Mula-mula kita dikejutkan dengan penahanan 4 orang lelaki dan seorang wanita yang dikatakan berkaitan dengan siasatan ke atas kes pembunuhan kejam Allahyarham Adik Nurin Jazlin. Ada pihak mengatakan yang salah seorang yang ditahan itu memiliki rekod jenayah seksual. Maka ramailah yang yang mengurut dada, akhirnya tertangkap juga pembunuh celaka itu.
Tiba-tiba kita diberitahu kesemua mereka dibebaskan apabila pihak polis mendapati mereka tidak ada kena mengena dengan kes ini. Lalu ditangkap pula seorang wanita warga Indonesia. Wanita ini dikatakan memelihara dan memberi makan kepada Nurin sepanjang beliau diculik. Sekali lagi kita mengurut dada, maki hamun dilemparkan kepada wanita Indon itu.
Dan semalam sewaktu masing-masing menunggu-nunggu hari BLAST OFF Soyuz TMA-11, tiba-tiba kita digemparkan dengan berita yang wanita Indon itu pun dibebaskan oleh polis kerana tidak cukup bukti. Ada yang mengatakan wanita itu sengaja mereka-reka cerita, sedangkan beliau tidak pernah berada bersama Nurin.
Dan kini pihak polis mengarahkan orang-ramai agar menumpukan perhatian kepada dua gambar PHOTOFIT yang dikatakan suspek dalam kes ini. Nampak gaya kita macam berada dalam suasana:
WILD GOOSE CHASE
Pepatah Inggeris, mengejar angsa liar, iaitu kerja sia-sia dan tidak terarah. Kita akui memang menjejak si binatang yang bertanggungjawab dalam kes ini bukan perkara mudah, tetapi pihak polis perlulah lebih profesional dan tidak dilihat macam berada dalam situasi WILD GOOSE CHASE. Sudahlah kini orang-ramai marah-marah bagaimana gambar Allahyarham termasuk semasa dibedah siasat boleh diedarkan melalui email (pasti yang mengedarkan gambar itu samada jurufoto polis atau pekerja hospital), kini lepas satu-satu suspek dibebaskan.
Kini sama-samalah kita tunggu bantuan FBI pula dalam mengenal-pasti gambar yang diambil dari CCTV ketika mayat Allahyarham dijumpai.
Kes ini kini menjadi kes high profile kerana seluruh rakyat Malaysia sudah dibabitkan bersama dari segi emosi, dalam mengikutinya. Sudah pastilah tekanan kuat berada pada pihak polis. Dalam ketika kewibawaan PDRM dicabar rakyat, terutama selepas Tragedi Batu Burok (dimana orang awam ditembak oleh pihak polis dengan peluru hidup), kini kejayaan menyelesaikan kes Nurin ini akan membantu menjernihkan imej mereka.
Kalau boleh janganlah sensasikan sangat penahanan mana-mana suspek dalam kes ini, buatlah kerja dengan cermat,ikhlas dan berhati-hati, jangan gila mengejar publisiti, akhirnya nama baik tercemar begitu sahaja. Kita tahu puluhan lagi kes bunuh seksual seperti ini tidak berjaya diselesaikan sehingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment