjuntai rupanya begitu juga dari Simpang Tiga Ijok menuju ke Batang Berjuntai.
Dalam sekelip mata jalan raya berpuluh-puluh kilometer panjang diturap oleh kerajaan.
Saya sedih kerana begitu murah sekali kerajaan BN meletakkan rakyat di kawasan ini. Seolah para pengundi di Ijok ini orang murahan, taburkan kemudahan bagi mereka pasti meleleh air lior mereka lalu segera terangsang untuk mengundi BN tanpa mengira aspek-aspek lain. Saya sedih kerana dengan cara ini BN seolah mahu menunjukkan bahawa rakyat jangan sibuk-sibuk memikirkan hak demokratik mereka. Mereka tidak ada pilihan selain BN, sungguh hina rakyat diperlakukan semata-mata kerana mereka mahu terus berkuasa.
Dan saya marah kerana jelas BN cuba menaburkan rasuah pembangunan diambang pilihanraya kecil ini. Apa sudah tidak ada peraturan lagikah negara kita? Parti pemerintah boleh melakukan apa sahaja yang ia rasakan perlu untuk terus berkuasa walaupun melanggar undang-undang dan peraturan. Saya turut melihat disebelah malamnya kenderaan-kenderaan kerajaan termasuk dari kementerian-kementerian bersesak-sesak di sana. Anggota Rela dari Pahang, para pegawai dan kakitangan kerajaan seluruh negara berpusu-pusu berkeliaran, aduhai, ini pertandingan antara parti-parti politik yang berdaftar bukannya antara kerajaan dan parti pembangkang!
Belum pun penamaan calon kita sudah lihat taktik kotor yang diamalkan oleh BN teris diperlakukan tanpa siapa berani menyentuh mereka.
Siapakah yang mampu merobah amalan keji ini, taktik kotor dan murahan ini?
Saya tidak nampak lain selain rakyat para pengundi sendiri. Bangkitlah wahai para pegundi Ijok sekalian, hanya anda yang boleh meperbetulkan keadaan ini. Terimalah hamburan hadiah, projek dan janji-janji simungkar ini sepanjang tempoh berkempen nanti dengan senyuman, tetapi percayalah undi anda adalah hak anda.
Di dalam bilik mengundi nanti tidak ada Dollah Badawi, tidak ada Khir Toyo, tidak ada Bn, tidak ada Umno atau MIC. Yang ada hanyalah anda dan Tuhan serta para malaikat yang melihat. Pangkahlah undi anda dengan penuh bermaruah dan harga diri. Terjemahkanlah kebimbangan rakyat Malaysia terhadap amalan mungkar keji dan murahan BN ini. Hanya undi anda dapat merobah suasana kelam ini. Undilah demi mengakkan kebenaran dan keadilan.
No comments:
Post a Comment