Thursday, October 04, 2007

RM141 juta untuk taman botani terbesar di dunia

Bermacam-macam nama telah diberikan kepadanya. Dari Bukit Cerakah ke Taman Pertanian Bukit Cahaya Sri Alam ke Taman Pertanian Bukit Cerakah dan kini ke Taman Botani Negara Shah Alam. Saya masih ingat semasa Tan Sri Sanusi Junid merupakan Menteri Pertanian dahulu, beliaulah yang telah membangunkan kawasan ini sebagai sebuah taman pertanian.
Ketika itu pun sudah jutaan ringgit ditaburkan untuk mewujudkan rumah empat musim, taman kaktus, sawah padi dan perlbagai kemudahan dan infrastruktur.

Bukit Cerakah menjadi sebutan ramai dan isu kontroversi apabila MB Selangor Khir Toyo didapati membiarkan kawasan persekitaran taman pertanian ini dibangunkan tanpa kawalan sehingga menjejaskan ekosistem kawasan berkenaan. Habis bukit-bukau disekelilingnya digondol dengan begitu rancak sekali. Apabila didedahkan oleh media, Khir letih bersilat mahu mempertahankan diri dan menepis tanggungjawab kesesiapa sahaja mangsa yang boleh dicarinya. Dan kemuncak krisi ini apabila PM sendiri terbang dengan helikopter bagi melihat kesan pembangunan luar kawalan itu.

Kalau kita masih ingat sekitar April 2005 Dollah dilaporkan berkata:

Saya lihat kawasan yang dibangunkan itu habis pokok-pokok ditebang. Tidak ada pokok malahan rumput pun tidak ada.

Berikutan itu syarikat-syarikat pemaju berkenaan telah diheret ke mahkamah termasuklah anak syarikat PKNS milik kerajaan negeri.
Dalam akhbar hari ini Menteri Pertanian Mahyuddin Yasin pula mengumumkan bahawa kerajaan pusat akan membangunkan kawasan 817 hektar ini dan menamakannya Taman Botani Negara Shah Alam. Membangunkan? Berapa kalilah ianya perlu dibangunkan? Ianya akan menjadi tama botani terbesar di dunia kata Muhyuddin.

Seperti biasa wang rakyat akan dicurahkan lagi kali ini sebanyak RM141 juta lagi. Kata Mahyuddin kerajaan Selangor telah memberikan pajakan 60 tahun kepada kerajaan pusat untuk tujuan ini. Kerja-kerja pembangunan akan akan dimulakan dalan Rancangan Malaysia ke 9 ini membawa ke RMK 10.
Datang satu menteri, datanglah satu idea lain maka ditebuklah kantung negara untuk meraikan idea baru dari menteri baru. Yang kaya dan tersenyum nanti adalah para kontraktor dan pembekal (termasuklah barangkali pak menteri dan kroni-kroni), yang merintih dan mengerang adalah kita rakyat. Kos hidup semakin naik, belanja kerajaan pun semakin menjadi-exejadi. Apa nak dikatakan, Malaysiaku Gemilang.

No comments: