Monday, March 05, 2007

Jangan seret kambing yang hitam sahaja

Perkembangan dalam kes membabitkan seorang Timbalan Menteri yang dikatakan disogok RM5 juta untuk membebaskan tiga orang penjenayah yang ditahan di bawah Ordinan Darurat sungguh menarik.

Memang berita ini berasal dari seorang Blogger tempatan. Tetapi Blogger tersebut sekadar menyondol-nyondol sahaja, tiba-tiba dari Ketua Polis Negara, sehingga BPR dan malah semua akhbar tempatan mensensasikan dan menamakan secara terbuka Timbalan Menteri berkenaan.


Lalu terpaparlah wajah sedih Johari Baharum, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan ahli parlimen Kubang Pasu itu di dada-dada akhbar.

Akhbar Utusan Malaysia seolah membantu membakar lagi isu ini dengan meletak di muka depannya, Johari nafi disogok (tetapi: Mengaku bebaskan tiga penjenayah mengikut Ordinan Darurat). Di kolum tertatas diletakkan kenyataan KPN: Saya mahu BPR siasat Johari.

Di muka dua akhbar yang sama disiarkan transkrip penuh soal jawab sidang akhbar bersama Johari dengan gambar besar Johari tunduk sedih di atas sebuah kerusi rotan.

Memang Johari tidak dianggap bersalah sehinggalah diputuskan oleh mahkamah. Tetapi media saluran perdana kelihatan sebagai bersungguh-sungguh menjatuhkan hukuman ke atas beliau (sehingga mengerhanai isu Dato Seri Ketua Pengarah BPR) seolah Johari telah pun dianggap bersalah. Seorang rakan saya memaparkan di websitenya, ada maklumat yang diterima memang bukan Johari seorang yang sepatutnya di kambing hitamkan tetapi ada seekor lagi kambing hitam yang dikatakan telah bertukar ke kementerian lain (dengan jawatan Timbalan Menteri) yang sepatutnya disiasat sekali.

Apa pun bagi saya seolah Johari telah terpijak jerangkap samar politik dalam Umno, lalu beliau kini menanggung derita sebagai mangsa. Sedangkan sebelum ini beliau banyak berjasa kepada Presiden Umno, Dollah Badawi apabila menggagalkan usaha Tun Dr Mahathir untuk menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno sebagai wakil Kubang Pasu.

Ada maklumat yang diterima mengatakan ini adalah tanda awal sengketa besar-besaran dalam Umno. Sessi dedah-mendedah dan bongkar-membongkar telah bermula. Malah Johari dalam sidang akhbarnya turut mendedahkan bahawa ada penjenayah yang berprofil tinggi yang mendapat rayuan sokongan dari Menteri Besar, wakil rakyat dan orang politik, mengapa penjenayah ini dibela oleh orang-orang besar?

Saya perhatikan perkembangan ini sungguh tidak menyenangkan kita sebagai rakyat biasa. Dalam kes Ketua Pengarah BPR pun kita telah mula resah bagaimana orang yang terlibat melindungi rakyat dari amalan keji rasuah tiba-tiba dituduh turut terlibat dengan rasuah dan jenayah. Kini Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri pula yang sepatutnya melindungi kita dari para samseng dan penjenayah yang merupakan ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan rakyat, dan kini dia pula dituduh membebaskan mereka ini dengan balsan kewangan!

Keadilan perlulah diberikan kepada Dato Seri Zul dan Johari (dan mungkin ramai lagi selepas ini) untuk bertindak adil kepada semua pihak, mereka yang dituduh mestilah melepaskan jawatan masing-masing buat sementara, sementara penyiasatan dilakukan. Kalau tak bersalah ambillah balik jawatan itu tetapi setakat ini sepatutnya pejabat Ketua Penagarah BPR dan Timbalan Menteri berkenaan dokosongkan bagi memudahkan kerja-kerja penyiasatan.

Sementara itu kita juga berharap pihak polis akan segera menyiasat aduan berkenaan penglibatan orang-orang politik juga dalam kes pembunuhan berprofil tinggi membabitkan gadis Mongolia Altantuya. Beberapa tokoh pembangkang, danmalah tokoh dalam Umno sudah menyuarakan tentang kemungkinan penglibatan pihak-pihak atasan dalam kes ini, siasat juga mereka dan kalau boleh mereka juga perlu lepaskan jawatan sementara siasatan dibuat.

Begitu juga kes Oil for Food PBB di Iraq yang dikatakan membabitkan pemimpin nombor satu negara. Bekas naib Presiden Iraq Taha Yasin Ramadhan yang dikatakan bersubahat dalam skandal ini kini sudah pun dijatuhkan hukuman bunuh di Baghdad. Tetapi kes ini senyap sesenyap-senyapnya dalam negara.

Marilah kita berani menegakkan kebenaran dalam semua perkara dan hal tanpa memilih bulu. Semoga segala kemungkaran yang kini berlonggok-longgok di bawah tikar akan dibongkar kembali demi keadilan dan kesaksamaan.

No comments: