Tuesday, July 18, 2006

Pemuda PAS dan Umno tentang Kumpulan Artikel 11

Dari segi tradisinya PAS dan Umno adalah merupakan musuh politik sejak sebelum negara merdeka lagi. Masing-masing berpegang kepada dasar dan pendekatan perjuangan yang berbeza.



Namun kedua-dua buah parti ini dianggotai rata-rata oleh orang-orang Melayu yang beragama Islam. Oleh itu suka tak suka di sana samada disedari atau tidak pasti akan ada titik pertemuan dan persamaan.

Malahan dari segi pertalian darah kita lihat lantaran berasal dari satu rumpun pasti akan ada orang-orang PAS dan Umno yang mempunyai kaitan darah dan keturunan. Abangnya PAS adiknya Umno atau sebaliknya. Sehinggakan isteri Umno dan suaminya PAS pun ada.

Lalu apabila akhbar THE SUN hari ini melaporkan yang kedua-dua Pergerakkan Pemuda Umno dan Dewan Pemuda PAS Johor membantah penganjuran forum oleh Kumpulan Artikel 11 yang dijadual diadakan di JB pada hari Sabtu ini, ianya tidak menghairankan.

Kumpulan Artikel 11 yang mempelopori liberalisma dan pluralisma dalam beragama ini dijadualkan menganjurkan forum yang akan disertai anatara lain oleh Shad Faruqi dan Malik Imtiaz Sarwar dijangka membincangkan tajuk PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN: PERLINDUNGAN UNTUK SEMUA.

Menurut Khalid Mohammad Ketua Pemuda Umno Johor bantahan dibuat oleh kerana adalah dipercayai perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam forum itu kelak akan melibatkan isu-isu sensitif khasnya yang melibatkan Islam yang jika tidak dihalang akan pasti mencetuskan huru-hara.

Manakala menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Johor, Pemuda PAS akan membuat laporan polis dan juga laporan kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) agar majlis itu nanti dibatalkan dan penyiasatan dibuat terhadap penganjurnya.

Jelas kumpulan ini bertegas mahu meneruskan agenda mereka walaupun ditentang oleh masyarakat Islam.

Besar kemungkinan kumpulan ini akan menganggap tentangan dari parti-parti politik ini sebagai menyekat hak kebebasan mereka. Dalam hal ini kerajaan perlu bertegas dengan menyatakan adakah majlis-majlis forum yang membincangkan isu Islam sempama ini dengan maksud mahu memberikan pentafsiran semula Islam dengan menyuntik idea liberalisma dan pluralisme boleh diteruskan ataupun tidak.

Saya kira jika benar kumpulan ini ikhlas dan mahu mencari penyelesaian mereka sepatutnya mengambil inisiatif untuk duduk dan berbincang dengan pakar-pakar agama. Dengan menjaja dan menaja individu seperti Shad dan Malik yang tidak memiliki AUTHORITY tentang Islam (walaupun mereka mungkin penganut Islam) hanyalah akan mencetuskan seribu-satu kekeliruan dan kekusutan.

Syabas Pemuda PAS dan Umno.

Mungkin selepas ini satu lagi titik persamaan boleh diteroka. Mungkin mereka boleh pula bersama-sama berarak ke Kedutaan AS bagi menuntut AS agar jangan memberikan sokongan dan bantuan kepada Regim Haram Israel yang pada saat ini sedang teruk melanyak dan membunuh umat Islam di Palestin dan Lubnan.

Biar umat Islam di Palestin dan Lubnan melihat sokongan secara terbuka Pemuda-pemuda Islam di Malaysia yang sanggup berarak menyatakan sokongan terbuka mereka
Kepada rakyat kedua-dua buah negara itu.

No comments: