Rupanya Umno kalah bukan kerana Dollah
Rupa-rupanya kenaikkan kos hidup yang menggila, kes jenayah yang melambung, rasuah, kronisma, nepotisma, salah guna kuasa, pimpinan yang longgar dan runtuh moralnya, diskriminasi, kepimpinan yang lemah semuanya bukan faktor utama kejatuhan Umno dan BN dalam PRU ke 12 lalu. Sekurang-kurangnya itulah pendirian terkini Presiden Umno Dollah Badawi.
Sesiapa yang mengikuti sidang akhbarnya selepas sesi khas bersama jentera penerangan Umno di PWTC siang tadi akan mendapati bahawa Dollah tiba-tiba menemui dua faktor baru yang baginya lebih utama dan besar menyumbang ke arah kekalahan partinya. Pertamanya kerana sabotaj dalaman, manakala keduanya bersandar pada gelagat dan aksi bekas bosnya, Tun Dr Mahathir.
Bermakna bukan Dollah yang silap, bukan juga menantunya Khairy, bukan mereka yang dikeliling-kelalangnya, bukan kegagalan mereka, bukan perangai mereka, yang silap dan perlu dipersalahkan adalah sabotaj orang-orang Umno sendiri disamping perangai Tun Dr Mahathir.
Kata Dollah akibat sabotaj orang-orang Umno, BN hilang 14 kerusi Parlimen dan 22 DUN di Kedah dan Perak yang dianggap selamat. Jika tiada sabotaj ini pastinya BN tidak hilang 2/3 majoriti di Dewan Rakyat dan pastinya juga Kedah dan Perak tidak jatuh ketangan Pakatan Rakyat. Dengan penemuan baru ini, Umno dijangka akan bertindak terhadap ahli-ahli mereka yang merupakan petualang dan penderhaka perjuangan keramat mereka. Ramailah nanti yang akan disembelih kerana mereka dan bukannya Dollah,rupa-rupanya yang mengakibatkan Umno kalah!
Begitu juga Tun Dr Mahathir, tindak-tanduk beliau mempertikaikan kepimpinan Dollah banyak menyumbang kearah ketidakyakinan rakyat terhadap Umno dan BN (begitulah yang Dollah mahu rakyat percaya). Buat pertama kali Dollah secara terbuka melepaskan kemarahannya terhadap Tun. Tun rupanya lebih teruk dari beliau, dan Dollah tahu segala-galanya. Apakah Tun juga akan disembelih selepas ini?
Anehnya Dollah tidak pula menyebut berkenaan kekalahan di Pulau Pinang dan Selangor. Tidak juga menyebut darihal kegagalan menebus kembali Kelantan setelah mencuba lima kali. Dollah juga tidak bertemu faktor baru kekalahan BN di beberapa kerusi di Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Mungkin kekalahan ditempat-tempat ini bukan kerana sabotaj dan Tun tetapi beliau, entahlah.
Kesimpulannya oleh kerana Umno dan BN kalah bukan kerana beliau, maka Dollah penuh yakin bahawa tidak ada sebab baginya untuk perlu berundur. Beliau akan kekal memimpin Umno, sesiapa sahaja yang mahu mencabar beliau mungkin akan dibariskan setaraf dengan petualang dan penderhakan tadi, juga akan disembelih. Jadi disamping membebaskan dirinya dari sebarang dosa lantaran kekalahan Umno dan BN itu, Dollah sekaligus memberi amaran kepada Ku Li dan sesiapa sahaja yang memiliki niat yang sama dengan Ku Li, bahawa mereka semua akan mati disembelih jika berani.
Mungkinkah dalam kegilaan menyembelih dan membunuh ini maka akan lebih ramailah yang akan cenderung kepada Pakatan Rakyat dan akhirnya impian membentuk kerajaan Persekutuan yang baru itu akan insyallah menjadi satu realiti? Sama-samalah kita ikutinya nanti.
4 comments:
Sdr Roslan, baru tukar interface blog ker?...komen2 lama semua dah hilang
...if U win U dont have to explain, but if U lose U should not be there to explain...
:: adolph hitler ::
ish..ish..Pak Lah x paham lagi rupa-rupanya..bukan kerana sabotaj dan apa jua sebab yang terfikir kita..tapi kerana Allah,perubahan ini berlaku kerana janji Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi kaum itu tidak berubah..Bila rakyat mahukan perubahan maka Allah tidak akan memungkiri janjinya...
Saudara Roslan,
Saya akui rakyat melihat kelemahan dan ke'lembik'kan pemerintahan negara adalah antara penyumbang terbesar dalam permasalahan yang wujud di negara kita. Kesan ini bukan hanya dirasai oleh ahli UMNO atau BN tetapi oleh seluruh rakyat Malaysia.Pendedahan demi pendedahan yang dapat kita saksikan telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membuktikannya.
UMNO sekarang dilihat makin bermasalah dan begitu kronik jika dilihat dari pelbagai sudut, samada dari dalam UMNO atau diluar UMNO. Kisah 'rumahtangga' UMNO semacam dah menjadi bahan tonton, bahan jenaka dan bahan tangis untuk rakyat terbanyak.
Kita tahu Pak Lah disifatkan sebagai kepimpinan negara yang lemah. Kita juga tahu pelbagai cerita tentang menantu Pak lah yang boleh saya katakan bagai anak kuda baru lahir. Melompat sana dan sini.
Tetapi di dalam hal mencari kesalahan dan siapa yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku, saya kurang bersetuju untuk kita meletakkan Pak Lah sebagai tempat melepaskan geram secara total.Jika dia bersalah sekalipun, untuk mengatakan Pak Lah punca segalanya dan Anwar mahupun Mahathir Mahupun Ku Li sebagai 'hero' adalah satu penganiayaan. Dari penjelasan Pak Lah semalam, kita akui tetap ada kebenarannya walau mungkin kita lihat kenyataan tersebut seperti Pak Lah cuba melepaskan diri dari tanggungjawab. Tetapi 'hero-hero' tadi juga tetap ada cacat dan celanya. Kesemua mereka pernah menjadi pimpinan negara yang cukup berpengaruh dan berkuasa. Adakah mereka pernah akui kesilapan mereka sebelum ini? Pernahkah mereka menyesali apa yang pernah mereka lakukan kepada PAS sebelum ini?
Kita hari ini seperti cuba 'melupakan' semua dosa hero-hero ini kerana Islam melarang kita untuk berdendam. Tetapi kita juga lupa Islam juga mengajar kita untuk berbaik sangka sesama insan. Salahkah kita untuk berbaik sangka dengan Pak Lah buat masa ini(saya ulang, buat masa ini). Biarkan dia membaiki UMNO. Saya yakin Pak lah lebih terasa dengan kekalahan BN dalam PRU 12. Jadi, saya berpendapat dia sedang 'bertanggungjawab' terhadap kekalahan itu dan cuba memperbetulkannnya.Berikan dia ruang.
Apa lagi yang kita hendak bimbangkan PR telah menguasai hampir separuh semenanjung dan menafikan 2/3 BN. Kita ada cukup kuasa untuk menafikan sesuatu yang tidak masuk akal jika ianya hendak dilaksanakan.
Siapalah kita untuk menghukum Pak Lah. Allah maha bijaksana dan dialah yang berhak menjatuhkan hukum atas segala kesalahan hambanya walau sesiapa juga dan mungkin juga kita.
Post a Comment