Kecekapan kita semakin dipertikaikan
Jika tidak silap, saya pernah mengutarakan isu ini dalam tulisan saya sebelum ini. Tetapi nampak-nampaknya masalah ini berulang kembali, politik dah terantuk baru tengadah kelihatan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Baru-baru ini kita berhari raya dengan berita gempar dari Mersing bahawa sebuah feri yang sarat dengan penumpang telah terbakar dalam perjalanan ke Pulau Tioman. Seramai 4 orang penumpang telah terkorban dan 3 lagi hilang. Lalu tercetuslah pelbagai aduan, tuduhan dan rungutan, termasuklah feri tersebut dikatakan tidak mempunyai jaket keselamatan yang mencukupi, ia tidak berlesen, tidak mendaftar nama penumpang dan pelbagai lagi.
Sesungguhnya nahas melibatkan feri dan bot penumpang bukanlah kali pertama berlaku. Soalnya siapakah yang bertanggungjawab memantaunya dan menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang ada? (Sebagaimana nahas bas ekspres).
Kita juga dikejutkan dengan seorang warga Palestin yang berjaya menyelinap ke tarmac KLIA dan menyembunyikan diri dalam ruang roda pesawat yang terbang ke Singapura. Beliau ditemui oleh pihak keselamatan Singapura apabila terjatuh ke landasan lapanganterbang apabila pesawat tersebut mendarat di Singapura.
Bagaimana kawasan larangan dapat dierobosi oleh seorang warga asing? Siapakah yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal keselamatan di KLIA, polis, JPA? Bayangkan jika warga Palestin itu memiliki senjatapi dan menawan pesawat berkenaan!
Semalam saya terbaca dalam akhbar The Star, bagaimana seorang pembaca mengadu yang VCD lucah dijual secara terbuka di pasar malam di SS13 Subang Jaya. Siapa pula yang gagal menjalankan tugas di sini?
Rata-rata isu penguatkuasaan tetap merupakan masalah terbesar dalam pentadbiran yang ada pada hari ini. Oleh kerana longgarnya penguatkuasaan dan penyeliaan maka hanya apabila berlaku malapetaka atau bencana barulah kita sedar rupanya ada yang tidak kena, ada yang tidak cekap, ada yang curi tulang.. Seribu satu alasan boleh diberikan untuk masing-masing jabatan atau agensi termasuklah orang politik yang berkuasa untuk melepaskan diri, salah satu yang paling klasik adalah: tidak cukup kakitangan.
Saya kira sekiranya kita terus leka dengan alasan seumpama ini maka selagi itulah satu demi satu bencana dan malapetakan akan berlaku dan berlalu, dengan kita sekadar prihatin apabila sudah terantuk dan bengkak-bengkak di kepala. Saya masih ingat semasa Tun Dr Mahathir menjadi PM dahulu, salah satu slogan yang diperkenalkan oleh beliau adalah BCA atau bersih, cekap dan amanah. Bab bersih dan amanah memang sudah lama diragui, tetapi kini ternayata bab kecekapan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan semakin hari semakin merosot.
Saya ambil contoh kes VCD cetak rompak dan VCD lucah, ianya terus berada di pasaran malah disetengah-setengah tempat pada skala yang besar dan berani, mengapa masalah ini tidak berjaya kita tangani sehingga ke hari ini?
Mungkinkah ada elemen rasuah, pilih kasih, kronisma dalam hal ini?
Dalam kes warga Palestin yang berjaya menerobos kawasan keselamatan di KLIA itu, saya difahamkan berita mengenainya cuba dikecilkan. Ini bagi saya adalah kejadian serius yang membuktikan keselamatan negara longgar dan boleh sahaja diancam. Tetapi ia berlalu begitu sahaja seolah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Rakyat berhak menuntut kecekapan dari pihak kerajaan, jika inilah mutu kecekapan yang mampu kita berikan, sebenarnya tidak ada beza antara kita dengan negara dunia ketiga yang lain.
No comments:
Post a Comment