Tuesday, March 06, 2007

Bukan hanya BPR malah Parlimen pun perlu bebas

Semalam setelah merasmikan pelancaran Kajian Persepsi Ketelusan Malaysia 2007 di KL, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Shahrir Abd Samad telah ditanya oleh para pemberita berkenaan cadangan dari masyarakat awam agar Badan Pencegah Rasuah BPR diletakkan di bawah Parlimen, Shahrir berkata:



Ianya suatu cadangan yang baik akan tetapi ianya mungkin tidak banyak memberi makna kerana Parlimen itu sendiri tidak sebenar-benarnya bebas.

Kata beliau lagi malah ahli-ahli Parlimen tidak mempunyai kebebasan menguruskan permasalahan Parlimen sendiri, bermakna bagaimana mahu meletakkan BPR itu di bawahnya.

Inilah sebenarnya satu sikap Shahril yang saya puji. Beliau berani berkata apa sahaja demi kepentingan awam dan negara walaupun ianya mungkin tidak digemari oleh pihak-pihak yang di belakang atau di atasnya.

Sekurang-kurangnya walaupun sebagai seorang ahli Parlimen Umno/BN, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengatakan yang hak itu hak lalu membelanya dan mengatakan yang batil itu batil lalu menentangnya.

Memang untuk melahirkan sebuah BPR yang benar-benar dilihat bebas dan telus ianya tidak boleh diletakkan di bawah JPM. Cadangan meletakkannya bertanggungjawab kepada Parlimen adalah tepat kerana dalam hal urusan pembenterasan rasuah BPR nanti akan bertanggungjawab terus kepada rakyat yang diwakili oleh Parlimen.

Dalam hal itu bukan hanya Timbalan Menteri atau Ketua Pengarahnya mampu ia siasat malah Perdana Menteri dan anggota kabinet juga tidak akan terlepas.

Segala-galanya akan dibentangkan di Parlimen dan dalam hal inilah pentingnya Parlimen itu sendiri bebas. Segala persidangan dan mesyuaratnya perlulah dibuat secara terbuka, dan kalau boleh disiarkan secara langsung untuk dipantau dan dinilai oleh rakyat.

Hari ini kita bimbang akan kemampuan BPR untuk bertindak telus. Di sana kecenderungan untuk urusannya dicampuri oleh pihak atasan sungguh besar kemungkinannya tambahan pula jika ketika itu ia sedang menyiasat kes-kes yang melibatkan kepentingan mereka.

Bebaskanlah BPR dan bebaskanlah Parlimen demi keadilan dan kesaksamaan untuk semua.

No comments: