Negara dilanda krisis kehakiman yang serius
Hari ini Panel Penyiasat yang ditubuhkan oleh kabinet untuk mengkaji kesahihan video kontroversi VK Lingam dikatakan akan mengadakan mesyuarat mereka yang pertama. Pengerusi panel Tan Sri Haidar Mohd Noor dilaporkan di dalam akhbar sebagai berkata tugas utama mereka adalah mengkaji samada video itu sahih ataupun tidak. Panel ini tidak memiliki banyak kuasa kerana ia ditubuhkan oleh kabinet dan bukan melalui kuasa akta parlimen.
Malah Haidar mengakui mereka tidak pun memiliki kuasa memanggil sesiapa pun untuk memberikan keterangan bagi membantu tugas-tugas mereka. Namun dari segi prosedur pentadbiran pihak polis dan BPR bolehlah diarahkan agar bekerjasama dengan mereka.
Kalau dah tidak mempunyai kuasa, mengapa TPM Najib Tun Razak bersungguh mahu menubuhkan juga panel ini? Bukankah lebih baik sebuah Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan, sekurang-kurangnya mereka nanti akan berkuasa mengarahkan mana-mana pihak untuk memberikan kenyataan bagi membantu penyiasatan.
Dahlah anggota panel ini pun termasuklah Haidar diragui kewibawaannya, sekarang mereka sendiri maklum mereka tidak memiliki banyak kuasa. Mungkinkah ini petanda bahawa video itu nanti akan disahkan sebagai palsu dan kes ini ditutup begitu sahaja?
Sesungguhnya implikasi dari video ini besar. Kerana itu semua pihak kecuali kerajaan mahukan agar satu Suruhanjaya di Raja dibentuk bagi menyiasat dan membuat cadangan tindakan susulan. Kesahihan video ini memang penting dan lebih penting lagi jika ia sahih apakah tindakan seterusnya yang akan diambil.
Malaysiakini melaporkan yang bekas ahli Parlimen Bukit Bintang sudah bercadang mengemukan permohonan semakan kehakiman terhadap kes beliau dahulu, kerana jika sahih klip video ini bermakna Ahmad Fairuz (yang mengadili kesnya dahulu) ternyata telah menzaliminya.Mungkinkah petisyen terhadap beliau dahulu nanti diterbalikkan lantaran perkembangan ini, apa akan jadi nanti? Dan perkembangan ini berkait pula dengan perlantikkan ketua-ketua hakim sebelumnya sehinggalah ke kes pemecatan Tun Salleh dahulu, mungkinkah semua kezaliman itu nanti akan disemak semula?
Memang ini merupakan titik penting dalam menentukan integriti dan maruah badan kehakiman negara. Jika hakim-hakim sudah boleh dijual-beli, bermakna seluruh sistem demokrasi yang kita amalkan sudah rosak dan tercemar.
Tun Salleh Abas di dalam bukunya:
Kebebasan kehakiman: Singa di abwah takhta dijerat (satu kezaliman)
ada menulis,:
Hakim yang sebenar adalah sebagai pelidnung hak rakyat, kiranya hak-hak itu terjejas atau terancam. Hakim diibaratkan sebagai singa di bawah takhta, tetapi yang menduduki takhta (itu) bukannya Raja, bukannya Eksekutif dan bukannya sesiapa tetapi ialah undang-undang. Inilah makna kedaulatan undang-undang.
Siapakah yang akan mempertahankan kedaulatan undang-undang itu jika hakim-hakim kita sudah bagaikan ayam daging, yang boleh dijual-beli?
No comments:
Post a Comment