Wednesday, March 28, 2007

Proses damai hampir berjaya di Palestin
Kelantan bagaimana?

Mungkinkah sesuatu yang bermakna akhirnya akan tercapai di Timur Tengah. Menurut laporan al Jazeera awal pagi tadi Setiausaha Negara AS Dr Condoleeza Rice yang telah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin Jordan, Palestin dan Israel terlalu yakin yang selepas mesyuarat Liga Arab yang dijadualkan lewat hari ini, POLITICAL HORIZON yang baru ke arah pembentukan Negara Palestin yang diiktiraf dunia akan akhirnya terlaksana.

Yang menariknya semua pihak termasuklah regim Israel dan kerajaan Pentadbiran Palestin melalui POLITICAL HORIZON baru ini dikatakan bersetuju yang tentera regim Yahudi itu akan berundur dari semua wilayah yang didudukinya termasuklah dari Bukit Golan, para pelarian Palestin di Lubnan, Syria, Jordan dan lain-lain akan dibenarkan kembali ke tanahair mereka, kerajaan Palestin akan mentadbir dari Baitulmaqdis Timur dan semua pihak bersetuju menghentikan keganasan.


Negara-negara Liga Arab termasuklah kerajaan campuran Palestin Hamas dan Fatah dijangka memberi pengiktirafan dan laluan ke arah merealisasikan inisiatif keamanan baru ini.

Mudah-mudahan saudara-saudara kita di Palestin akan menghirup dan menikmati udara keamanan dan semoga umat Islam di seluruh dunia akan dapat menziarahi Masjid Ketiga terbesar dalam Islam iaitu Masjid al Aqsa, tempat Mikrajnya Rasulullah saw ke langit bertemu Allah swt dalam keadaan tenteram dan aman.

Menurut laporan Perdana Menteri Malaysia selaku wakil OIC akan turut serta dalam mesyuarat tersebut termasuklah Presiden Indonesia dan lain-lain negara Islam.

Cumanya mungkin Dollah Badawi perlu insaf, jangan hanya menuntut damai, keadilan dan hak untuk mereka yang di luar sedangkan dalam kelambunya sendiri, di tanahair, kerajaan PAS Kelantan diperlakukan sama sebagaimana regim laknat Israel memperlakukan kerajaan Palestin.

Balik ke tanahair nanti Dollah perlulah mengambil inisiatif yang sama terhadap Kelantan. Berilah hak kepada kerajaan negeri itu sebagaimana yang diberikan kepada negeri-negeri lain di bawah BN. Hapuskan Jabatan Persekutuan di Kelantan yang bertindak lebih bagaikan kerajaan dalam kerajaan. Salurkan terus sebarang peruntukkan yang merupakan hak rakyat Kelantan terus kepada kerajaan negeri dan bukannya ke pihak lain.

Sesungguhnya para pengundi di Kelantan itu adalah anak bangsa yang seaqidah dan serumpun dengan Dollah juga, mengapa tergamak menganaktirikan mereka semata-mata kerana perbezaan politik?

Semoga Dollah belajar dari apa yang berlaku di Timur Tengah itu dan kembali memperkenalkan pembaharuan di sini, jika tidak kemungkinan rakyatlah yang perlu mengajar beliau dan rakan-rakan beliau yang bermuka-muka itu.

No comments: