Berita Umno bahagian Gua Musang mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) semalam mendapat liputan hampir kesemua akhbar saluran perdana hari ini. Dilaporkan yang EGM tersebut dihadiri oleh lebih 2,000 termasuk pemerhati Umno dari negeri-negeri di luar Kelantan.
Berita-berita "mereformasi" Umno terus mendominasi akhbar-akhbar tempatan. Presiden Umno umpamanya terbit dengan kenyataan bahawa jangan salahkan beliau seorang sahaja apabila Umno kalah, banyak faktor lain turut menyumbang pada kekalahan itu. Kemudian tiba-tiba muncul juga berita Nazri Aziz nafi letakkan jawatan, kononnya beliau juga merupakan bahana besar yang mengakibatkan prestasi Umno yang menjunam itu.
Selain itu hangat juga berita perebutan dalam Pemuda ekoran penarikkan diri Hishamuddin Tun Hussien.
Tetapi berita yang saya anggap lebih sensasi adalah berkenaan Setiausaha Perhubungan Umno Pahang, Ahamd Tajudin Sulaiman yang dikatakan akan dipecat dari parti. Mengapa? Kerana mengeluarkan kenyataan agar semua ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) melepaskan jawatan masing-masing kerana gagal mempertahankan empat dari lima negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Menurut Tajudin beberapa jam selepas mengeluarkan kenyataan itu beliau dihubungi MB Pahang Adnan Yaakob, yang menyatakan beliau kemungkinan dipecat kerana mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Namun Tajuddin menurut laporan bersedia bertanggungjawab atas kenyataan beraninya itu.
Begitulah Umno pasca tsunami PRU ke 12. Ada yang digugurkan, ada yang mahu dipecat, ada yang enggan lepaskan jawatan, ada yang dinaikkan tanpa sokongan, ada yang berebut jawatan, semua ini menandakan parti Melayu yang tua ini sudah semakin longgar dan nyanyuk menghadapi hari-hari tuanya. Apakah Umno akan dimasukkan ke rumah orang-orang tua atau luput dan pupus begitu sahaja, sama-samalah kita nantikan.
No comments:
Post a Comment