Thursday, March 29, 2007

Kamunting itulah Guantanamo Malaysia

Bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 yang kini Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Ahmad Shabery Cheek marah apabila ahli-ahli Parlimen pembangkang menyamakan Pusat Tahanan ISA di negara ini dengan Pusat Tahanan di Teluk Guantanamo yang dimiliki Amerik Syarikat.

Jangan samakan katanya kerana ia nanti boleh meroskakkan imej negara.

Kata beliau lagi majalah Newsweek pernah melaporkan bagaimana al Quran pernah dipijak oleh warden-warden di sana serta para tahanan yang menderita pernah cuba membunuh diri kerana tekanan yang terlalu perit.


Dan Shabery menambah dalam kes Guantanamo kita biasa mendengar desakan badan hak asasi manusia termasuk PBB agar pusat tahanan itu ditutup. Tidak pernah pula kata beliau lagi ada desakan serupa untuk Pusat Tahanan ISA ditutup.

Saya berasa sungguh keciwa dengan kenyataan Shabery, seorang bekas pensyarah universiti, kerana jelas menggelapkan fakta malah berani saya katakan berbohong di Dewan Rakyat.

ISA itu sendiri diakui oleh seluruh warga Malaysia (kecuali pimpinan Umno dan BN) sebagai undang-undang zalim kerana memberi kuasa kepada kerajaan menahan sesiapa sahaja yang difikirkan mengancam keselmatan negara tanpa perlu di bawa ke mahkamah. Seseorang yang ditahan di bawah akta puaka ini dinafikan segala haknya sebagai warganegara Malaysia, malah hak yang diberikan kepada para banduan yang telah didapati bersalah oleh mahkamah pun tidak diberikan kepada para tahanan ISA.

Dunia tidak tahu? Dunia pun mengkritik dan mencela undang-undang ini, Amnesty International contohnya bersama badan hak asasi dunia yang lain dari dulu lagi mendesak agar undang-undang ini dihapuskan.

Mungkin Setiausaha Parlimen ini tidak cukup input, walaupun duduk di Kementerian Luar. Saya tidak hairan kalau bahan bacaan dan rujukan beliau sekadar RTM dan Utusan Malaysia, berlainan dengan beliau semasa di universiti dahulu.

Mengapa kita perlu berselindung disebalik kepalsuan sedangkan hakikatnya memang kita memiliki Guantanamo juga di Malaysia ini? Kalau beliau terlalu prihatin akan imej negara sepatutnya beliau ke hadapan menasihatkan kerajaan agar memansuhkan akta lapuk ini.

Banyak bahan bacaan tempatan yang menceritakan darihal kezaliman ISA yang saya yakin Shabery sengaja pendamkan atau pura-pura bikin tidak tahu. Antara tahanan terawal dari undang-undang warisan penjajah ini adalah Ahmad Boestamam yang telah menulis buku Tujuh Tahun Malam Memanjang (1976), seorang ahli Parlimen yang masih kekal dikerusinya sehingga hari ini Dr Tan Seng Giaw pernah menulis The First 60 Days – 27 October 87 ISA Arrests (1989), selain itu Two Faces – Detention Without Trial oleh Prof Dr Syed Husin Ali (1996) dan From Prince to Prisoner oleh Raja Petra (2001) dan puluhan lagi buku-buku yang mencatatkan pengalaman bekas-bekas tahanan ISA.

Dari khazanah tulisan-tulisan ini termasuklah catatan peribadi Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy yang dibukukan oleh PAS Gombak (2006), tidak ada sesiapa yang mengalami peritnya atau pernah membaca akan meragui bahawa Kamunting (dan kem-kem tahanan sebelum ini) saling tak tumpah bagaikan Guantanamo juga.

Tetapi kata Shabery tidak pernah pula kita mendengar al Quran dipijak-pijak di Kamunting? Al Quran tidak dipijak di Kamunting kerana yang menahan di Kamutning itu rata-rata Muslim belaka (sungguh jahil hujah Setiausaha Parlimen ini), tetapi kepala dan maruah para tahanan dengan mudah mereka pijak dan hina.

Oleh itu tak perlulah Shabery mahu berpura-pura, hakikatnya Malaysia boleh berbangga kerana sekurang-kurangnya kalau Amerika Syarikat ada Guantanamo, kita pula ada Kamunting, sempena Tahun Melawat Malaysia, bolehlah Kamunting dijadikan destinasi pelancongan, disinilah segala hak asasi, maruah dan harga diri rakyat Malaysia dikorbankan demi kononnya memelihara keselamatan dalam negeri!
Dari HANSARD Parlimen:
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Soalan
tambahan saya ialah pada pandangan pihak kementerian ataupun daripada maklumat yang
diterima oleh pihak Kementerian Luar Negeri adakah kedua-dua tahanan warga Malaysia ini
mereka betul-betul terlibat dalam aktiviti keganasan seperti yang dituduh itu dan juga apakah
latar belakang mereka. Apakah persatuan/pertubuhan yang mereka terlibat di Malaysia?

Saya juga hendak tahu, memandangkan kerajaan kita juga mendesak Kerajaan
Amerika Syarikat supaya mengadakan perbicaraan yang adil terhadap kedua-dua pihak ini, jadi
adakah bantuan guaman dan juga adakah kementerian mempunyai peluang atau mengatur ahli
keluarga mereka untuk melawat mereka di Guantanamo Bay? Dan adakah pihak Kementerian
Luar Negeri juga akan menasihatkan pihak kerajaan kita supaya tidak ada Guantanamo Bay di
Malaysia dengan melupuskan Akta ISA...[Dewan riuh] untuk mengurung suspek sebelum
mendakwa mereka di mahkamah kita.

Tuan Yang di-Pertua: Cukup, cukup, Yang Berhormat.

Tuan Ahmad Shabery Cheek: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat
bagi Seputeh, terutama sekali cuba mengaitkan, memburukkan Kerajaan Malaysia dengan
menyamakan Guantanamo Bay dengan pusat tahanan ISA di sini. Saya rasa ini satu
kenyataan yang begitu merosakkan nama negara. Saya jelaskan di sini bahawa sekarang ini
Yang Berhormat perlu faham bahawa terdapat banyak negara dalam dunia selepas dunia
diancam dengan keganasan, walaupun negara tersebut adalah negara yang dianggap paling
demokratik oleh Yang Berhormat dan parti Yang Berhormat sendiri menggunakan pelbagai cara
preventif bagi menjamin keamanan dan kestabilan dunia terutama sekali keselamatan negara
berkenaan.

Jadi apa yang ada pada ISA dalam negara kita adalah kita juga mempunyai sejarah
yang sama dari segi ancaman keganasan dan tidak boleh disamakan Guantanamo Bay dengan
ISA dalam beberapa perkara, Tuan Yang di-Pertua.

No comments: