Islam ditangan hakim yang jahil
Isu di hadapan Mahkamah Persekutuan semalam adalah samada Peraturan-Peraturan Sekolah 1997 yang melarang pemakaian serban oleh pelajar sebagai sebahagian pakaian seragam sekolah, melanggar atau tidak Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Kes ini melibatkan rayuan 3 orang murid sekolah yang sebelum ini menuntut bahawa tindakan guru besar SK FELDA Serting Negeri Sembilan memecat mereka dari sekolah pada tahun 1997 kerana enggan menanggalkan serban diwaktu sekolah sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dalam bab kebebasan mengamalkan agama masing-masing.
Saya dapat bersetuju bahawa Peraturan-peraturtan Sekolah 1997 itu mungkin tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan tambahan sekolah berkenaan memaklumkan bahawa murid-murid tersebut cuma dilarang berserban diwaktu sekolah tetapi dibenarkan berserban di surau dan di luar waktu sekolah. Mungkin dalam hal ini dengan mengambil kira suasana ataupun enviromen sekolah kebangsaan, tepatlah tindakan guru besar itu.
Barangkali sebagaimana dimaklumkan mahkamah, bapa para pelajar berkenaan sepatutunya menghantar anak-anak mereka itu ke sekolah-sekolah agama atau pengajian pondok dimana suasana ataupun enviromen pendidikannya berbeza.
Bagi saya setakat ini sekolah-sekolah kebangsaan sudah pun agak terbuka dalam bab amalan Islam ini khasnya dalam pakaian seragam sekolah (lelaki berseluar panjang dan perempuan dibenarkan bertudung) berbanding awal tahun 70an dahulu dan waktu sebelumnya dimana ianya bukan merupakan sebahagian dari pakaian seragam sekolah. Begitu juga murid-murid sekolah kebangsaan diizinkan solat Jumaat di Masjid berhampiran (khasnya bagi sessi petang) dan didirikan surau dan diberikan keizinan untuk mereka solat zohor dan asar di sekolah.
Jadi saya dapat bersetuju dalam amalan berserban ini mungkin ianya tidak dapat diberikan kelonggaran oleh sekolah-sekolah kebangsaan.
Namun demikian apa yang saya keciwa terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan semalam adalah beberapa aspek hujah penghakiman yang saya kira longgar dan tidak tepat khasnya yang membabitkan permasalahan hokum dan amalannya.
Saya keciwa bagaimana hakim yang beragama Islam dapat berhujah mengikut logik akal dalam bab yang melibatkan permasalahan hukum Islam. Dan dalam hal ini saya kira hujah yang digunakan oleh hakim berkenaan kalau pun bermaksud mengukuhkan pandangannya sebenarnya telah menghina Islam dan Rasulullah saw.
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abd Hamid Mohamad dalam penghakimannya semalam yang telah dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah menyebut antara lain (NST):
I accept that the Prophet wore a turban. But he also rode a camel, built his house and mosque with clay walls and a roof of leaves of date palms, and brushed his teeth with the twig of a plant.
Does that make riding a camel a more pious deed than travelling in an aeroplane? Is it preferable to build houses and mosques using the same materials used by the Prophet and the same architecture adopted by him during his time
Dan laporan dalam UTUSAN berbunyi:
Saya tahu bahawa Rasulullah memakai serban.
Tetapi baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi.
Adakah itu bermakna bahawa menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang?
Wajarkah dipilih bahan dan cara serupa yang digunakan oleh Rasulullah untuk membina rumah dan masjid seperti di zaman baginda?
Beliau berhujah lagi (THE STAR):
The pagan Arabs wore turbans and kept beards. It was quite natural for the Prophet, born into the community and growing up in it, to do the same.
Dan laporan UTUSAN berbunyi:
Arab jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah yang lahir dan membesar dalam masyarakat itu, berbuat demikian
Saya sendiri tidak memiliki AUTHORITY untuk berhujah bab ini cuma sebagai seorang Muslim saya dididik bahawa SUNNAH dalam Islam bermaksud segala perkataan, perbuatan dan keizinan (Af'al, Aqwal, dan Taqrir) Rasulullah saw.
Kebetulan Rasulullah saw adalah seorang berbangsa Arab dan hidup kira-kira 1400 tahun dahulu namun itu tidak menjadikan segala SUNNAH nya sebagai ARCHAIC atau kuno ataupun ketinggalan zaman. Soal samada kita mampu menurutinya ataupun tidak itu soal kedua, tetapi jangan sekali-kali kita menghina, mencabar atau mempertikaikannya.
Kalau kita mahu APPLY logik akal semata-mata mengapa kita tidak pertikaikan al Quran itu sendiri yang sehingga hari ini kita yang berbangsa Melayu ini membaca dalam bahasa Arab hatta dalam solat dan doa-doa kita? Mengapa tak kita Melayu atau Inggeris kan sahaja termasuklah laungan azan?
Saya percaya hakim berkenaan bila tiba bulan Ramadhan akan turut membeli buah kurma dan berbuka dimulakan dengan memakan kurma. Mengapa tidak telan rambutan atau durian sahaja?
Kita mungkin tidak bersetuju yang serban itu menjadi pakaian di sekolah-sekolah kebangsaan sebagai sebahagian dari pakaian seragam (walaupun kita tidak mempertikaikan serban anak-anak Sikh, samada ia wajib ataupun sunat menurut agama mereka, kerana Karam Singh Walia tak pun gunakan serban semasa keluar TV), dan mungkin juga tidak bersetuju tentang kanak-kanak sekolah kebangsaan yang berjanggut. Walaubagaimanapun jangan sampai kita menyatakan serban dan janggut itu sekadar kebetulan amalan Rasulullah kerana ianya amalan penduduk Arab dizamannya.
Disinilah bahayanya apabila logik akal semata-mata digunakan untuk berhujah dalam bab agama. Bayangkan bagaimana persepsi masyarakat bukan Islam apabila membaca keputusan ini. Malah akhbar THE STAR dengan bangga meletakkan tajuk akhbarnya hari ini:
Islam is not about turban and beard
Saya rasa hakim berkenaan perlu diberikan kaunseling oleh pihak berkuasa agama. Kalau ternyata beliau jahil berkenaan Islam sewajarnya samada JAKIM, JAWI, Pejabat Mufti atau sesiapa sahaja yang kasih dan bersedia mempertahankan Islam perlu bangun dan mengambil inisiatif memberikan penerangan dan tarbiyah kepada hakim ini dan mereka yang seumpama beliau yang duduk ditahap membuat keputusan seumpama ini.
Jangan dibiarkan dan jangan dipandang kecil perkara ini. Kemudian hari saya percaya akan banyak lagi kes-kes yang melibatkan amalan dan kepercayaan Islam dibawa untuk pengadilan. Kalau beginilah pemahaman hakim-hakim berkenaan Islam, niscaya gelaplah masadepan Islam dalam negara ini.
No comments:
Post a Comment