Jangan biarkan Pak Kadok menggadai kampung
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Shafiee Apdal, meminta rakyat bersedia menerima kenaikan harga minyak jika harga minyak mentah dunia terus kekal meningkat. Semalam harga minyak mentah dunia dilaporkan ditutup pada paras tertinggi tahun ini iaitu USD87.96 (RM295.54) setong yang dikaitkan dengan ketegangan disempadan Turki dan Iraq serta di Iran.
Lazimnya apabila harga minyak mentah dunia naik, maka harga petrol dan bahanapi lain di Malaysia (yang walaupun mengeluarkan minyak) juga turut naik. Dan ianya akan mencetuskan kesan rantaian ke atas barangan dan perkhidmatan lain yang dijangka turut melambung naik.
Begitulah nasib kita. Sebenarnya harga minyak petrol tempatan dinaikkan sebanyak RM0.30 sen seliter tahun lepas, dan kesannya terus-menerus sehingga kehari ini. Kita masing-masing telah melihat dan sama-sama merasakannya. Harga bahan makanan, perkhidmatan, barangan keperluan lain semuanya naik termasuklah kadar tol di lebuhraya (yang dijangka naik lain bermula tahun 2008 ini).
Menurut Shafiee lagi: Sumber bekalan minyak negara mungkin hanya dapat bertahan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi dan selepas itu, mungkin negara terpaksa mengimport minyak. Bayangkan dalam keadaan kita mengeluarkan minyak pun, apabila harga minyak mentah dunia naik, harga minyak tempatan naik, inikan pula jika kita tidak lagi mengeluarkan minyak!
Rakyat seperti biasa akan digesa agar berjimat-cermat, para peniaga dan pembekal seperti biasa akan diarahkan agar jangan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Tetapi apa pun yang akan memikul bebannya adalah rakyat juga. Bukankah lebih baik kini untuk kerajaan pula yang berjimat cermat dan berhati-hati dalam perbelanjaannya. Tumpuan keutamaan kepada nasib dan kebajikan rakyat. Jangan lagi jadikan politik dah terantuk baru tengadah sebagai amalan politik kita.
Kenaikkan ini sudah pasti akan berlaku, ianya bukan andaian atau mimpi lagi. Ia serius dan perlu diberi perhatian yang serius juga. Tetapi jika kita masih leka dipimpin oleh Pak Kadok, Mat Jenin dan Pak Pandir, yang kemaruk mahu menjadi jaguh dunia, yang terbesar, yang tertinggi, yang terjauh, yang dilangit, sedangkan rakyat dihimpit dan terus didera dengan kenaikkan kos hidup, maka akan punah-ranahlah masadepan kita semua. Adakah kita bersedia untuk melaluinya?
No comments:
Post a Comment