Rupanya bukan HINDRAF sahaja "boo" Khir Toyo
Kalau sebelum PRU ke 12 lalu, isyarat terbesar kebangkitan masyarakat India menentang BN Selangor adalah apabila kedua-dua Khir Toyo (MB Selangor ketika itu) dan Samy Vellu (menteri ketika itu) dimaki-hamun dan disorak oleh penduduk tempatan dari kalangan masyarakat India di Kg Lindungan dalam satu acara pecah tanah sekolah kebangsaan Tamil disana. Siapa sahaja yang menyaksikan klip video majlis berkenaan akan melihat betapa angkuhnya reaksi apabila di "boo" semasa berucap dalam majlis itu. Khir telah menyerang dan memperlekeh HINDRAF dan menganggap mereka sebagai sebuah badan yang tidak berguna kepada masyarakat.
Akibatnya hari ini di Selangor, Khir bukan lagi Menteri Besar, MIC pupus di Selangor dan ADUN-ADUN BN yang tinggal kini duduk di kerusi pembangkang.
Rupanya episod di "boo" terus menghantui Khir apabila beliau sekali lagi menerima nasib yang sama dalam suatu majlis semalam. Kali ini tidak melibatkan masyarakat India tidak juga masyarakat biasa. kali ini yang "boo" Khir adalah anak-anak buahnya sendiri, para pemuda dan ahli-ahli Umno dalam sebuah majlis forum anjuran Kelab Maya Umno atau KMU. di Petlaing Jaya.
Majlis forum itu turut dihadiri oleh bekas PM Tun Dr Mahathir, ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir dan Senator Puad Zarkashi dari Johor.
Akhbar-akhbar tempatan menyebut bahawa tiap kali Khir berada di "microphone" beliau akan di "boo" oleh hadirin, malah menurut NST semasa sesi dailog, ahli-ahli Umno Selangor telah menyerang beliau bertubi-tubi dengan menganggap kekalahan BN di Selangor adalah berpunca dari kelemahan beliau sebagai MB.
Dengan perkembangan ini saya kira bukan hanya masa depan politik Dollah sebagai Presiden Umno berada pada tahap kritikal,malah masa depan Khir sendiri juga begitu. Rakyat telah bersuara sejak sebelum PRU ke 12 dan pada PRU ke 12. Kini melalui Umno, rakyat bersuara lagi, apakah suara-suara mereka ini semua sumbang dan tidak betul belaka? Khir sahaja yang betul?
Kini pula Khir bagaikan badut cuba menyerang dan memperlekeh kerajaan baru di Selangor dengan mempertahankan kononnya rekod beliau sebagai MB baik dan cemerlang. Saya kira melalui tindakan sedemikian Khir terus-menerus mengundang kemarahan rakyat, dan kini bercita-cita mahu bertanding pula jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia. Lebih baik bawa-bawalah berihat, bawa-bawalah bermuhasabah diri, rakyat Malaysia tidak pernah menolak sebuah kerajaan negeri tanpa bersebab, fikir-fikirkanlah Khir.
No comments:
Post a Comment