1 kes rogol setiap 4 jam di Malaysia
Jawapan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Fu Ah Kiow, di Dewan Rakyat semalam seolah menggambarkan keadaan jenayah dalam negara kita terkawal. Umpamanya beliau berkata indek jenayah di empat buah negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Kuala Lumpur menunjukkan penurunan.
Dalam pada itu beliau menjelaskan pada tahun 2005, terdapat 9,617 kes ragut, 15,409 kes rompak dan 497 kes bunuh. Tahun 2006, 9,551 kes ragut (turun 66 kes), 21,419 kes rompak (naik 6,010) dan 604 kes bunuh(naik 107).
Lebih membimbangkan lagi adalah kes rogol. Tetapi menurut Timbalan Menteri berkenaan walaupun terdapat 1,206 kes rogol (yang dilaporkan) untuk 7 bulan pertama tahun ini, 86% telah diselesaikan. Saya tidak nampak kes yang diselesaikan itu, yang saya nampak adalah jumlah kes iaitu 1,206 dari Januari ke Julai 2007, bermakna terdapat purata 172 kes rogol sebulan ataupun 5.7 kes sehari di Malaysia ataupun hampir 1 kes rogol setiap 4 jam!
Angka ini ternyata membayangkan betapa tidak selamatnya suasana dalam negara. Dan kita sudah pasti tidak tahu berapa pula bilangan kes rogol yang tidak dilaporkan sama-sekali mungkin kerana malu, takut, diugut dan sebagainya.
Dimanakah silap kita?
Menurut Timbalan Menteri itu lagi punca berlaku kes jenayah termasuk menjadikan wanita sebagai mangsa disebabkan faktor ekonomi seperti pengangguran, penggunaan dadah yang serius,dan kehadiran pekerja asing. Lalu apakah langkah yang telah kita ambil? Apakah usaha kita untuk membentuk dan melahirkan masyarakat yang berkahlak dan bertaqwa?
Saya selitkan disini sebuah artikel dari laman web IKIM bertajuk: ISLAM HADHARI BENTUK MODAL INSAN BERKUALITI karangan salah seorang Fellow di sana:
Konsep Islam Hadhari yang dibawa kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan manusia.
Menerusi gagasan Islam Hadhari sumber manusia ini akan melalui satu skim program pendidikan menyeluruh yang turut merangkumi aspek kerohanian agar insan yang bakal dihasilkan nanti adalah insan yang berkualiti dan dinamik.
Strategi yang diambil kerajaan untuk mencapai kemajuan yang dimulakan dengan daya usaha pembangunan sumber manusia adalah selaras dengan ajaran Islam. Kemakmuran dan kesejahteraan negara banyak begantung kepada penduduknya. Jadi jika setiap orang di negara ini mempunyai kualiti seperti beriman, bertakwa dan berakhlak mulia, tentu ia akan memudahkan proses untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang kehidupan.
Jelasnya konspe pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses untuk membentuk insan yang baik dan berguna. Ia bukan saja kepada dirinya malaha masyarakat, agama dan negara.
Jika manusia mempunyai ciri keperibadian yang digariskan Islam seperti itu, pasti kejayaan akan menjadi kenyataan.
Sememangnya inilah yang dijanjikan oleh Allah dalam firman Nya bermaksud:
Sekiranya penduduk suatu negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan membuka kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah
berkatnya dari langit dan bumi (al Ahzab: 96)
Saya paparkan disini konsep yang dicetuskan oleh PM Dollah Badawi sebagai iktibar kepada kita sejauh manakah keberkesanan langkah dan usaha yang kita ambil untuk membentuk masyarakat Malaysia yangcemerlang. Lihat angka-angka jenayah di atas dan lihat konsep yang cuba diperkenalkan ini.
Rupanya semakin kita maju dan membangun, kadar jenayah seolah bangkit seiringan dengan kemajuan dan pembanguna kita, begitukah sepatutnya?
Di Dewan Rakyat juga Ketua Pembangkang menyarankan kerajaan agar membenteras dan menghapuskan budaya Mat Rempit yang sejak kebelakangan ini semakin berani dan menjadi-jadi. Itu pun satu gejala baru yang jelas kita semakin gagal tangani (walaupun ada usaha satu ketika oleh Putera Umno untuk memuluhkan mereka ini kononnya, nampaknya bilangan mereka semakin menjadi-jadi dengan perangai yang semakin liar dan membahayakan masyarakat).
Dimanakah silap kita? Benarkah PM dan kerajaan seakan gagal membendung dan mengatasi masalah ini?
No comments:
Post a Comment