Apa beza PAS dengan Umno?
(Tulisan saya dalam keluaran Siasah terbaru Bil 0041)
Apakah yang membezakan antara seorang pemimpin PAS dan Umno? Soalan ini sudah pasti merupakan suatu soalan yang kontroversial yang pasti juga mengundang pelbagai reaksi yang kontroversial dari pihak-pihak yang berbagai.
Bagi seseorang yang melihat bahwa PAS dan Umno tidak lebih dari sebuah parti politik yang bermatlamat untuk mendapat dan memperolehi kuasa semata-mata maka sudah pastilah baginya tidak terdapat banyak perbezaan dari keduanya. Barangkali tidak juga terdapat perbezaan antara kedua parti itu dengan DAP, Keadilan, Gerakan, MCA dan MIC serta malah Parti Kominis Malaya sekalipun yang sudah pupus itu, jika kuasa semata-mata yang dikejar dan diperjuangkan.
Manakala bagi seseorang yang melihat dari dasar perjuangan parti masing-masing, akan memperakui bahawa yang membezakan PAS dan Umno hanyalah dari sudut dasar pejuangan. PAS memperjuangkan Islam manakala Umno lebih mirip kepada perjuangan kebangsaan Melayu dan rumpun Melayu.
Lalu pemimpin mereka, sedar atau tidak, adalah pemimpin yang menjiwai perjuangan ini iaitu antara agenda Islam dan agenda kebangsaan Melayu semata-mata.
Seorang aktivis masyarakat dan bekas pemimpin pelajar di tahun 70an lalu, Hishamuddin Rais, dalam sebuah majlis forum anjuran badan belia Youth for Change (Y4C) di Kuala Lumpur baru-baru ini lebih biadap lagi apabila menganggap bahawa Pas dan Umno itu pada hakikatnya sama sejenis iaitu umpama Rotweiller dan Bulldog, kedua-duanya haiwan jenis anjing belaka. Hishamuddin walaubagaimanapun perlu dimaafkan kerana beliau sejak dahulu lagi menggunakan kacamata jenama asing yang tidak ditanggal-tanggalkannya sehingga hari ini sedangkan jenama itu sudah tiada lagi dipasaran.
Jadi apakah sebenarnya jika ada perbezaan antara pemimpin PAS dan Umno itu?
Menurut bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Dato Paduka Ibrahim Ali, dalam wawancara eksklusifnya bersama WTV8, sesungguhnya dalam Pas pun bukan semua pemimpin dan ahli-ahlinya baik-baik belaka, tetapi terdapat satu unsur ketara yang membezakan antara ia dengan Umno. Menurut Ibrahim Pas lantaran perjuangan Islamnya berjaya membentuk tarbiyyah atau pendidikan yang bersemi dan bersarang di dalam jiwa pemimpin dan ahlinya.
Hasil dari pentarbiyahan ini tambah Ibrahim, pemimpin dan ahli PAS berjaya memiliki kekuatan dalaman yang akan menghindarkan mereka apabila terbuka peluang untuk melakukan maksiat dan kemungkaran. Umno menurut Ibrahim tidak ada unsur ini, lalu mereka cenderung untuk melakukan maksiat dan kemungkaran apabila sahaja terdapat peluang yang terbuka. Lantas inilah perbezaan paling ketara antara keduanya ujar beliau lagi.
Sesungguhnya kemampuan menilai perbezaan diantara kedua parti terbesar dalam negara ini penting khususnya bagi rakyat khasnya orang Mealyu, apabila timbul keperluan untuk membuat keputusan. Parti yang berjaya melahir atau mendidik pemimpin dan ahli yang memilki kekuatan dalaman sudah pasti lebih wajar diberikan amanah berbanding parti yang ahli dan pemimpinnya longgar terutamanya dari segi akhlak dan nilai kepimpinanan.
Kita perlu akui bahawa selama ini perkara asas ini tidak kita ambil kira dalam kita membuat keputusan sepanjang 11 kali negara mengadakan pilihanraya umum. Lalu muncullah di depan mata kita apa yang Sasterawan Negara Dato A Samad Said cap sebagai Wira Haloba di dalam sajak terbarunya dengan tajuk yang sama.
berdecup mercup Wira Haloba, menyonglap lahap dirham negara
Pedih mata dan ranap hati kita dibuatkan hasil kesilapan kita itu namun begitulah kita biarkan juga seterusnya tanpa serik dan mahu mengambil iktibar.
Saya mendapat tahu seorang pemimpin PAS pernah berkata bahawa yang membezakan antara pemimpin PAS dan Umno hanyalah tiga perkara. Iaitu pemimpin PAS tadi tidak akan minum arak, berjudi atau merompak, selebihnya sama sahaja antara PAS dan Umno. Ternyata pemimpin PAS itu yang kebetulan seangkatan dengan Hishamuddin Rais turut sempit dan kalut pemikirannya, mudah meminjam benih-benih asing untuk dijadikkannya modal sebagaimana Hishamuddin jua.
Jelasnya pemimpin PAS yang lahir dari pentarbiyahan dalaman bukan hanya akan terpelihara dari tiga kelompok kemungkaran peribadi tadi, malah ia akan turut terpelihara dari apa sahaja peluang kemungkaran dan penyelewengan yang akan merosakkkan dirinya, jemaah dan mencemarkan nama baik Islam. Apa sahaja yang beliau lakukan adalah untuk manfaat dan kebaikan jamaah dan Islam, tidak sebaliknya.
Suka ataupun tidak Pas telah berjaya membuktikan ia konsisten dalam hal ini sejak diberi peluang memerintah Kelantan dan Terengganu seawal Pilihanraya Umum pertama 1959 lagi. Dan sekali lagi di Terenganu pada pilihanraya 1999 sehingga 2004 dan terus menerus di Kelantan sejak 1990.
Prestasi kepimpinan ini sesungguhnya bagaikan buku terbuka untuk diukur dan dinilai oleh sesiapa pun apalagi untuk dibandingkan dengan rekod Umno yang memerintah Persekutuan Malaysia dan sebilangan besar negeri-negeri lain sejak Merdeka lagi!
Ternyata perbezaan yang bernilai inilah yang diperlukan oleh rakyat untuk memimpin dan mentadbir negara dan negeri-negeri demi menebus maruah rakyat dan tanahair yang teruk tercalar di bawah kepimpinan Umno yang menerajui BN sekian lama itu.
Rakyat sudah hampir separuh abad mengenali PAS dan Umno, sepatutnya pengetahuan ini dijadikan barometer untuk melonjakkan pemimpin bagi mengepalai kita untuk meniti tahun-tahun berikutnya dengan penuh pertanggungjawaban, ketelusan dan amanah. Nasib dan masadepan bangsa dan agama terletak di bahu para pemimpin yang kita pilih. Ianya suatu kerja yang serius dan membawa impak yang besar kepada kehidupan kita semua.
Oleh itu bijak-bijaklah membezakan supaya kita juga nanti serik dan bijak dalam membuat keputusan apabila tiba masanya nanti.
No comments:
Post a Comment