Juara AF5 bakal dinobatkan pada Hari Maulidur Rasul
Hari Sabtu ini 12 Rabiul Awal adalah hari Maulidur Rasul saw. Peristiwa kelahiran insan paling besar dalam dunia ini seharusnya mencetuskan keinsafan dalam hati sanubari kita betapa jauhnya kita kini dari ajarannya yang sebenar.
Ianya sepatutnya juga mengisnafkan kita akan betapa besarnya pengorbanan insan yang dikasihi oleh Allah dan para malaikat ini, terhadap kita dan seluruh umat manusia.
Menurut riwayatnya pada malam kelahiran Baginda, berhala-berhala yang berdiri tegap di atas Kaabah dengan tiba-tiba jatuh tersungkur. Pada malam kelahiran Baginda juga tembok istana Raja Parsi menjadi retak sedangkan tembok itu telah dibina dengan bahan binaan yang kukuh, sebaliknya rumah-rumah rakyat tidak meninggalkan apa-apa kesan. Ini sebagai bukti yang kerajaan Parsi akan runtuh suatu masa nanti. Ketika itu juga api kerajaan Parsi yang dinyalakan bertahun-tahun dan api itu dijaga agar terus menyala namun pada malam kelahiran Rasulullah s.a.w api tersebut telah padam.
Dalam akhbar NST hari ini saya mendapat tahu bahawa pada malam minggu nanti juga pihak ASTRO akan menganjurkan pusingan akhir Akademi Fantasia 5 atau AF5. Melompat, menari, terpekik-terlolong, berhibur dan bergembiralah rata-rata anak-anak Melayu meraikan program kegemaran mereka serta menunggu-nunggu juga saat kelahiran insan paling istimewa iaitu Juara AF5 yang akan dinobatkan hasil SMS seluruh peminat pada hari Baginda Rasulullah saw dilahirkan.
Dalam akhbar tersebut Mufti Perak Datuk Harussani Zakaria mendesak agar pihak ASTRO menangguhkan rancangannya kerana menghormati hari Maulidur Rasul itu. Turut bersetuju adalah Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin.
Manakala Ketua Pengarah JAKIM sekadar berkata terpulanglah pada ASTRO untuk melakukan apa yang terbaik.
Adakah begitu sahaja sikap kita?
Ketika Rasulullah saw dihina dengan lukisan karikatur dari seorang bukan Islam di Denmark, kita sanggup berarak ke tengah jalanraya, malah pihak kerajaan pun membuat kenyataan membantah secara terbuka. Tetapi apabila kita sendiri tidak menghormati pemimpin terbesar kita ini, malah mencacatkan hari kelahirannya dengan majlis jahiliyah yang ditentang oleh Baginda itu, ramai yang membisu dan mendiamkan diri.
Saya berharap agar semua pihak mengambil tindakan melakukan sesuatu bagi memastikan yang konsert ini tidak dianjurkan pada hari berkenaan jika benar kita memiliki maruah dan cinta-kasih terhadap Rasulullah saw.
Sekadar untuk renungan pembaca, di laman web AF5 terdapat undian yang bertanyakan adakah anda setuju agar Konsert ini ditangguhkan ke hari Ahad:
Setakat saya menulis ini 60.6% tidak bersetuju!
PEMBETULAN:
Maaf Konsert AF5 yang dimaksudkan masih dipusingan awal dan bukannya FINAL.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment