Antara blog dan MSM
Orang-ramai akan kurang bergantung kepada blog untuk berita-berita alternatif kiranya media saluran perdana lebih bebas, demikianlah pandangan salah seorang ahli panel dalam forum anjuran Institut Integriti Malaysia sebagaimana dilaporkan oleh BERNAMA.
Bila kita menyebut istilah media saluran perdana atau main stream media (MSM), yang akan terpacul di hadapan kepala kita adalah TV3, RTM, Utusan Malaysia, Berita Harian, NST, The Star dan yang seumpamanya. Inilah punca utama sumber maklumat dan berita bagi rakyat Malaysia. Ia berubah sedikit apabila wujudnya TV satelit, dimana rakyat dapat memilih CNN, BBC , al Jazeera, sebagai pilihan. Kemudian melalui perkembangan ICT, rakyat sudah boleh menyelak akhbar-akhbar antarabangsa online, dan kini boleh pula melayar laman-laman web alternatif tempatan termasuklah blog.
Saya tidak fikir MSM yang dikuasai kerajaan dan parti pemerintah dalam waktu terdekat akan mengendur untuk melayan tuntutan rakyat. Mungkin mereka akan membuka sedikit ruang, suatu langkah politik bagi menonjolkan kononnya mereka juga bebas, Tetapi untuk memberikan "balanced reporting" atau laporan berimbang, saya percaya tiadalah dalam waktu terdekat melainkan berlaku perubahan politik diperingkat Pusat!
Bolehlah kita mahu mengimpikan satu hari dimana MSM ini tidak lagi terikat dengan "political masters" mereka, melapor lebih bebas dan seimbang kepada semua pihak, tanpa bias seperti pada hari ini. Tetapi mimpi tinggal mimpi, sukar untuk direalisasikan, sekurang-kurangnya diusia kita melainkan sebagaimana saya sebutkan di atas berlaku perubahan lanskap politik diperingkat Pusat.
Seterusnya saya juga merasakan laman-laman blog kini sudah menjadi trend, suatu keperluan baru yang bukan lagi pilihan atau alternatif kepada MSM tetapi lebih sebagai pencabarnya. Walaupun katakanalah mungkin secara ajaib MSM kita tiba-tiba boleh jadi bebas, namun saya percaya laman-laman blog akan terus kekal, sebab ia memuatkan pandangan dan catatan peribadi pemiliknya, yang bukan hanya bebas tetapi tidak terikat dengan imbuhan mana-mana pihak. Lihatlah laman-laman blog di Barat, dimana MSM nya bagai langit dan bumi kalau nak dibandingkan dengan yang di Malaysia, namun blog di sana berkembang dan subur sehingga sukar dihitung.
Kesimpulannya MSM di Malaysia adalah suara dan perkakas parti pemerintah, dulu, kini dan selamanya. Apa sahaja yang menguntungkan taukeh mereka akan dipertontonkan. Janganlah harap sebaliknya, melainkan bagi tujuan politik semata-mata. Blog di Malaysia akan terus berkembang dan subur "and is here to stay" melainkan Castro, Mugabe atau Kim Il Sung diangkat menjadi PM Malaysia!
Blog di Malaysia kini bukan lagi pilihan tetapi sudah menjadi satu gaya hidup yang akan terus kekal lalu pergunakanlah ia sepenuhnya demi agama, bangsa dan negara.
3 comments:
Saya bersetuju dengan pandangan sdr . Malah saya kira pemimpin-pemimpin UMNO pun menyedari hakikat tersebut tetapi mungkin atas dasar demi kepentingan diri sendiri lebih mengatasi kepentingan umum , mereka sanggup membutakan mata , telinga dan hati untuk menjalankan amanah mereka sebagai pemimpin negara . Apakah mereka masih tidak ingat kepada kisah fira'un yang hanya menyatakan taubat kepada ALLAH ketika nyawanya dah sampai di halkum ? Tepuk dada tanya selera !
PAS PERLUKAN PENSTRUKTURAN SEMULA?
Kita melihat UMNO makin bermasalah kebelakangan ini. Masalah dalaman parti itu yang menuntut pembaharuan dan perubahan dilakukan secara efektif dan kolektif di peringkat tertinggi hinggalah ke peringkat akar umbi. Apa yang kita lihat kecelaruan berlaku di dalam UMNO agak membimbangkan. Ahli-ahli UMNO mula memikirkan jalan dan kaedah terbaik untuk mereka memenangi semula hati rakyat setelah satu mesj yang jelas disuarakan melalui PRU 12.
PAS melalui Pakatan Rakyat (sebelum memenangi PRU12 dikenali Barisan Alternatif) dilihat makin kuat. PAS Perak mencetak hampir 50,000 borang keahlian baru dan saya yakin senario yang sama berlaku di negeri-negeri lain. PKR tidak kurang hebatnya. Sambutan dari masyarakat yang menggemari trend politik pelbagai kaum amat menggalakan. DAP makin kuat di hati masyarakat bukan melayu khasnya masyarakat cina. Separuh dari semenanjung telah berjaya dikuasai Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat bukan lagi pembangkang semata-mata tetapi pemerintah dan sudah wujud check and balance yang baik di peringkat Parlimen mahupun negeri.
Adat bertanding, ada yang menang dan ada juga yang kalah. Menang akan dipuji kalah akan dikeji. Anwar Ibrahim dianggap pemimpin hebat dan mampu membawa pembaharuan. Anwar adalah aset utama Pakatan Rakyat. Pak Lah pula dianggapa punca kekalahan UMNO dan BN. Pak Lah menjadi liabiliti bagi sesetengah ahli UMNO mahupun BN. MCA, Gerakan dan MIC mula mencari dimana salah dan mula memperbetulkan apa yang dirasakan perlu diperbetulkan.
Ringkasnya kita lihat Pakatan Rakyat tampak hebat dan BN nampak tidak begitu nyenyak tidurnya. Komponen BN mula melakukan sesuatu yang dikatakan rebranding atau penjenamaan semula(walau saya yakin istilah penjenamaan semula dan kaedah yang digunapakai adalah tidak efektif). Mereka bukannya tidak laku tetapi rakyat hendak mencuba 'masakan chef baru' . BN tidak perlu terlalu gusar kerana 'chef baru' belum pasti dapat menawan selera rakyat Malaysia. Pakatan (yang masih rapuh) ini belum teruji dan belum terbukti. Namun saya yakin BN menggunakan strategi tertentu untuk melekakan Pakatan Rakyat. Sebab itu kita lihat sudah ada ruang untuk PR dalam MSM(mainstream media). Kerajaan PR semakin menunjukkan kehebatan dan ketelusan mereka. Tetapi mereka harus ingat sesiapa sahaja yang berada di atas, cabarannya tidak sedikit. Kita manusia dan melakukan kesilapan itu sudah menjadi lumrah kehidupan kita. Perhitungannya nanti samada kecil atau besar kesilapan yang dilakukan. Itu sahaja.
Saya lebih suka menyentuh mengenai PAS dalam PR berbanding PKR mahupun DAP. Ini bukanlah disebabkan saya menyukai PAS atau ahli PAS tetapi PAS adalah abang sulung kepada yang lain. PAS harus bijak dan PAS harus matang. Cabaran PAS lebih besar. PAS belum tentu dapat diterima secara total oleh orang melayu beragama Islam dan pastinya amat sukar untuk masyarakat bukan melayu/bukan Islam di Malaysia. Orang melayu masih sayangkan UMNO. UMNO masih dihati mereka. Sejahat mana pemimpin UMNO, perjuangan UMNO masih mereka harapkan.
Jika dilihat PKR mahupun DAP, kita dapat lihat penerimaan masyarakat Malaysia agak senang kerana untuk menyertai mereka tiada batasan bangsa mahupun agama. Bermatlamatkan untuk 'keadilan' sertai PKR dan bermatlamatkan 'kesamarataan' sertai DAP. Tambahan pula masyarakat selepas merdeka sudah tidak begitu melihat status mereka kecuali kontraktor bumiputera yang mengharapkan projek dari UMNO.
Menyertai PAS tidak mudah. Percayalah. Itulah hakikatnya. Bukannya kerana kita buta huruf dan tidak tahu mengisi borang. Bukan juga kita tidak tahu di mana pejabat PAS. Tetapi kerana sikap dan penerimaan PAS itu sendiri. Renungi penjelasan saya ini dari kaca mata orang biasa yang melihat dan merasai sendiri pengalaman ini.
Senario ini masih wujud di peringkat cawangan. Di peringkat Kawasan, Negeri atau Pusat, Allah yang lebih mengetahuinya(WaAlllahualam). Sebelum seseorang itu boleh menjadi ahli PAS selain mengisi borang dan membayar yuran, berikut adalah perkara yang harus dilakukan (bukan syarat perlembagaan PAS tetapi 'peraturan' pimpinan di sesetengah cawangan. Saya ulang - cawangan) :
1. Tinggalkan kehidupan anda yang lepas dengan kadar segera(ASAP). Jika sebelum ini anda hanyalah orang biasa yang hidupnya dikatakan tidak begitu islamik seperti isteri tidak bertudung labuh (Perhatian : bertudung adalah wajib bagi wanita) maka carilah tudung labuh untuk isteri tercinta. Tudung biasa tidak digalakkan. Anda harus mengubahnya.
2. Sebelum ini ada jarang atau tidak pernah ke markaz PAS. Anda harus selalu ke markaz PAS. Jika tidak anda tidak akan dikenali sebagai ahli PAS kerana borang anda hanya dalam simpanan fail dan bukannya nama anda disenaraikan di markaz untuk tatapan umum.
3. Anda harus tahu sepatah dua istilah arab. Jika tidak ianya menyukarkan komunikasi anda nanti.
Masih terdapat beberapa peraturan kecil yang tidak sanggup untuk saya tulis di sini kerana nanti saya dituduh anti sunnah dan sebagainya.
Anda mungkin mengatakan saya anti PAS. Memburuk-burukkan PAS. Pendapat ini adalah sampah dan sebagainya. Ini salah satu sifat yang saya rasa harus ditegur. Sebarang kritikan harus disiasat dan bukannya 'dimatikan' dengan alasan ini adalah penghasut, pengkhianat dan kaki bodek UMNO. Kita pukulkan anak bukan kerana kita bencikan anak kita tetapi kerana kita sayang dan kita hendak dia berubah dari kurang baik kepada lebih baik.
'Peraturan' seperti di atas wujud di sesetengah cawangan. Anda mungkin mengatakan biasalah macam tu. UMNO pun sama.. Tidak!!! UMNO tidak begitu.PKR dan DAP juga tidak begitu. PKR, DAP mahupun UMNO lebih mesra ahli baru. PAS agak skeptikal. PAS agak kurang mesra ahli baru. Mungkin pimpinan cawangan bimbangkan ahli baru merampas kuasa. Terutamanya jika bekas ahli UMNO yang dihormati masyarakat cuba menyertai PAS. Sedangkan pimpinan PKR seharus lebih bimbang kerana pengaruh UMNO cukup menebal dalam PKR( kerana kebanyakkan pimpinan PKR bekas ahli UMNO). Bukan itu sahaja, malah bekas ahli UMNO yang menyertai PAS akan mula diawasi kerana mereka ini mungkin menjadi pengintip dan sebagainya.
PAS harus sedar sebagai sebuah pertubuhan yang ditubuhkan secara berperingkat iaitu dari peringkat cawangan kemudian kawasan kemudian negeri hinggalah pusat, PAS harus memberikan perhatian kepada isu dan permasalahan cawangan.
Jangan nanti selepas tersungkur dalam PRU13 baru hendak dimulakan bedah siasat dan sebagainya. Pesanan saya mudah, mencegah lebih baik dari mengubati. Saya memohon maaf jika tulisan saya mengguris hati sesiapa. Niat saya hanya satu, ingin melihat orang kita berjaya tanpa mengira ideologi politik merekakerana saya sendiri masih belum berparti. Maafkan saya
2kali5.blogspot.com
Kita bukan lagi hidup era surat khabar. Kita mahu maklumat yang pantas dan interaktif. Rakyat mahu suara mereka didengari. Akbar konvensional sudah ketinggalan zaman. Kita sudah ada teknologi SMS, blog dan macam-macam lagi. Kita boleh berinteraksi di mana-mana tanpa batasan waktu dan sempadan fisikal dan tidak lagi terhad di kedai kopi.
Post a Comment