Friday, March 02, 2007

PKR dan PAS perlu tukar pemimpin untuk ulang kejayaan tahun 1999
Artikel saya ini terbit dalam SIASAH Bil 039 yang kini terdapat di pasaran



Pada tahun ini kedua-dua buah parti pembangkang yang menganggotai pakatan Barisan Alternatif atau BA akan menghadapi pemilihan pucuk pimpinan parti dalam Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing.

Dalam keghairahan semua pihak menunggu-nunggu tanda-tanda tarikh Pilihanraya Umum ke 12, samada tahun ini atau tahun hadapan, perkembangan dalam dua buah parti pembangkang terbesar dalam negara ini turut menggamit perhatian ramai pemerhati. Ini lantaran kedua-dua parti ini disamping DAP adalah merupakan lawan tradisional Umno dan Barisan Nasional dalam pilihanraya-pilihanraya umum yang sudah-sudah.

Kalangan ahli-ahli PKR setakat ini kelihatan begitu yakin yang bekas Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim hampir pasti akan menerajui parti tersebut bagi memimpin bukan hanya parti itu malahan pakatan pembangkang bagi menghadapi BN dalam PRU ke 12. Jika sebelum ini Anwar dirihatkan di penjara, kini beliau sendiri dijangka akan mengepalai pakatan pembangkang itu di barisan hadapan.

Walaubagaimanapun menurut Akta Pertubuhan seseorang yang didakwa dan disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara lebih daripada dua tahun atau denda lebih RM2,000, tidak boleh memegang jawatan dalam parti selama lima tahun selepas tarikh dibebaskan. Namun larangan ini tidaklah muktamad oleh kerana menurut Seksyen 9a(4) akta yang sama pihak Pendaftar Pertubuhan ROS mempunyai kuasa untuk memberikan pengecualian dengan syarat permohonan dibuat oleh mereka yang berkaitan.

Datin Seri Dr Azizah Ismail dijangka memberikan laluan kepada suami beliau untuk menerajui parti itu. Sementara itu jawatan-jawatan lain dalam parti tersebut termasuklah Timbalan dan Naib-naib Presiden dijangka menyaksikan pertandingan yang sengit.

Timbalan Presiden kini dijawat oleh Dr Syed Husin Ali manakala naib-naib Presiden adalah Azmin Ali, R. Sivarasa dan Dr Lee Boon Chye.

Jawatan Dr Syed dijangka akan menerima cabaran dan setakat ini antara nama-nama yang turut dicalonkan untuk jawatan ini adalah Azmin Ali, Tian Chua dan Ezam Md Nor. Begitu juga untuk jawatan Naib Presiden antara yang menerima pencalonan termausklah bekas pemimpin Pemuda MIC Dato S Nallakurapan.

Sudah pastilah antara yang turut excited mengikuti pertandingan di dalam PKR ini termasuklah BN dan agen-agen media saluran perdananya, kerana bagi mereka inilah peluang untuk mengambil kesempatan dan meyerang perpaduan yang terjalin dikalangan ahli-ahli parti tersebut. Perebutan jawatan di dalam parti itu tidak dilihat sebagai satu proses demokrasi yang sihat tetapi lebih sebagai unsur perbalahan yang akan mengakibatkan perpecahan parti baru itu.

Sedangkan Umno sendiri sudah lama tidak menyaksikan pertandingan seumpama ini di dalam pucuk pimpinan tertinggi dalam partinya. Bukan kerana tidak ada yang mahu menawarkan diri tetapi sebagaimana yang pernah diperkatakan oleh bekas Naib Presiden parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah: Tidak ada demokrasi lagi di dalam Umno.

Inilah masa dan peluang bagi PKR untuk membuktikan kematangan pimpinan dan ahli-ahlinya. Rakyat diluar sudah tidak sabar mahu menyaksikan parti ini bergerak maju di bawah kepimpinan Anwar yang dinanti-nantikan sejak beberapa tahun kebelakangan. Kongres PKR 2007 perlu mencipta sesuatu yang menarik minat dan selera rakyat sehingga mereka terus terpaku untuk bangun membuat perubahan.

Dalam pada itu PAS juga akan berhadapan dengan proses pemilihan pucuk pimpinan partinya, namun adakah excitement yang sama sebagaimana yang tercetus dalam PKR akan juga terpancar dalam proses pemilihan parti ini, tidaklah banyak diperkatakan oleh pihak luar setakat ini.

Setelah menerima kekalahan yang besar dalam PRU 2004 lalu, PAS kini dijangka akan memacu kekuatannya untuk berenang kembali ke arus perdana politik negara. Jentera parti disemua peringkat akan dikerah semaksima mungkin bagi mengembalikan kegemilangannya yang pernah tercipta dalam PRU 1999 dahulu.

Namun PAS juga perlu menerima hakikat bahawa kekuatan jentera semata-mata belum cukup sebagai senjata untuk merampas kembali kegemilangannya yang dicuri oleh BN pada PRU 2004 itu. Rakyat mungkin sudah bosan atau mungkin keciwa dengan kepimpinan kerajaan BN yang ada, akan tetapi adakah kebosanan dan kekeciwaan itu mudah diterjemahkan dalam bentuk undi?

Sudah pastilah pengorbanan besar rakyat untuk memberikan undi kepada PAS dan PKR (termasuklah DAP) juga menuntut pengorbanan yang besar dari parti-parti berkenaan juga. Rakyat mahu melihat jika berlakulah perubahan besar struktur politik negara pada PRU yang mendatang ini, maka agen-agen perubahan yang mereka berikan mandat itu benar-benar bersedia dan bertenaga.

Dalam erti kata lain rakyat sudah pasti mahu melihat satu barisan yang fresh dan meyakinkan.

Ahli-ahli dan pimpinan PAS perlu berjiwa besar, dan bersedia menawarkan bukan hanya partinya (yang memang sudah dikenali itu) tetapi juga saf kepimpinan baru yang fresh dan meyakinkan. Sesungguhnya perkembangan mutakhir dunia pada hari ini turut menuntut PAS agar dikepalai oleh mereka yang seumpama ini bagi mendepani cabaran yang sudah jauh berbeza dari cabaran 2-3 dekad yang lalu.

Kesanggupan untuk membuka ruang dan membuat perubahan ini dalam kes PAS perlulah bermula dari mereka yang berada diteraju teratas. Sekiranya ini berlaku maka rakyat akan tampak yang PAS bersungguh bersedia dan serius mahukan perubahan untuk membela mereka dan Malaysia bagi berhadapan dengan cabaran dan tuntutan global.

Yang veteran memberi laluan kepada yang muda, yang telah banyak berjasa memberi peluang kepada yang baru mahu menabur jasa. Ini bukannya sesuatu yang baru di dalam PAS tambahan pula ianya sebagai sebuah gerakan dan jemaah Islam yang sentiasa meletakkan kepentingan perjuangan mengatasi kepentingan individu.

Terimalah hakikat bahawa tempoh 5 tahun sekali untuk menunggu satu-satu pilihanraya bukan hanya menokok usia parti tetapi lebih-lebih lagi turut menokok usia kita manusia, samada kita sedari ataupun tidak.

Banyak iktibar yang boleh diambil dari pengalaman dan perkembangan disekeliling kita. Upset di PR Negeri Sarawak adalah satu bukti hidup betapa citarasa rakyat dituruti, malah begitu juga kesediaan Umno mengemukakan muka-muka baru dalam PRU 2004 lalu di Terengganu juga adalah satu butki, samada kita gemari ataupun tidak.

Sesungguhnya peluang untuk PAS dengan kerjasama PKR bertapak kukuh di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain kini kelihatan terbuka luas termasuklah merobah status quo diperingkat nasional. Ini berdasarkan senario politik semasa yang sungguh berkecamuk dan tidak menentu dan tidak lagi memihak kepada BN, tetapi pokoknya, masing-masing parti perlulah juga berani mengemukakan kelainan untuk ditawarkan kepada rakyat.

No comments: