Semasa menolak rayuan beliau terhadap hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 yang dikenakan terhadapnya , Hakim Shaikh Daud telah menyatakan:
Abdul Rahim melakukan kesalahan itu pada masa dia memegang jawatan tertinggi dalam pasukan polis. Abdul Rahim sepatutnya menjadi contoh dalam pasukan polis tetapi sebaliknya dia meletakkan dirinya pada tahap yang paling rendah akibat perbuatan yang telah dilakukannya.
Tindakan perayu yang dilakukan terhadap orang tahanan tidak dapat dibayangkan dan ia tidak berperikemanusiaan. Tambahan pula dalam kes ini, orang tahanan itu diarahkan oleh Abdul Rahim supaya diikat (ditutup) kedua-dua matanya dengan kain dan yang paling teruk tangan digari dari belakang. Ini suatu perbuatan yang teruk dalam pasukan polis yang berdisiplin.
Abdul Rahim yang dimaksudkan adalah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Nor yang didapati bersalah membelasah bekas TPM Dato Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis di Bukit Aman satu ketika dahulu.
Semalam sekali lagi nama Rahim muncul. Kali ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes saman bekas tahanan ISA Abdul Malek Hussin yang telah menyaman Rahim (selaku bekas KPN), seorang pegawai SB dan kerajaan Malaysia kerana mendera serta menahan beliau secara salah selama 57 hari kira-kira sembilan tahun lalu.
Hakim Hishamuddin Mohd Yunus telah memerintahkan agar Malek dibayar gantirugi sejumlah RM2.5 juta (rekod di Malaysia). Dalam saman itu, Malek mendakwa telah ditumbuk dan disepak termasuk oleh Abdul Rahim sehingga tidak sedarkan diri semasa dalam tahanan selain dipaksa minum air kencing serta didera secara seksual di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).
Mengenai Abdul Rahim, hakim tersebut menyatakan:
Kelakuan keji oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor amat memalukan dan mengaibkan. Beliau telah menunjukkan contoh yang buruk kepada ribuan anggota dan pegawai di bawahnya.
Ternyata rekod Rahim selaku Ketua Polis Negara mengaib dan memalukan negara dan seluruh rakyat Malaysia, dan ini kes kedua yang membuktikannya, entah berapa kes lagi yang tidak dilaporkan. Kita bukannya diperintah oleh Nazi Jerman bawah Hitler, atau Uganda di bawah Idi Amin, atau Kemboja bawah Pol Pot atau kerajaan junta tentera Myanmar. Kehadiran pemimpin seperti Rahim ini memberikan gambaran seolah kita demikian rupa.
Oleh itu tidaklah keterlaluan jika disyorkan agar Istana Negara menarik balik anugerah Panglima Setia Mahkota atau PSM yang membawa gelaran Tan Sri yang disandang oleh Rahim. Mungkin ada NGO atau Malek sendiri atau sesiapa sahaja mengusahakan satu petisyen untuk dihadapkan kepada Yang Dipertuan Agung mengenai perkara ini. Kalau ada negeri di Malaysia yang tidak teragak-agak menarik balik gelaran Dato kepada penerima yang melakukan kesalahan jenayah, apa istimewanya Rahim Nor ini?!
No comments:
Post a Comment