Friday, July 21, 2006

Budaya kurang ajar dan biadap menular di kampus tempatan

Apabila kelompok yang besar bersikap berani terhadap kumpulan yang kecil (termasuk perempuan pula tu), tiada istilah lain yang sesuai diberikan kepada kumpulan yang besar itu melainkan BIADAP serta BULLY yang bacul dan penakut sebenarnya, kerana hanya berani dan berkokok apabila bilangan mereka besar.



Terusik sungguh fikiran saya pagi ini apabila menonton sikap biadap dan kurang ajar sekumpulan 50 pelajar UPM dari kelompok pro aspirasi yang telah bertindak menganggu, mengugut, memaki hamun dan mengancam sekumpulan kecil siswa dari kumpulan Students Progressive Front (SPF) kerana kurang senang dengan tindakan pelajar-pelajar berkenaan yang telah mendirikan kaunter untuk membantu pelajar-pelajar baru di salah sebuah kantin di UPM. Klip video itu boleh ditonton di http://www.merdekareview.com/

Siswa SPF yang berbangsa Cina itu jelas kelihatan dalam ketakutan walaupun salah seorang dari mereka cuba untuk mententeramkan keadaan namun telah ditolak dan disorak dalam keadaan yang sungguh memalukan dan tidak langsung mencerminkan budaya pelajar yang kita sangka dapat dilahirkan menerusi pendidikan tinggi di Menara Gading, apa lagi budaya Melayu Islam.



Menurut akhabr THE SUN siswa SPF yang terlibat sekitar 7 orang. Menurut jurucakap mereka kehadiran SPF di kantin itu hanyalah sekadar untuk mendirikan kaunter bagi membantu pelajar-pelajar baru di kampus berkenaan. Tiba-tiba sekumpulan 50 orang pelajar yang diketuai oleh seorang pemimpin majlis perwakilan pelajar dari kumpulan pro aspirasi telah menyerang mereka, lalu berlakulah kejadian tolak-menolak, sorak-menyorak dan memaki hamun. Kumpulan pengganas kampus itu telah merampas kerusi meja yang digunakan serta risalah-risalah yang disediakan oleh SPF.

Mereka mendakwa SPF bukannya sebuah pertubuhan berdaftar dan telah bertindak menganggu ketenteraman pelajar di situ. Anehnya pihak keselamatan UPM yang hadir tidak mampu melakukan apa-apa malah kelihatan seolah menyebelahi pihak pengganas itu.



Akhbar THE SUN melaporkan bahawa Ketua Polis Daerah Subang Jaya mengakui yang pihak polis telah menerima sebanyak 5 laporan Polis. Lebih aneh lagi pihak polis menyatakan kejadian berpunca dari salah faham dan selain dari insiden tolak-menolak tidak ada kejadian yang lebih serius dari itu (saya harap pihak polis mengambil inisiatif menonton video ini).

Mengapa budaya biadap dan kurang ajar seperti ini boleh dilahirkan oleh anak-anak Melayu yang berpendidikan tinggi? Tidakkah sepatutnya semakin berilmu mereka maka akan semakin beradab dan berhemah pendekatan dan perlakuan mereka?

Mana pergi sikap perundingan dan musyawarah? Apakah budaya Israel (maaf akalu dirasakan kasar) yang membelasah dan menyerang tanpa perundingan dan belas kasihan itu telah menyerap ke dalam fikiran anak-anak muda kita (yang berpelajaran pula tu).

Inikah jenis jenerasi yang mahu dilahirkan sebagai pemimpin masa depan negara?

Saya bimbang melihatkan perkembangan ini, apa akan jadi kepada negara apabila anak-anak muda ini terbit keluar dari kampus nanti.

Sementara itu saya mengharapkan agar pihak polis, pihak berkuasa UPM menyiasat insiden yang biadap dan memalukan ini. Jangan biarkan mereka yang bersalah blos dan lolos tanpa diambil tindakan.

Akhirnya bagi saya kejadian ini sebenarnya suatu EYE OPENER bagi semua pihak. Dahulu ketika group pro Islam menguasai kampus, macam-macam tohmahan dilemparkan kononnya ekstremis, pro politik PAS dan macam-macam. Sekarang bagaimana? Dulu sekurang-kurangnya tidak pula kita mendengar siswa menggugut dan memaki hamun siswa lain seperti hari ini!

No comments: