Tuesday, March 27, 2007

Benarkah kemampuan ketahanan kewangan rakyat makin lemah?

Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh syarikat insuran AIA (sebagaimana dilaporkan dalam akhbar The Sun hari ini) 71% dari 500 rakyat Malaysia yang dikaji menyatakan bahwa sekiranya punca pendaptan utama mereka terputus secara tiba-tiba maka mereka akan hanya mampu menanggung diri dan keluarga mereka selama tempoh tidak lebih dari setahun!

Mengapa?

Menurut seorang pakar perancangan kewangan, ini berlaku kerana kulaiti hidup rakyat tidak meningkat. Dan dalam waktu yang sama pendaptan mereka tidak tumbuh sepantas permintaan. Akibatnya daya ketahanan kewangan rakyat makin merosot.

Benarkah demikian?

Benarkah kemampuan kita untuk menabung atau menyimpan untuk masadepan semakin berkurangan lantaran kenaikan kos hidup yang semakin menjadi-jadi? Benarkah perubahan cara hidup (atau adjustment of lifestyle) dalam hal ini sudah tidak lagi mampu dilakukan lantaran kesempitan hidup yang tidak meninggalkan banyak ruang untuk membuat sebarang perubahan?

Semasa menyambut Hari Polis ke 200 Ahad lepas akhbar The Star ada membuat liputan tentang kehidupan anggota polis peringkat rendah. Rata-rata menyatakan yang pendapatan semasa mereka terlalu kecil untuk menampung hidup keluarga sehinggakan memaksa isteri masing-masing untuk mencari pendapatan tambahan.

Bagaimana dengan kakitangan kerajaan yang lain? Bagaimana dengan kakitangan swasta? Siang tadi Berita TV3 menunjukkan betapa anak-anak bangsa berebut-rebut untuk ke Singapura bagi mencari pekerjaan semata-mata kerana tukaran matawang mereka yang lebih besar, lantas memberikan pendapatan yang lebih besar untuk menampung hidup keluarga masing-masing.

Sesungguhnya inilah realiti hidup kita pada hari ini. Kita mungkin megah dan gagah dengan pembangunan pasarana, bangunan yang tinggi mencakar langit melampaui bulan dan bintang, sistem pengangkutan yang canggih dan termoden, menganjurkan festival kesenian, hiburan, sukan bertaraf antarabangsa, namun hakikatnya anak-anak bangsa merintih dalam senyap, menangis menanggung derita.

Ini bukan main-mainan atau lakon-lakonan tetapi berlaku merata dikalangan rakyat, kecuali segelintir peratusan kecil yang sememangnya mewah luarbiasa kerana amalan nepotisma, kronisma dan rasuah yang memihak kepada mereka sehingga tidak terasa langsung akan perit penderitaan rakyat ini.

Mengapa kita biarkan ini terus berlaku?

Tepuk dada tanya selera. Rakyat perlu insaf bahawa derita yang kita tanggung ini adalah lantaran kelemahan pengurusan negara oleh mereka yang telah kita beri kuasa tetapi ternyata gagal memikulnya. Lalu bagaimana? Lalu selaku tuan yang memegang kuasa melantik dan menurunkan pemimpin (dalam amalan demokrasi), kita perlu berani dan tegas menuntut perubahan, apabila tiba masanya nanti, keluarlah kita beramai-ramai dengan penuh lapang dada, turunkan mereka yang lemah dan gagal ini dan naikkan pula yang baru dengan harapan akan dapat melontarkan kita semua ke arah kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.

Bersedialah.

No comments: