Selamat Hari Wanita
Bagi saya dua insan wanita yang paling saya hormati dan kasihi di atas dunia ini adalah ibu dan isteri saya. Inilah dua insan yang Allah kurniakan buat saya yang bagaikan payung memayungi hidup ini, yang menghiburkan hati, yang memahami jiwa dan perasaan, yang sanggup bersusah dan bersenang, berkorban untuk saya.
Saya yakin dan percaya inilah juga perasaan mana-mana kaum lelaki yang rasional dan bertanggungjawab.
Lantas saya hairan malah kesal apabila ada mana-mana pihak yang sanggup mengeksploitasi golongan ini, yang sanggup meluka dan menghiris hati mereka yang tidak pernah meminta malah sentiasa memberi dan tunduk pada kemahuan kita. Yang tidak pernah lari meninggalkan kita apabila kita dilanda susah dan gundah-gulana.
Kalau ibu dan isteri kita ambil sebagai benchmark maka seharusnya golongan wanita ini ditempatkan ditahap yang semulia-mulianya. Hargailah sumbangan mereka, hormatilah kehendak mereka, layanilah kemahuan mereka, kerana percayalah apa pun yang mereka lakukan akan mereka lakukan dengan meletakkan kepentingan kita di hadapan.
Kita yang sering mengabaikan mereka, kita yang sering meminggirkan mereka, sehingga kadangkala meletakkan nafsu kepentingan kita dihadapan dan melupakan begitu sahaja sumbangan dan jasa mereka. Kita kalau jauh terpisah biasanya akan jauh dan terpisahlah juga ingatan terhadap mereka, namun mereka jauh atau dekat tidak pernah sedikit pun menghilangkan kita dari ingatan.
Lalu berlakulah adil terhadap mereka, si ibu yang telah menyabung nyawa melahir dan membesarkan kita, tanpa sedikit pun mengharapkan upah dan balasan sedangkan merekalah yang paling layak untuk itu. Si isteri yang telah menyerahkan jiwa dan raga untuk sehidup dan semati bersama kita, mengorbankan kasih dan kepentingan keluarga sendiri semata-mata kerana yakin kepada kita. Pernahkah kita memikirkan akan kemampuan kita berlaku adil ini?
Banyak lagi yang perlu kita lakukan terhadap mereka banyak lagi yang perlu kita korbankan untuk membalas jasa mereka yang bagi saya hampir mustahil untuk dinilaikan.
Sempena Hari Wanita ini seharusnya kita menoleh ke belakang dan melihat bagaimanakah persepsi kita selama ini terhadap golongan wanita ini, yang mana ibu dan isteri kita termasuk dalam golongannya. Kalau kita memandang rendah maka perbetulkanlah ia mulai hari ini, kalau kita tidak pernah ambil peduli maka ambil tahulah mulai hari ini, kalau kita memandang sebagai kelas kedua maka apakah ibu dan isteri kita juga demikian?
Selamat Hari Wanita kepada semua golongan wanita semoga mereka semua berjaya dan dan dicucuri barakah oleh Allah swt terutama bagi insan mulia yang bergelar ibu dan isteri.
No comments:
Post a Comment