Sunday, January 31, 2010

Mari kita sama-sama prihatin

Baru-baru ini Dato Mufti Selangor dilaporkan dalam akhbar Kosmo sebagai berkata bahawa rumah-rumah urut di negeri Selangor semakin bertambah bilangannya.

Saya percaya ada sebab musabab yang mendorong beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian. Mungkin bimbang yang gejala maksiat dari rumah-rumah urut ini akan merosakkan umat Islam di negeri ini.

Benar, rumah-rumah urut seumpama ini banyak disalah-gunakan sehingga menjadi pusat pelacuran yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak masyarakat. Namun ia bukan sekadar berlaku di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain termasuklah Wilayah Persekutuan. Dan keduanya ia bukan sekadar berlaku di Selangor pasca PRU ke 12 malah telah pun disalah-gunakan pada kes-kes tertentu sejak sekian lama.

Saya dihubungi wartawan dari akhbar yang sama berhubung isu ini. Barangkali menyangkakan saya selaku pemimpin PAS negeri akan turut menyerang dan mengakui memang kerajaan PR banyak meluluskan lesen rumah-rumah urut yang menjadi pusat pelacuran.

Saya tidak mempertikaikan kebimbangan Dato Mufti tetapi saya menjelaskan realiti sebenar kebetulan saya juga sebagai salah seorang ahli majlis dalam PBT di Lembah Kelang dan duduk dalam Jawatankuasa Pelesenan PBT berkenaan.

Saya menghuraikan bahawa kehadiran ahli-ahli majlis PAS dalam PBT-PBT seluruh Selangor tidak memungkinkan kami redha untuk meluluskan rumah-rumah urut yang sebegitu banyak tanpa kawalan. Lebi tepat lagi pusat-pusat kesihatan ini ada banyak kategorinya dari urut kaki berbentuk refleksologi,hinggalah rawatan tradisional, bekam dan urut untuk wanita. Di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) contohnya sejak Pakatan Rakyat memerintah lesen untuk urut badan telah dibekukan.

Masalahnya di sini adalah lesen-lesen yang disalah-gunakan (yang menurut peraturan boleh dibatalkan jika berbuat demikian) dan pusat-pusat yang beroperasi tanpa lesen. Kelemahnnya adalah penguatkuasaan. Memang tenaga penguatkuasaan PBT sangat kecil kerana itulah EXCO PBT, Ronnie Liu menjelaskan bahawa kerajaan negeri sangat memerlukan kerjasama pihak polis. Kuasa pihak polis dalam hal ini lebih besar dan kesannya lebih efektif.

Bekas MB Selangor Khir Toyo turut dilaporkan dalam akhbar yang sama menyalahkan kerajaan negeri dan PBT di Selangor. (Semasa beliau MB pihak polis Bukit Aman pernah serbu premis judi haram dalam kawasan DUN beliau sendiri yang beroperasi sekian lama, dengan lesen pusat hiburan diberi oleh pihak PBT)

Walaupun dengan kekuatan penguatkuasaan yang kecil saya rasa sejak PR memerintah di Selangor operasi penguatkuasaan semakin meningkat dan alangkah cantiknya jika pihak polis dapat turut membantu.

Berbalik kepada kebimbangan Dato Mufti, sebagai umat Islam kita perlu prihatin dan berusaha untuk mengekang peluang-peluang maksiat dikalangan umat Islam khasnya sebagai sebahagian dari kerja-kerja amar makruf nahi mungkar kita. Tanggungjawab ini perlu disandang dan dipikul oleh semua pihak tanpa mengira kedudukan dan perbezaan fahaman politik.

Sebagai contoh berkuatkuasa 1 Januari 2010 di kawasan pentadbiran MPSJ (yang walaupun cuma ada 3 ahli majlis PAS dari jumlah 24) dua peraturan baru telah diperkenalkan kepada penguasaha rumah-rumah urut dan kelab-kelab malam yang dilesenkan.

Bagi rumah-rumah urut tadi berkuatkuasa tarikh berkenaan sekiranya pemegang yang dilesenkan menjalankan urut unseks iaitu melibatkan lelaki urut wanita atau sebaliknya, maka ia tidak dibenarkan mengabil pekerja yang beragama Islam bekerja (dalam semangat Enakmen Jenayah Syariah Selangor). Sekiranya didapat melanggar syarat ini lesen yang diberikan boleh dibatalkan.

(Untuk makluman lelaki Islam memang dilarang mengunjungi rumah urut uniseks seumpama ini, dan peraturan ini telah ada sejak kerajaan yang terdahulu)

Manakala bagi kelab-kelab malam yang menghidangkan atau menjual arak, pemegang lesen juga tidak dibenarkan mengambil pekerja Islam bekerja kerana bertentangandengan Enakmen yang sama.

Peraturan-peraturan baru ini mungkin dipandang kecil. Mengapa tidak tutup terus! Itulah yangtermampu kami laksanakan setakat ini tetapi ianya bagi kami suatu langkah yang proaktif danpositif yang tidak pernah pun diambil inisiatif oleh parti pemerintah dahulu walaupun mereka lebih mendominasi PBT-PBT seluruh Selangor dahulu.

Jangan sesiapa menganggap bahawa kerajaan PR ini tidak mengambil pusing langsung tentang kerja-kerja amar makruf nahi mungkar. Jangan cetuskan persepsi seolah PAS dalam kerajaan PR hanya sebagai “sleeping partner”. Kami lebih suka membawa perubahan dan memperkenalkan pembaharuan tanpa menjaja “political mileage” kononnya juara sana sini sedangkan hakikatnya semasa mereka berkuasa dahulu dengan majoriti mutlak, kerja-kerja seumpama ini langsung tidak menjadi keutamaan.

Terima kasih Dato Mufti kerana ambil prihatin hal ini. Marilah kita sama mengembeling tenaga mencari penyelesaiannya. Mari kita bekerja untuk memartabatkan Islam melalu cara yang paling terhormat, bukan menuding jari dan melonjak-lonjak mendabik diri sebagai juara sedangkan ekor bergelumang najis.

(Untuk makluman kenayaatn saya kepada akhbar berkenaan walaupun dirakamkan hampir setengah jam langsung tidak dilaporna. Terima kasih Kosmo)
Kerajaan PR Selangor stabil dan terus dihati rakyat

Hari ini 31 Januari 2009 adalah hari terakhir bagi bulan Januari 2010. Sebelum ini seorang blogger yang juga seorang pengkritik dan pemerhati politik yang tersohor telah meramalkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan jatuh menjelang Januari 2010.

Saya tak pasti apakah akan terjadi pagi ini atau tengahari atau sebelah malam nanti tapi yang pastinya jika mencecah tengah malam hari ini, sekiranya kerajaan PR masih kekal utuh maka ternyata melesetlah ramalan sinujum ahli blogger tadi.

Memang sejak jatuhnya kerajaan PR Perak melalui "politik pintu belakang" mainan Umno dan BN, ramai yang ringan-ringan mulut meramalkan nasib yang sama bakal menimpa Selangor pula. Sedangkan hakikatnya angka-angka yang membentuk kerajaan PR Selangor iaitu PKR 15 (kini 14 setelah "melompatnya" ADUN Pelabuhan Kelang), DAP 13 dan PAS 8 berbanding 20 BN adalah sangat selesa.

Maka dimainkanlah beberapa babak drama untuk mencungkil-cungkil mana tahu kerajaan yang walaupun selesa ini boleh muntah-muntah senak perut dan akhirnya rebah begitu sahaja. Dari kes lembu ke kepala lembu ke kini kepala khinzir, satu demi satu dicetuskan untuk membakar ketegangan entah oleh siapa !?

Kemuncaknya adalah apabila ADUN yang paling malas dan tenat akal dari Pelabuhan Kelang melompat, manalah tahu dengan lompatannya itu akan merobohkan kerajaan pilihan rakyat. Rupanya lompat dari mulut naga masuk sekadar ke loji najis.

Demonstrasi pun berbagai rencam dan gelagat dianjurkan termasuklah terbaru oleh juak-juak Zainal Sakom untuk mempertahankan YBK, jangan lupa demonstrasi oleh kutu-kutu jalanan dan mat-mat rempit mendesak supaya PAS keluar PR di Shah Alam.

Realitinya rakyat di Slangor sudah bosan dengan drama dan politik murahan sebegini.Buktinya mereka tidak sedikit pun ambil peduli apalagi menyambut dan melayan provokasi-provokasi mentah yang berbagai itu. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya sebagaimana ADUN separuh tiang itu, terjun dan terus tenggelam.

Rakyat mahukan pimpinan baru, rakyat mahukan semangat baru, rakyat mahukan pentadbiran baru kerana itu mereka dengan berani menolak Umno dan BN dalam PRU lalu dan menggantikannya dengan satu gabungan politik baru iaitu PR, kombinasi tiga parti yang lebih meyakinkan mereka iaitu PKR, DAP dan PAS.

Walaupun mereka tahu gabungan ini belum pernah teruja dan diuji, walaupun mereka tahu contohnya PAS dan DAP yang berdekad-dekad usia mereka itu namun tidak pernah bersatu membentuk mana-mana kerajaan sebelum ini, namun angkara kejahatan dan kezaliman UMno dan BN khasnya di Selangor, mereka sudi mencuba.

Setakat ini mandat yang telah diberikan itu kelihatan tepat dan makin meyakinkan. Gandingan kepimpinan ketiga-tiga parti ini di Selangor semakin matang dan mantap. Nasib rakyat semakin terbela, masa depan mereka semakin tampak bercahaya. Jika terus begini insyallah jangankan Januari 2010,malah insyallah sampai ke PRU ke 13 nanti kerajaan ini akan terus kekal di hati rakyat.

Untuk itu semua pihak perlu terus bekerja keras. Ketepikan sebarang perbalahan dan perbezaan kecil-kecil, fikirkan kepentingan rakyat dan negeri.PR Selangor mahu kekal bertahan kerana rakyat sudah serik dengan BN. Pastikan ia kekal begitu.

Saturday, January 30, 2010

Sucikanlah niat di hati hingga nyata benarnya janji Rabbi

Saya rasa seluruh ahli PAS dan rakyat Malaysia sudah maklum akan keputusan Jawatankuasa Disiplin PAS berhubung kedudukan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Dr Hasan didapati bersalah di bawah Fasal 75 Perlembagaan PAS iaitu kerana mengkritik prosedur tatacara pendengaran SELCAT dan perlantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi. Kerana itu beliau dijatuhkan hukuman “amaran bertulis”.

Ramai yang bersyukur berikutan selesainya episod yang mencabar ini. Sebagaimana ditegaskan oleh Dr Hasan beliau menerima keputusan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dato Tuan Ibrahim Tuan Man ini dengan hati yang terbuka dan menganggap episod ini sebagai suatu proses pendidikan beliau dalam parti.

Saya yakin Dr Hasan tidak akan merayu hukuman ini.

Yang penting sekarang adalah untuk melaksanakan amanah selaku Pesuruhjaya PAS Selangor yang dilantik oleh Dato Seri Tuan Guru Presiden. Tugas sebagai EXCO kerajaan negeri dan ADUN perlu dijalankan dengan sebaiknya memenuhi aspirasi dan perjuangan parti serta amanah yang diberikan oleh rakyat.

Banyak lagi kerja yang perlu kita laksanakan di Selangor bagi memastikan PAS terus perkasa dan Pakatan Rakyat terus teguh sebagai pilihan rakyat. PAS insyallah akan bekerja dalam satu saf memastikan kesemua kerusi yang ia menangi di Selangor pada PRU lalu dapat dipertahankan selain berusaha menawan baki kerusi yang dimenangi Umno.

Amanah yang diberikan oleh Dato Seri Tuan Guru Presiden kepada PAS negeri perlu terus menjadi obor perjuangan. Lima tunggak yang beliau tegaskan semasa bertemu pimpinan dan jentera PAS Selangor baru-baru ini adalah:

PERTAMA: Pelihara hubungan dengan Allah swt yang mengurniakan kemenangan
KEDUA: Hubungan dan ikatan dengan parti mesti sentiasakukuh dan kemas
KETIGA: Hubungan dengan rakyat jelata mestilah baik
KEEMPAT: Hubungan dengan Raja mesti dipelihara
KELIMA: Hubungan dengan pegawai dan kakitangan kerajaan perlu sentiasa baik

Dalam buku “Manhaj Daurah Tadribiyah” yang merupakan salah sebuah kitab panduan usrah buat ahli-ahli PAS disebutkan berhubung persiapan wajib bagi para da’i. Antaranya :

"Akhlak perlu dipersiapkan dengan cara membersihkannya daripada sifat marah dank eras hati, membiasakan diri dengan sifat sabar dan pemaaf, menyucikannya dengan adab-adab yang mulia dan mempertingkatkannya dengan mentauladani jejak langkah Rasulullah saw.

Setiap da’i mestilah bijak mempelajari dan mengambil pengajaran daripada setiap pengalaman dan daya kepimpinan orang lain. "


Ayuh kita pacukan jentera perjuangan: “sucikanlah niat di hati sehingga nyata benarnya janji Rabbi”.

Wednesday, January 20, 2010

Kerajaan PR Selangor terus bertenaga demi rakyat

Kekalahan besar kira-kira 22 bulan lalu terus menggerhanai tubuh Umno dan BN di Selangor malah mencederakan ego mereka. Ramai pimpinan BN Selangor samada dari Umno, MCA, MIC, Gerakan masih tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka telah dilucutkan dari kuasa oleh rakyat jelata di negeri ini setelah bertongkat pada kuasa lebih 50 tahun.

Barangkali kerana sukar menerima kenyataan maka berbagai usaha tidak kiralah yang halal atau haram digunakan untuk kembali berkuasa biarpun ia sekadar angan-angan yang lebih tegar dari milik Mat Jenin sendiri.

Kalau benar mahu menebus kembali kuasa sekalipun, maka tunggulah sehingga penggal ini berakhir. Rakyat jelata telah membuat keputusan dalam keadaan sedar, kini mereka mahu merasa bagaimana pengalaman di bawah kerajaan baru pilihan mereka itu. Yang telah ditolak itu belajar-belajarlah duduk secara diam dan tertib, bila tiba gilirannya nanti bertarunglah.

Kita lihat mereka yang kalah itu rupa-rupanya terus meroyan. Segala muslihat dan kerja-kerja kotor diguna dan diguna bagi memaksa kerajaan halal pilihan rakyat ini rebah. Tiada lagi batas peradaban dan etika bagi mereka. Mungkin ramalan Pak Nujum yang menilik bahawa kerajaan PR Selangor bakal jatuh Januari 2010 ini terlalu menggiurkan bagi mereka sehingga melonjak-lonjak nafsu serakah masing-masing mahu memaksa kerajaan negeri ini jatuh, walaupun Pak Nujum itu bak kata P.Ramlee “kaki temberang”!

Semalam semasa mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor, dua orang pimpinan kanan PR terganggu jadual mereka untuk hadir. Dr Xavier Jayakumar disoal-siasat pihak polis berkenaan peruntukkan sekolah Tamil, manakala Dato Dr Hasan oleh SPRM mengenai isu YBK.

Hari ini pula seorang lagi EXCO, Yaakob Sapari disoal-siasat pihak SPRM berkenaan isu pasir. Sebelum itu Ean Yong dan Ronnie Liu pun pernah diganggu.

Dan dalam keadaan itu dilontarkanlah oleh anasir-anasir “desperado” tadi berbagai khabar angin dan SMS fitnah, mungkin untuk mewujudkan suasana kalut, antaranya konon-konon ada ADUN PKR yang melompat, dan terbaru kononnya Dato’ MB Selangor letak jawatan!

Cukup-cukuplah. Setakat hari ini untuk makluman semua kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terus bertenaga malah makin bertenaga setelah berjaya dalam jangka waktu singkat 22 bulan merobah secara drastik gaya dan sistem pentadbiran negeri, dari kabur, tidak telus sebelum ini kepada lebih dinamik, bersih dan berwibawa.

Hubungan sesama komponan PR semakin matang dan erat malah dalam bulan Mac nanti akan diadakan Konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Selangor untuk membuktikan kekukuhan parti-parti yang mendukung kerajaan ini dan kesungguhan untuk terus mara dan melangkah ke hadapan demi kebaikan dan masa depan rakyat dan negeri bertuah ini.

Teruslah bersama kerajaan negeri ini, berikan mereka kepercayaan untuk terus memikul amanah rakyat dan merealisasikan cita-cita perjuangan bersama. Tolak dan putuskan sahaja ikatan dengan mereka yang sudah keputusan akal, selain mencetus huru-hara dan porak-peranda.

Kita di Selangor menolak "juara rakyat" dan segala dentuman tin kosong mereka, yang kita mahu adalah Pakatan Rakyat!

Tuesday, January 19, 2010

Tak perlu blok BLOG

Sekali lagi isu mengenai pengawalan laman-laman blog dibangkitkan. Ini barangkali ekoran tindakan beberapa pemilik blog yang sering membuat posting yang hangat-hangat kadangkala diluar kemampuan akal dan lompong fakta.

Memang dunia blog dewasa ini semakin popular dan semakin berkesan membentuk persepsi masyarakat khasnya mereka yang ada akses padanya. Sesungguhnya apa sahaja alat dan bahan kalau digunakan untuk kebaikan jadilah ia baik walaupun pada adatnya ia merbahaya atau mampu membunuh. Pisau kalau diguna untuk menyiang ikan dan sayur serta buah-buahan memang membantu dan bermanfaat. Tetapi kiranya dihunus ke perut atau tubuh orang lain apa lagi tubuh sendiri, nahas padahnya.

Agenda, niat dan hasrat pemilik laman blog adalah pada tuan punya badan. Ada yang menulis untuk menyibarkan kebenaran dan mempertahankannya, ada yang menulis untuk harta, ada yang menulis untuk meraih popularity tidak kurang semata-mata untuk mencari pasal. Sehubungan ini Rasulullah saw ada bersabda:

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Memang dunia blog ini tiada sempadan. Kita mampu menerobos dari celah-celah penempatan rakyat termiskin sehinggalah ke koridor istana. Dari satu hujung dunia ke satu hujung yang lain. Kerana itu memang seronok menulis apabila anda tahu yang ramai akan mampu mebaca karya anda jika mereka memilih untuk mengunjunginya.

Namun saya percaya pada konsep pertanggungjawaban ataupun akauntabiliti. Hatta apabila Hang Jebat menghunus kerisnya untuk menuntut bela atas kematian Tuah, beliau tahu risikonya. Begitulah juga kita yang menulis. Siapa yang berani berhujah dia mesti berani bertanggungjawab atas hujahnya itu. Kalau tidak pun di dunia kita umat Islam yakin dan faham bahawa kemudian nanti proses pertanggungjawaban itu akan terkena atas batang tubuh kita jua,tanpa boleh meloloskan diri.

Bagi saya apa yang ada tidak perlu dikawal-kawal. Negara sudah cukup dengan undang-undang dan peraturan tak perlu ditokok tambah dari yang telah sedia ada. Siapa yang dilihat atau dikesan melanggar undang-undang dan peraturan, maka dakwalah ia di mahkamah terbuka. Manakala mana-mana individu atau kumpulan yang merasakan mereka difitnah atau diaib boleh mendakwa di mahkamah sivil.

Pasti yang berani menulis berani juga berhadapan dengan pengadilan. Kerana dunia terbuka hari ini melindungi kita dari dikenakan dakwaan secara senyap-senyap atau tertutup apalagi dianiaya.

Dato Seri Anwar contohnya pernah dibelasah dalam tahanan, mahu ditekup-tekup, tetapi akhirnya dalam pemerhatian dunia semuanya terbongkar dan kini beliau bangkit atas sokongan rakyat sebagai Ketua Pembangkang dan memiliki peluangmalah menjadi orang nombor satu negara!

Jadilah kita warga blog yang bermaruah dan ada harga diri. Kalau kita menjulang bendera keadilan dan kebenaran, kita bukan hanya dituntutu menjulangnya tetapi menjiwai dan menghidupkannya. Berani buat berani tanggung insyallah.

Friday, January 08, 2010

PAS Selangor mengutuk serangan "bacul" ke atas gereja-gereja

Kami menerima berita berkenaan serangan ke atas beberapa buah gereja termasuk di Selangor dengan perasaan penuh sedih dan dukacita.

Serangan seumpama ini tidak pernah berlaku dalam negara kita dan ianya langsung tidak mencerminkan adat, budaya dan kepercayaan mana-mana rakyat Malaysia.

PAS Selangor melahirkan rasa simpati kepada gereja-gereja yang terbabit dan mohon agar ahli-ahli PAS di negeri ini agar bersabar dan mendoakan keselamatan negeri ini. Dalam pada itu PAS Selangor memberi amaran agar jangan ada mana-mana pihak yang mahu mewujudkan keadaan huru-hara dan mengekspolitasi suasana yang tenang dan bertamaddun dalam negara kita khasnya di negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Wednesday, January 06, 2010

Menjelaskan yang sudah jelas

Semalam Pesuruhjaya PAS Selangor telah mengeluarkan kenyataan berhubung penggunaan kalimah Allah sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Akhbar Sinar Harian hari ini cuma mengulas sebahagian dari kenyataan panjang lebar itu dan membuat kesimpulan dengan tajuk “Agama lain tidak boleh guna kalimah Allah”.

Bagaimana akhbar tersebut mahu mengulas kenyataan berkenaan terpulanglah kepada Editor nya, namun ingin saya jelaskan di sini bahawa intipati dari kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor itu adalah kebimbangan akan penggunaan kalimah Allah yang disalah-guna dan yang digunakan dengan tidak bertanggungjawab.

Presiden PAS dalam kenyataannya sebelum itu menyebut:

“Walau bagaimanapun penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianyatidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.”

Sesungguhnya kenyataan Dr Hasan merujuk kepada kebimbangan ini dan mengait dengan Enakmen dan fatwa yang sedia ada di negeri Selangor.

Sehubungan dengan itu kenyataan Presiden PAS tempoh hari telah memetik sepotong ayat al Quran dari surah al Imran ayat 64 untuk memberikan penegasan kepada kenyataan beliau. Sekadar untuk rujukan semua berikut saya berikan terjemahan ayat berkenaan dalam laman web rujukan terjemahan al Quran Universiti Islam Antarabangsa di
http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/

[64]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".

Dan tiga versi terjemahan dalam bahasa Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali, Muhammad Pickthall dan M. Shakir:

003.064
ABDLH.YUSUF ALI: Say: “O People of the Book! come to common terms as between us and you: That we worship none but Allah; that we associate no partners with him; that we erect not, from among ourselves, Lords and patrons other than Allah.” If then they turn back, say ye: “Bear witness that we (at least) are Muslims (bowing to Allah’s Will).


MUHD M.W.PICKTHALL: Say: O People of the Scripture! Come to an agreement between us and you: that we shall worship none but Allah, and that we shall ascribe no partner unto Him, and that none of us shall take others for lords beside Allah. And if they turn away, then say: Bear witness that we are they who have surrendered (unto Him).

M.H.SHAKIR: Say: O followers of the Book! come to an equitable proposition between us and you that we shall not serve any but Allah and (that) we shall not associate aught with Him, and (that) some of us shall not take others for lords besides Allah; but if they turn back, then say: Bear witness that we are Muslims.

Sebenarnya ayat ini jelas memberi “lesen” kepada penggunaan kalimah Allah (dalam bahasa Presiden PAS: “….cara yang betul menggunakan perkataan Allah…..”), oleh penganut agama Samawi 1400 tahun sebelum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagaimanapun seperti mana kenyataan Presiden PAS (dan sebelumnya Mursyidul Am dan Timbalannya) serta Dr Hasan, ada “disclaimer” atau syarat pada “lesen” itu iaitu:

“………….iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah……..”


Atau

“………That we worship none but Allah; that we associate no partners with him; that we erect not, from among ourselves, Lords and patrons other than Allah………..”

Sekaligus di sini saya mahu mengulas tulisan sahabat saya Sdr MSO di dalam blognya di http://msomelayu.blogspot.com/2010/01/panas-tengah-hari.html
yang menyebut:

Saya tidak mahu tersenyum atau pun berkata lebih dengan kenyataan Pas ini. Sebaliknya saya tersenyum dengan pengakuan yang ditulis oleh Roslan SMS berhubung kenyatan itu yang berbunyi; Sebagai seorang ahli PAS yang wala' pada pimpinan saya akur pada kenyataan ini.” Tagline Roslan ini ada mesej dan ertinya tersendiri.

Saya faham dan mengerti dengan maksud Roslan itu. Saya akur! Maknanya kalaupun dia tidak setuju tetapi kerana dia ahli Pas dia kena akur dengan kenyataan berkenaan. Kena wala’ kepada keputusan yang telah dibuat oleh Pas. Di sinilah dilema sebagai ahli kepada sebuah parti.


Sekali lagi saya tegaskan berdasarkan pemahaman saya termasuklah kepada MSO bahawa saya wala’ pada pimpinan, pada Tok Guru Nik Aziz, Dr Harun Din dan Tok Guru Presiden serta di Selangor Dr Hasan Ali dan saya akur pada kenyataan mereka. Tidak berbangkit saya tidak setuju malahmenyokong penuh.

Wallahualam.

Tuesday, January 05, 2010

Kita diwaktu tua, bagaimana?

Saya tertarik dengan surat dari pembaca dalam akhbar The Sun hari ini. Surat dari Gursharan menceritakan darihal realiti dan nasib warga emas khasnya terhadap layanan yang diterima dari anak-anak kandung mereka.

Kata beliau sesiapa yang menjangkakan bahawa pengorbanan membesarkan anak-anak masing-masing akan menghasilkan anak-anak yang akan menjaga dan membela mereka diwaktu tua sesungguhnya sedang bermimpi. Ada yang mengatakan anak laki-lakilah yang sering meminggirkan ibu-bapa manakala adalah harapan sedikit pada anak-anak perempuan, itupun meleset kata Gursharan.

Anak-anak perempuan pun kini kononnya cerdik membelanjakan wang yang mereka perolehi dan sedar akan beban kos dan masa yang banyak perlu diberikan dalam memelihara ibu-bapa yang tua.

Ringkasnya dunia materialistik hari ini memisahkan anak-anak dari pertanggungjawaban untuk memelihara ibu-bapa masing-masing malah mengkategorikannya sebagai kos dan beban.

Memang ini bukanlah halnya dengan semua kita, tetapi hakikatnya ia suatu budaya yang semakin menular dan boleh dilihat di sekeliling kita.

Kata Gursharan lagi ibu-bapa dijadikan tempat transit untuk cucu-cucu, dahlah separuh usia membesarkan anak-anak kini diwaktu maghrib perlu menjaga cucu-cucu pula. Ada yang menjemput ibu-bapa ke rumah masing-masing hanya apabila penjaga rumah bercuti dengan harapan si tua tadi boleh mengambil-alih tugas penjaga rumah.

Memang durhaka bunyinya, tetapi adakah anda terkecuali?

Sedih dan kekadang seram melihat dan memikirkan perkara ini. Memang ada anak-anak yang membalas jasa ibu-bapa mereka seupaya yang ada walaupun jelas tiada wang ringgit dan harta yang sesungguhnya mampu menebus jasa ibu-bapa kita itu. Tetapi ada juga yang gagal. Gagal kerana mereka sendiri perit menguruskan kehidupan sendiri, tetapi bayangkan bagaimana ibu-bapa kita dahulu?

Yang lebih serius adalah mereka yang mampu, yang berjaya hasil dari pengorbanan dan doa ibu-bapa mereka.Mereka inilah yang memang ada mengabaikan tanggungjawab sehingga memandang berat untuk memelihara ibu-bapa sendiri diwaktu tua.

Kata Gursharan beliau bukanlah seorang pesimis tetapi seorang realis. Inilah yang berlaku di hadapan mata kita hari ini (malah mungkin angkara kita sendiri). Beliau berdoa semoga mati dalam keadaan mampu menyara hidup sendiri tanpa perlu mengharapkan belas ikhsan anak-anak,masyarakat atau kerajaan.

Kita bagaimana?
Penggunaan “kalimah ALLAH”: PAS terbuka

Berikut adalaha kenyataan media Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS berhubung isu penggunaan “kalimah Allah”

KENYATAAN MEDIA

PAS sebagai sebuah parti Islam amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.

PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud: Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil Untuk Semua"

Sebagai seorang ahli PAS yang wala' pada pimpinan saya akur pada kenyataan ini.

Dalam erti kata lain dari fahaman saya PAS boleh menerima sekiranya penganut Kristian (dalam hal ini bagi tujuan akhbar Herald Tribune) (kerana di Malaysia tiada penganut agama Samawi yang lain) mahu menggunakan kalimah ALLAH dengan konotasi merujuk kepada TuhanYang Esa, dan tidak yang lain dari itu.

Namun jika disalahgunakan bagi tujuan yang mengelirukan PAS tidak boleh terima. Saya rasa di bab inilah lahirnya kebimbangan ramai dikalangan umat Islam khasnya ahli dan penyokong PAS. Insiden murtad yang melibatkan beberapa individu masih terngiang dalam memori kita. Nama Aishah Bukhari dan Lina Joy antaranya telah mengguris dan menyiat-nyiat hati dan sensitiviti ramai dikalangan kita. Begitu juga kes Natrah puluhan tahun lalu sehingga mengakibatkan Dr Burhanuddin al Helmi (yang kemudiannya menjadi Presiden PAS) ditangkap.
Jika pihak yang mahu menggunakan kalimah Allah (selain umat Islam sendiri) dapat mengawal diri dan menjamin yang kalimah ini tidak digunakan nanti bagi kerja-kerja “mendakwahkan” atau mengelirukan penganut Islam supaya menerima ajaran mereka maka sebagaimana pendirian PAS di atas kita boleh bersikap “terbuka”.

Marilah kita sama-sama menerima pendirian ini dan melihat perkembangan selanjutnya dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Sunday, January 03, 2010

Penjelasan penggunaan kalimah Allah oleh ahli Parlimen Baling

Pada 6 Mac 2009, saya ada membuat posting berhubung isu kalimah Allah yang telah dijelaskan secara tepat dan terperinci oleh bekas Imam Besar Masjid Negara yang juga wakil Baling YB Ustaz Taib Azamuddin atas permintaan Menteri di JPM ketika itu Zahid Hamidi. di Dewan Rakyat. Sila baca di:

http://n32.blogspot.com/2009/03/taib-azamudden-bersyarah-dalam-parlimen.html







Barangkali dalam kehangatan kembali isu ini kini eloklah kitatinjau dan kaji kembali perkara ini.

Ucapan Ustaz Taib itu juga terdapat di youtube, sila klik:

http://www.youtube.com/watch?v=BC9v7OeOyDU
Biarlah umat Islam dengan Allah nya

Allah swt berfirman dalam al Quran:

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;

"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
"Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya"


(Say: He is Allah, the One and Only! Allah, the Eternal, Absolute; He begetteth not nor is He begotten. And there is none like unto Him. )

(al Ikhlas 1-4)

Allah swt berfirman dalam al Quran:

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ' " Nabi `Isa menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

"Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ' dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.


(And (remember) when Allah says: "O 'Iesa (Jesus), son of Maryam (Mary)! Did you say unto men: 'Worship me and my mother as two gods besides Allah?' " He will say: "Glory be to You! It was not for me to say what I had no right (to say). Had I said such a thing, You would surely have known it. You know what is in my inner-self though I do not know what is in Yours, truly, You, only You, are the All Knower of all that is hidden and unseen.

"Never did I say to them aught except what You (Allah) did command me to say: 'Worship Allah, my Lord and your Lord.' And I was a witness over them while I dwelt amongst them, but when You took me up, You were the Watcher over them, and You are a Witness to all things.

(al Maaidah 116-117)

Ternyata Allah umat Islam merujuk kepada Allah yang satu yang Esa sebagaimana terikat dalam kalimah tauhid yang merupakan ikrar atau sumpah seorang Islam dalam menzahirkan aqidahnya iaitu:

Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu Rasul Allah

There is no god but Allah and that Muhammad is His messenger


Memang banyak persamaan antara umat Islam dan penganut agama Kristian, namun di sana juga terdapat perbezaan yang ketara. Yang pentingnya kita tahu dan faham akan perbezaan itu dan saling menerimanya.

Oleh itu biarlah orang Islam kekal dengan Allah mereka dan penganut Kristian dengan Tuhan mereka. Kita hormati hakikat itu.

Merobah status quo yang telah diterima sejak zaman berzaman di negara ini yang berbagai anutan, bahasa dan budaya akan hanya mengeruhkan apa yang selama ini baik dan tenang. Saya menyokong agar pihak kerajaan pusat segera mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari. Ini bukan isu politik mohon agar ia jangan dipolitikkan.

Friday, January 01, 2010

Baiklah 2010 buat semua

Hari ini 1 Januari 2010, tahun baru masehi, bertambahlah usia dunia, usia kita semua dalam mengharungi kehidupan yang entah bila kesudahannya.

Masing-masing sibuk mencongak dan membikin azam untuk tahun baru ini. Ada yang mahu himpun harta, ada yang mahu kurang berat badan, ada yang mahu berkahwin, merancang anak dan berbagai lagi mengikut ragam dan selera masing-masing.

Dalam pada itu ibu-bapa yang anaknya ke sekolah sedang bergelut menyediakan bahan-bahan persekolahan anak masing-masing, baik sekolah rendah mahupun menengah. Harga barangan yang tidak murah-murah pasti memberi impak ke atas kehidupan masing-masing. Itu belum masuk yuran sekolah, bayaran “tution”, bas sekolah dan lain-lain.

Bagi kakitangan kerajaan ketiadaan bonus dan sekadar saguhati RM500.00 sudah tentulah menyukarkan.

Berbalik kepada isu azam tadi, rupanya banyak azam tahun-tahun yang lalu tidak kesampaian atau tercicir begitu sahaja. Pedulikan, ayuh kita bikin azam baru lagi, itulah kita manusia.

Saya sendiri mendoakan agar tahun ini menjadi lebih baik berbanding tahun-tahun lalu khasnya buat diri dan keluarga saya, sahabat-sahabat dan seluruh kenalan. Lebih besar lagi mudah-mudahan tahun baru ini memulihkan ekonomi negara dan sekaligus kembali memberi keselesaan kepada kehidupan rakyat. Semoga kemiskinan dapat terus dibenteras, semoga negara menjadi aman, tiada lagi jenayah berat, tiada wabak penyakit, dan rakyat dapat hidup dalam sebuah negara yang bebas, telus dan berdaulat.

Semoga Islam terus dijulang. Semoga umat Islam dapat mengembalikan kegemilangan Islam dan menjadi contoh kepada masyarakat lain.

Kalau semua pimpinan Pakatan Rakyat disemua peringkat dapat terus kekal sebagai pemimpin yang cemerlang dan berwibawa khasnya di negeri-negeri yang ia perintah, insyallah PR akan terus disenangi dan diterima rakyat dan semakin teguh tahun 2010 ini.

Bulan Januari 2010 ini, kita di Selangor menjenguk-jenguk juga, mana tahu ramalan tok nujum politik yang kini dalam buangan sendiri, bahawa kerajaan PR Selangor akan jatuh sebagaimana di Perak, bakal berlaku atau sekadar khayalan dab bikin-bikinan semata-mata. Kita tidak mahulah berbesar kepala. Insyallah kita terus berdoa kehadrat Allah swt agar membantu dan menyelamatkan kerajaan negeri PR di Selangor ini. Kalau meleset ramaln ini, janglah ganggu-ganggu lagi.Berilah ruang kepada kami khasnya PKR,DAP dan PAS negeri memimpin dan mentadbir negeri ini menurut kebijaksanaan dan kemampuan kami.

Akhirnya saya berdoa agar PAS Selangor terus teguh bersatu. Tiada lagi sengketa dan perang-perang kecil sesama jemaah. Kita berdiri teguh, wala’pada pimpinan yang satu selagi mana beliau tidak memimpin kita kea rah maksiat. Ayuh kita perteguhkan saf, serang musuh yang satu, bersama mengejar matlamat yang satu, pertahankan aqidah yang satu.

Ya Allah jayakanlah perjuangan kami di tahun 2010 ini.
Jangan naikkan harga kemanisan senyuman anda

Pagi tadi semasa pergi ke kedai runcit biasa saya untuk membeli akhbar tempatan hari ini saya terdengar bualan antara si India pemilik kedai dan seorang pelanggannya Tionghua nya.

Mereka merungut sambil mebebelkan sesuatu. Akhirnya tertangkap oleh telinga saya. Mereka sedang merungut berkenaan berita kenaikan harga gula berkuatkuasa tengah malam semalam.
Kata mereka makin mahallah harga teh tarik kedai mamak nanti.

Ya, untuk kesekian kalinya kerajaan persekutuan BN mengumumkan kenaikan harga gula melalui Kementerian Perdagangan DalamNegeri. Melalui pemakluman kementerian berkenaan harga gula naik 20 sen sekilo iaitu ke RM1.65 sekilo di Semenanjung danRM1.75 sekilo di Sabah dan Sarawak. Alasannya harga gula dunia telah naik sejak bulan Ogos lalu, maka kerana Malaysia duduk atas dunia, suka tak suka kena naiklah juga.

Bagi rakyat jelata sudah pasti kenaikan ini menambahkan lagi beban kehidupan masing-masing. Namun yang baiknya sekurang-kurangnya ia memaksa kita mengawal penggunaan gula ke atas kehidupan harian masing-masing.

Dan janganlah kerana naik harga gula maka kemanisan dari senyuman kita masing-masing turut berkurangan. Senyumlah kerana kata Rasulullah senyum itu sedekah. Sabda Baginda saw:

Tiap-tiap amalan makruf (kebajikan) adalah sedekah. Sesungguhnya di antara amalan makruf ialah berjumpa kawan dengan wajah ceria (senyum) dan mengurangi isi baldi mu untuk diisikan ke mangkuk kawan mu.
(Hadis riwayat Ahmad)