Wednesday, October 31, 2007

Kemesraan Dollah dan Tok Guru menjadi bualan

Pagi tadi semasa bersiap-sedia di rumah, TV seperti biasa dibuka dengan siaran MHI TV3. Celoteh dua orang pengacaranya tiba-tiba menarik perhatian saya apabila mereka melayan panggilan telefon dari seorang yang mengenalkan dirinya sebagai Rahmat dari Pontian, Johor. Isu yang dibincangakan pagi tadi adalah berkenaan bajet peribadi selepas Hari Raya tetapi pemanggil telah menyimpang dari tajuk perbincangan apabila beliau tiba-tiba mengulas Majlis Pelancaran ECER semalam yang menyaksikan kemesraan antara PM Dollah Badawi dan MB Kelantan Tok Guru Nik Abdul Aziz.



Gambar Agendadaily



Beliau berkata: Saya mengharapkan menesraan itu berkekalan dan juga menyebut betapa senangnya beliau melihat kedua pemimpin itu kelihatan begitu mesra sekali.

Malah hari ini dalam akhbar The Star, Joceline Tan dalam ruangannya Comment, turut menulis atas isu yang sama dengan tajuk:

Burying the hatchet

Joceline menulis:

It was one of those rare moments in Kelantan politics, the sight of two leaders from rival parties exchanging sunny smiles and warm handshakes and walking hand in hand.

Ianya salah satu babak yang jarang disaksikan dalam politik Kelantan, betapa dua orang pimpinan parti yang berseteru dilihat tersenyum mesra, bersalaman mesra dan berjalan berpegangan tangan.

Joceline menulis lagi:

What made it all more unique was that this had happened in a state where the Umno-PAS rivalry runs deepest and where almost everything has a politcal context.

Apa yang lebih unik bahawa, peristiwa ini berlaku dalam sebuah negeri dimana pertembungan Umno dan PAS begitu hebat sehingga hampir semua perkara yang berlaku memiliki maksud politiknya tersendiri.

Saya sendiri menerima banyak SMS, panggilan telefon dan email berupa suara dari rakyat di luar sana yang mungkin bukan orang kanan atau orang yang berkedudukan dalam mana-mana parti, tetapi sebagaimana En Rahmat dalam rancangan MHI di atas turut berasa senang hati dan gembira melihat kemesraan dua orang pemimpin parti politik tertua dalam negara ini.

Tanpa sebarang prejudis, saya percaya rekasi rakyat sedemikian menandakan betapa mereka ingin sangat melihat kemesraan ini terus terjalin entah dalam apa bentuk sekalipun. Mungkin rakyat terlalu hormat dan sayang pada kedua-dua pemimpin ini dan mahu mereka berdua sentiasa begini dan tidak berbalah yang hanya menggusarkan hati dan perasaan rakyat.

Itu persepsi rakyat, dan itu sesuatu yang perlu kita terima dan akui.

Malah Tok Guru Nik Aziz sendiri di dalam ucapannya mengakui betapa bermaknanya pertemuan sepentas beliau dengan Dollah sehingga berkata:

Mudah-mudahan langkah penyatuan pentas ini akan memulakan jalur-jalur gemilang yang sungguh-sungguh sebagai ganti kepada jalur-jalur hitam selama 17 tahun sebelum ini.

Dan Dollah sendiri pula dama majlis yang sama berkata:

Saya memutuskan yang saya adalah PM untuk semua negeri-negeri termasuk Kelantan. Saya merasakan tidak ada sebab mengapa Kelantan mesti disisihkan atas sebab perbezaan politik. Saya tidak toleh ke belakang dan mengambil cerita-cerita dahulu yang pernah berlaku. Biarlah kita pandang ke hadapan kalau ingin bekerjasama, kita bekerjasama atas keikhlasan tanpa sesiap perlu mengungkit.

gambar Kickdefella

Saya turut percaya kedua-dua pemimpin besar ini memikirkan semua sudut terutamanya kepentingan agama, bangsa dan negara walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa terdapat beberapa perenggan teks ucapan Tok Guru yang agak keras. Semoga pertemuan dan kemesraan ini akan membuahkan sesuatu yang menghasilkan manfaat di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat, insyallah.

Tuesday, October 30, 2007

Permulaan ke arah perubahan yang lebih besar

Terdapat dua ucapan yang disampaikan oleh dua tokoh besar dalam dua majlis yang berbeza semalam yang telah menarik perhatian saya.

Pertama adalah ucapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ketika meresmikan Persidangan Perundangan Malaysia ke 14 ( 14th Malaysian Law Conference) anjuran Majlis Peguam Malaysia di Kuala Lumpur semalam. Dan yang kedua adalah ucapan MB Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam majlis pelancaran Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kota Bharu juga semalam.

Sultan Perak bertitah ketika negara sedang menyaksikan kewibawaan badan kehakiman mula dipertikaikan kembali oleh rakyat. Pendedahan video kontroversi VK Lingam, yang memaparkan betapa badan yang dipandang tinggi itu boleh dijual-beli dan ditawar-menawar sungguh mengaib dan mendukacitakan. Rakyat mula tertanya-tanya kembali, benarkah hakim-hakim boleh dijual beli, tunduk di bawah telunjuk badan eksekutif dan tidak lagi bebas malah tercemar dengan rasuah?

Sultan Azlan mengakui yang sejak kebelakangna ini badan terdapat perkembangan yang tidak menyenangkan yang melibatkan badan kehakiman, yang telah didedahkan pihak media. Titah Sultan Azlan:

Badan kehakiman hilang nilai dan gunanya kepada masyarakat apabila rakyat tidak lagi yakin pada keputusan-keputusannya. Kualiti utama yang perlu dimiliki oleh badan ini adalah kebebasannya.

Dalam video VK Lingam itu kita dapat melihat betapa tokoh korporat dan politik dilibatkan dalam menentukan kedudukan dan perlantikan para hakim. Titah Sultan Azlan lagi:

Pada hari ini para hakim perlu berhati-hati kerana punca terhakisnya kebebasan mereka boleh datang dari pelbagai penjuru tidak hanya dari badan eksekutif. Kerana itu para hakim mesti memiliki daya ketahanan, menjauhkan diri dilihat terlibat secara sosial dengan tokoh-tokoh perniagaan dan mereka-mereka yang mempunyai hubungan dengan orang atasan.

Tambah Sultan Azlan lagi badan kehakiman kita pernah dipandang tinggi dan keputusan-keputusannya pernah menjadi rujukan negara-negara yang mengamalkan common law.
Jelas Sultan Perak bercakap bukan sekadar sebagai seorang Sultan tetapi juga sebagai seorang bekas Ketua Hakim Negara yang pernah menabur banyak jasa dibidang kehakiman negara sebelum dilantik menjadi Sultan. Pemerhatian dan teguran Tuanku itu perlu diambil perhatian, dan mana-mana pihak yang diberi tanggungjawab perlu meleraikan kekusutan yang melanda institusi penting dalam sistem demokrasi berparlimen negara kita yang merdeka ini.

Sementara itu jauh di Kota Bharu lain pula kisahnya. Di sana buat pertama kali dalam sejarah 17 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru MB Kelantan diberikan kesempatan hadir dan berucap dalam majlis yang turut dihadiri PM Malaysia. Ianya pasti suatu majlis yang bersejarah dan khasnya bermakna buat rakyat di Negeri Serambi Mekah itu.
Tok Guru dalam meraikan kehadiran PM dan MB-MB Terengganu, Pahang dan Johor menegaskan dengan penuh makna bahawa pelancaran ECER ini menguji keikhlasan kedua-dua pihak (Pusat dan Negeri) dalam berkongsi anugerah Allah swt. Dalam kesediaan untuk berkerja bersama itu Tok Guru mencelah:
Tanpa pertukaran apa-apa, pelan yang bakal dilancar dan dilaksanakan nanti tidak memerlukan apa-apa perubahan nakhoda. Kapal boleh belayar dengan matlamat yang tidak berganjak yakni memakmurkan bumi Allah dengan segala ikhtiar yang tidak menyalahi syariat Illahi.
Dalam erti kata lain, demi mencapai maksud pelan ini, maka segala perbezaan politik seharusnya diketepikan, dan masing-masing memaparkan keiikhlasan dan kesungguhan tanpa mana-mana pihak mengambil kesempatan politik untuk menjadi juara atau menjadikan pelan ini sebagai umpan politik kepada rakyat.
Dan Tok Guru mengambil kesempatan memberikan pesan:
Mari kita cuba menjadi lebih ikhlas dengan cuba sama-sama memperbetulkan keadaan, memikul amanah agama demi memulihkan manusia untuk kembali kepada nilai-nilai fitrah keinsanan sejati selaras dengan prinsip asal ubudiyyah sejak asal kita semua dijadikan.

Begitulah yang diharapkan. Mudah-mudahan kerjasama ikhlas dan jujur kedua-dua pihak dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri Kelantan tanpa mengira fahaman dan perbezaan politik.


Itulah dua ucapan yang bagi saya membayangkan sesuatu yang lebih besar dan bermakna bakal melanda rakyat dan negara ini sekiranya kita masing-masing bersedia dan berusaha untuk bangkit membuat perubahan. Ayuh kita kembali kepada kebenaran. Ayuh kita robohkan sebarang kejahatan dan syak wasangka sesama kita. Ayuh kita pulihkan negara dari sebarang penyelewengan dan kerja-kerja jahat yang mahu meruntuhkan kewibawaan negara yang kita kasihi ini.

Monday, October 29, 2007

Perhimpunan Umno: Jangan sampai mengguris hati orang

Semasa saya diberi kesempatan menemuramah YBM Tengku Razaleigh Hamzah untuk WTV8 tahun lepas sejurus Perhimpunan Agung Umno, masih saya ingat ketika itu kami membincangkan darihal kegagalan perhimpunan parti tersebut untuk membangkit dan membincangkan isu-isu nasib dan masa depan Melayu. Sebaliknya perhimpunan tahun itu lebih tertumpu kepada isu-isu menjulang dan memuji pemimpin.

Isu bahasa ketika itu hangat diperkatakan, tuntutan agar pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris kembali diajar dalam Bahasa Melayu dibuat dan dibahasakan oleh ahli-ahli akademik, intelektual dan NGO Melayu. Namun ia tidak mendapat te,pat dalam perhimpunan Umno, malah ia berlalu begitu sahaja tanpa diberi perhatian.

Semalam Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengingatkan para perwakilan pemuda agar tidak membangkitkan dan menyentuh perkara yang berkaitan dengan sensitiviti kaum. Kata beliau jangan keterlaluan kerana kita pun kena memahami sensitiviti kaum yang lain, jangan sehingga mengguris hati mereka.

Tetapi jika sesuatu isu itu mendesak, penting berkaitan nasib dan masa depan Melayu mengapa tidak? Jika pun ia sensitif mengapa Umno sebagai kononnya parti Melayu terbesar dalam negara tidak mahu membincangkannya? Kalau Umno tidak mahu membangkitkan dan membincangkan isu-isu Melayu kerana takut mengguris hati orang lain, jadi pada siapa lagi mahu diharapkan?

Mungkin sudah sampai waktunya bagi orang-orang Melayu menyemak semula relevan ataupun tidaknya Umno sebagai sebuah parti atau wadah mewakili orang-orang Melayu, kerana nampaknya mereka sudah lesu dan tidak bertenaga lagi.

Isu bahasa tidak selesai, isu orang Melayu yang merempat diperumahan setinggan tanpa pembelaan tidak selesai, isu gejala sosial dikalangan remaja Melayu tidak selesai, isu murtad yang mencabar kewibawaan agama Islam tidak selesai, isu orang Melayu yang keciciran dalam bidang ekonomi tidak selesai, semuanya sensitif belaka, takkanlah Umno mahu tunggu MCA dan Gerakan beri lampu hijau baru boleh dibincangkan?

Kita bukannya mahu Umno bagaikan budak separuh tiang, menjulang keris menakut-nakutkan bangsa lai. Kita mahu melihat mereka benar-benar menepati prinsip perjuangan mereka kononnya mahu membela agama, bangsa dan negara. Jika mereka sudah mula takut-takut, sudah mula sejuk dan berseronok dengan apa yang ada, maka sudah sampailah masanya kita melepaskan sahaja mereka dengan mencari kelompok parti lain yang lebih mampu dan bertenaga.

Katakan: Selamat jalan Umno!
Bukti pentadbiran yang kalut

Hujung minggu lepas kita dikejutkan dengan berita kematian 2 orang anggota polis dengan 2 lagi cedera parah dalam satu serbuan anti dadah di Kg Desa Aman, Sg Buloh. Mereka dikatakan ditembak ketika berada diperkarangan rumah yang disyaki menjadi pusat operasi dadah. Tembakan tersebut datangnya dari dua buah kenderaan yang dikatakan menghampiri rumah tersebut dalam keadaan anggota berkenaan masih berada di luar rumah.

Serbuan terhadap kilang atau pusat pengedaran dadah merupakan sesuatu yang biasa kita baca. Anggota polis berbalas-balas tembakan dengan penjenayah juga sesuatu yang biasa. Tetapi insiden kali telah ini menjadi luar biasa dan lain dari yang lain-lain. Selain kerana ia gagal memberkas penjenayah yang disyaki dan diserang pula sebagaimana yang dinyatakan, ia turut menjadi luar biasa kerana ia telah meletuskan reaksi dari banyak pihak dari Ketua Polis Negara hinggalah Timbalan Menteri Kesalamatan Dalam Negeri terus sehingga ke Perdana Menteri.

Dalam keadaan mayat dua anggoya belum lagi dituntut, dan nasib dua orang pegawai cedera tidak diketahui, kita dipaparkan dengan kenyataan yang berbagai-bagai sehingga saya percaya timbul kemusyikalan dan berbagai syak-wasangka dikalangan mereka yang mengikuti dengan dekat kes ini. Ketua Polis Negara seolah tidak pasti akan operasi ini sehingga mengarahkan agar satu penyiasatan dilakukan samada pegawai yang terbabit merupakan sebahagian dari task force yang terlibat dalam operasi anti dadah. Menurutnya kelazimannya task force seperti ini membabitkan anggota dari berabagai unti dan jabatan danb beliau juga mahu tahu siapakah pegawai yang bertanggungjawab menguruskannya.

Apabila Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan demikian, seolah membayangkan operasi ini tidak diketahui atau dimaklumi oleh pihak atasan.

Kemudia kita mendengar pula kenyataan dari Johari Baharom Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri bahawa alat pengesan senjayapi atau scanning machine di Bukit Kayu Hitam yang dikenadalikan oleh pihak polis telah hampir sebulan tidak beroperasi kerana rosak. Kerana itu beliau menyatakan banyak berlaku insiden penyeludupan senjatapi dari negara jiran.

Masalahnya jika rosak, mengapa alat yang kritikal dan perlu seperti itu dibiarkan tyerus rosak tanpa dipulihkan atau diganti baru? Kalau benar berlaku penyeludupan senjatapi angkara kerosakan mesin tersebut, maka ramai pihak perlu dipertanggungjawabkan! Berapalah sangat kos mensin itu hatta jutaan sekalipun berbanding dengan nyawa dan keselamatan rakyat!

Dan yang lebih kalut lagi apabila Peerdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Dollah Badawi pun turut bersuara dan mengulas berkenaan kes ini. Kata beliau cara serbuan ini dilakukan tidak betul (sejak bila pula Dollah menerima latihan untuk tahu samada betul atau tidak cara dan kaedah serbuan seperti ini?) Beliau berkata sepatutnya rumah itu dikepung terlebih dahulu, mungkin tidak ada pegawai yang sempat memberikan talkimat kepada Dollah bahwa tembakan yang membunuh dan mencederakan anggota berkenaan bukannya datang dari dalam rumah tetapi dari luar, melalui dua kenderaan yang sedang bergerak!

Dollah juga mempertikaikan prosedur yang diikuti oleh anggota berkenaan dalam menjalankan operasi ini, sepatutnya Dollah mengarahkan kemarahan beliau kepada pihak polis terutama Ketua Polis Negara sendiri yang duduk di bawah portfolio kementerian beliau sendiri!
Timbul kes baju kalis peluru, akhbar hari ini menyebut beliau meluluskan serta-merta peruntukkan R150 juta untuk menambah kelengkapan polis ekoran kejadian ini. Duit sebanyak itu untuk beli jaket kalis peluru dan berbagai lagi yang perlu. Soalnya apakah tidak ada research and planning di Kementerian Dollah? Bagaimana Dollah menguruskan kementeriannya atau memang tak terurus?

Sekali lagi kita berhadapan dengan POLITIK DAH TERANTUK BARU TENGADAH. Dah mati dua orang anggota dan cedera parah dua yang lain baru mahu kita fikirkan tentang tambahan jaket kalis peluru, baru kita tersedar kononnya senjatapi yang digunakan anggota kita telah ketinggalan zaman.

Saya percaya menteri-menteri lain pun menggeleng kepala tergelak besar melihat cara bagaimana boss mereka mengendalikan kementeriannya sendiri. Malaysia Boleh!

Friday, October 26, 2007



Jumpa anda semua di sana nanti.
Umno takut dengan bayang-bayang sendiri

Tahun lepas Perhimpunan Agung Umno telah disiarkan secara langsung atas ikhsan Astro. Jika sebelum ini cuma ucapan dasar dan ucapan penggulungan Presiden sahaja yang disiarkan secara langsung oleh radio dan tv, tahun lepas mereka telah maju setapak lagi.

Cuma masalahnya apabila ianya disiarkan sedemikian maka akan tersingkap dan terselaklah apa sahaja yang dibincang dan dibahasakan dalam persidangan parti Melayu yang terbesar dalam negara itu. Ianya bukan rahsia lagi bahawa dalam perhimpunan Umnolah masing-masing perwakilan yang dipilih untuk bercakap akan mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri dengan harapan ia akan dikenali oleh pucuk pimpinan tertinggi parti. Ucapan yang lembik dan lemah tidak ada nilai dan daya tarikkan, apa yang perlu adalah ucapan yang berapi, kalau perlu diselit dengan jenaka dan penuh dengan unsur-unsur perkauman Melayu. Samada ianya ada kualiti atau hujahnya bernas tidak penting.

Maka seluruh rakyat Malaysia telah melihat gelagat perwakilan Umno dalam perhimpunan tahun lepas. Isitlah-istilah perkauman dan yang tidak sedap didengar termasuk yang berbau lucah tersembut keluar dari mulut juak-juak yang masing-masing mahu dikenali kalau tidak pun dapat jadi calon pilihanraya, sekurang-kurangnya jadi orang kuat, dapat kontrak, bantuan dan sebagainya. Ianya bukan sesuautu yang baru, cuma menjadi baru bagi mereka yang sebelum ini tidak berkesempatan melihat di bawah kain Umno. Itulah Umno!

Saya teringat Allahyarham Azman Attar, bekas Ketua Penerangan Umno Wilayah yang merupakan seorang yang regular diberi peluang bercakap dalam perhimpunan Umno. Ketika itu isu yang hangat adalah kontroversi perkahwinan kedua Mat Taib (yang ketika itu Ketua Perhubungan Umno Selangor) dengan Tengku Puteri Zahariah atau Ku Yah. Azman memang pakar dalam berlawak serta berjenaka secara sinis dan kadangkala lucah. Kata beliau Mat Taib terpaksa berkahwin dengan isteri kedua kerana:

Isteri pertama macam harimau manakala isteri kedua pula hari-hari mau

Maka berdekah-dekahlah gelak ketawa menggamatkan seluruh Dewan Merdeka di PWTC.
(Pernah Azman juga memulakan ucapannya dan apabila menyebut nama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu tak silap sudah Timbalan Presiden Umno, menyebut berulangkali datuk, datuk, datuk. Kata beliau sebab Anwar banyak sangat gelaran Datuk!)

Tiba-tiba dalam akhbar hari ini Setiausaha Agung Umno, Radzi Sheikh Ahmad (yang semasa duduk dalam Semangat 46 dahulu menggelar Umno Baru ini bukannya Umno Baru tetapi Umno Baru-ah (atau Umno baruah)) mengisytiharkan yang perhimpunan agung parti tersebut tidak akan disiarkan secara langsung. Alasannya:

Mungkin disebabkan kekecohan yang berlaku pada tahun lepas yang mengundang kecamandaripada pemimpin-pemimpin komponan BN menyebabkan keputusan ini dibuat.

Menurut Utusan ucapan para perwakilan yang disiarkan secara langsung tahun lalu ada yang dikira emosional. Ucapan tiga orang perwakilan tahun lalu dikira keterlaluan sehingga dibincang dalam Kabinet dan mereka yang berkenaan dipanggil oleh Jawantankuasa Pengurusan Umno.
Jadi tiadalah peluang tahun ini untuk kita melihat jaguh-jaguh Umno berucap bagaikan ektrimis kaum (sedangkan di luar tidak langsung demikian), kerana tiada lagi siaran langsung. Saya percaya mereka akan teruskan juga perangai buruk mereka itu kerana ia bagaikan sebahagian tradisi Umno, cuma kini ianya dilakukan secara tertutup kecuali disaksikan oleh media (yang sudah dicabul kebebasannya sekian lama itu).

Saya faham dengan keputusan yang dibuat itu kerana bukankah ketika ini menurut para penganalisa politik, sentimen para pengundi bukan Melayu khususnya berbangsa Cina sangat tidak memihak kepada BN lantaran perangai dan sikap pimpinan Umno. Perisitwa Hishamuddin dan anak-anak buahnya menghunuskan keris dalam perhimpuna Pemuda yang lalu sangat membimbangkan mereka. Demikianlah juga idea dan cadangan perkauman yang dilontarkan dalam perhimpunan tahun lepas.

Kalau dilepaskan lagi kali ini, dalam keadaan pilihanraya sudah hampir, pasti jika tidak pun Umno tergugat, rakan-rakannya dalam BN terutama MCA dan gerakan akan menjadi magsa kemarahan pengundi Cina! Lalu begitulah keputsannya, memang rasional dan masuk akal walaupun sebenarnya nampak penakut dan bacul.

Thursday, October 25, 2007

Perhimpunan Agung Umno sempena Deepavali

Pernahkah PAS, DAP atau Parti Keadilan Rakyat atau mana-mana parti sebelum ini termasuklah Umno sendiri, MCA atau MIC mengadakan mesyuarat agung atau perhimpunan tahunan parti mereka pada hari perayaan mana-mana kaum?

Saya bangkitkan hal ini, yang walaupun tidak diambil pusing sangat oleh sesetengah pihak, sebagai membuktikan yang terdapat sesuaut yang pelik dan luar biasa dalam Umno yang dipimpin oleh Presiden bernama Dollah Badawi ini. Perhimpunan Agung Umno tahun in diputuskan akan diadakan dari 7 ke 9 November di PWTC Kuala Lumpur. Sedangkan perayaan Deepavali tahun ini jatuh pada hari Khamis 8 November 2007.

Mengapa Umno bersidang ketika masyarakat India yang beragama Hindu merayakan hari kebesaran mereka?

Salah memang tidak salah, tetapi kita ni kan masyarakat berbilang kaum, sewajarnya adalah hormat-menghormati dan toleransi ditunjukkan apa pula oleh tunjang dan tulang belakang BN sendiri iatu Umno.

Mungkinkah sudah tidak ada pilihan lain? Yang pastinya 2,500 lebih perwakilan Umno dari 190 bahagian pada hari tersebut akan tertumpu pada perhimpunan agung mereka, maka tak sempatlah berhari raya bersama masyarakat Hindu seperti biasa. Saya percaya Samy Vellu akan mengadakan rumah terbukanya disebelah malam, kerana jika dibuat siang akan kosong dan lenganglah Dewan Merdeka, kerana masing-masing nak merasa maruku dan putu mayam Samy!

Apa pun bagi saya penganjuran perhimpunan agung Umno pada Hari Deepavali jelas membuktikan Umno lebih pentingkan masalahnya dari menghormati kaum lain yang kebetulan selama ini antara yang paling ramai mengundi mereka.
1 kes rogol setiap 4 jam di Malaysia

Jawapan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Fu Ah Kiow, di Dewan Rakyat semalam seolah menggambarkan keadaan jenayah dalam negara kita terkawal. Umpamanya beliau berkata indek jenayah di empat buah negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Kuala Lumpur menunjukkan penurunan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan pada tahun 2005, terdapat 9,617 kes ragut, 15,409 kes rompak dan 497 kes bunuh. Tahun 2006, 9,551 kes ragut (turun 66 kes), 21,419 kes rompak (naik 6,010) dan 604 kes bunuh(naik 107).

Lebih membimbangkan lagi adalah kes rogol. Tetapi menurut Timbalan Menteri berkenaan walaupun terdapat 1,206 kes rogol (yang dilaporkan) untuk 7 bulan pertama tahun ini, 86% telah diselesaikan. Saya tidak nampak kes yang diselesaikan itu, yang saya nampak adalah jumlah kes iaitu 1,206 dari Januari ke Julai 2007, bermakna terdapat purata 172 kes rogol sebulan ataupun 5.7 kes sehari di Malaysia ataupun hampir 1 kes rogol setiap 4 jam!

Angka ini ternyata membayangkan betapa tidak selamatnya suasana dalam negara. Dan kita sudah pasti tidak tahu berapa pula bilangan kes rogol yang tidak dilaporkan sama-sekali mungkin kerana malu, takut, diugut dan sebagainya.

Dimanakah silap kita?

Menurut Timbalan Menteri itu lagi punca berlaku kes jenayah termasuk menjadikan wanita sebagai mangsa disebabkan faktor ekonomi seperti pengangguran, penggunaan dadah yang serius,dan kehadiran pekerja asing. Lalu apakah langkah yang telah kita ambil? Apakah usaha kita untuk membentuk dan melahirkan masyarakat yang berkahlak dan bertaqwa?

Saya selitkan disini sebuah artikel dari laman web IKIM bertajuk: ISLAM HADHARI BENTUK MODAL INSAN BERKUALITI karangan salah seorang Fellow di sana:

Konsep Islam Hadhari yang dibawa kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan manusia.

Menerusi gagasan Islam Hadhari sumber manusia ini akan melalui satu skim program pendidikan menyeluruh yang turut merangkumi aspek kerohanian agar insan yang bakal dihasilkan nanti adalah insan yang berkualiti dan dinamik.

Strategi yang diambil kerajaan untuk mencapai kemajuan yang dimulakan dengan daya usaha pembangunan sumber manusia adalah selaras dengan ajaran Islam. Kemakmuran dan kesejahteraan negara banyak begantung kepada penduduknya. Jadi jika setiap orang di negara ini mempunyai kualiti seperti beriman, bertakwa dan berakhlak mulia, tentu ia akan memudahkan proses untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang kehidupan.

Jelasnya konspe pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses untuk membentuk insan yang baik dan berguna. Ia bukan saja kepada dirinya malaha masyarakat, agama dan negara.

Jika manusia mempunyai ciri keperibadian yang digariskan Islam seperti itu, pasti kejayaan akan menjadi kenyataan.

Sememangnya inilah yang dijanjikan oleh Allah dalam firman Nya bermaksud:

Sekiranya penduduk suatu negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan membuka kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah
berkatnya dari langit dan bumi (al Ahzab: 96)


Saya paparkan disini konsep yang dicetuskan oleh PM Dollah Badawi sebagai iktibar kepada kita sejauh manakah keberkesanan langkah dan usaha yang kita ambil untuk membentuk masyarakat Malaysia yangcemerlang. Lihat angka-angka jenayah di atas dan lihat konsep yang cuba diperkenalkan ini.

Rupanya semakin kita maju dan membangun, kadar jenayah seolah bangkit seiringan dengan kemajuan dan pembanguna kita, begitukah sepatutnya?

Di Dewan Rakyat juga Ketua Pembangkang menyarankan kerajaan agar membenteras dan menghapuskan budaya Mat Rempit yang sejak kebelakangan ini semakin berani dan menjadi-jadi. Itu pun satu gejala baru yang jelas kita semakin gagal tangani (walaupun ada usaha satu ketika oleh Putera Umno untuk memuluhkan mereka ini kononnya, nampaknya bilangan mereka semakin menjadi-jadi dengan perangai yang semakin liar dan membahayakan masyarakat).

Dimanakah silap kita? Benarkah PM dan kerajaan seakan gagal membendung dan mengatasi masalah ini?
Syarikat judi membuat kebajikan di Hari Raya

Perkara ini pernah berlaku sebelum ini, kerana itu saya pernah menulis mengharapkan ianya tidak berulang lagi. Saya telah nyatakan bahawa kita jangan izinkan mana-mana industri atau perniagaan yang menjalankan aktiviti yang diharamkan oleh Islam dari mengeksploitasi atau mencemarkan program dan perayaan Islam, samada bagi tujuan kebajikan atau apa sekalipun.

Memang ramai yang bermurah hati dan mahu membantu khasnya semasa musim-musim perayaan. Tetapi bagi kita umat Islam, kita seharusnya prihatin dengan memilih dan menapis, agar tidak terkena atau tercurah hasil haram ke atas sebarang program kebajikan khasnya yang melibatkan mereka-mereka yang ditempatkan di rumah-rumah kebajikan, yang miskin, anak-anak yatim, cacat dan sebagainya.

Semalam akhbar NST muka 24 menyiarkan di bawah tajuk:

Bringing joy to special children

dimana syarikat perjudian Magnum Corp Bhd. yang mengendalikan perjudian empat nombor ekor, telah bermurah hati, menyerahkan duit raya dan makanan serta hadiah kepada 95 orang kanak-kanak istimewa dari Sekolah Menengah Kebangsaan Yaacob Latif di Kuala Lumpur.
Kanak-kanak ini terdiri dari mereka yang menghidapi down syndrome, autisma dan lain-lain yang berkaitan dengan akal dan kecerdasan.

Pengurus Wilayah Tengah Magnum, Stephanie Ang, menurut laporan berkenaan telah menyerahkan hadiah kepada pelajar-pelajar terbaik dari kalangan murid-murid ini serta menyerahkan RM1,000 dari ENE Selangor Sdn Bhd bagi tabung program kebajikan sekolah berkenaan.

Guru Besar sekolah adalah Naseh Hassan (saya percaya beragama Islam). Dan kalau kita lihat dari gambar NST ini jelas murid-murid ini anak-anak Melayu belaka. Inilah yang kita sangat bimbangkan. Apakah Guru Besar dan PIBG sekolah ini tidak tahu bahawa Magnum menjalankan aktiviti judi yang diharamkan oleh Islam? Bagaimana kita boleh memberi laluan sehingga hasil duit haram ini dimakan dan digunakan oleh anak-anak kita?

Apakah orang Islam sudah tidak ada maruah lagi sehingga sanggup meminta-minta dari syarikat seperti ini sedangkan di Bursa Malaysia beratus lagi syarikat korporat yang bersih dari kacamata Islam. Atau apakah kita sudah diberi kuasa menghalalkannya atas nama kebajikan? Dimanakah pergi pihak yang sepatutunya membela, memelihara dan menjaga maruah dan kehormatan Islam.

Wednesday, October 24, 2007

Kasino Genting dosa Umno yang tidak tertebus

Semalam sebagaimana yang kita ketahui taukeh Lim Goh Tong jutawan Malaysia yang dikayakan dengan lesen judi kasino yang dianugerahkan oleh Umno sejak zaman Tunku dan terus kekal dizaman Imam Hadhari telah meninggal dunia pada usia 89 tahun.

Dari perniagaan kecil-kecilan sehinggalah kebidang pembinaan dan terus ke dunia judi dengan dilesenkan oleh Umno itu, Uncle Lim berjaya disenarikan sebagai orang ke 204 yang paling kaya di dunia (oleh majalah Forbes : 2007) dengan aset mencecah RM14 billion!

Judi diharamkan oleh agama Islam. Kerajaan Umno sekadar memberi lesen, apa pandangan ulamak Imam Hadhari? Ahhh bukankah orang Islam tidak dibenarkan masuk, ada penguatkuasa jabatan agama yang memantau (walaupun ramai yang bolos), dan saya difahamkan kakitangan pun membantu memberi isyarat kepada pelanggan jika ada pegawai penguatkuasa yang sekadar memenuhi syarat bertugas.

Pokoknya kerajaan telah mengambil usaha.

Bagaimana dengan kakitangan Islam? Bagaimana dengan para pegawai Islam yang bertugas disektor pengurusan? Bagaimana dengan para pengarah yang dilantik, termasuk bekas-bekas Ketua-ketua Polis Negara kita dan bekas pegawai kanan kerajaan? Bagaimana dengan pemegang saham yang beragama Islam?

Di Genting bukan sekadar ada kasino, tetapi ada juga pusat hiburan dan theme park indoor dan outdoor. Tetapi kita bukan mempersoalkan yang itu, yang dipertikaikan adalah operasi kasino yang menjana keuntungan yang paling besar untuk Genting, hasil dari jasa baik kerajaan pimpinan Umno dulu, kini dan selamanya!

Tetapi kitakan dah perkenalkan Islam Hadhari. Namun Genting terus maju dan makmur. Tahniah Genting dan takziah Uncle Lim.
Menarik dalam The Star hari ini, Presiden MCA menyatakan yang beliau masih ingat pernah bahawa mendiang pernah menyatakan pada Dollah Badawi:
PM mau tolong sama gua, kita orang kerja kuat, kerja manyak susah, bukan senang untung manyak, tolong kurang cukai.
Tapi tak dinyatakan pula apa jawapan atau respon Dollah. Apa agaknya?
Tidak ada bonus, tak payah cakap lagi

Ramai kakitangan awam yang saya jumpa sempena perayaan Hari Raya ini masih mengharap-harap yang kerajaan akan menimbangkan bonus bagi mereka untuk hujung tahun ini. Sekurang-kurangnya honorarium RM2,000 sebagaimana yang dituntut oleh CUEPACS.

Ada juga yang lain bertanya, apa tak cukupkah dengan semakan gaji bermula Julai lepas? Kenaikkan gaji sehingga 35 peratus dan COLA sehingga 100 peratus.

Untuk berlaku adil kepada hampir 1,000,240 kakitangan awam, tuntutan bonus atau honorarium mereka itu seharusnya dipisahkan dari semakkan gaji itu. Bukankah semakkan gaji itu terkahir dibuat pada tahun 1992, iaitu kira-kira 15 tahun lalu. Malah PM Dollah Badawi ketika mengumumkannya Mei lalu mengatakan bahawa kakitangan awam yang terlibat sesungguhnya memang layak menerima kenaikkan tersebut.

Dan bonus atau honorarium ini saya percaya menjadi semakin perlu memandangkan rakyat jelata termasuklah kakitangan awam berhadapan dengan tekanan kos hidup yang membeban dan menganggu kelancaran hidup mereka.

Tiba-tiba pengharapan ini berkecai begitu sahaja. Dalam utusan hari ini PM Dollah Badawi mengunci terus impian itu. Keputusannya muktamad, tiada bonus, tiada honorarium. Menurut Dollah:

Saya sudah cakap dulu dan saya sudah keluarkan kenyataan berkaitan dengan bonus. Tak payah cakap lagilah, cukuplah sekali.

Maka kepada kakitangan awam, berpuas hatilah dengan apa yang ada. Berjimat cermat dan buatlah adjustments mana yang perlu, mana yang mungkin. Kerajaan kelihatan sudah tidak berkemampuan mengekalkan tradisi bonus ini. Mungkin keutamaan mereka lain, kerana itu rakan-rakan kita disektor swasta yang menuntut melalui MTUC untuk gaji minima sehingga kini tidak dilayan dan dipedulikan. Pasti penderitaan mereka dalam keadaan kos hidup yang tinggi ini lebih siksa dan sengsara dari anda.

Apakah agaknya keutamaan Dollah sehingga permintaan rakyat di sektor awam dan swasta tidak dapat dilayan begitu sekali?

Tuesday, October 23, 2007

Orang berkerusi roda dihukum Tuhan : MP BN

Satu dari warisan bangsa Melayu turun-temurun adalah adab dan sopan-santunnya. Orang Melayu ramah dan tinggi budi-pekertinya. Mereka rata-rata menghormati orang lain, tetamu dan orang asing. Bertandanglah ke rumah orang Melayu, samada dengan undangan ataupun tidak, pasti tetamu tadi akan disajikan sekurang-kurangnya dengan minuman dan kemungkinan dengan kuih, buah-buahan dan mungkin juga hidangan yang lazat.

Orang Melayu juga diasuh dan dididik agar selalu malu. Merka menghormati orang-orang tua, yang alim, yang berilmu dan yang berkedudukkan. Mereka tidak menghina atau mencerca orang lain, lebih-lebih lagi yang miskin, hina, atau kurang upaya.

Itulah lebih kurang perwatakkan orang Melayu sehinggalah zaman dan kemajuan menelan dan merobahnya sedikit demi sedikit. Namun rata-rata kebanyakkan orang Melayu apa kelas kehidupannya sekalipun masih beradab dan bersopan, kecuali yang telah liar dan tersasar.

Dewan Rakyat adalah dewan perhimpunan wakil-wakil rakyat, pemimpin masyarakat yang dipilih rakyat dari segenap ceruk dan rantau negara. Di sinilah berhimpun ketua-ketua yang telah kita amanahkan untuk mewakili kita. Dan sudah pasti di sinilah juga, ditempat mereka yang terpilih ini berhimpun, pemimpin-pemimpin Melayu akan mempamirkan adab dan kesopanan bangsa mereka ketika berhujah dan mengeluarkan pandangan, kerana bukankah bahasa itu menunjukkan bangsa.

Hari ini sebagaimana dilaporkan oleh NST, seorang wakil rakyat Melayu jelas termasuk dalam kategori yang liar dan tersasar tadi. Semasa menyanggah hujah wakil Bukit Gelugor, Karpal Singh, wakil Jerai, Badruddin Amiruldin telah bangun dan dengan bongkak berkata (dari NST):

You (Karpal) are no better. Calling us (BN MPs) animals, you insult people. Now you are sitting in a wheelchair. God has punished you.

Awak pun sama juga. Panggil kami binatang, awak menghina orang. Sekarang awak duduk atas kerusi roda, Tuhan sudah hukum awak.

Tiadakah ada dalam penguasaan wakil rakyat Jerai itu bahasa yang lebih baik dan sopan? Mungkin gelagat Karpal menyakiti hati beliau (atau mungkin beliau memang sengaja mahu mencuri publisiti) tetapi mengapakah sehingga perlu menyentuh keadaan fizikal seseorang? Kalau menyentuh warna kulit, bahasa atau bangsa, kita istilahkan orang yang demikian sebagai RACIST, tetapi dalam hal wakil Jerai ini bagaimana?

Mungkinkah bahasa sudah tidak melambangkan bangsa lagi bagi kelompok wakil-wakil rakyat ini? (Bolehkah kita ambil kesimpulan bahwa semua yang sempurna kemudian ditimpa kemalangan dan terpaksa berkerusi roda, dalam keadaan demikian kerana di hukum Tuhan?)
Kerana itu kesimpulannya berhati-hatilah, bukan hanya ketika di jalanraya tetapi lebih-lebih lagi ketika pilihanraya.

Monday, October 22, 2007

Bolasepak, Annuar dan Khairy

Setelah berkali-kali cuba untuk merampas kerusi Menteri Besar Kelantan akhirnya Annuar Musa berpuas-hati dengan jawatan Presiden Presatuan Bola Sepak Kelantan atau KAFA. Annuar menang tanpa bertanding untuk jawatan tersebut. Itupun yang istimewanya beliau menang tanpa mempunyai sebarang pengalaman memimpin atau menganggotai mana-mana badan sukan apalagi sukan bolasepak sebelum ini selain pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan pada tahun 1990-93.

KAFA mengadakan Mesyuarat Agungnya yang ke 53 di Kota Bharu semalam (ketika Annuar berada di KL). Dengan kemenangannya ini Persatuan Bolasepak Kelantan merupakan satu-satunya FA yang diketuai oleh Ketua Pembangakang Negeri.

Jelas KAFA kini didominasi oleh orang-orang Umno belaka. Timbalan Presidennya Ahmad Jazlan adalah Ketua Umno bahagian Machang.

Semoga kemenangan Annuar ini akan memajukan lagi bolasepak di negeri itu. Diharapkan Annuar dan rakan-rakannya nanti akan menanggalkan baju seragam politik mereka dan mengenakan jersi FA Kelantan apabila menjalankan tugas, ikhlas demi kemajuan sukan tersebut (walaupun ia agak sukar menjadi nyata).

Sementara itu pasukan MyTeam2 yang diilhamkan oleh Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden FAM (kebetulan juga menang tanpa bertanding) kecundang ditangan Remaja Indonesia 2-0 di Stadium Bukit Jalil semalam. Nampaknya kegagalan ini akan tercatat dalam report card Khairy sebagai kegagalannya yang pertama sejak menjadi Timbalan Presiden FAM. Melalui projek MyTeam ini beliau berhasrat untuk memulihakan kembali sukan bolasepak negara, ternyata ia bukans esuatu yang mudah.





Khairy dipercayai memiliki cita-cita untuk melonjakkan karier politiknya melalui pencapaian dibidang sukan paling popular dalam negara ini (sebagaiaman Annuar juga barangkali). Allahyarham Dato Harun Idris, bekas Ketua Pemuda Umno Malaysia, pernah disanjung kerana kecermerlangannya memimpin sukan bolasepak, dan ternayata beliau menggunakannya untuk turut menaikkan karier politik beliau sehingga kecundang apabila terbabit dalam kes rasuah.

Majulah sukan untuk negara.
Datuk Shahrir, Tuan Guru dan Angkasawan

Akhbar THE STAR hari ini melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Datuk Shahrir Samad sebagai berkata:

The plan to send a second Angkasawan to space should be carefully considered as it may eat into development funds. Public Accounts Committee chairman Datuk Shahrir Samad said that while he was “not totally against” the plan, all the pros and cons had to be contemplated.
Of course this project will help broaden our thinking and encourage the study of science and technology.


However, as a developing country, we have many competing considerations and developmental projects, he said, adding that the effect such an expensive project would have on the national expenditure also had to be considered.

Rancangan untuk menghantar Angkasawan kedua negara ke angkasa perlulah dikaji dengan teliti kerana ianya akan menjejaskan dana pembangunan (negara). Menurut Datuk Shahrir beliau tidaklah menetang keseluruhan rancangan tersebut namun segala kebaikan dan keburukkannya perlu dipertimbangkan.

Memanglah projek ini akan meluaskan pandangan kita dan menggalakkan pengkajian sains dan teknologi.

Walaubagaimanapun sebagai sebuah negara membangun kita memiliki banyak pertimbangan yang bersaing disamping projek-projek pembangunan. Kita perlu mengkaji kesan projek yang mahal ini terhadap perbelanjaan negara.

Ini bukan pandangan parti pembangkang atau Harakah atau mana-mana skeptik lain. Ini adalah pandangan Pengerusi PAC yang sudah pasti menimbangkan segala aspek kepentingan dan kewangan negara sebelum mengeluarkan kenyataannya itu.

Ada yang beritahu saya bahawa dalam Berita Harian hari ini Mursyiudl Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz dilaporkan menyelar Harakah kerana menganggap program angksawasan ini sebagai membazir. Bagi saya kritikkan Tuan Guru itu adalah contoh kebebasan akhbar yang diamalkan PAS!

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20071021232315/Article/index_html


Berbalik kepada apa yang diutarakan oleh Shahrir dan atas semangat pandangan Tuan Guru, memanglah kita menghargai sesuatu yang dapat memberikan kemajuan dan perkembangan ilmu dan teknologi kepada negara dan bangsa, namun, PROS AND CONS disamping keutamaan rakyat dan negara juga perlu diambil kira.

Sunday, October 21, 2007

Dakwa Anwar lepaskan si dajal

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz, dilaporkan sebagai berkata bahawa Panel Khas yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat kesahihan video VK Lingam akan memutuskan bahawa tidak ada kes untuk dibawa sekiranya tidak ada pihak yang mahu tampil ke hadapan membantu penyiasatannya.

Dan hari ini akhbar tempatan melaporkan bahawa Ketua Pengarah BPR memberi kata dua kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu beliau samada tampil ke hadapan menyerahkan keseluruhan video asal VK Lingam itu ataupun menerima padahkerana pihaknya akan menggunakan Seksyen 22 Akta Pencegahan Rasuah terhadap beliau. Seksyen tersebut adalah mengenai keenganan mana-mana individu menyerahkan bukti setelah diperintahkan oleh pihak BPR.





Anehnya si dajal yang didedahkan dalam perbualan video itu bebas kesana kemari sedangkan pihak yang membuat pendedahan pula diligan dan diancam. Beginikah tindakan kita yang kononnya mahu memiliki mentaliti dunia pertama?

Dato Seri Anwar telah menegaskan berkali-kali bahawa video yang asal termasuklah siperakamnya sendiri bersedia tampil ke hadapan memberi keterangan dengan syarat kerajaan menubuhkan sebuah badan penyiasat bertaraf Suruhanjaya Di Raja. Berdasarkan kenyataan Nazri dan perkembangan terbaru ini, memang sukar untuk kita diyakinkan bahawa pemerkosaan ke atas badan kehakiman sebagaimana yang didedahkan oleh rakaman video itu akan benar-benar terbongkar. Maka semakin gelaplah nasib dan masadepan bahadan kehakiman kita.

Friday, October 19, 2007

Tabik hormat buat Hakim Hishamuddin

Selain merupakan kes yang mendapat pamapasan terbesar dalam rekod Malaysia bagi seorang tahanan ISA (sebelum ini pada tahun 1996 menurut The Star Guracharan Singh, seorang bekas tahanan juga menang di dalam kes beliau tetapi cuma diberikan pampasan tauladan RM1), kes bekas tahanan ISA Abdul Malek Hussin juga menjadi rekod apabila buat pertama kali Mahkamah mengesahkan penyiksaan dan penderaan yang dilakukan terhadap tahanan ISA dan menyerang kewibawaan pihak Cawangan Khas atau SB.

Segala aksi biadap pihak polis khasnya SB terhadap Malek mengingatkan kita pengalaman yang menimpa bekas-bekas tahanan ISA yang lain. Allah sahaja yang tahu penyiksaan yang dilalui Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi yang meninggal dunia tidak lama selepas dibebaskan dari tahanan.





Beberapa tahanan lain ada membukukan pengalaman mereka termasuklah Dr Syed Hussin Ali, Suhaimi Said dan Kasim Ahmad. Bayangkan juga penyiksaan yang dilalui oleh tahanan Memali.

Kata Hakim Hishamuddin:

The SB Department must not only be neutral but must also be seen to be neutral and non partisan. It must be above politics.

Sejak bilakah SB tidak memihak kepada Umno dan BN?

Mungkin ketika darurat dahulu semasa berhadapan dengan tentangan PKM mereka mempunyai tumpuan utama, tetapi itupun tidak mengalihkan pandangan mereka dari parti-parti politik pembangkang. ISA digunakan sebagai lesen untuk menyekat pergerakan parti pembangkang yang mengancam keselamatan parti pemerintah sejak dari dahulu lagi.
Dari pemerhatian Hakim Hishamuddin jelas tugas utama SB dari skop ISA sepatutunya adalah terhadap aktiviti yang mengancam keselamatan negara. Dalam kes Malek ini beliau menyebut:

Cara soal siasat (yang dibuat) jelas untuk tujuan politik dan tidak ada kena mengena dengan soal keselamatan negara. Dengan kata lain, penahanan Abd. Malek sejak dari awal adalah mala fide (dengan niat jahat).

Memang begitulah kerja mereka, sejak zaman berzaman sehingga mereka kelihatan lebi bagaikan sayap Umno dari anggota polis yang sepatutnya bertindak adil dan tidak memihak kepada sesiapa dalam menjalankan tugas.

Semoga Allah swt melahirkan lebih ramai lagi hakim seumpama ini lebih-lebih lagi dalam suasana badan kehakiman yang semakin tempangs ejak kebelakangan ini. Mudah-mudahan Ketua Polis Negara akan mengambil pengajaran dari kes ini dan adalah diharapkan agar apa yang telah berlaku kepada Malek dan puluhan lagi seperti beliau sejak Merdeka lagi akan dihentikan terus.

Tabik hormat untuk Hakim Hishamuddin.
Lucut gelaran Tan Sri dari Rahim Nor

Semasa menolak rayuan beliau terhadap hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 yang dikenakan terhadapnya , Hakim Shaikh Daud telah menyatakan:

Abdul Rahim melakukan kesalahan itu pada masa dia memegang jawatan tertinggi dalam pasukan polis. Abdul Rahim sepatutnya menjadi contoh dalam pasukan polis tetapi sebaliknya dia meletakkan dirinya pada tahap yang paling rendah akibat perbuatan yang telah dilakukannya.


Tindakan perayu yang dilakukan terhadap orang tahanan tidak dapat dibayangkan dan ia tidak berperikemanusiaan. Tambahan pula dalam kes ini, orang tahanan itu diarahkan oleh Abdul Rahim supaya diikat (ditutup) kedua-dua matanya dengan kain dan yang paling teruk tangan digari dari belakang. Ini suatu perbuatan yang teruk dalam pasukan polis yang berdisiplin.

Abdul Rahim yang dimaksudkan adalah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Nor yang didapati bersalah membelasah bekas TPM Dato Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis di Bukit Aman satu ketika dahulu.

Semalam sekali lagi nama Rahim muncul. Kali ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes saman bekas tahanan ISA Abdul Malek Hussin yang telah menyaman Rahim (selaku bekas KPN), seorang pegawai SB dan kerajaan Malaysia kerana mendera serta menahan beliau secara salah selama 57 hari kira-kira sembilan tahun lalu.


Hakim Hishamuddin Mohd Yunus telah memerintahkan agar Malek dibayar gantirugi sejumlah RM2.5 juta (rekod di Malaysia). Dalam saman itu, Malek mendakwa telah ditumbuk dan disepak termasuk oleh Abdul Rahim sehingga tidak sedarkan diri semasa dalam tahanan selain dipaksa minum air kencing serta didera secara seksual di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Mengenai Abdul Rahim, hakim tersebut menyatakan:

Kelakuan keji oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor amat memalukan dan mengaibkan. Beliau telah menunjukkan contoh yang buruk kepada ribuan anggota dan pegawai di bawahnya.

Ternyata rekod Rahim selaku Ketua Polis Negara mengaib dan memalukan negara dan seluruh rakyat Malaysia, dan ini kes kedua yang membuktikannya, entah berapa kes lagi yang tidak dilaporkan. Kita bukannya diperintah oleh Nazi Jerman bawah Hitler, atau Uganda di bawah Idi Amin, atau Kemboja bawah Pol Pot atau kerajaan junta tentera Myanmar. Kehadiran pemimpin seperti Rahim ini memberikan gambaran seolah kita demikian rupa.

Oleh itu tidaklah keterlaluan jika disyorkan agar Istana Negara menarik balik anugerah Panglima Setia Mahkota atau PSM yang membawa gelaran Tan Sri yang disandang oleh Rahim. Mungkin ada NGO atau Malek sendiri atau sesiapa sahaja mengusahakan satu petisyen untuk dihadapkan kepada Yang Dipertuan Agung mengenai perkara ini. Kalau ada negeri di Malaysia yang tidak teragak-agak menarik balik gelaran Dato kepada penerima yang melakukan kesalahan jenayah, apa istimewanya Rahim Nor ini?!

Thursday, October 18, 2007

Lagi-lagi isu angkasawan negara

Isu angkasawan Malaysia terus menjadi perbualan ramai sehingga ke hari ini dan mungkin sampai bila-bila. Ramai yang menyokong usaha berani kerajaan melontarkan anak bangsanya ke langit demi meneroka sains angkasalepas walaupun banyak lagi negara membangun dan maju belum tergiur mahu melakukan perkara yang sama (Cuma kita sahaja beruntung kerana membeli pesawat Sukhoi dan boleh OFFSET!) Dan ada juga yang tidak berapa bersetuju malah berpandangan bahawa banyak lagi keutamaan yang perlu diberikan tumpuan selain bekejar ke langit yang mungkin bermakna tetapi belum tiba masanya.

Prof Madya Dr Azmi Sharom di dalam ruangannya ANALYSIS dalam akhbar THE STAR hari ini memberikan pandangan yang menarik yang mungkin boleh kita renung dan fikirkan.




Beliau juga mendapati rakyat Malaysia berbelah bahagi antara yang menyokong dan memandang sepi usaha angkasawan Malaysia ini. Beliau menulis bahawa dengan pencapain besar ini Malaysia kini boleh digelar sebagai SPACE POWER atau kuasa angkasalepas yang baru.

Dan beliau menulis:

The next time their school computer lab collapses or their teachers get demoralized due to poor pay, they can tell themselves that it all does not matter because we are a space power.

Lain kali jika makmal sekolah roboh atau para guru luntur semangatnya kerana gaji yang kecil, mereka semua boleh menyatakan bahawa itu semua tidak penting, kerana kita kini KUASA ANGKASALEPAS.

Dan beliau mengakhiri tulisannya dengan menulis:

Wait a minute, that is a great idea for a space experiment. How does unwrapping Raya ketupat fare in zero gravity?

Ada seorang kawan baik saya berpandangan sekurang-kurangnya pencapaian ini melontarkan nama Malaysia menjulang tinggi. Kalau kita duduk di pentas antarabangsa, sebut sahaja nama Malaysia, orang akan mengaitkan kita dnegan pencapaian besar kita itu. Saya mengakui hakikat tersebut, kerana kawan saya itu bukan SPACE POWER tetapi seorang penulis dan pengkiritik yang POWER.

Tetapi hakikatnya itulah persepsi rakyat Malaysia. Kita mungkin tidak akan berapa kritikal atau sinis jika segala-galanya aman, makmur dan molek dalam negara. Tetapi kita menjadi panas, sepanas bahanapi yang dimuntahkan dari belakang pesawat SOLYUZ tempoh hari kerana kita sedar kita belum berapa sempurna di bumi, mengapa mahu melonjak ke langit?


dari Malaysiakini
Sementara itu REPORTERS WITHOUT BORDERS (RSF) satu badan antarabangsa yang terlibat dalam pemantauan kebebasan media global baru sahaja menerbitkan indek kebebasan akhbar dunia 2007 atau WORLDWIDE PRESS FREEDOM INDEX. Malaysia untuk pengetahuan semua jatuh dari tangga 92 pada tahun 2006 ke 124 tahun ini! (Negara dunia ketiga ternyata lebih bebas dari kita, contohnya Kemboja 85 Timor Leste 94). Jadi apa komen kita kalau berada dipentas antarabangsa dan orang berkata: Ohhh, Malaysia, yang samapi ke angkasa lepas tetapi sayang tiada kebebasan akhbar!??
Video VK Lingam: Tubuh sahaja Suruhanjaya Diraja

Penubuhan panel ini diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Ia ditubuhkan pada 27 September lalu, lebih 3 minggu lalu. Tugasnya: mengesahkan kesahihan rakaman video, peguam VK Lingam yang dikatakan sedang berbual dengan Ketua Hakim Negara kini, Tun Ahmad Fairuz ,berhubung beberapa isu sensitif dan mencabar kewibawaan badan kehakiman. Mereka diberika sebulan untuk menamatkan tugas tersebut.

Panel ini dianggotai oleh Tan Sri Haidar Mohd Noor, Tan Sri Lee Lam Thye dan Datuk Mahadev Shankar.

Sejak rakaman video ini didedahkan oleh bekas TPM Dato Seri Anwar Ibrahim, banyak pihak termasuklah parti-parti politik (termasuklah parti komponan BN iaitu GERAKAN), Majlis Peguam dan NGO mendesak agar satu badan penyiasat bertaraf Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk bukan hanya menyiasat kesahihan video itu tetapi turut menyiasat mereka-mereka yang berkenaan yang muncul dan didedahkan dalam video itu.

Apa yang terbit dalam video itu sungguh serius dan mencabar institusi kehakiman dan kewibawaan kerajaan sendiri.

Tetapi kabinet memutuskan sebaliknya dengan hanya menubuhkans sebuah panel penyiasat, yang menurut pengakuan pengerusi dan anggotanmya sendiri, bahwa kuasa mereka sangat terhad dan terbatas. Dan hari ini akhbar The Star mendedahkan di muka hadapannya, setakat ini panel ini tidak dapat bergerak dan mencapai apa-apa kemajuan keranan kononnya tidak ada mana-mana pihak yang mahus ecara sukarela tampil ke hadapan memberikan maklumat kepada mereka.

Saya yakin samapi bila-bila pun panel ini tidak akan mampu bergerak kerana mereka memang bagaikan seekor harimau tanpa taring dan kuku.

Mengapa pihak kerajaan masih enggan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja, sebagaimana dalam kes mata lebam Anwar Ibrahim dahulu? Malah Anwar Ibrahim dan beberapa pimpinan PKR telah mengesahkan bahawa saksi yang merakamkan video itu bersedia tampil ke hadapan sekiranya suatu Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk menyiasatnya, jadi apakah yang menghalang kerajaan dari berbuat demikian?

Kalau sebuah Suruhanjaya Diraja yang telus dan dianggotai oleh ahli-ahli yang berwibawa dibentuk, siperakam akan sudi tampil ke hadapan. Suruhanjaya itu nanti boleh panggil VK Lingam, panggil Anwar, panggil Ahmad Fairuz, panggil Wee Choo Keong, panggil Tengku Adnan. Kalau setelah disiasat berpuas hati yang video itu palsu, maka Anwar Ibrahim dan perakamnya bolehlah didakwa dan dihumbankan ke penjara kerana menaburkan fitnah.

Tetapi jika ianya didapat benar, sahih dan memang berlaku, bagaimana?

Agaknya itulah sebabnya maka cadangan untuk membentuk Suruhanjaya Diraja itu ditolak mentah-mentah oleh kerajaan.
Jangan biarkan Pak Kadok menggadai kampung

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Shafiee Apdal, meminta rakyat bersedia menerima kenaikan harga minyak jika harga minyak mentah dunia terus kekal meningkat. Semalam harga minyak mentah dunia dilaporkan ditutup pada paras tertinggi tahun ini iaitu USD87.96 (RM295.54) setong yang dikaitkan dengan ketegangan disempadan Turki dan Iraq serta di Iran.

Lazimnya apabila harga minyak mentah dunia naik, maka harga petrol dan bahanapi lain di Malaysia (yang walaupun mengeluarkan minyak) juga turut naik. Dan ianya akan mencetuskan kesan rantaian ke atas barangan dan perkhidmatan lain yang dijangka turut melambung naik.

Begitulah nasib kita. Sebenarnya harga minyak petrol tempatan dinaikkan sebanyak RM0.30 sen seliter tahun lepas, dan kesannya terus-menerus sehingga kehari ini. Kita masing-masing telah melihat dan sama-sama merasakannya. Harga bahan makanan, perkhidmatan, barangan keperluan lain semuanya naik termasuklah kadar tol di lebuhraya (yang dijangka naik lain bermula tahun 2008 ini).

Menurut Shafiee lagi: Sumber bekalan minyak negara mungkin hanya dapat bertahan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi dan selepas itu, mungkin negara terpaksa mengimport minyak. Bayangkan dalam keadaan kita mengeluarkan minyak pun, apabila harga minyak mentah dunia naik, harga minyak tempatan naik, inikan pula jika kita tidak lagi mengeluarkan minyak!

Rakyat seperti biasa akan digesa agar berjimat-cermat, para peniaga dan pembekal seperti biasa akan diarahkan agar jangan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Tetapi apa pun yang akan memikul bebannya adalah rakyat juga. Bukankah lebih baik kini untuk kerajaan pula yang berjimat cermat dan berhati-hati dalam perbelanjaannya. Tumpuan keutamaan kepada nasib dan kebajikan rakyat. Jangan lagi jadikan politik dah terantuk baru tengadah sebagai amalan politik kita.

Kenaikkan ini sudah pasti akan berlaku, ianya bukan andaian atau mimpi lagi. Ia serius dan perlu diberi perhatian yang serius juga. Tetapi jika kita masih leka dipimpin oleh Pak Kadok, Mat Jenin dan Pak Pandir, yang kemaruk mahu menjadi jaguh dunia, yang terbesar, yang tertinggi, yang terjauh, yang dilangit, sedangkan rakyat dihimpit dan terus didera dengan kenaikkan kos hidup, maka akan punah-ranahlah masadepan kita semua. Adakah kita bersedia untuk melaluinya?

Wednesday, October 17, 2007

PPP dalam dilema

Siksanya menjadi kerabat kecil dalam BN. Rakan-rakan besar seperti Umno, MCA, MIC dan Gerakan nampaknya selesa dengan kedudukan masing-masing, tetapi yang kecil-kecil dalam gabungan 14 parti-parti politik itu seakan warga kelas dua.

Dari satu negeri ke satu negeri Presiden PPP M. Kayveas kelihatan menggemis untuk mendapatkan kerusi bagi partinya untuk pilihanraya umum yang akan datang.

Pada pilihanraya umum lalu, Kayveas diberikan kerusi Parlimen Taiping (dan menang di sana). Kerusi milik Gerakan itu diserahkan kepada PPP setelah Umno menyerahkan kerusi Bukit Gantang ke Gerakan. Rupanya penyerahan tersebut macam nika kontrak, cuma untuk satu penggal sahaja. Selepas ini Kayveas terpaksa serah kembali kerusi itu ke Gerakan kerana Umno pun mahukan semula kerusi Bukit Gantang.

Silap-silap jangankan PPP dapat kerusi tambahan, kerusi untuk Presidennya pun mungkin lesap!

Dalam akhbar hari ini, Ketua Menteri Melaka dilaporkan sebagai berkata bahawa tidak ada kerusi untuk PPP di negerinya. Sebelum ini MB Perak juga berkata atas nada yang sama.

PPP asalnya merupakan sebuah parti pembangkang yang kuat dan berpusat di Perak. Dalam pilihnaraya umum 1969 mereka cuma kurang 2 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri di Perak. Pada tahun 1973 atas inisiatif Allahyarham Tun Abdul Razak PPP menyertai BN. Kini nampaknya PPP sudah tidak berguna lagi buat rakan-rakan kongsi terbesar BN.

Demikianlah nasib PPP walaupun secara peribadi saya melihat Kayveas sebagai seorang pemimpin dalam BN yang berani, tetapi apa kan daya, beliau duduk dalam gabungan yang tidak menghargai sumbangan kawan-kawan.
Kecekapan kita semakin dipertikaikan

Jika tidak silap, saya pernah mengutarakan isu ini dalam tulisan saya sebelum ini. Tetapi nampak-nampaknya masalah ini berulang kembali, politik dah terantuk baru tengadah kelihatan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Baru-baru ini kita berhari raya dengan berita gempar dari Mersing bahawa sebuah feri yang sarat dengan penumpang telah terbakar dalam perjalanan ke Pulau Tioman. Seramai 4 orang penumpang telah terkorban dan 3 lagi hilang. Lalu tercetuslah pelbagai aduan, tuduhan dan rungutan, termasuklah feri tersebut dikatakan tidak mempunyai jaket keselamatan yang mencukupi, ia tidak berlesen, tidak mendaftar nama penumpang dan pelbagai lagi.

Sesungguhnya nahas melibatkan feri dan bot penumpang bukanlah kali pertama berlaku. Soalnya siapakah yang bertanggungjawab memantaunya dan menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang ada? (Sebagaimana nahas bas ekspres).

Kita juga dikejutkan dengan seorang warga Palestin yang berjaya menyelinap ke tarmac KLIA dan menyembunyikan diri dalam ruang roda pesawat yang terbang ke Singapura. Beliau ditemui oleh pihak keselamatan Singapura apabila terjatuh ke landasan lapanganterbang apabila pesawat tersebut mendarat di Singapura.

Bagaimana kawasan larangan dapat dierobosi oleh seorang warga asing? Siapakah yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal keselamatan di KLIA, polis, JPA? Bayangkan jika warga Palestin itu memiliki senjatapi dan menawan pesawat berkenaan!

Semalam saya terbaca dalam akhbar The Star, bagaimana seorang pembaca mengadu yang VCD lucah dijual secara terbuka di pasar malam di SS13 Subang Jaya. Siapa pula yang gagal menjalankan tugas di sini?

Rata-rata isu penguatkuasaan tetap merupakan masalah terbesar dalam pentadbiran yang ada pada hari ini. Oleh kerana longgarnya penguatkuasaan dan penyeliaan maka hanya apabila berlaku malapetaka atau bencana barulah kita sedar rupanya ada yang tidak kena, ada yang tidak cekap, ada yang curi tulang.. Seribu satu alasan boleh diberikan untuk masing-masing jabatan atau agensi termasuklah orang politik yang berkuasa untuk melepaskan diri, salah satu yang paling klasik adalah: tidak cukup kakitangan.

Saya kira sekiranya kita terus leka dengan alasan seumpama ini maka selagi itulah satu demi satu bencana dan malapetakan akan berlaku dan berlalu, dengan kita sekadar prihatin apabila sudah terantuk dan bengkak-bengkak di kepala. Saya masih ingat semasa Tun Dr Mahathir menjadi PM dahulu, salah satu slogan yang diperkenalkan oleh beliau adalah BCA atau bersih, cekap dan amanah. Bab bersih dan amanah memang sudah lama diragui, tetapi kini ternayata bab kecekapan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan semakin hari semakin merosot.

Saya ambil contoh kes VCD cetak rompak dan VCD lucah, ianya terus berada di pasaran malah disetengah-setengah tempat pada skala yang besar dan berani, mengapa masalah ini tidak berjaya kita tangani sehingga ke hari ini?

Mungkinkah ada elemen rasuah, pilih kasih, kronisma dalam hal ini?

Dalam kes warga Palestin yang berjaya menerobos kawasan keselamatan di KLIA itu, saya difahamkan berita mengenainya cuba dikecilkan. Ini bagi saya adalah kejadian serius yang membuktikan keselamatan negara longgar dan boleh sahaja diancam. Tetapi ia berlalu begitu sahaja seolah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Rakyat berhak menuntut kecekapan dari pihak kerajaan, jika inilah mutu kecekapan yang mampu kita berikan, sebenarnya tidak ada beza antara kita dengan negara dunia ketiga yang lain.

Tuesday, October 16, 2007

Johor banjir rupanya Dollah sibuk belayar

Jeff Ooi telah terbitkan perkara ini di blog beliau, begitu juga Raja Petra di Malaysia Today. Bagi mereka yang tidak sempat ke sana saya turunkan di sini keratan akhbar The Star (Lifestyle, October 8, 2007)




Ianya merupakan kenyataan Jean Todt, tunang Michelle Yeoh yang juga kepala Team Ferrari F1. Beliau menyatakan yang ketika Krismas tahun lepas dan Tahun Baru 2007, beliau belayar dalams ebuah bot besama PM di Australia.

Kenapa kenyataan ini dikira hangat dan penting? Kerana Krismas 2006 dan Tahun Baru 2007 adalah tarikh penting di Malaysia, pada tarikh tersebut negeri Johor dilanda banjir paling teruk dalam sejarah. Seluruh negara gundah-gulana. Bermakna sedang hamba rakyat dilanda malapetaka, rupanya PM Dollah Badawi bukan sekadar merasmikan kedai nasi bariani milik keluarganya di Perth (yang khabarnya sudah pun tutup), rupanya beliau turut belayar bersama Jean Todt.


]
Tak pastilah samada Michelle Yeoh ada bersama, patutlah Dollah intim sungguh dengan pasangan ini.
Abdullah Gul berdiri tegak di bumi sekular

Bersempena Aidil Fitri baru-baru ini Presiden Turki Abdullah Gul telah melangsungkan perkahwinan anak perempuannya Kubra Gul di Istanbul. Abdullah merupakan bekas Menteri Luar kerajaan AK pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan yang diketahui cenderung kepada ideologi Islam, sesuatu yang malangnya asing dalam Turki moden yang sekular sejak kemunculan Mustapha Kamal Atartuk.

Isteri Abdullah, merupakan isteri presiden yang pertama yang mengenakan pakaian menutup aurat, suatu amalan yang dikawal ketat oleh undang-undang dan peraturan Turki.



Kubra mencium tangan Abdullah diperhatikan
oleh suaminya dan PM Erdogan

Namun kesungguhan Abdullah dan Perdana Menteri Erdogan melalui parti AK untuk memperkenalkan kembali Islam, di bumi yang telah menghapuskan saki-baki daulah Islamiah dizaman Mustapha Kamal itu, dilakukan dengan penuh cermat dan berhati-hati. Sesungguhnya kewibawaan dan ketokohan kedua-dua pemimpin ini, yang bersih dan berakhlak telah berjaya menawan hati majoriti rakyat Turki yang dahagakan kepimpinan seumpama itu.

Cuba kita lihat upacara perkahwinan anak Presiden ini. Menurut sebuah akhbar Turki majlis yang diadakan di Istanbul Preformance and Congress Centre itu telah dihadiri oleh lebih 4,500 orang tetamu. Tetapi atas arahan Abdullah majlis itu diadakan dalam keadaan serba sederhana.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh Datuk Bandar Istanbul Kadir Topbas dengan Perdana Menteri Erdogan dan bekas Speaker Parlimen Bulent Arinc sendiri bertindak sebagai saksi.

Abdullah telah mengarahkan agar tidak ada jambangan bunga diberikan sebagai hadiah. Jika ada juga yang berhajat berbuat demikian, mereka diminta menanam sebatang pokok di hutan simpan di Kayseri, iaitu kampung Abdullah dan menurut laporan telah lebih 1,000 batang pokok ditanam bagi tujuan itu. Dan menurut sebuah lagi laporan selain dari barang kemas yang dihadiahkan oleh ahli keluarga, kebanyakkan hadiah lain telah disedekahkan atas arahan Abdullah kepada keluarga anggota tentera Turki yang terkorban semasa menjalankan tugas.

Dan menurut sebuah lagi akhbar, Abdullah tiba ditempat upacara dengan menaiki kenderaan persendirian, bukannya kenderaan rasmi Presiden. Kata Abdullah beliau menghadiri majlis anaknya itu sebagai seorang bapa dan bukannya Presiden Turki.

Subahanallah demikianlah akhlak Presiden Turki, Abduallah Gul.

Dan sudah pastilah anak beliau dan hampir kesemua tetamu yang hadir dimajlis tersebut berpakaian menutup aurat sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam. Begitulah kalau kita bersungguh mahu kembali kepada Islam, walaupun perlembagaan negaranya menjunjung sekularisma, namun cahaya Islam terus diketengahkan dengan berani dan penuh hikmah oleh para pejuangnya dengan harapan satu hari nanti rakyat Turki sendiri akan sedar dan bangun membawa perubahan menyeluruh.

Islam Hadhari di Malaysia bagaimana?

Sunday, October 14, 2007










Inilah ISTANA Zakaria Md Deros

Saya tertarik dengan kenyataan suatu sumber dari Pejabat Badan Pencegah Rasuah BPR ketika mengulas kes siasatan seorang pegawai kanan polis yang dilaporkan telah mengumpul kekayaan sebanyak RM27juta. Menurut akhbar NST semalam, pegawai tersebut berkata:

We want to know if it is possible for a police officer to accumulate RM10 million based on his income and years of service.


Kami mahu tahu adakah mungkin seorang pegawai polis boleh menghimpun sehingga RM10juta berdasarkan pendapatan dan tempoh perkhidmatannya.

Kalau begitu cubalah anak-anak Selangor khasnya tidak kiralah yang pernah mengundi BN atau pembangkang (terutama pengundi di Pelabuhan Kelang) memikirkan apakah Zakaria Md Deros seorang Aahli Dewan Undangan Negeri boleh mengumpulkan harta sehingga mampu membina ISTANA yang penuh knotroversi ini yang dipercayai menelan belanja lebih RM10 juta.

Akhbar THE STAR Jumaat lepas melaporkan yang Zakaria dengan bangganya membuka istananya kepada orang-ramai termasuk para pemberita baru-baru ini.Menurut laporan ISTANA ini mempunyai 16 bili tidur dan 21 bilik air! Bilik tidur Zakaria menurut akhbar tersebut:

His master bedroom, which has a changing room and a jacuzzi, is bigger than a low cost house.

Bilik tidur utamanya, mempunyai bilik persalinan disamping jacuzzi, dan ianya lebih besar dari sebuah rumah kos rendah.

Saya yang tidak ada kena mengena dengan Zakaria ini pun berasa begitu sedih dan malu melihatkan seorang pemimpin Melayu Islam boleh dengan bangga tanpa sedikit pun rasa bersalah atau peduli pada masyarakat, memperagakan ISTANA nya disaat ramai rakyat yang tidak memiliki rumah sendiri, ramai rakyat sedang mengeluh akan kenaikkan kos hidup yang membebankan. Tetapi Zakaria boleh dengan megah membuka pintu ISTAN nya untuk ditonton oleh masyarakat.

Inikah jenis pemimpin yang kita mahu untuk terus memimpin kita? Elok sangatlah menjelang tamat tempuh Parlimen dan DUN penggal ke 11 ini kita semua mengkaji dan memikirkan perkara ini. Zakaria satu contoh hidup seorang pemimpin, wakil rakyat Umno/BN. Kalau kita merasakan perkara ini sebagai biasa, tak mengapa, tidak menjejaskan maruah dan hidup kita teruskanlah memilih pemimpin yang seperti Zakaria ini, jiuka tidak bangun dan beranilah membuat perubahan apabila tiba masanya nanti

Selangor terus maju dengan kilang arak terbaru!

Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo ketika melancarkan Selangor Maju 2005 dahulu menyatakan bahawa negeri maju yang akan dibina di Selangor itu bukan sekadar maju dari segi fizikal tetapi maju dari segi holisitk mencakupi maju rohani dan jasmani (sila lihat buku terbitan Pejabat MB: Selangor Menuju Wawasan Syumul 2005). Kata Khir Selangor nanti akan membentuk dan melahirkan masyarakat Madani yang dipenuhi dengan insan-insan Rabbani.

Itu belum lagi mengambil kira 10 prinsip Islam Hadhari yang dicipta oleh PM Dollah Badawi, yang mana prinsip pertamanya berbunyi: Keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt. Disamping pengisytiharan Najib Tun Razak bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Terbaru di bumi Selangor Darul Ehsan ini, iaitu di Pelabuhan Kelang, melalui kelulusan Jabatan Kastam yang berada di bawah Menteri Kewangan yang juga pencetus Islam Hadhari, sebuah syarikat yang diberi nama NAPEX CORPORATION yang dimiliki oleh dua orang usahawan Cina dari Teluk Intan telah diberi lesen untuk mengilang sebuah jenama baru beer (minuman keras) yang diberi nama JAZ BEER. Menurut laporan dari media Singapura arak baru ini disasarkan sebagai BUDGET BEER ataupun arak untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Bermakna Selangor kini menjadi tuan rumah kepada 3 kilang arak terbesar di negara iaitu Guiness Anchor dan Carlsberg dan kini JAZ BEER.

Syabas diucapkan kepada Khir dan Dollah serta seluruh pendukung Umno dan BN. Setelah Selangor hebat menutup surau dan menangkap para penceramah agama, kini mereka bertindak membina dan memberi izin kepada kilang arak pula. Maka berkeliaranlah insan-insan Rabbani disekitar bumi Selangor bertuah ini.
Takziah kepada Syed Shahir dan keluarga




Malam Jumaat lepas sehari sebelum umat Islam di Malaysia meraikan Aidil Fitri, saya menerima SMS bahawa isteri kesayangan Sdr Syed Shahir Syed Mohamud, Presiden MTUC (merangkap Ketua PKR Bahagian Kelana Jaya), Puan Salbiah, telah meninggal dunia akibat penyakit barah.

Pada pagi Jumaat itu saya bersama seorang sahabat bergegas ke rumah sahabat saya itu untuk mengucapkan takziah. Ternyata Sdr Syed yang merupakan pemimpin kesatuan sekerja dan seorang ahli politik yang disegani memiliki ramai kawan dan kenalan, namun saya percaya akan lebih ramai lagi yang akan membanjiri rumah beliau jika tidak kerana ramau yang telah pulang ke kemapung masing-masing kerana mahu berhari raya.

Semasa awal Ramadhan lalu Sdr Syed sempat berbuka puasa di rumah saya tetapi tidak sempat solat tarawih berjemaah kerana isterinya sudah mula sakit tenat. Sejak kebelakangan ini kesihatan isteri beliau semakin buruk.

Disini sekali lagi saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada Sdr Syed sekeluarga dan mendoakan semoga roh Allahyarham Salbiah akan ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh insyallah. Saya mengharapkan agar Sdr Syed sekeluarga bersabar dan tenang menghadapi ujian besar dari Allah swt ini.
Wild goose chase: Peguam Negara seakan bersetuju

Sebelum cuti hari raya tempoh hari saya ada menulis berkenaan kes penyiasatan pembunuhan ngeri Allahyarham adik Nurin Jazlin sebagai apa yang saya anggap:

Wild goose chase

Kita dibawa ke sana ke mari oleh pihak polis dengan pelbagai andaian dengan pelbagai serkap jarang sekaligus menimbulkan persoalan, apakah pihak polis hari ini masih memiliki kecekapan dan profesionalisma, sesuautu yang sinonim dengan PDRM satu ketika dahulu.


Mungkin saya bukan keseorangan beranggapan begini. Rupa-rupanya memang saya bukan keseorangan. Dalam akhbar NST pada pagi raya lalu di muka hadapan terpapar gambar Peguam Negara Abdul Gani Patail dengan tajuk:


Nurin murder probe: Whats going on

Gani dilaporkan sebagai berkata:

There have been several arrests prominently highlighted in the media but after that, the suspects were free. I want an explanation.
(Terdapat beberapa penangkapan yang telah didedahkan secara besar-besaran di media, walaubagaimanapun kemudiannya suspek telah dibebaskan. Saya mahukan penjelasan)

Menurut Gani lagi cara penggendalian penyiasatan seperti ini menimbulkan persepsi buruk terhadap pihak polis dan sistem yang digunakan.
Beliau mengambil contoh wanita Indonesia 23 tahun yang ditahan selama 14 hari dan kemudiannya dibebaskan (yang dikatakan menelan kad sim kepunyaannya). Wanita itu dibebaskan kerana dikatakan telah memberikan maklumat palsu, tetapi dalam waktu yang sama seorang pegawai kanan polis menyatakan yang beliau nanti akan menjadi saksi utama. Macam mana seorang yang memberi maklumat palsu boleh pula menjadi saksi utama?
Peguan Negara itu menambah bahawa orang-ramai perlu dimaklumkan darihal perkembangan penyiasatan kes ini namun mereka seharusnya tidak dikelirukan.
Kalau saya seorang sahaja yang membebel menyatakan bahawa kes ini bagaikan: Wild goose chase, mungkin ada yang mengatakan saya ini tiada kerja lain selain membangkang dan mengkritik. Tetapi apabila Peguam Negara turut menyatakan perkara yang sama saya merasakan: Surely there is something rotten in the state of Denmark!
Antara Carter dan Pengerusi OIC

Masihkah anda ingat Jimmy Carter?
Ya, beliau adalah Presiden Amerika Syarikat ditahun 70an dan semasa pentadbirannya beliau telah cuba mendamaikan konflik di Timur Tengah melalui Perjanjian Damai Camp David pada tahun 1978 yang telah menemukan Anwar Sadat dan Menachem Begin.


Carter kini sudah berusia 83 tahun, namun dalam usia sebegitu beliau terus mencipta nama atas kapasitinya sebagai seorang negarawan dan bekas Presiden AS. Semasa Palestin mengadakan pilihanrayanya dimana Hamas berjaya mengalahkan Fatah, Carter terlibat dalam memantau pilihanraya tersebut dan telah mengesahkan kebebasannya dan kemenangan Hamas itu.
Carter kini telah menghasilkan 24 buah buku dan pada tahun 2002 lalu telah memenangi Nobel Peace Prize atas sumbangannya terhadap keamanan dunia.
Salah sebuah tulisan Carter bertajuk: Palestine peace not apartheid, menerima krtikkan hebat khasnya di Amerika Syarikat sendiri yang sememangnya menjuarai polisi pro negara Yahudi itu. Tetapi Carter tetap dengan pendiriannya. Menurut beliau keamanan hanya dapat dicapai di Palestin kiranya AS mengambil sikap dan pendirian yang bebas tanpa menyebelahi mana-mana pihak, atas nama keamanan.

Menurut Carter sebagaimana dilaporkan oleh New York Times baru-baru ini, Presiden AS perlu realisitk dan melakukan sesuatu yang berpatutan, dan tidak didorong oleh sentimen atau emosi. Carter melontarkan beberapa persoalan antaranya:
Can the next president say that Palestinian rights need to be protected?
Can the next president sat that Resolution 242 needs to be implemented?
Can the next president say that settlements in the West Bank are an obstacle to peace?

Bolehkah presiden yang baru nanti berkata bahwa hak rakyat Palestin perlu dipertahankan?
Bolehkah presiden yang baru nanti berkata bahawa Resolusi (PBB) 242 (yang mendesak Israel undur dari jajahan takluknya) perlu dikuatkuasakan?
Bolehkah presiden baru nanti berkata bahwa penempatan Yahudi di Tebing Barat adalah merupakan halangan ke arah proses damai?


Jawab Carter:

I dont know

Menurut Carter lagi ternayata Presiden Bush gagal melakukan sesuatu yang bermakna ke arah pendamaian di Timur Tengah. Malah katanya Naib Presiden, Dick Chenney, adalah suatu malapetaka dan seorang militan.

Mungkin ramai yang prejudis terhadap mana-mana Presiden atau bekas Presiden AS atas apa sebab sekalipun, tapi bagi saya sekurang-kurangya Carter telah membuktikan yang masih ada negarawan AS yang siuman dan memahami erti kedamaian yang sebenar. Jika Afrika Selatan satu ketika dahulu dikritik kerana mengamalkan dasar apartheid di negara majoriti kulit hitam itu, apa bezanya Israel hari ini? Sekurang-kurangnya Carter bukan sekadar menulis dan berhujah, malah sanggup turun ke Tebing Barat dan Gaza bagi memastikan proses demokrasi dan keadilan itu berlaku di bumi Palestin. Begitu juga baru-baru ini beliau turun sendiri ke Darfur sehingga kehadirannya hampir mencetuskan ketegangan semata-mata kerana mahu tahu secara sendiri keadaan di sana.

Pengerusi OIC bagaimana? Sekadar lontaran sambil memakan ketupat dan lemang.

Thursday, October 11, 2007

Keperitan dirasa menjelang Aidil Fitri

Benarkah suasana Hari Raya kali ini berbeza dari tahun-tahun sebelumnya? Sekurang-kurangnya itulah laporan dalam sisipan akhbar The Star hari ini iaitu METRO. Menurut laporannya pengusaha-pengusaha gerai-gerai sementara Hari Raya di sekitar Chow Kit,KL merungut yang para pelanggan mereka sangat berkurangan tahun ini.


Menurut seorang pengusaha jika pada tahun-tahun lepas, mereka yang berniaga sehingga tidaks empat berbuka puasa tetapi pada tahun ini suasananya lenggang sahaja. Ada yang merungut jika beginilah keadaannya mereka terpkasa melelong stok mereka atau memulangkannya mentah-mentah kepada para pembekal.

Mengapa ini berlaku?

Mungkinkah Ramadhan tahun ini memberikan keinsafan kepada umat Islam di Malaysia agar tidak lagi berboros, berjimat cermat, dan belanja hanya apabila perlu, alhmadulillah. Mungkin itu faktornya.

Namun saya juga melihat selain keinsafan itu sebenarnya kemampuan mereka pun kali ini tidak seperti dahulu. Kos dan harga barang semakin mahal, akibatnya duit ditangan semakin mengecil. Benar gaji kakitangan awam telah naik, tetapi nampaknya ia tidak banyak meredakan kegawatan kos hidup yang semakin mencacak naik.

Baguslah juga kita belajar berjimat cermat, kerana itulah apabila eorang pengunjung BLOG ini memberikan komen terhadap artikel saya berkenaan ANGKASAWAN Malaysia dengan menyebut:

Sekurang-kurangnya ada juga rakyat Malaysia yang dihantarkan ke angkasa lepas. Isunya bukan pelancong mahal. Saudara pun boleh fikir, adakah semua benda free semata-mata.

Saya rasa sangat sedih. Memang bukan semua benda free semata-mata, tetapi manakah yang lebih utama?

Kemampuan kita kecil, benar Allah swt telah menganugerahkan kita dengan kekayaan hasil bumi, tetapi kehidupan rakyat masih belum selesa. Ingat tak anda pada kes sekeluarga yang terbakar di Johor kerana tidak mampu bayar bil letrik satu ketika dahulu, kemudian terbaru di Jalan San Peng dan lain-lain yang pernah saya paparkan di BLOG ini. Rakyat kita yang papa kedana mungkin tidak ramai, tetapi yang bekerja dan berpendapatan namun tidak padan dengan kos hidup semasa, itu ramai. Sepatutnya tumpuan negara lebih kepada mempertingkatkan kemampuan hidup rakyat.

Gaji kakitangan awam dinaikkan (kemungkinan tanpa bonus), tetapi kos-kos lain terus naik. Harga bahan makanan dan perkhidmatan semakin mahal. Semalam dilaporkan susu tepung untuk bayi juga akan naik. Sebuah keluarga di Port Dickson (yang pernah saya laporkan di sini) memberi susu pekat manis kepada bayinya kerana tidak mampu membeli susu tepung untuk bayi, bayangkanlah.

Harga besi keluli tempatan kini berada ditahap tertinggi, menurut laporan. Ini sudah pasti akan dipindahkan kepada para pengguna, harag rumah akan naik, kos pembinaan kemudahan dan infrastruktur akan naik. Kadar tol di lebuhraya juga dijangka naik dan begitu juga tambang bas.
Kalau dihari untuk bergembira pun rakyat sudah tidak mampu bergembeira, sudah pasti something is wrong somewhere.

Sepatutnya kita memikirkan kebajikan rakyat. Saya lihat para peneroka FELDA kini diberi perhatian istimewa oleh kerajaan khasnya TPM, alhmadulillah. Tetapi bagaimana dengan para pekerja swasta yang menuntut gaji minima dan kenaikkan COLA melalui MTUC? Mengapa tuntutan mereka tidak dipedulikan sehingga kini?

Dan kita bercadang mahu menghantar seorang lagi angksawan ke langit! Fikirkanlah.