Wednesday, November 21, 2007

Tolak pindaan Perkara 114

Semalam Menteri di JPM Nazri Aziz membentangkan rang undang-undang bagi meminda Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan bagi menaikkan umur persaraan wajib anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari 65 tahun sekarang ke 66, termasuklah Pengerusinya.
Pengerusi dan anggota SPR menurut Perkara 114 (1) dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-raja. Dan menurut Perkara 114 (3) mereka berkhidmat sehingga umur 65 atau ditamatkan perkhidmatannya atas apa-apa sebab sebagaimana terkandung dalam peruntukkan tersebut.

Pengerusi SPR kini, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dijangka tamat tempoh perkhidmatannya hujung tahun 2007 ini apabila mencapai umur 65. Dengan pindaan ini bermakna Rashid akan terus berkhidmat sehingga Disember 2008.

Bagi saya ahli-ahli Parlimen khasnya dari pembangkang perlu mengundi untuk menolak pindaan ini. Penolakkannya bukan kerana jawatan ahli SPR itu tetapi penolakkan tadi wajar dilakukan kerana jika ia dibenar maka Rashid yang tercemar relkodnya itu akan terus kekal di SPR dan mungkin akan mengendalikan Pilihan Raya Umum ke 12 nanti.

Memang pindaan Perlembagaan ini walaupun memerlukan 2/3 majoriti tetapi dijangka akan dilulus oleh kerana BN mempunyai majoriti lebih dari 2/3. Namun ahli-ahli Parlimen yang mengakui pentingnya pilihan raya yang bebas dan adil lagi bersih (termasuk dari BN jika ada), perlu bertindak mendaftarkan protes mereka dengan menolak pindaan ini. Saya berharap kesemua ahli Dewan Rakyat DAP, PAS dan Keadilan (serta yang dari BN, jika ada) akan mengundi menolak pindaan ini, jika tidak, lupakan sahaja Protes melalui BERSIH kerana Pengerusi yang KOTOR dan tidak BERSIH itu kita terus kekalkan menerajui SPR.

No comments: