Perhimpunan Umno: Jangan sampai mengguris hati orang
Semasa saya diberi kesempatan menemuramah YBM Tengku Razaleigh Hamzah untuk WTV8 tahun lepas sejurus Perhimpunan Agung Umno, masih saya ingat ketika itu kami membincangkan darihal kegagalan perhimpunan parti tersebut untuk membangkit dan membincangkan isu-isu nasib dan masa depan Melayu. Sebaliknya perhimpunan tahun itu lebih tertumpu kepada isu-isu menjulang dan memuji pemimpin.
Isu bahasa ketika itu hangat diperkatakan, tuntutan agar pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris kembali diajar dalam Bahasa Melayu dibuat dan dibahasakan oleh ahli-ahli akademik, intelektual dan NGO Melayu. Namun ia tidak mendapat te,pat dalam perhimpunan Umno, malah ia berlalu begitu sahaja tanpa diberi perhatian.
Semalam Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengingatkan para perwakilan pemuda agar tidak membangkitkan dan menyentuh perkara yang berkaitan dengan sensitiviti kaum. Kata beliau jangan keterlaluan kerana kita pun kena memahami sensitiviti kaum yang lain, jangan sehingga mengguris hati mereka.
Tetapi jika sesuatu isu itu mendesak, penting berkaitan nasib dan masa depan Melayu mengapa tidak? Jika pun ia sensitif mengapa Umno sebagai kononnya parti Melayu terbesar dalam negara tidak mahu membincangkannya? Kalau Umno tidak mahu membangkitkan dan membincangkan isu-isu Melayu kerana takut mengguris hati orang lain, jadi pada siapa lagi mahu diharapkan?
Mungkin sudah sampai waktunya bagi orang-orang Melayu menyemak semula relevan ataupun tidaknya Umno sebagai sebuah parti atau wadah mewakili orang-orang Melayu, kerana nampaknya mereka sudah lesu dan tidak bertenaga lagi.
Isu bahasa tidak selesai, isu orang Melayu yang merempat diperumahan setinggan tanpa pembelaan tidak selesai, isu gejala sosial dikalangan remaja Melayu tidak selesai, isu murtad yang mencabar kewibawaan agama Islam tidak selesai, isu orang Melayu yang keciciran dalam bidang ekonomi tidak selesai, semuanya sensitif belaka, takkanlah Umno mahu tunggu MCA dan Gerakan beri lampu hijau baru boleh dibincangkan?
Kita bukannya mahu Umno bagaikan budak separuh tiang, menjulang keris menakut-nakutkan bangsa lai. Kita mahu melihat mereka benar-benar menepati prinsip perjuangan mereka kononnya mahu membela agama, bangsa dan negara. Jika mereka sudah mula takut-takut, sudah mula sejuk dan berseronok dengan apa yang ada, maka sudah sampailah masanya kita melepaskan sahaja mereka dengan mencari kelompok parti lain yang lebih mampu dan bertenaga.
Katakan: Selamat jalan Umno!
No comments:
Post a Comment