Tuesday, March 13, 2007

Mampukah teh tarik dan roti canai jatuhkan BN?

Pengerusi BN yang juga PM Dollah Badawi semalam mengatakan bahawa beliau sedang menunggu-nunggu faktor FEEL GOOD sebelum memanggil pilihanraya. Kata beliau lagi suasana FEEL GOOD kini sudah dirasai cuma ianya perlu lebih baik lagi sebelum beliau memanggil pilihanraya.

Saya tidak pasti siapakah yang seharusnya merasai faktor FEEL GOOD itu, adakah beliau maksudkan beliau sendiri, para pemimpin BN dan Umno atau rakyat?





Yang pastinya tiada FEEL GOOD FACTOR dikalangan rakyat kebanyakkan yang teruk terjejas hidup mereka akibat kenaikan kos hidup yang mendadak sejak tahun lalu. Yang sebenarnya ada cumalah FEAR FACTOR bukannya FEEL GOOD FACTOR! Buktinya hari ini disamping kenyataan Dollah itu akhbar-akhbar turut menyelitkan bahawa harga teh tarik dan roti canai pun turut naik mulai hari ini.

Teh tarik dan roti canai mungkin tidak muncul langsung dalam indeks pemerhatian Dollah dan pimpinan BN, bagi mereka mungkin ianya perkara remeh dan terlalu kecil atau negligible untuk dipertimbangkan. Tetapi awas, inilah hampir boleh disebutkan sebagai makanan rutin rakyat Malaysia disamping nasi dan lain-lain.

Mungkin kos kedua-duanya di bawah RM5 atau RM2 ditempat-tempat tertentu, tetapi nilainya sangat mahal bagi rakyat yang mengharapkan teh tarik dan roti canai inilah sebagai pengalas perut mereka ketika lapar.

Mungkin FEEL GOOD FACTOR bagi Dollah adalah kemenangan besar mereka di Batu Talam (yang bukan pun satu pertandingan), RM1 trillion dagangan (yang rakyat dikampung sekadar terlopong besar mulut mendengarnya), indek komposit yang melonjak naik (dan mampu juga menjunam turun), keuntungan dan kemewahan yang dirasai oleh segelintir kecil individu Melayu/Bumiputera (sedangkan yang selebihnya jangankan tulang hampas pun tidak mampu dikecapi)

Saya yakin setelah terjerat dan disengat dengan kenaikan kos hidup yang timpa menimpa termasuklah terbaru ini teh tarik dan roti canai, rakyat sudah mula bosan dan tersedar dari tidur lama mereka.

Dollah dan kaum kerabat pimpinan dalam BN mungkin menari-nari dan terhibur riang dengan FEEL GOOD FACTOR mereka yang apa sahaja itu, tetapi jangan sekali-kali memperlekehkan kemampuan rakyat. Kalau kezaliman dan kekejaman boleh jatuhkan Marcos, rasuah boleh jatuhkan Suharto dan salah-guna kuasa serta penyelwengan menjatuhkan Thaksin, tidak mustahil teh tarik dan roti canai (disamping yang tersenarai ini) akan berupaya merebahkan Dollah dan BN, panggilah segera pilihanraya.

No comments: