Thursday, July 20, 2006

Pembatalan Komplek Sukan di UK, siapa berbohong?

Ini satu lagi kisah yang membuktikan betapa berserabut (half past six) dan haru-birunya pentadbiran kerajaan Malaysia hari ini.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Azalina Othman telah mengumumkan bahawa kementerian beliau akan membina sebuah komplek sukan untuk melatih athlet Malaysia di UK di tapak sebuah tanah milik kerajaan Malaysia. Alasan pembinaan pusat itu di UK kononnya untuk menyesuaikan atlet Malaysia dengan cuaca sejuk serta mendedahkan mereka dengan pertandingan diperingkat antarabangsa.



Tapak yang dimaksudkan duduk di atas Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di Brickendonbury yang digunakan untuk tujuan penyelidikan getah.

Kemudian didedahkan pula bahawa kos pembinaan pusat tersebut dijangka menelan belanja RM490juta.

Selang beberapa hari Timbalan PM menegaskan bahawa kerajaan akan meneruskan projek Azalina itu tetapi menafikan yang belanjanya mencecah RM490juta malah kata Najib angka sebenarnya belum diperolehi lagi.

Tiba-tiba semalam PM Dollah Badawi dalam sidang akhbarnya menyatakan:

PERTAMA bahawa beliau mendapat maklumat yang pihak berkuasa tempatan di Lon don tidak mengizinkan pembinaan pusat tersebut atas alasan komplek TARRC yang sedia ada diklasifikasi sebagai bangunan warisan dan tidak boleh dipinda atau ditukarkan kepada pembangunan jenis lain.

KEDUA (sebagaimana dilaporkan UTUSAN) Kalau itu jadi masalahnya, jadi macam mana nak membina kemudahan yang RM400 juta lebih nilainya

Bagi bahagian pertama di atas ianya jelas kepada kita bahawa keizinan besar kemingkinan tidak diberikan oleh pihak PBT London yang sememangnya sentiasa proaktif dalam pemuliharaan senibina lama di kawasannya (tak seperti di Malaysia).

Cuba perhatikan bahagian kedua. PM dalam kenyataannya menyebut angka RM400 juta lebih. Mengapa Azalina dan Najib menafikan angka tersebut sedangkan PM dengan selamba menyebutnya?

Syukur pusat sukan tersebut tidak dapat dibina. Sekurang-kurangnya tidaklah dibazirkan wang negara untuk projek yang tidak membawa manfaat dalam keadaan ekonomi rakyat terhimpit dan tersepit ini. (Hari ini sahaja telah diumumkan bahawa kadar inflasi masih diparas 3.9% iaitu antara yang tertinggi untuk negara).

Tetapi mengapa angkanya mahu disorok-sorok dan diselindung-selindung. Episod ini membuktikan betapa tidak telus dan terbukanya kerajaan kita, malah para menteri sanggup berbohong dalam isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara..

Kaya sungguh perairan kita dengan siakap, senohong, gelama dan ikan duri nampaknya!

No comments: