SPR: Lihat kami telah telus
Pengerusi SPR dengan bangganya mengumumkan yang mulai Pilihanraya Umum ke 12 nanti pihak SPR akan memperkenalkan tong-tong undi baru, kali ini yang lut cahaya atau SEE THROUGH. Juga alat penindik kertas undi baru yang lebih kecil dan ringan akan juga diperkenalkan.
Kata Tan Sri Abdul Rashid:
Langkah memperkenalkan peti undi ini bukan disebabkan banyak urusan SPR orang tak percaya atau sebagainya, tetapi kerana SPR yang sememangnya mengamalkan ketelusan, mahu kelihatan lebih telus dan mahu ketelusan dijamin sepenuhnya
Memang langkah baru ini dialu-alukan. Peti undi sebegini rupa bukan hanya digunakan secara meluas di negara-negara maju malah negara-negara sedang membangun juga telah menggunakan. Soalnya adakah dengan memperkenalkan tong undi yang telus ini maka SPR otomatik menjadi telus?
Semalam sebuah badan bebas BERSIH atau Gabungan Ke Arah Pilihanraya yang Telus dan Bersih telah mengadakan sidang akhbar. Antara yang dibangkitkan oleh pihak BERSIH adalah beberapa bukti betapa SPR sesungguhnya masih lemah dan tidak telus dalam menjalankan tugasnya.
Contohnya dijelaskan bahawa dalam Pilihanraya Umum ke 11 yang lalu di Parlimen Kuala Terengganu terdapat lebih 10,000 kertas undi yang dikeluarkan telah tidak dikembalikan, di Parlimen Lumut lebih 5,000 undi. Selain itu turut didedahkan bahawa di satu alamat di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan terdapat 70 orang pengundi dari berbilang kaum didaftarkan di sebuah rumah pengundi Cina yang tidak mengenali langsung mereka itu.
Pihak BERSIH juga sebelum ini menuntut agar kaedah celupan dakwat pada jari pengundi diperkenalkan bagi mengelakkan pengundian berulang yang pernah dikesan berlaku beberapa kali sebelum ini. Contoh yang paling klasik yang tidak dapat dijawab oleh pihak SPR sehingga ke hari ini adalah bagaimana Allahyarham bapa Sdr Azmin Ali (PKR) telah didapati mengundi dalam pilihanraya lepas sedangkan beliau telah pun meninggal dunia!
Begitu juga daftar undi yang masih diragui oleh banyak pihak sehingga ke hari ini. Dan akhirnya pengundian cara pos, yang dirasakan sudah tidak sesuai lagi dijalankan diwaktu aman ini, kerana pihak lawan tiada akses untuk bertemu dengan para pengundi pos ini.
Segala permasalah besar ini tidak ditangani oleh SPR dan Rashid, sebaliknya yang diperkenalkan adalah tong dan penindik baru?! Lalu SPR dan Rashid mendakwa yang mereka telah telus dan sememangnya telus.
No comments:
Post a Comment