Tuesday, March 20, 2007

Khir separuh ular separuh belut?

Telah banyak kali saya menulis berhubung isu rumah urut di Selangor serta sikap MB nya Dr Mohd Khir Toyo. Saya rimas melihat sikap beliau dalam isu ini, nak dikatakan belut nampak macam ular, nak dikatakan ular lebih macam belut.

Isunya adakah Selangor perlu atau tidak rumah urut? Soalnya kalau perlu apakah definasi rumah urut yang sebenarnya?

Rata-rata rumah urut di Selangor ini adalah rumah memuaskan nafsu. Wanita-wanita muda termasuklah anak-anak Melayu digajikan untuk memuaskan nafsu kaum lelaki yang datang sebagai pelanggan, berdua-duaan dalam bilik tertutup kononnya untuk diurut badannya. (ini termasuklah yang kononnya menjalankan rawatan refleksologi yang makin popular hari ini). Kemudian ada juga yang menggajikan lelaki-lelaki lembut yang juga menyediakan aktiviti memuaskan nafsu kepada para pelanggannya.


EXCO Agama kononnya terperanjat
menyaksikan aktiviti rumah urut di Selangor
Kemudian ada pula rumah urut yang taukehnya lebih bermodal, dimana disediakan bilik sauna dan spa ataupun kolam air panas. Pernah berlaku kalau kita masih ingat di Subang Jaya, Selangor seorang pemimpin Pemuda Umno dan seorang Timbalan Menteri dikatakan berada di sebuah spa seperti ini berendam dalam kolam dengan gadis-gadis genit dari Negeri Cina (meskipun masing-masing kemudiannya menafikan, Ketua Mat Rempit Umno menyatakan beliau berada di sana untuk menyelamatkan kawannya, dan kes ini sehingga kini senyap begitu sahaja).

Inilah realitinya operasi rumah urut di Selangor. Cumanya mungkin ada segelintir yang beroperasi secara gelap atau haram tetapi kebanyakkannya termasuklah yang di Subang Jaya ini beroperasi lengkap dengan lesen yang diberikan oleh PBT Selangor.

Kata Khir dalam Dewan Undangan Negeri Selangor semalam:

Pihak yang menyokong pemberian lesen kepada pengusaha rumah urut patut bertanggungjawab jika premis ini melakukan kesalahan.Mulai sekarang kita mahu surat hitam putih dikeluarkan oleh pihak yang menyokong pemberian lesen dengan nyatakan nama penuh dan jawatan.Jika premis ini melakukan kesalahan, wakil rakyat dan pegawai kerajaan inilah yang akan bertanggungjawab.

Apakah yang dapat kita fahami dari kenyataan Khir ini? Pertama bahawa lesen rumah urut masih dibenarkan. Dan kedua bahawa para wakil rakyat dan pegawai kerajaan berkuasa memberikan sokongan kepada permohonan lesen rumah-rumah urut di Selangor.

Jadi adakah kerajaan negeri akan mengharamkan sahaja operasi rumah-rumah urut di Selangor ini jika ia lebih membawa mudharat? Menurut Berita Harian:

Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri tidak boleh menghentikan terus pemberian lesen kepada pengusaha rumah urut kerana ada pengusaha yang benar-benar menjalankan perniagaan itu seperti orang kurang upaya (OKU) yang cacat penglihatan.Beliau berkata, masalah timbul apabila pengusaha menyalahgunakan lesen dengan berselindung di sebalik rumah urut tradisional tetapi menjalankan kegiatan tidak sihat

Kalau begitu berikan sahaja lesen kepada OKU manakala yang lain digantung atau diharamkan. Barulah boleh belut kita kenal sebagai belut dan ular kita kenal sebagai ular. Ini tidak, dengan kenyataan beliau ini bermkana pemegang-pemegang lesen yang sedia ada )termasuklah di Subang Jaya dan yang seumpamanya) masih boleh beroperasi cuma jangan salah-gunakan lesen bagi tujuan yang tidak sihat.

Kalau taukeh-taukeh tadi mampu berbelanja ratusan ribu ringgit untruk melengkapkan Health Center nya dengan spa dan sauna, siapakah yang boleh menjamin bahawa taukeh-taukeh ini tidak akan turut menyediakan peruntukkan untuk menyogok jangankan para petugas PBT, wakil-wakil rakyat pun boleh demi melepaskan diri dari diambil tindakan.

Pergilah Khir dengan para pegawainya (yang mungkin telah senak perut mereka memakan sogokkan taukeh-taukeh ini) untuk menyerbu, tetapi bila tiba, semuanya tenang dan mengikut peraturan. Para pemuda VCD haram yang berkeliaran di Selangor pun hari ini sudah dilengkapkan dengan walkie talkie yang memberi maklumat kiranya ada serbuan, inikan pula taukeh-taukeh besar ini!

Nasihat saya kepada Khir, haramkan dan tutup sahaja pusat-pusat maksiat ini. Kalau perlu sangat berilah lesen kepada OKU sahaja tetapi syaratnya sebagaimana saya sebutkan sebelum ini diadakan di tempat-tenpat terbuka, dan yang mengurutnya semua lelaki untuk lelaki sahaja!

Kalau tidak maaf tetapi sahlah ular pun bukan belut pun bukan rupa-rupanya disumpah Sang Kelembai separuh ular, separuh belut!

No comments: