Wednesday, April 09, 2008

Cukuplah Karpal .............

Pengerusi DAP Karpal Singh mengeluarkan kenyataan meminta PAS agar menggugurkan perjuangannya untuk menegakkan Negara Islam. Saya boleh terima pandangan bahawa biarkan Karpal, dia bukan Islam, dia tidak faham. Yang lebih penting adalah kita menerang dan menjelaskan perkara yang sebenar. Kalau Karpal tolak Islam tak mengapa sebab dia bukan Islam.

Tetapi dalam waktu yang sama saya kira Karpal juga perlu faham, yang beliau bukan sekadar seorang rakyat Malaysia yang bukan Islam, beliau adalah seorang pemimpin, seorang ahli Parlimen dan seorang yang terpelajar.

Saya mempunyai ramai kenalan dalam DAP. Dan saya sangat rapat dan menghormati contohnya kawan baik saya YB Ng Suee Lim, ADUN Sekinchan (yang ringan mulutnya memberi salam, megucap Alhamdulillah, Insyallah), dan pandangan saya dalam kes Karpal ini, ianya bukan menyentuh parti DAP tetapi lebih kepada personaliti YB Karpal, ahli Parlimen dan seorang yang terpelajar.

Kalau kita sudah berkawan, sepatutnya masing-masing pemimpin menggalakkan persefahaman, muafakat, seru yang baik-baik. Tetapi bila kawan saya yang mahu berbaik dengan saya tak semena-mena minta supaya saya pindah rumah atas alasan rumah saya yang saya bina atas hasil titik peluh dan usaha saya itu tidak sesuai bagi saya, maka bagaimana saya mahu menganggapnya sebagai kawan.

Meminta PAS menggugurkan perjuangan Negara Islamnya bagi saya sangat keterlaluan, dan tidak sensitif serta memahami isi hati kawan. Walaupun setelah diterang dan diyakinkan oleh pimpinan PAS berkali-kali berkenaan konsep Negara Islam dan keutamaan PAS masakini, namun Karpal terus menerus memilih untuk memaksa PAS mengubah dasarnya, atas alasan ianya bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Lalu saya boleh faham apabila Ketua Pemuda Kelantan Sdr Zaki Ibrahim meminta supaya Karpal tutup mulut manakala MB Kedah Ustaz Azizan Razak pula meminta Karpal agar tidak bercakap mengenai perkara yang beliau tidak faham.

Bukan soal PAS tidak memahami kawan, bukan soal PAS tidak menghargai kawan, Pakatan Rakyat iaitu pakatan antara PAS, DAP dan PKR adalah sesuatu yang dikehendaki rakyat dan ia akan didukung dan dipertahankan. Soalnya janganlah kawan-kawan menyerang prinsip dan pegangan kawan yang lain. Tidakkah itu nanti akan mengguris perasaan dan mencetuskan ketegangan.

Ahli-ahli PAS tidak sanggup membisu jika siapa sahaja menyerang apalagi menghina asas dan dasar perjuangan mereka, tak kiralah puak itu lawan apalagi kawan.

Saya berharap sangat Karpal "cool down" dan berikan lebih keutamaan ke arah menyatupadu dan mengukuhkan Pakatan Rakyat ini disemua peringkat. Semalam Presiden PAS mengunjungi Ketua Menteri Pulau Pinang dan dalam waktu yang sama Menteri Besar Perak mengunjungi Menteri Besar Selangor, baik dan mesra sahaja nampaknya. Pasti ia menghibur hati rakyat kerana itulah yang mereka mahukan iaitu jalinan mesra antara ketiga-tiga parti.

Bila pula Karpal mahu mengunjungi Ustaz Azizan dan Tuan Guru MB Kelantan?

6 comments:

Raja Idris said...

Roslan,

Assalammu'alaikum wbt

Lalu saya boleh faham apabila Ketua Pemuda Kelantan Sdr Zaki Ibrahim meminta supaya Karpal tutup mulut manakala MB Kelantan Ustaz Azizan Razak pula meminta Karpal agar tidak bercakap mengenai perkara yang beliau tidak faham.

Bukan MB Kelantan tetapi MB Kedah kot.

2kali5 said...

PAS dan DAP mempunyai pandangan dan pendirian yang amat jelas berbeza. Perbezaan pendapat ini telah wujud dari peringkat awal pertembungan dua parti ini dalam arena politik Malaysia. PAS mengekalkan konsep negara Islam sebagai teras perjuangan manakala DAP dengan jelas menentang idea ini. Namun begitu kedua-dua parti ini bersetuju untuk bersama di dalam Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Mereka sedia bekerjasama kerana mereka berpendapat walaupun ada perbezaan pendapat dan penentangan terhadap isu Negara Islam, tetapi kepentingan perjuangan membela nasib rakyat mengatasi segalanya.

PAS seperti cuba mengendurkan ketegangan ini dengan memperkenalkan konsep negara berkebajikan dan mempromosikan konsep PAS for all. Malah baru-baru ni TG Hadi Awang telah menyatakan kesedian PAS untuk mendapatkan pandangan dari rakan-rakan Pakatan Rakyat dalam hal pentadbiran negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat termasuk Kelantan. Toleransi yang ditunjukkan ini adalah amat sesuai dan tepat pada masanya.

Karpal Singh mula memperkatakan isu berkaitan pengguguran perjuangan menegakkan Negara Islam apabila 'suara-suara' dari PAS Kelantan telah menyatakan PAS sepatutnya menjadi backbone kepada Pakatan Rakyat. Sedikit 'ribut dicawan kopi' ini (walaupun sebenarnya manipulasi media arus perdana), telah mula menggusarkan Karpal Singh agaknya sehingga beliau mengeluarkan kenyataan meminta PAS menggugurkan teras perjuangan PAS selama ini. Mungkin juga Karpal berniat baik(mungkin...). Beliau berpendapat setelah pengguguran ini terjadi, kerjasama DAP dan PAS akan lebih selesa kerana isu Negara Islam inilah yang menjadi tembok pemisah yang amat besar bagi keduanya.

Saya tidak mahu mengulas lanjut perkembangan ini kerana saya bukannya nujum pak belalang tetapi rakyat terbanyak yang mengharapkan Pakatan Rakyat menjadi pakatan rakyat dan bukannya perbalahan rakyat. Kita perlu tunggu dan lihat kerana semua kenyataan yang dikeluarkan setakat ini bagi saya adalah pendapat peribadi(walaupun individu yang mengeluarkannya berpengaruh) tetapi kenyataan rasmi dari PAS mahupun DAP belum dikeluarkan lagi. Bagi DS Anwar Ibrahim saya harap sebagai penghubung PAS dan DAP lakukan sesuatu dari sekarang - ubah sebelum parah, berubah demi maruah (maaf jika saya tersilap).

2kali5.blogspot.com

Muhamamd Firdaus said...

Karpal sedang menghitung hari hari terakhir politik beliau. karpal sedar dengan usia yg semakin lanjut dan keadaan fizikal yg tidak memungkinkan beliau diberi tempat dalam Kerajaan PR jika dapat dibentuk, inilah masanya untuk beliau menegakkan hujah hujah terakhir dan cuba menjadi hero.. Sudah tentu politik Malaysia Baru akan menenggelamkan orang orang seperti Karpal. Sudahlah..masa anda sudah berlalu. Dan kita pula tidak perlu terikut ikut dengan rentak orang yg sedang menghitung hari hari terakhirnya.

THE PUREHADHARIST said...

LAGI ISU NEGARA ISLAM : KARPAL SINGH LEBIH JUJUR DENGAN PAS DARIPADA ANWAR IBRAHIM
Salam,


Isu Negara Islam merupakan isu yang sangat fundamental bagi PAS yang merupakan matlamat penubuhan Parti Islam Se Malaysia ( PAS ). Sejak beberapa tahun yang lepas, Karpal Singh telah menunjukkan pendiriannya tentang pembentukan Negara Islam oleh PAS. Baru-baru ini pula, sekali lagi Karpal menyuarakan pandangannya itu dan reaksi dari Mursyidul Am Pas TG. Dato' Nik Aziz agar Karpal melawat Kelantan untuk melihat apa permasalahannya di kalangan bukan Islam di dalam pentadiran "Negara Islam" Kelantan. ( bermakna Tok Guru dah isytihar Kelantan sebuah negara Islam sebab Karpal bercakap berkaitan negara Islam bukan pentadbiran negeri Kelantan...maaf Tok Guru, Kelantan belum boleh jadi rujukan sebuah negara Islam).
Saya tidak mahu berbicara panjang berkaitan konsep Negara Islam dan sebagainya, mungkin akan datang. Tetapi apa yang ingin saya bicarakan di sini ialah, kadang kala saya merasa simpati dengan PAS kerana seperti berada di bawah telunjuk Anwar Ibrahim sekarang ini. Negara Kebajikan dilaungkan dengan meninggalkan laungan Negara Islam dalam PRU12 baru-baru ini. Ia seolah-olah memberikan implikasi bahawa sebuah negara Islam bukan negara Kebajikan. Negara Islam hanyalah hudud dan tiada memperjuangkan kebajikan. Kalau faham dan meyakini dalam negara Islam ada semua termasuk kebajikan, mengapa perlu laungan Negara Berkebajikan? Apakah PAS telah terpengaruh dengan Anwar yang sememangnya tidak mendokong pembentukan Negara Islam? Atau Pas berstrategi memenangi hati bukan Islam dengan tidak melaungkan negara Islam? Kalaulah PAS memahami Islam sebagai suatu konsep yang syumul, maka tidak akan berlaku kontradiksi dalam melangkah di dalam politik Malaysia ini. Maksud saya, Negara Islam bukan matlamat sebenarnya dalam Islam. Ia adalah mekanisme yang perlu untuk mengatur terlaksananya Islam yang syumul. Dan sekiranya belum terpenuhi syaratnya, maka tidak perlu ada negara Islam tetapi bukan muktamad!, persyaratannya perlu dicukupkan. ( boleh diwacanakan di lain masa juga , tetapi sedikit sebanyak telah dituylis dalam posting-posting yang lepas).
Karpal bagi saya jujur dengan perhubungannya dengan PAS tetapi tidak Anwar. Anwar dilihat mempermainkan PAS di siang hari tanpa disedari oleh PAS. Ini tidak hanya suatu kenyataan tanpa bukti. Kalau kita baca ucapan serta tulisannya berkaitan negara Islam khususnya apabila berhadapan dengan Amerika, kita akan lihat pendiriannya yang sebenar berkenaan Negara Islam ini.
Baca petikan ucapan beliau di Washington D.c.:-
"The muslims organized themselves into various political parties some with a clear RADICAL agenda INCLUDING the establishment of AN ISLAMIC STATE ".
Di hadapan Amerika, pembentukkan Negara Islam adalah radikal, kata Anwar. Di sini di Malaysia, dia gunakan istilah maqasid syariah....kesian PAS.
Ini salah satu contoh pandangan Anwar tentang negara Islam. Ini belum lagi kenyataan-kenyataannya mengkagumi Amerika sebagai jaguh demokrasi.
TUNGGU..........(kita tak perlu 50 dalil untuk Anwar, cukup 1 dalil untuk mengatakan dia tak layak jadi PM).
Sekurang-kurangnya Pak Lah walaupun lembik, tetapi lahir juga ide Islam Hadharinya yang saya lihat sebagai suatu konsep yang baik.....INGAT jangan kaitkan dengan Pak Lah sebagai individu atau perlaksanaanya...Islam Hadhari Adalah Islam..

Anonymous said...

To Purehadharist,

What do u mean by Islam hadhari is Islam?? What verse in Quran told that? Islam is Islam,not Islam Hadhari or whatsoever..Just Islam..Like u said,Islam is syumul..we don't need Islam hadhari..Insya Allah,we will establish a new nation where the supreme law is Quranul Karim & Hadis..Allah Hu Akbar!!

Faizul Hafiz Surati said...

Salam. Berkenaan dengan isu negara Islam, mungkin sdra purehadarist tidak faham sepenuhnya. Tujuan sebenar Tok Guru mengajak Karpal Sigh (KS) ke K'tan adalah untuk menjelaskan tentang pentadbiran oleh kerajaan negeri yang berteraskan Islam yang sebenar (w'pun Hudud/qisas belum boleh dijadikan sebagai salah satu undang-undang kerana belum boleh diubah perlembagaan negara). Sdra kena ingat bahawa pentadbiran Islam sebenar bukan sahaja hanya Hukum Hudud sahaja, malahan kebajikan secara menyeluruh kepada rakyat adalah kandungan di dalam pelaksanaan sebuah negara Islam.

Saya tidak mahu komen berkenaan dengan DSAI, cuma PAS masih lagi mengekalkan untuk mendepankan Islam sebagai cara untuk mentadbir sebuah negara yang tidak di amalkan oleh kerajaan hari ini. Pertembungan dengan DAP adalah biasa kerana pimpinan lama DAP masih lagi bersifat ortodoks dan tidak dapat menerima dasar Islam. Tetapi mereka mempunyai satu point yang boleh untuk PAS bersama mereka iaitu kebajikan dan keadilan kepada rakyat. inilah titik utama persefahaman antara PAS dan DAP. DSAI w'pun mungkin dari pandangan saudara tidak jujur, tapi beliaulah antara tokoh yang cuba untuk menyatukan antara perselisihan antara kedua-dua parti ini. Kebaikannya adalah untuk rakyat.

Pak Lah adalah cucu kepada pelopor kewujudan PAS pada awal-awal penubuhan malahan beliau juga anak kepada salah seorang pimpinan PAS dahulu (betulkan saya sekiranya saya silap). Oleh itu, pelaksanaan Islam Hadhari itu bagi saya hanya menyentuh soal ranting kecil sahaja, tetapi perkara yang utama yang perlu disentuh oleh Islam Hadhari tersebut perlulah bagaimana hendak memperbetulkan aqidah ummah, bagaimana hendak mengembalikan ummah kepada jalan Islam sebenar, bagaimana hendak mengurangkan maksiat dsb. Kalau setakat menyentuh perkara cabang misalnya perlu menguasai Sains dan Teknologi, itu dah pun disentuh tapi apa terjadi pada ummah, tiada hala tuju kehidupan kerana Sains dan Teknologi itu tidak berdasarkan kepada kefahaman dan ilmu Islam dan tidak menggalakkan kefahaman aqidah Islam. Hanya menggalakkan untuk menguasai tapi tidak digalakkan untuk lebih mendekatkan diri pada Allah adalah perkara main-main dalam soal mendidik ummah cenderung pada Islam. Itulah akibatnya Islam sekarang ini diinjak-injak

Pendekatan yang dibawa oleh pimpinan PAS adalah sangat baik, soal negara Islam tidak dihighlightkan di dalam manifesto adalah untuk mengelakkan orang ramai daripada keliru atau fobia dengan Islam. Islam diterima oleh manusia kerana pembawaannya adalah begitu berhikmah dan menepati dengan jiwa manusia. Ini kerana Islam adalah penyelesaian kepada segala permasalahan sejagat. Oleh sebab itu PAS menawarkan jalan penyelesaian kepada masalah kebajikan ini dari sudut Islam, maka Alhamdulillah dapat diterima oleh rakyat.

Sdra purehadharist perlulah bijak untuk menilai apakah pendekatan yang dibawa oleh PAS tersebut, kerana pembawaan dan pembacaan serta tindakan para ulama' ini adalah menjangkaui pemikiran dan akal kita yang cetek ilmu kerana mereka berpandukan khazanah daripada Islam lebih daripada 1400 tahun lepas. Itulah beza antara pejuang Islam tulen dengan pejuang nasionalis yang bertopengkan Islam