Soalan ini perlu direnung oleh para pemimpin politik Melayu/Islam yang berkuasa. Ianya menjadi semakin kritikal lantaran permasalahan sosial dan keruntuhan akhlak bermula dari Mat Rempit, remaja bermasalah, buang bayi, seks bebas, penagihan dadah yang semakin berleluasa dikalangan anak-anak bangsa kita.
Masyakarakt bukan Islam mungkin cenderung untuk mengemukakan formula penyelesaian cara mereka, tetapi tak syak lagi bagi kita umat Islam tidak ada formula penyelesaian lain selain kita kembali kepada Allah dan Rasul Nya saw.
Umno kah kita, PAS kah kita, PKR kah kita atau apa sahaja, nasib dan masa depan umat dan bangsa terletak ditangan kita masing-masing.
Berapa lamakah lantaran ego politik kita masing-masing kita mahu biarkan kemelut keruntuhan peradaban bangsa dan agama ini berlarutan, semakin hari angkanya semakin membusung, lebih berat ke arah anak-anak bangsa kita belaka.
Kerana itu bersungguhlah kita masing-masing untuk kembali kepada Islam. Allah swt berkata umat Muhammad saw ini adalah sebaik-baik umat yang diturunkan buat umat manusia. Kita menjadi baik kerana kita menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dan kita beriman kepada Nya dengan sebenar-benar keimanan.
Lalu bersungguhlah kita melakukan kerja amar makruf nahi mungkar ini. Ianya seharusnya menjadi keutamaan semua kita demi menebus maruah bangsa dan agama. Yang bermasalah adalah anak-anak bangsa kita, maka lantaran kuasa politik yang berada di tangan seharusnya kita tidak gentar apa kata pihak lain, kerana yang mahu kitra selamatkan adalah anak-anak kita yang ramai bermasalah ini.
Kerana itu kita tidak perlu segan, malu, apalagi tunduk pada tekanan pihak lain. Hanya Islam yang dapat menyelamatkan kita maka Islamlah pilihan kita semua.
Saya menerima keratan akhbar NST ini dari seorang Muslim yang prihatin, cuba anda renungkan
(Pengurus Jenama Carlsberg, Raffiq Ariff - tengah)
Anak-anak bangsa kita bebas mencari rezeki sehinggalah ke firma-firma yang jelas menjalankan aktiviti haram di sisi agama. Kalau kita terlalu lemah untuk menutup kilang-kilang arak, premis judi (yang kita lesenkan belaka) mengapa kita izinkan anak-anak bangsa kita mencari rezeki mereka ditempat-tempat ini.
Kilang-kilang arak yang maju dan makmur di Malaysia bukan hanya menggaji pelerja-pekerja Melayu/Islam, malah saham-saham awamnya boleh dibeli dan dijual oleh orang-orang Islam tanpa sdebarang larangan.
Kuasa Allah beri pada tangan kita tetapi kita tidak menggunakannya entah atas sebab.
Premis-premis menjual arak terutamanya kelab-kelab hiburan kita juga yang lesenkan. Anak-anak bangsa turut bebas bertugas di sini, membancuh dan menghidangkan arak, menjadi cashier, menjadi bouncer, malah ada yang menyerahkan tubuh badan sebagai GRO untuk digomol dan diperlakukan oleh pelanggan-pelanggan premis ini.
Apakah jenis pemimpin kita ini apabila kita tergamak membenarkan perkara ini berlaku secara terang-terangan sedangkan kita berkuasa?
Begiutlah juga rumah-rumah urut, yang lesennya juga diperolehi dari kelulusan kita. Anak-anak bangsa berkerja dan ada yang terpaksa melacurkan diri dipremis-premis ini, semata untuk sesuap nasi dan pendapatan tetap, mengapakah sebagai pemimpin kita pejamkan mata dalam hal ini?
Ambil pedulilah pada suasana gawat yang melanda maruah kita dan menghakis jatidiri agama dan bangsa ini. Kalau benar kita serius dalam mahu menangani dan mengubah suasana yang gelap ini maka melalui kuasa yang ada ditangan, kembaliklah kepada Islam. Jika tidak, maka selama itulah kita akan mengendung biawak hidup, mengusung bencana kerana biar pun kita sesungguhnya sedar akan masalah yang melanda namun kita sebenarnya tidak berminat untuk mengatasinya.
No comments:
Post a Comment