Malaysia tidak perlu jadi macam Singapura
Ramai yang terpegun bila melihat berita kenaikan gaji Presiden, Menteri-menteri Kabinet Singapura dan para pegawai kakitangan awam sebagaimana yang dibentangkan dalam Parlimennya baru-baru ini.
Melalui kenaikan ini nanti Presiden Republik itu akan menerima gaji sebanyak RM7.33 juta setahun bersamaan RM610,833 sebulan. Perdana Menterinya pula akan menerima RM7.11 juta , Menteri Kanan RM6.99 juta, Menteri Mentor RM6.10 juta, Timbalan PM RM5.64 juta, Menteri dan Setiausaha Parlimen Kanan RM3.44 juta.
Kenaikan ini turut melibatkan kakitangan awam yang kanan serta kakitangan awam berijazah.
Mengapa Republik itu berbelanja jutaan ringgit untuk anggota kabinet dan para pegawainya?
Saya masih ingat semasa langkah menyamaratakan antara gaji menteri-menteri kabinet dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Kanan syarikat-syarikat korporat di Republik itu dahulu, kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan mereka ketika itu menyebut bahawa langkah ini bagi memastikan yang status menteri-menteri kabinet Singapura setaraf dengan warga korporatnya. Tetapi yang lebih penting lagi adalah untuk mereka ini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas-tugas mereka untuk bangsa dan negara.
Jika Republik itu membayar jutaan ringgit kepada menteri-menterinya maka ia juga mengharapkan sumbangan yangs etanding dan setimpal dari mereka. Lau yang paling utama, dengan kebajikan dan status mereka terbela, tidak ada sebab untuk mereka melacurkan diri dengan aktiviti rasuah dan salah-guna kuasa.
Di Malaysia gaji CEO dan warga korporat kita sememangnya jauh lebih besar dari menteri-menteri kabinet kita. Tidak ada menteri kabinet hatta Perdana Menteri sekalipun yang menerima RM100,000 sebulan. Dan sememangnya Malaysia tak mampu pun kerana kedudukan ekonominya tidaklah seperti Singapura. Di Singapura KDNK nya sahaja mencecah RM277 billion manakala pendapatan per kapita rakyatnya adalah RM63, 828.
Tetapi di Malaysia tidak perlu diberikan gaji yang besar namun pemimpin-pemimpin kita sudah mampu hidup mewah dengan gaya mengalahkan mana-mana CEO pun. ADUN di Selangor contohnya boleh membina sebuah rumah bernilai RM5 juta!
Kaum keluarga pemimpin-pemimpin kita semua mewah-mewah belaka. Perniagaan yang diberikan kepada mereka diluar capaian mana-mana rakyat biasa. Anak-menantu pemimpin-pemimpin kita ada yang memiki bank komersil, syarikat gergasi dan hartanah yang luar biasa.
Kerana itu memang tak patut Singapura mengunakan harta negara untuk membayar jutaan ringgit kepada para pemimpin mereka. Malaysia adalah negara contoh. Kita tidak memewahkan para pemimpin kita dengan gaji sebesar itu, kerana mereka berpuas hati dengan apa yang ada. Yang penting adalah kuasa dan kedudukan, itulah yang mereka guna untuk mengaut kekayaan. Kemungkina Lee Hsien Loong dan rakan-rakannya perlu belajar dari Pak-pak Menteri kita.
No comments:
Post a Comment