Wednesday, July 19, 2006

Isu Palestin ayuh pakai gelang getah

Pergerakkan Pemuda Umno turut tidak mahu ketinggalan dalam membela isu Palestin khasnya yang melibatkan keganasan dan kezaliman regim haram Zionis Israel.



Semalam Buletin Utama TV3 menyiarkan sidang akhbar Ketua Pemudanya Hishamuddin tun Hussien. Hishamuddin menyatakan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO akan mengadakan interaksi dengan pemimpin muda di negara-negara Asia, bagi mewujudkan gerakan keamanan antarabangsa bagi membela nasib rakyat Palestin yang ditindas Israel.

Buat permulaan kata beliau Naibnya Khairy Jamaluddin telah pun dihantar ke Indonesia bagi menemui pemimpin-pemimpin muda di sana.

Seingat saya di TV3 semalam Hishamuddin menegaskan bahawa Pemuda Umno mahu membawa pendekatan yang berlainan. Beliau enggan terlibat dalam tindakan berdemonstrasi, menyerah memorandum dan seumpamanya yang menurut beliau biasanya tidak membawa apa-apa hasil. Yang mahu digerakkannya adalah protes dengan cara membina gerakan keamanan di peringkat antarabangsa bagi mengenakan tekanan terhadap Israel.

Malah BERNAMA melaporkan menurut Hishamuddin antara langkah gerakan keamanan itu nanti adalah mengajak seluruh masyarakat untuk memakai gelang tangan getah berwarna oren yang akan diagihkan oleh sekretariat gerakan mulai Sabtu ini.

Saya tak tahulah sejauh mana menggunakan gelang seumpama ini dapat mengubat kesesuahan dan penderitaan rakyat Palestin?

Tapi yang mahu saya ketengahkan di sini adalah percanggahan ketara antara Hishamuddin dan Khairy yang dapat dibaca dalam UTUSAN hari ini. Kata Hishamuddin Pemuda Umno mahu melahirkan gerakan kemanan tetapi Khairy pula berkata:

Pergerakan Pemuda UMNO dan Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) akan mengadakan perhimpunan serentak di negara masing-masing Jumaat ini bagi mengecam tindakan kejam Israel terhadap rakyat yang tidak berdosa di Palestin dan Lebanon.

Bukankah Hishamuddin di TV3 semalam menyatakan tidak ada demo dan protes seumpama ini, tetapi Khairy pula mengarahkan sebaliknya. Malah kata Khairy perhimpunan rangkaian anti-Israel itu yang dianjurkan oleh Pemuda akan diadakan di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sepatutnya nama pun Pemuda kenalah keras sikit. Dizaman Syed Jaafar dan Dato Harun Idris dahulu Pemuda Umno dikenali garang dan bengisnya dalam hal-hal melibatkan kepentingan Melayu dan agama, tetapi hari ini takkanlah sekadar mahu mengedarkan gelang tangan? Dahlah tu gelang-gelang ni bukannya pakaian kaum lelaki Melayu, takkanlah pimpinan Pemuda parti Melayu tak tahu?

Dan belum sempat buat apa, dah nampak kalut dan berlainan arah antara Ketua dan Naibnya.

Sementara itu bumi Palestin dan Lubnan terus terbakar dan basah merah dengan darah para syuhada sedangkan Pemuda Umno di sini sibuk dengan agenda kemanan dan pengedaran gelang getah.

No comments: