Sunday, April 06, 2008

MSO yang saya kenal

Kalau sesiapa belum baca buku-buku tulisan Sayuti Omar, tulisan-tulisan beliau diruangan-ruangan akhbar dan makalah pasti belum kenali siapa dia Sayuti. Ketua Pengarang Siasah dan pemilik blog Merah Tinta MSO ini adalah seorang penulis dan penganalisa politik yang tajam, kritikal, provokatif, kekadang berhati batu, kekadang berhati lembut. Sayuti membina nama sebagai seorang penulis yang tidak mudah tunduk dan mengikut cakap orang, kelihatan degil tetapi lebih sebenarnya seorang yang tidak suka terikat di bawah telunjuk sesiapa. Kalau ada penulis yang diibaratkan sebagai kipas dan pengipas, Sayuti tidak.





Lantaran perangainya yang sedemikian Sayuti mempunyai ramai kawan dan lawan. Diantara orang yang saya tahu sangat menghormati dan menkagumi Sayuti adalah Tok Guru Nik Abdul Aziz. Dan Sayuti sendiri saya tahu cair bila berhadapan dengan Tok Guru. Kerana itu kalau Sayuti kekadang menjadi nakal, maka rotan Tok Guru cukup untuk mengawalnya.





Sayuti sebenarnya telah menyumbang banyak pada perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat. Bagi lawannya sudah pastilah apa sahaja sumbangan beliau itu buruk belaka, (tambah mereka yang kuat mengipas) malah Sayuti pernah dicop sebagai bakal menjual diri kepada Umno dalam PRU lalu.

Sayuti yang saya kenal cinta pada perjuangan Islam dan lebih bersedia dari orang lain mempertahankan PAS. Tetapi itu kata saya, yang mengenali beliau bermula dari karya-karyanya, dan kini secara peribadi. Lain padang lain belalang, mungkin orang lain tidak begitu.
Sejak kebelakangan ini saya melihat banyak usaha Sayuti cuba diserang. Saya pasti Sayuti yang sememangnya lasak dan tahan dipukul itu tidak akan mengambil pusing, tetapi sebagai seorang yang mengenali dan memahami beliau saya sedih juga bila seorang kawan diserang sedemikian tambah oleh mereka yang tidak tahu harga dan jasa seorang umpama Sayuti. Artikel beliau "Marah Subky dan Kisah Yap Ah Loy" dijadikan punca menghukum Sayuti sebagai seorang yang tidak mendatangkan manfaat kepada Pakatan Rakyat dan PAS.




Artikel ini adalah cetusan beliau dalam blognya. Yang terganggu dan sangat cemas pada blog seingat saya adalah Zainuddin Maidin dan Umno, lalu usaha dibuat untuk menjejak penulis blog dan mengambil tindakan. Blog adalah pandangan peribadi pemiliknya, kita mungkin setuju atau tidak setuju, tetapi kalau kita mengambil satu artikel lalu menghukum penulisnya dengan hukuman maut, maka tiada bezalah antara kita dengan penulis blog yang lain.

Dalam pada Sayuti saya anggap sebagai kawan, ada juga tulisan dan pandangan beliau yang saya tidak dapat terima. Lalu saya kritik dan jawab. Saya masih ingat antara polemik hangat saya dan beliau adalah ketika isu Konsert Mawi di Kelantan. Kita boleh berbeda pendapat, tetapi kita tidak membunuh dan menikam kawan, itulah dasar saya.

Saya akan terus menghargai Sayuti, mengkritiknya bila perlu, berbahas dengannya bila hati terusik, tetapi saya tidak akan memenjarakan padangannya. Biarlah Sayuti dengan pandangannya. Siapa tidak suka maka kritiklah. Tapi jangan meletakkan beliau setaraf dengan musuh, menghukum dan membunuhnya.

1 comment:

Anonymous said...

Tapi kalau tulisannya mampu menjatuhkan PAS, memecahbelahkan orang, masuk dlm program orang tanpa kebenaran kemudian menulis sesuka hati mendedahkan maklumat dlm program tertutup PAS. APa kejadahnya ?

DIa ni tak ada prinsip !!!!

Cukuplah dia menghiris hati orang PAS dgn tulisanya 3 abdul...

Sekalipun ada masalah dlm parti, ia bukannya modal utk penulis politik utk meraih keuntungan melalui jualan buku politiknya.

Ingat, kita ini nak mendirikan Daulah Islam, jangan kerana tulisan-tulisan seumpama penulis ini, boleh melambatkan proses kemenangan Islam.