Wednesday, July 26, 2006

Tak perlu bersaing dengan laman web dan blog: Dollah

Semalam ketika merasmikan Persidangan Media Massa 2006 anjuran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di Putrajaya PM Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan sebagai berkata bahawa media saluran perdana tidak perlu bersaing dengan laman-laman web dan blog dalam mensensasikan sesuatu berita hangat.

Kata Dollah (UTUSAN):

Tak payah bersaing, nak bersaing buat apa, laksanakan peranan dengan sebaik-baiknya kerana peranan yang diberikan kepada saudara cukup besar dan kebebasan yang diberikan sudah cukup untuk memboleh surat khabar itu dicetak dan dapat diterima oleh rakyat.

Jangan terbawa-bawa dan mengikut sensasi yang ditimbulkan dalam laman web, jika itu yang kita terikut-ikut, maka akhbar akan menjadi macam itu juga.



Saya berterima kasih kepada PM kerana mengiktiraf kehadiran laman-laman web dan blog sebagai sumber alternatif berita dalam negara walaupun beliau kelihatan tidak begitu SUPPORTIVE.

Cuma bagi saya kecenderungan rakyat untuk meninjau dan mencedok berita dan maklumat dari laman-laman web dan blog ini sebenarnya didorong oleh kekeciwaan mereka terhadap media arus perdana. Media arus perdana khasnya akhbar-akhbar harian tempatan dilihat rata-rata bagaikan MOUTHPIECE ataupun lidah resmi pemerintah dengan melaporkan sesuatu berita hanya berdasarkan selera satu pihak.

Demikianlah juga media elektronik seperti saluran-saluran TV tempatan (kecuali webtv).

Kerana itu kita lihat khasnya sejak tahun 1998 laman-laman web dan blog menerima lonjakkan kunjungan khasnya dari pelayar-pelayar internet tempatan dan luar negara. Harakahdaily, Malaysiakini, Malaysia Today, Screenshots, Tranungkite, Laman Marhaen, Umno Reform, Agendadaily telah menjadi antara laman web wajib yang dikunjungi oleh pelayar-pelayar internet tempatan.

Cuma yang sering tidak disenangi oleh pihak kerajaan adalah kononnya media alternatif ini tidak bertanggungjawab dan selalu sahaja mensensasikan berita-berita yang tidak tepat.

Saya kira laman-laman web dan blog yang ESTABLISHED seperti yang saya sebutkan di atas tidak terlibat dalam kerja-kerja ini kerana masing-masing bersaing untuk menjadi antara yang pertama mendedahkan berita dan skandal yang hangat dan tepat. Kerana jika mereka didapati menyiarkan yang sebaliknya, biasanya laman dan blog mereka akan hilang populariti dan akhirnya disisihkan oleh pengunjung-pengunjung.

Apa pun semua pihak mestilah bersedia menerima hakikat bahawa media alternatif akan terus hadir memainkan peranan mereka dan jika media saluran perdana berterusan menyalurkan berita dan maklumat yang bias dan berat sebelah, maka mereka akhirnya akan disisihkan oleh rakyat yang semakin dahaga dan menuntut berita dan maklumat yang adil dan benar.

No comments: