Jenguk-jenguklah mereka yang kurang bernasib baik
Hari ini adalah hari yang ke 26 kita berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Kita dijangka merayakan Aidil Fitri pada hari Sabtu ini. Sudah pastilah anak-anak kita terutamanya, ceria dan gembira menantikan saat kedatangkan Hari Raya yang ditunggu-tunggu walaupun bagi mereka yang faham, akan meratapi pemergian Ramadhan iaitu bulan Allah swt yang menjanjikan syurga dan keampunan bagi layak dan berjaya.
Dalam suasana sebegini saya sedih apabila membaca beberapa berita dalam akhbar tempatan hari ini yang menggambarkan realiti kehidupan masyarakat kita di dunia yang serba mencabar ini.Kita bersyukur dengan apa yang kita ada, rupanya ramai yang menderita dalam kesempitan.
Muka hadapan Berita Harian contohnya kita dipaparkan dengan kisah seorang kanak-kanak perempuan 18 bulan rentung mati terbakar di sebuah bilik rumah kedai di Jalan San Peng yang disewa oleh ibunya. Dua orang abangnya tiga dan lima tahun walaubagaimanapun berjaya diselamatkan oleh jiran berdekatan. Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang setelah ketiga-tiga beranak ini ditinggalkan oleh ibunya di dalam bilik berkenaan.
Ke mana ibu mereka?
Ibu mereka 37 tahun, adalah seorang ibu tunggal. Bekerja sebagai pembantu kedai di Jalan Pudu. Sebelumnya, menurut laporan, anak-anaknya ditinggalkan untuk dijaga oleh pengasuh, akan tetapi kerana kesempitan kewangan beliau terpaksa meninggalkan anak-anaknya tanpa pengawasan semasa beliau keluar bekerja.
Bayangkan masih ada rakyat Malaysia, anak Melayu beragama Islam, yang terpaksa hidup perit sebegini, menderita sehingga terkorban anaknya, bukan kerana kecuaiannya tetapi kerana tekanan hidup yang dihadapi.
Di muka belakang akhbar yang sama pula disiarkan kisah seorang ibu Hasnah Mohamad, 51 tahun, yang terpaksa mengurus dan menanggung suaminya, 62 tahun, yang lumpuh separuh badan dan anaknya Siti Hafizzah, 15 tahun yang cacat. Beliau juga mempunyai seorang anak, 13 tahun yang sempurna dan masih bersekolah. Mereka sekeluarga tinggal di Port Dickson.
Menurut Hasnah beliau bergantung hidup pada pencen suaminya sebanyak RM400 sebulan. Bagi menambahkan pendapatan wanita tua ini turut bekerja mencari siput laut dan menanam sayur-sayuran tetapi hasilnya sangat sedikit.
Jika berbuka puasa di hotel lima bintang di Kuala Lumpur RM400 ini boleh dihabiskan dalam semalaman untuk buffet berbuka sekitar 6 ke 7 orang. Tetapi ibu tua ini terpaksa berbelanja jumlah itu untuk sebulan bagi menanggung makan-minum, belanja sekolah, perubatan dan lain-lain untuk keluarganya. Apa persaan anda bila membaca kisah ini?
Dalam akhbar The Star pula muka 10 disiarkan juga di Port Dickson tentang Zulkifli Abdul Rashid, 49 tahun, yang menanggung isteri dan lima orang anak. Akibat tekanan hidup beliau sekeluarga telah berhijrah dari Ipoh ke Kampung Chokra, PD untuk memulakan hidup baru. Dilaporkan sejurus tiba di PD mereka sekluarga tinggal dalam khemah yang dibina berhampiran pantai PD. Apabila khmeah tersebut rosak mereka sekeluarga menjadikan stesyen bas sebagai tempat perteduhan. Dari situ seorang pemandu teksi telah membawa mereka tinggal ke rumah mereka kini yang tidak ada bekalan letrik.
Kata Zulkifli hidup mereka memang susah, beliau baru sahaja mendapat kerja sebagai pengawal keselamatan bulan ini manakala isterinya mengambil upah mencuci pinggan amngkuk di sebuah restoran dengan upah RM20 sehari. Itupun tidak kerap oleh kerana kesihatannya sering terganggu.
Susah hidup mereka menurut Zulkifli sehingga anak bongsunya Zulkhalid, 8 bulan terpaksa diberi minum susu pekat manis oleh kerana mereka tidak mampu membeli susu bayi.
The Star melaporkan, yang nasib mereka ini sampai kepengetahuan Persatuan Belia Sikh di sana. Lalu persatuan tersebut baru-baru ini atas dasar perikemanusiaan telah menyerahkan wang tunia, peralatan, barang dan bahan makanan, tilam yang kesemuanya berjumlah RM3,000 untuk keluarga ini. Ahli-ahli persatuan juga telah membawa anak-anak tidak bernasib baik ini membeli-belah pakaian Hari Raya.
Kita perlu mengucapkan terima kasih kepada Negeri Sembilan Sikh Naujawan Sabha ini. Sepatutnya masyarakat Islamlah yang tampil ke hadapan membantu dan meringankan beban keluarga ini.
Kesimpulannya lihatlah, ini mungkin contoh-contoh kecil yang dapat kita pungut kerana kebetulan terbit dalam akhbar, bagaimana dengan ratusan atau mungkin ribuan kes lagi yang tidak kita ketahui? Kita mendabik dada sudah 50 tahun Merdeka, 13 tahun lagi mahu mencapai status negara maju, mana pergi badan dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab? Duit zakat yang kita bayar ke pusat-pusat zakat, ke mana dibelanjakan? Kenapa masih ramai yang menderita tanpa pembelaan seperti ini sedangkan mereka dikalangan anak-anak bangsa sendiri?
Malaysiaku Gemilang tetapi rupa-rupanya masih ramai dikalangan anak-anak bangsanya yang merempat dan menderita, tanpa pembelaan.
No comments:
Post a Comment