Tuesday, October 30, 2007

Permulaan ke arah perubahan yang lebih besar

Terdapat dua ucapan yang disampaikan oleh dua tokoh besar dalam dua majlis yang berbeza semalam yang telah menarik perhatian saya.

Pertama adalah ucapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ketika meresmikan Persidangan Perundangan Malaysia ke 14 ( 14th Malaysian Law Conference) anjuran Majlis Peguam Malaysia di Kuala Lumpur semalam. Dan yang kedua adalah ucapan MB Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam majlis pelancaran Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kota Bharu juga semalam.

Sultan Perak bertitah ketika negara sedang menyaksikan kewibawaan badan kehakiman mula dipertikaikan kembali oleh rakyat. Pendedahan video kontroversi VK Lingam, yang memaparkan betapa badan yang dipandang tinggi itu boleh dijual-beli dan ditawar-menawar sungguh mengaib dan mendukacitakan. Rakyat mula tertanya-tanya kembali, benarkah hakim-hakim boleh dijual beli, tunduk di bawah telunjuk badan eksekutif dan tidak lagi bebas malah tercemar dengan rasuah?

Sultan Azlan mengakui yang sejak kebelakangna ini badan terdapat perkembangan yang tidak menyenangkan yang melibatkan badan kehakiman, yang telah didedahkan pihak media. Titah Sultan Azlan:

Badan kehakiman hilang nilai dan gunanya kepada masyarakat apabila rakyat tidak lagi yakin pada keputusan-keputusannya. Kualiti utama yang perlu dimiliki oleh badan ini adalah kebebasannya.

Dalam video VK Lingam itu kita dapat melihat betapa tokoh korporat dan politik dilibatkan dalam menentukan kedudukan dan perlantikan para hakim. Titah Sultan Azlan lagi:

Pada hari ini para hakim perlu berhati-hati kerana punca terhakisnya kebebasan mereka boleh datang dari pelbagai penjuru tidak hanya dari badan eksekutif. Kerana itu para hakim mesti memiliki daya ketahanan, menjauhkan diri dilihat terlibat secara sosial dengan tokoh-tokoh perniagaan dan mereka-mereka yang mempunyai hubungan dengan orang atasan.

Tambah Sultan Azlan lagi badan kehakiman kita pernah dipandang tinggi dan keputusan-keputusannya pernah menjadi rujukan negara-negara yang mengamalkan common law.
Jelas Sultan Perak bercakap bukan sekadar sebagai seorang Sultan tetapi juga sebagai seorang bekas Ketua Hakim Negara yang pernah menabur banyak jasa dibidang kehakiman negara sebelum dilantik menjadi Sultan. Pemerhatian dan teguran Tuanku itu perlu diambil perhatian, dan mana-mana pihak yang diberi tanggungjawab perlu meleraikan kekusutan yang melanda institusi penting dalam sistem demokrasi berparlimen negara kita yang merdeka ini.

Sementara itu jauh di Kota Bharu lain pula kisahnya. Di sana buat pertama kali dalam sejarah 17 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru MB Kelantan diberikan kesempatan hadir dan berucap dalam majlis yang turut dihadiri PM Malaysia. Ianya pasti suatu majlis yang bersejarah dan khasnya bermakna buat rakyat di Negeri Serambi Mekah itu.
Tok Guru dalam meraikan kehadiran PM dan MB-MB Terengganu, Pahang dan Johor menegaskan dengan penuh makna bahawa pelancaran ECER ini menguji keikhlasan kedua-dua pihak (Pusat dan Negeri) dalam berkongsi anugerah Allah swt. Dalam kesediaan untuk berkerja bersama itu Tok Guru mencelah:
Tanpa pertukaran apa-apa, pelan yang bakal dilancar dan dilaksanakan nanti tidak memerlukan apa-apa perubahan nakhoda. Kapal boleh belayar dengan matlamat yang tidak berganjak yakni memakmurkan bumi Allah dengan segala ikhtiar yang tidak menyalahi syariat Illahi.
Dalam erti kata lain, demi mencapai maksud pelan ini, maka segala perbezaan politik seharusnya diketepikan, dan masing-masing memaparkan keiikhlasan dan kesungguhan tanpa mana-mana pihak mengambil kesempatan politik untuk menjadi juara atau menjadikan pelan ini sebagai umpan politik kepada rakyat.
Dan Tok Guru mengambil kesempatan memberikan pesan:
Mari kita cuba menjadi lebih ikhlas dengan cuba sama-sama memperbetulkan keadaan, memikul amanah agama demi memulihkan manusia untuk kembali kepada nilai-nilai fitrah keinsanan sejati selaras dengan prinsip asal ubudiyyah sejak asal kita semua dijadikan.

Begitulah yang diharapkan. Mudah-mudahan kerjasama ikhlas dan jujur kedua-dua pihak dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri Kelantan tanpa mengira fahaman dan perbezaan politik.


Itulah dua ucapan yang bagi saya membayangkan sesuatu yang lebih besar dan bermakna bakal melanda rakyat dan negara ini sekiranya kita masing-masing bersedia dan berusaha untuk bangkit membuat perubahan. Ayuh kita kembali kepada kebenaran. Ayuh kita robohkan sebarang kejahatan dan syak wasangka sesama kita. Ayuh kita pulihkan negara dari sebarang penyelewengan dan kerja-kerja jahat yang mahu meruntuhkan kewibawaan negara yang kita kasihi ini.

No comments: