Friday, July 21, 2006

Benarkah ROADSHOW Umno WELL RECEIVED?

Ahli Majlis Tertingi Umno yang juga Menteri Luar Syed Hamid Albar memaklumkan akhbar THE STAR hari ini bahawa majlis roadshow beliau ke Umno Selangor pada 12 Julai lalu sebenarnya berhasil dan telah diterima baik.

Majlis roadshow ini merupakan sebahagian dari siri-siri majlis penerangan yang telah dirancang oleh MT Umno bagi menjelaskan kepada negeri-negeri darihal isu-isu dan kritikan yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir terhadap kerajaan.

Menurut Syed Hamid terdapat laman-laman web di internet yang mendakwa bahawa beliau telah di BOO oleh para perwakilan Umno Selangor yang hadir dan ini beliau nafikan sekeras-kerasnya. Kata beliau:

My visit to Selangor was very well-received and I had good interaction.

Saya sendiri tidak pasti laman web manakah yang mendakwa Syed Hamid di BOO. Tetapi yang saya pasti beliau diserang bertubi-tubi semasa sessi soal jawab. Seorang Ketua Umno bahagian dilaporkan telah tidak berpuas hati dengan penjelasan beliau darihal isu jambatan bengkok dan memberi amaran tidak akan mencalonkannya jika bertanding jawatan Majlis Tertinggi pada pemilihan akan datang.

Bermakna bukanlah WELL RECEIVED. Adalah juga ketegangan dan tidak puas hati.

Malah dalam majlis penerangan peringkat Umno Wilayah di Hotel Nikko pada 18 Julai lepas majlis menjadi semakin tegang. Mungkin berpandukan pengalaman Syed Hamid di Selangor, pengerusi majlis pada malam tersebut menyatakan oleh kerana majlis penerangan telah berjalan hingga jam 11 malam maka beliau berhasrat menamatkan sahaja majlis tanpa soal jawab.

Tindakan pengerusi itu telah mencetuskan ketegangan sehingga pengundian terpaksa dibuat untuk menetukan samada majlis soal-jawab akan berjalan atau tidak. Akhirnya majoriti mengundi untuk meneruskan soal-jawab.

Agendadaily melaporkan:

Seorang ahli UMNO Bahagian Titiwangsa yang pertama bangun berkata dia tidak faham mengapa beberapa hari sebelum Perdana Menteri mengumumkan pembatalan projek jambatan itu gambaran yang diberi oleh semua para pemimpin projek itu akan diteruskan tanpa mempedulikan kata Singapura.

Katanya dia sendiri tertanya mengapa mendadak TERBALIK tiba-tiba.
Soalan ini disambut dengan pekik sorak kalangan hadirin.

Seorang ahli UMNO dari Lembah Pantai yang bangun kemudian juga bercakap dengan nada yang sama dan mempersoalkan mengapa tiada isu implikasi undang-undang serius berbangkit sebelumnya.


Malah katanya dari keratan akhbar yang ada ditangannya hal ini ditegaskan sendiri oleh Perdana Menteri dan disokong oleh Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar yang juga seorang peguam.

Hal New Straits Times juga berbangkit.Dia antara lain mendakwa laporan-laporan akhbar menjadi punca Dr Mahathir terus bertelagah dengan Abdullah. Dia mendesak supaya hal NST ini dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. Selain itu dia turut mempersoalkan tentang penguasaan ECM Libra keatas Avenue Capital.

Ternyata majlis penerangan MT Umno itu tidak menerima reaksi yang baik sebagaimana digambarkan oleh Syed Hamid itu. Saya menerima laporan semasa Muhyiddin Yassin menyampaikan taklimat kepada Umno Perak, beberapa ahli perwakilan telah bertindak keluar dewan.

Kalau ahli-ahli Umno diperingkat bahagian pun tidak berpuas-hati dengan penjelasan MT pimpinan Dollah Badawi, bayangkan bagaimana agaknya reaksi ahli-ahli biasa di peringkat akar umbi? Ternyata kemelut Tun Dr M vs Pak Lah ini merupakan duri besar yang tertunjam bisa ke dalam tubuh Umno. Boleh menjadi parah boleh mengakibatkan lumpuh boleh juga barangkali mematikan. Rawatlah sebelum parah, pangillah mana-mana doktor atau bomoh pakar sebelum terlambat.

No comments: