Friday, March 23, 2007

Berakhir matlamat perjuangan Umno?

Kalau kita selak perlembagaan Umno kita akan terjumpa maksud asal dan tujuan perjuangan parti Melayu ini iaitu pada Fasal 3 perlembagaannya yang berbunyi:

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara.


3.1Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3.2Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.

3.3Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

3.4Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Dari sejak dahulu lagi kita diasak saban hari bahawa nasib dan masadepan bangsa Melayu adalah merupakan agenda perjuangan Umno lantaran peruntukkan di atas. Umno akan bingkas bangun apabila sahaja ada usaha untuk mengahakis atau menganggu-gugat status quo yang telah diasaskannya itu.

Malah yang terakhir kita pernah dipertontonkan betapa Ketua Pemuda Umno Hishamuddin Tun Hussien menghunuskan keris dalam Perhimpunan Pemuda Umno sebagai simbol betapa bersedia dan beraninya Pemuda Umno menggadai nyawa untuk mempertahankan martabat bangsa Melayu ini.

Lalu saya agak terkejut apabila membaca laporan akhbar hari ini bahawa rupa-rupanya Umno kini sudah mula bersedia merongkaikan ikatan dirinya terhadap asas perjuangan asal partinya itu dahulu.

Dua berita dipaparkan oleh akhbar saluran perdana hari ini adalah:

PERTAMA bahawa kerajaan akan mengecualikan syarikat-syarikat yang melabur di Wilayah Pembangunan Iskandar atau WPI dari syarat-syarat dan peraturan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FDI). Peraturan dan syarat FDI ini adalah berkenaan syarat penyertaan Bumiputera dari sudut hak milik dan tenaga kerja.

KEDUA adalah kenyataan bekas TPM Musa Hitam yang juga ahli lembaga Penasihat WPI bahawa sudah tiba masanya Umno menjelaskan kepada ahli-ahlinya bahawa hayat Dasar Ekonomi Baru atau DEB khususnya dalam kes WPI ini sudah berakhir.

Memang pelbagai hujah dan alasan diberikan oleh pimpinan semasa dalam Umno akan betapa perlunya perkara-perkara kritikal yang membabitkan survival bangsa Melayu khasnya dalam ekonomi ini perlu dipergadaikan. Demi kemajuan WPI, demi kemajuan negara, apa salahnya bangsa Melayu mengalah dan bersedia bersaing secara kompetitf.

Mereka yang mungkin bukan ahli atau pemimpin Umno pasti akan melihat perkembangan ini dengan penuh hairan dan takjub. Apakah ekonomi bangsa Melayu yang diperjuangkan oleh Umno sejak lebih 50 tahun kebelakangan ini sudah hebat, kukuh dan ampuh sehingga sudah tiba masanya untuk kita membuka pintu pagar bagi mencetuskan suasana FREE FOR ALL tanpa kuota, tanpa peruntukkan khas, tanpa apa-apa lagi perlindungan dan bantuan?

Ahh kita sudah kini memeluk dasar jiran kita Singapura rupanya. Ayuh bawa masuklah para pelabur dan rakyat Singapura, ayuh masuklah pelabur dan rakyat China, Taiwan, Amerika dan Eropah, kami sudah bersedia memeluk anda semua tanpa sebarang prejudis, sekatan atau apa sahaja, kerana kami bangsa yang sudah maju dan kukuh.

Belilah hartanah kami, belilah rumah kami, bangunan kami, tanah kami, apa sahaja asalkan kami maju, anda senang, kami juga senang. Warga asing kini sudah boleh membeli hartanah kediaman melebihi RM250,000 iaitu nilai haratanah yang biasanya dibeli oleh rakyat Malaysia dan orang Melayu kelas pertengahan. Tiada lagi sekatan.

Sudah pasti ramai yang bimbang melihatkan perkembangan baru dalam sikap dan pendirian Umno ini. Ternyata langkah-langkah terbaru ini terlalu laju sedangkan kenyataannya bangsa Melayu yang benar-benar telah berjaya masih kecil bilangannya.

Kata Musa Hitam:

Now there are even Alis who are using the Babas not as sleeping partners but as equals
(Kini sudah ada Ali yang menggunakan Baba bukan sebagai rakan pasif tetapi rakan perkongsian yang setaraf)

Berapakah bilangan Ali itu? Kalau pun ada barangkali termasuklah usahawan-usahawan segera dari kalangan pimpinan Umno juga yang bilangannya kecil dan tidak mencerminkan langsung keadaan orang Melayu secara keseluruhannya yang masih bergelut mahu mencuri nafas lantaran dicekik oleh kenaikan kos hidup yang sangat membebankan.

Bearapa ramai orang Melayu yang ada duit lebih sehingga boleh menaja sekerat dua Mat Rempit untuk terjun dari langit di Kutub Utara berbanding dengan begitu ramainya orang Melayu yang bermasalah kini untuk membayar pinjaman rumah, pinjaman kereta, pinjaman pengajian anak-anak, berduti utnuk beli rumah, bangunan dan gedung.

Bagi saya langkah terbaru Umno ini yang dibuat dala ekadaan terburu-buru akan akhirnya merugikan bangsa Melayu itu sendiri.

Kalau Umno dahulu mula menghirup nyawa di Johor nampak- nampaknya di Johor jugalah ianya nanti akan mula semput, nazak dan dikebumikan oleh bangsa Melayu sendiri.

No comments: