Saturday, March 17, 2007

Pelajar Melayu Terbilang tetapi tidak terbaik?

Semalam di Pulau Pinang PM Dollah Badawi telah menyampaikan anugerah Pelajar Melayu Terbilang kepada pelajar cemerlang SPM 2006, Siti Fatimah Mokhtar yang memperolehi 17A1 dan 1A2 dalam peperiksaan tersebut. Anugerah tersebut dikeluarkan oleh pihak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung GPMS yang diketuai EXCO pemuda Umno Reezal Naina Merican.

Sebelum ini adik Siti Fatimah yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu, Kelantan telah tidak diiktiraf pencapaiannya sebagai pelajar cemerlang negara walaupun menurut trekod beliau memperolehi bilangan A1 yang terbanyak.

Menurut Setiausaha Politik MB Kelantan, Sdr Annual Bakhri Haron, Pengarah Pelajaran negeri malah membuat kenyataan bahawa adik Siti Fatimah tidak diiktiraf oleh kerana SM Maahad Muhammadi yang dikelolakan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) itu bukan merupakan sekolah penuh tajaan Kementerian Pelajaran (Harian Metro Edisi Timur 14/3/07).

Kenyatan ini telah mencetuskan kemarahan banyak pihak khasnya masyarakat Melayu yang memandang pencapaian Siti Fatimah ini sebagai yang terbaik dan perlu diambil sebagai contoh kepada genarasi muda hari ini, khususnya anak-anak Melayu. Adik Siti Fatimah telah cemerlang dalam aliran Sains dan Agama, dan memperolehi A dalam ketiga-tiga Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab termasuk mata-mata pelajaran sains dan agama.

Pencapaian sebesar dan sebaik ini sewajarnya diberi pengiktirafan dan publisiti meluas, walaupun kebetulan ianya juga membuktikan kejayaan sistem pendidikan yang dikelolakan oleh kerajaan negeri Kelantan melalui YIK. Ini bukan isu PAS atau Umno, ini pencapaian anak Melayu/Islam yang seharusnya menjadi kebangaan semua pihak.

Dalam akhbar tempatan hari ini Ketua Pengarah Pelajar yang tidak langsung menyebut pencapaian adik Siti Fatimah semasa mengumumkan keputusan keseluruhan SPM Isnin lalu mengambil kesempatan pula untuk menjelaskan mengapa kononnya adik Siti Fatimah tidak dikira cemerlang menurut garis piawai kementerian. Kata Ahmad Sipon:

Siti Fatimah tidak tersenarai bukan kerana dia dari sekolah tajaan kerajaan negeri, tetapi kerana tidak memperoleh keputusan semua A1. Dalam keputusannya ada satu A2 dan kerana itu dia tidak layak.

Saya kira kriteria kementerian ini sudah lapok dan jelas tidak memberikan keadilan yang sepatutnya.

Kenyataan Ahmad Sipon ini bertentangan dengan kenyataan Pengarah Pelajaran. Apa pun bagi saya rugi besarlah bangsa Melayu dan umat Islam apabila kita bersikap sebegini dalam hal yang terbukti terang dan jelas.

GPMS pun lantaran badannya yang dibayangi Pemuda Umno, seolah gelisah dan tidak menentu, terima kasihlah kerana memberikan anugerah yang memang layak buat adik Siti Fatimah itu iaitu sebagai PELAJAR MELAYU TERBILANG, tetapi sayang keterbilangan beliau tidak melayakkannya untuk menjadi Duta Akademik GPMS kerana gelaran itu diberikan kepada pelajar lain yang memang telah dipasang sajak awal walaupun beliau hanya menerima 14A1, 4A2 dan 1 3B.

Sementara itu kerajaan negeri Kelantan difahamkan akan menaja sepenuhnya adik Siti Fatimah untuk melanjutkan pelajarannya dibidang perubatan di universiti di Timur Tengah.

No comments: