Tuesday, September 30, 2008


Salam Eidul Fitri dari kami sekeluarga

Malam semalam adalah solat terawih kita yang terakhir buat bulan yang penuh barakah ini iaitu bulan Ramadhan, malam ini tiada lagi terawih. Mungkin terawih kita semalam adalah yang terakhir buat kita wallahualam.

Kita berbuka maghrib hari ini dan dengan itu berakhirlah Ramadhan, universiti terbuka yang telah sama-sama kita tempuhi mengikut tahap kekuatan dalaman masing-masing. Pencapaiannya hanya kita dan Allah sahaja yang ketahui, yang bakal kita usung bersama untuk di bawa mengadapNya apabila tiba masanya nanti.

Apa pun semoga komitmen Ramadhan kita kali ini adalah terbaik buat kita setakat ini, kerana jika kita ditakdirkan tidak kita berkesempatan berjumpa Ramadhan lagi, maka ia nanti akan menjadi pelindung dan penebus kita insyallah.

Dikesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat hari Raya Eidul Fitri kepada semua pengunjung blog ini, tidak kiralah mengunjunginya sebagai teman dan sahabat atau untuk dijadikan modal untuk menyerang kembali atau kerana menjalankan tugas, selamat insyallah semuanya. Maaf saya pohon kiranya sebarang pandangan dan bahasa yang saya gunakan menyinggung atau menyakitkan hati sesiapa.

Salam ukhuwah dan silaturahim dari saya sekeluarga, terima kasih atas sokongan anda semua.

Semoga Islam terus dijulang.

Ikhlas dari kami sekeluarga:

Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir
Wan Suria
Fatimah Zahrah
Mohd Hussien Shahir
Mohd Ibrahim Shahir

* terima kasih juga kepada sahabat-sahabat yang telah sudi menurunkan ucapan salam masing-masing di sini selain yang mengirim sms.

Monday, September 29, 2008

Bersihkan Hari Raya dari kekotoran dan murka Allah

Sekiranya anak bulan Syawal kelihatan lewat petang ini bermakna kita akan berhari raya esok, jika tidak maka malam ini adalah tarawih yang terakhir buat kita tahun ini. Begitu cepat sekali masa berlalu, subahanallah.

Suasana Eidul Fitri sudah pastilah diselubungi dengan kegembiraan. Sanak-saudara dan kaum-kelurga serta sahabat-handai akan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan bergembira. Dan lazimnya sepanjang bulan Syawal ini bukan sahaja kaum keluarga dan individu yang bergembira, tetapi badan-badan korporat, institusi, dan NGO juga turut tidak mahu ketinggalan.

Seacara tradisinya badan-badan ini akan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada rumah anak-anak yatim, orang tua dan kurang upaya serta warga miskin sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat. Memang langkah seumpama ini wajar dialu-alukan.

Walaubagaimanapun sekali lagi saya mahu mengingatkan (rasa saya setiap tahun saya paparkan di sini) agar semua kita prihatin dan mengambil-berat akan pihak mana yang terlibat dalam program dan aktiviti seumpama ini. Pastikan yang syarikat-syarikat yang terlibat dengan industri yang diharamkan oleh syarak seperti arak, judi dan lain-lain tidak terlibat dalam program seumpama ini.

Magnum, Sports Toto, Genting, Carlsberg, Guiness Anchor umpamanya tak perlulah melibatkan diri dalam aktiviti seumpama ini. Bayangkan betapa besarnya dosa kita apabila mengizinkan syarikat-syarikat ini menaja perayaan Hari Raya atau menjamu anak-anak yatim sempena Hari Raya ini. Saya berharap pihak berkuasa agama dan kerajaan tidak kiralah kerajaan pusat atau negeri-negeri agar mengambil tahu akan hal ini, jangan sampai terlepas pandang.

Malah bank-bank riba’ juga sepatutnya dipantau. Sekurang-kuranya tunjuklah ketelitian kita dalam hal-hal seumpama ini, saya percaya beratus lagi syarikat dan badan korporat yang boleh dilibatkan dari kita menagih simpati pada syarikat dan industri yang diharamlan oleh Allah swt ini.

Sunday, September 28, 2008

MT Bunga Melati 5 bebas!

Alhamdulillah, doa kita semua diperkenankan Allah swt, menurut laporan kesemua anak kapal MT Bunga Melati 5 yang ditawan oleh lanun-lanun pengganas Somalia telah dibebaskan dengan selamat setelah sejumlah wang tebusan dibayar kepada kumpulan pengganas berkenaan.

Bunga Melati 5 yang sarat dengan 30,000 metrik tan petrokimia ditawan dalam perjalanan ke Singapura dengan membawa 41 anak kapal iaitu 35 Malaysia dan bakinya warga Filipina.

Reuters melaporkan wang tebusan berkenaan telah diserahkan kepada kumpulan pengganas berkenaan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Dan sementara itu rundingan lanjut sedang terus diadakan untuk membebaskan pula MT Bunga Melati 2. Melati 2 membawa 39 orang anak kapal iaitu 29 warga Malaysia, 9 Filipina dan 1 Pakistan.

Menurut laporan itu lagi kesemua tebusan Melati 5 dalam keadaan selamat dan akan dibawa pulang ke tanahair dalam kadar segera.

Syukur ke hadrat Allah swt di atas perkembangan ini. Semoga demikianlah juga nasib anak-anak kapal Melati 2, mudah-mudahan mereka semua akan pulang dalam keadaan selamat kepangkuan kaum keluarga yang tercinta pada Hari Raya ini, insyallah. Saya pasti inilah hadiah Hari Raya yang paling bermakna buat para tebusan dan kaum keluarga mereka.

Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam urusan perundingan dan pembebasan ini termasuklah pihak MISC, kerajaan Malayisa dan TLDM.

Saturday, September 27, 2008




Bahang Eidul Fitri semakin terasa. Ada dikalangan sahabat-sahabat samada sudah sampai ke kampong halaman masing-masing ataupun masih dalam perjalanan, berhati-hati di jalanraya.

Saya terus menerima ucap salam Eidul Fitri dari sahabat-sahabat yang sudi. Antaranya:

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Buat semua sahabat seperjuangan .

Saya sekeluarga mengambil kesempatan di hari yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini , terlebih dahulu untuk memohon maaf atas segala salah dan silap . Semoga ukhuwwah fillah dikalangan kita anggota Gerakan Islam terus bersemi tanpa sebarang ruam yang hanya mencacat hubungan persahabatan antara kita.

Tiada dinafi , terlalu sukar mengawal emosi dan terlalu payah membendung rasa tetapi jauh lebih sukar dan payah untuk memutus hubungan persahabatan yang telah kita bina bersama dengan sumpah perjuangan ini. Mudah – mudahan seketika nanti , akan tiba detik kita kembali bertaut kasih tanpa curiga .

Apa yang perlu kepada kita agar bersabar buat sementara dengan tidak melakukan sebarang tindakan luar jangka yang membuatkan musuh bertepuk tangan melihat kita berantakan .
Mohonlah kepada Allah swt. agar saff perjuangan ini kian rapat , memimpin tindakan yang terarah memacu hala tuju yang jelas ke arah mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini .

Turut menginsafi kemelut yang melanda jamaah semakin hari semakin sulit situasinya , maka saya sangat mengharapkan agar bulan Syawal yang bakal menjelma akan menjadi Pelan Damai buat semua . Atas nama kalimah tauhid kita beriman , atas nama kalimah tauhid kita berjuang maka atas nama kalimah tauhid yang di laungkan di pagi raya kelak menjadikan kita erat dan utuh bersatu .






Nasrudin Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Turut tidak ketinggalan adalah rakan blogger dan seorang pendakwah yangs entiasa berani mencuba sesuatu yang baru, sahabat karib ana Ustaz Hishamuddin:

Akhi Roslan...

Terima kasih kerana menjemput ana membuat ucapan ini.

Ingatan anta itu satu pengiktirafan yang sebenarnya menyuntik semangat untuk ana meneruskan sumbangan kecil ana terhadap perjuangan ini.

Akhi…

Tahun ini, Ramadhan menjenguk lagi seperti sebelumnya; bersama Rahmat Tuhan yang tak terhitung banyaknya.

Kita sewajibnya bersyukur kepada Allah subhanahu wa ta’ala kerana masih direzkikan dengan Ramadhan kali ini, sedangkan di sana telah ramai saudara mara serta sahabat handai yang tidak lagi berkesempatan bertemu dengan Ramadhan kali ini.

Akhi…

Setiap tahun ana selalu menyebut di dalam ceramah-ceramah dan tazkirah-tazkirah Ramadhan ana; bahawa tiada siapa yang dapat menjamin, dia masih ada pada Ramadhan tahun hadapan. Selalu juga ana menyebut bahawa boleh sahaja terjadi, Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan terakhir kita.

Ketahuilah wahai saudaraku Roslan, bahawa saban tahun, kebimbangan itu semakin bertambah. Terasa bahawa saat yang disebut-sebut itu semakin hampir.

Kita perlu selalu bermuhasabah, berjayakah kita merebut kelebihan Ramadhan yang dianugerahkan Allah subhanahu wa ta’ala itu? Ataukah kita tetap terleka membiarkan Ramadhan pergi tanpa kita benar-benar dapat mesra dengannya.

Kebimbangan kita bahawa Ramadhan kali ini mungkin sahaja yang terakhir bagi kita, sepatutnya membuatkan kita banyak berdoa agar diberikan lagi tempoh dan peluang oleh Allah.

Kita bukannya benci untuk mati kerana mati itu membawa kita pulang ke pangkuan kekasih kita, Allah subhanahu wa ta’ala. Tapi kita sebenarnya merasa masih belum bersedia untuk dihisab di hadapan Allah subhanahu wa ta’ala. Sudah bersediakah jiwa kita untuk itu?

Akhi…

Apa yang pasti, tahun ini keyakinan ana kepada perjuangan Islam semakin bertambah, sebagaimana ia telah wujud di tahun-tahun sebelumnya.

Ana dapat menyaksikan bagaimana Allah subhanahu wa ta’ala memelihara dan memantau perjuangan Islam ini.

Bagaimana Allah menyusun perancangan demi perancangan yang membawa perjungan Islam ini maju setapak demi setapak.

Apa yang berlaku ini memantapkan lagi prinsip yang ana yakini sebelum ini bahawa Allah subhanahu wa ta’ala pasti akan mentaqdirkan yang terbaik untuk pejuangan Islam.

Akhi Roslan…

Sebagaimana kemenangan memimpin (futuh) Makkah adalah berpunca dari perjanjian Hudaibiyyah 2 tahun sebelumnya (ini disebutkan Allah di dalam surah al-Fath), maka begitu jufgalah `kejayaan’ yang `kita’ capai kali ini.

Apa yang kita capai hari ini bukanlah hanya kerana apa yang kita usahakan hari ini. Perjanjian Hudaibiyah dan Futuh Makkah memahamkan bahawa apa yang kita capai hari ini, sebearnya bermula dari apa yang diusahakan sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu.

Sebab itulah di dalam menghayati kejayaan hari ini, kita tidak boleh melupakan mereka yang telah mengasaskannya `semalam’….

Hishamuddin Abd Aziz

Saya masih terus membuka ruang untuk sesiapa yang sudi bagi mengirim ucap salam Eidul Fitri untuk saya siarkan di blog ini. Sudilah mengirim ucap selamat masing-masing ke:

roslan _ s @ yahoo.com
Jawi: Bersama kembali menjulangnya

Kita bangga dengan tulisan Jawi sebagai warisan bangsa Melayu tetapi tidak pernah mengambil inisiatif memartabatkannya. Penggunaannya semakin kurang dan hampir tiada, tetapi kita marah-marah apabila ada pihak mempertikaikannya.

Oleh itu marilah sama-sama kita berusaha menjulangnya kembali. Semarakkan penggunaan tulisan yang merupakan kebangaan umat Melayu ini zaman berzaman. Buku-buku dan kitab-kitab lama dikarang dalam tulisan ini, malah beberapa dokumen penting termasuklah yang dikeluarkan oleh pihak istana dan pembesar-pembesar Melayu serta beberapa pengisytiharan sewaktu Merdeka pun ditulis dalam tulisan ini.

Saya berbangga apabila melihat ada badan korporat yang mula berusaha memartabatkan kembali tulisan ini. Disertakan gambar kain rentang di plaza tol Shah Alam berhampiran Subang Jaya yang memaparkan ucapan Selamat Hari Raya dalam tulisan jawi.





Ikuti perutusan Hari Raya Eidul Fitri oleh
Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang
di:





http://webtv.terengganukini.net/wawancara/080926/utusraya1429.wmv
Jadikan Ramadhan ini jambatan untuk menyertai PAS

Mesyuarat MT Umno Jumaat lepas telah pun berlalu. Kedudukan Dollah selaku Presiden dan PM semakin goyah. Pelan peralihan kuasa dari Dollah ke Najib yang dipersetujui MT sebelum ini bakal berlaku pada pertengahan 2010 kini ditong sampahkan.

MT semalam telah membawa pelan baru. Kini Dollah difahamkan terpaksa berundur lebih awal. Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan Disember ini ditangguhkan ke bulan Mac 2009. Mesyuarat Bahagian-bahagian Umno yang diajdualkan bermula Oktober 9 ini walaubagaimanapun akan diteruskan.

Adalah difahamkan yang Dollah akan mengumumkan sebelum 9 Oktober hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden, ini bermakna tempoh beliau sebagai PM akan berakhir sejurus Presiden Umno yang baru diangkat iaitu pada Mac 2009 nanti. Sejurus itu Bahagian-bahagian Umno dijangka mencalonkan Najib dan Muhyuddin sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

Maka berakhirlah hayat Dollah sebagai PM dan Presiden Umno yang paling pendek perkhidmatannya dalam sejarah.

Sejauh manakah akar umbi Umno menerima pelan baru ini tidak dapat dibaca, yang pastinya beberapa kerat pimpinan MT telah menunjukkan taring masing-masing sehingga berupaya menyegerakan pengunduran Dollah. Antara yang dimaksudkan adalah Muhyuddin, Rafidah, Shafie Apdal dan lain-lain. Saya pasti dalam keadaan Umno yang luka parah selepas PRU ke 12 lalu, pasti akan ada pihak yang tidak berpuas-hati.

Yang pasti mereka yang bernaung di bawah Dollah tentu kecewa, antara yang dipercayai bernaung di bawah dagu Dollah adalah Mat Taib, Annuar Musa, Khairy Jamaluddin dan lain-lain. Bagaimana pula penerimaan kumpulan Tengku Razaleigh? Dalam kenyataannya Ku Li menganggap pelan baru ini bagaikan "permainan kanak-kanak", dan beliau berjanji akan terus mencabar jawatan tertinggi parti itu. Bagaimana pula dengan kumpulan Tun Dr Mahathir?

Umno yang luka parah itu seakan teruji lagi, konflik tercetus antara yang boleh terima dan yang tidak, yang berpuas-hati dan yang kecewa. Lantaran itu sekali lagi saya menyarankan agar rakan-rakan dalam Umno, di apa peringkat sekalipun agar memikir-mikir dan menimbangkan sarana Tuan Guru Presiden PAS agar:

……berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung.

Saki baki pimpinan Umno yang ikhlas yang mementingkan Islam mengatasi segala-galanya seharusnya berani beralih bahtera dan memanjangkan cita-cita perjuangan mereka melalui wadah PAS ini. Perjuangan untuk memartabatkan agama, bangsa dan Negara tidak semestinya berakhir di dalam Umno, PAS yang lahir sejak sebelum merdeka juga yang telah bersaing dengan Umno dalam hampir kesemua pilihanraya-pilihanraya umum ternyata memiliki daya ketahanan yang lebih baik.

Ini kerana Islam konsisten dan tidak pernah berubah. Islam tidak terbawa-bawa dan berubah mengikut perubahan zaman tetapi perubahan zaman itu diadunkan mengikut kehendak dan peraturan Islam.

Dalam sejarah PAS telah menerima ramai pimpinan Umno dan mereka berjuang dan terus mendapat tempat dan diterima masyarakat, kerana peralihan dari perjuangan Umno kepada PAS itu tampak lebih berkesan dan sempurna. Allahyarham Khatijah Sidek yang pernah merupakan Ketua Kaum Ibu Umno (sebelum Merdeka), telah menyertai PAS dan menjadi Muslimat PAS pertama yang menjejakkan kaki ke Parlimen 1959, begitu juga ramai lagi dan malah hari ini pun ada dikalangan pimpinan PAS pernah satu ketika duduk dalam Umno.

Pimpinan dan wakil-wakil rakyat PAS telah membuktikan keupayaan mereka memimpin dengan bersih dan telus malah jauh lebih baik dari Umno hasil dari perjuangan Islam yang mereka dokongi itu. Berteraskan Kepimpinan Ulamak, PAS telah melahirkan jenerasi pimpinan dan ahli-ahli yang berani kerana benar dan hanya takut kepada murka dan azab Allah swt.

Kerana itu PAS lah pilihan terbaik bagi kawan-kawan dari Umno disaat dan ketika ini. Ayuhlah bersempena bulan Ramadhan yang penuh barakah ini kita mengambil kesempatan dan kemabli bernaung di bawah panji-panji kalimah tauhid La illa ha Illallah. Sebagaimana disarankan oleh Tuan Guru Presiden PAS:

PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.

Ayuh bersama-sama kita berjuang memartabatkan agama, bangsa dan Negara melalui PAS.




Hari ini adalah 27 Ramadhan, insyallah tinggal 3 hari lagi sebelum umat Islam seluruh dunia meriaikan Hari Kejayaan iaitu Hari Raya Eidul Fitri. Saya terus menerima ucapan salam Hari Raya dari sahabat-sahabat untuk disiarkan di blog ini. Antara yang saya terima adalah dari sahabat lama, Tuan Syed Shahir Syed Mohamud, Presiden MTUC. Ucapan beliau berbunyi:

Asmlkm buat Saudara Roslan Shahir, semoga saudara berada dibawah perlindungan NYA.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya 'Aidil Fitri. Taqaballallah hu minkum. Minal 'Aidin Wal Faizin.

Saya dengan rendah diri mohon ampun dan maaf dari saudara kerana sepanjang tempuh ini mungkin berlaku kekasaran, keceluparan dan ketelanjuran bahasa dan perilaku dari pihak saya yang tidak di sengajakan terhadap saudara. Sebagai insan biasa saya akui punya banyak kelemahan.

Sama-samalah kita teruskan usaha dan ikhtiar untuk membebaskan golongan musta'afin dari belenggu kemisikinan dan kedhai'fan di bumi yang dikurnia Allah dengan segala macam kemewahan ini.

Hormat dari saya,

Syed Shahir bin Syed Mohamud


(Selamat hari raya Tuan Syed dipangkuan isteri (baru) yang dikasihi)

Saya juga menerima ucapan berikut dari Ketua Penerangan PAS Pusat YB Tuan Hj Mahfuz Omar:

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Hiasilah hari-hari raya kamu dengan bertakbir.
(at-Tabrani)

Huraian1. Umat Islam digalakkan menyambut hari raya sama ada hari raya Aidil Fitri mahupun Aidil Adha dengan bertakbir beramai-ramai, di masjid-masjid atau di surau-surau bagi menandakan kesyukuran kepada Allah SWT setelah berjaya berpuasa selama sebulan.2. Di hari yang mulia ini juga umat Islam hendaklah bermaaf -maafan antara satu sama lain dan kunjung mengunjung bagi perapatkan hubungan silatul rahim sesama Islam.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI , MAAF ZAHIR DAN BATIN DARI KAMI SEKELUARGA
KEMAAFAN JUA KAMI PINTA .



Juga saya menerima ucapan salam dari adinda-adinda yang dikasihi iaitu dari Jabatan Amal DPP Wilayah Persekutuan. Mereka ini hebat-hebat belaka, antara tenaga sukarelawan yang telah banyak mengharum-semerbakkan nama PAS.

Andai ada salah silap kami kepada anda semua, sepuluh jari kami hulurkan memohon kemaafan sempena kedatangan hari yang mulia.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Maaf zahir dan batin


M. S. Abu Sahid
Setiausaha
Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Saya masih membuka peluang kepada kawan-kawan yang ingin menyampaikan ucapan salam masing-masing di sini. Sila emailkan ucapan ke:

roslan _ s @ yahoo.com

Friday, September 26, 2008

Mutiara dari Pulau Melaka

Saya sentiasa kagum dan terpegun membaca tulisan sahabat-sahabat terutama yang kaya dengan ilmu agama walaupun mereka dikalangan adik-adik saya. Seorang penulis yang baik mungkin boleh menambat isi hati pembacanya dengan lenggok tulisan yang diperolehi dari pengalaman dan pengamatan serta pembacaan yang kaya, tetapi ia tidak akan sehebat penulis yang memiliki ilmu agama.

Alhmadulillah kebelakangan ini lahir ramai anak-anak muda yang berlatarbelakangkan pendidikan agama, yang menyumbang menulis di alam maya. Saya salute mereka ini kerana sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi, berdakwah bukan sekadar berceramah di masjid dan surau serta majlis-majlis ilmu atau sekadar menulis buku dan di majalah atau akhbar. Hari ini ia perlu dilontarkan sekali hingga ke alam maya barulah luas pencapaiannya.

Antara adinda-adinda saya ini yang berbakat termasuklah Ustaz Nik Abduh, Ustaz Nasruddin, Ustaz Yusainie dan beberapa yang lain yang masing-masing memiliki blog sendiri. Mereka bukan sekadar menulis berdasarkan ilmu tetapi mampu mengolah isu-isu semasa berdasarkan ilmu Islam yang dipinjamkan kepada mereka oleh Allah swt.

Keupayaan seumpama inilah yang sewajarnya ditonjolkan semoga masyarakat sentiasa terbimbing dan tidak mudah melompat atau menerkam apabila ditampilkan satu-satu isu ke tengah.


Diantara ketiga-tiga mereka itu adinda Nik Abduh lah kelihatan yang paling liat meng “update” blognya. Beliau ini seorang romantis, makhluk seni berlainan dengan dua pejuang lain itu. Tetapi sekali-sekala abila beliau menyentuh satu-satu isu, tikamannya pedih dan sampai ke ulu hati.. Saya perhatikan dalam liat-liat beliau hari ini sahaja, beliau membuat dua posting dalam blognya “Masanya memilih jalan yang lurus”. Mungkin setelah ditegur kawan-kawan ideanya kembali menyegar……

Saya tertarik dengan postingnya bertajuk: Islam, ulamak dan syura. Sungguh komprehensif , mudah difahami tetapi sarat dengan pengertian. Beliau menulis:

Ulama besar sungguh di sisi Islam. Ia menjadi besar kerana tiada lagi nabi hari ini. Tiada lagi utusan langsung dari langit atas sebagaimana zaman dahulu kala sebelum kedatangan rasul akhir zaman sallaLlahu alaihi wasallam. Zaman mana ada nabi, tiadalah ulama menjadi besar sebagaimana hari ini yang tiada lagi nabi.

Ulama itu pewaris para nabi. Nabi mewarisi ilmu langit. Kadar mana ilmu itu diwarisi ulama, kadar itulah darjat ulama menjadi tinggi. Oleh kerana nabi kita begitu diangkat ketinggiannya, maka para ulama pewaris pun turut mewarisi dan menerima tempias ketinggian itu. Ulama dijulang kerana nabi dijulang. Ulama dipalang pun kerana nabi dipalang jua.
Ulama mewarisi ilmu dan perjuangan para nabi. Bebanan ulama tak sama dengan bebanan kita orang biasa. Mereka mesti menjaga ugama. Mereka mesti menjaga dakwah. Mereka kena menarik kemalahatan kepada ummah dan menolak kemudharatan daripada mereka.

Begitu ugama ini dijaga daripada kebatilan dan kerosakan. Ia mesti kekal sebagai ugama suci untuk dianuti jiwa yang mahukan kesucian di dunia ini.

Di sinilah pentingnya PAS menobatkan Kepimpinan Ulamak, bukan kerana keperibadian masing-masing tetapi kerana ilmu yang mereka kuasai serta amalan mereka berdasarkan ilmu itu. Beliau lalu menjelaskan:

Nabi Muhammad diarah untuk meladeni para sahabat yang akan mewarisi ugama ini daripadanya dengan menjadikan mereka ahli mesyuaratnya. Siapalah para sahabat yang penuh kekurangan untuk diambil timbang pandangan mereka di hadapan ar Rasul yang penuh maksum? Tidakkah cukup sudah segala jawaban jika ianya datang walaupun hanya dari seorang seperti ar Rasul? Apalah gunanya lagi pandangan para sahabat?

Namun begitulah Allah mempersiapkan jawaban buat mengisi kelompangan besar antara kedua - duanya. Betul, al Rasul cukup dengan wahyu dan Allah di sisinya untuk menjaga ugama tanpa pandangan dan jawaban para sahabat, tetapi begitulah amalan syura dihidupkan seawal zaman nabi masih di persada kehidupan buat memahamkan kita bahawa syura ulama adalah pewaris ugama ini.
Seorang nabi tidak diwarisi oleh seorang ulama. Seorang Muhammad yang menjaga ugama itu diwarisi ilmu ugama dan perjuangannya oleh sejumlah ulama yang membentuk syura yang muktabar.

Jumlah yang ramai itulah yang menjadi penyelamat sepanjang zaman kepada perjalananan ugama suci ini untuk terus kekal suci sampai kiamat.

Syura mesti daripada ulama yang mewarisi ilmu al Quran. Ia mesti dipilih oleh para ulama daripada kalangan mereka atau dengan keputusan mereka. Demikian ugama ini menjadi kebal untuk dibolosi anasir - anasir yang akan mencacatkan dan mengotorkan agama suci ini.

Agama bukan milik Ibnu Taimiyah atau Hasan al Banna atau Yusuf al Qaradhawi atau individu mana pun. Juga, ia bukan milik Abdul Aziz, atau Abdul Hadi atau Harun Din atau individu mana pun. Ia milik syura yang dikebalkan Allah dengan kekebalanNya. Himpunan ulama mencipta Ijma’ ulama. Ijma’ ulama adalah sumber ugama selepas Al Quran dan al Hadis. Begitu kita mesti memahamkan diri.
Kerana itulah barangkali Tuan Guru Presiden PAS membentangkan dalam ucapan dasarnya baru-baru ini bahawa Majlis Syura bukannya terompah kayu. Ia suatu institusi yang melahirkan keputusan berdasarkan syarak, bukannya atas kepentingan atau kemahuan mana-mana pihak. Di sinilah bezanya PAS dengan mana-mana parti atau kumpulan lain.

Beliau menambah lagi:

Betul, setiap ulama adalah bintang yang bercahaya. Anda menikmatinya saat langit malam itu cerah, aman dan sejahtera. Namun, apabila awan mula menggulung - gulung dan petir memanah - manah, anda kehilangan petunjuk bintang itu.

Begitulah, anda kehilangan individu ulama itu saat fitnah menyerang umat. Anda memerlukan petunjuk yang lebih jelas dan tepat. Itulah syura ulama yang pasti menunjuki.
Cuma istimewanya adinda Nik Abduh ini adalah kerana ayahnya kebetulan adalah Mursyidul Am PAS, seorang tokoh yang disegani kawan dan lawan. Selaku anak beliaulah yang layak mencedok apa sahaja yanh berguna dari ayahandanya untuk dikongsi bersama kita. Beliau memetik ayahnya sebagai berkata:

Bagaimana mereka boleh memisahkan kepimpinan Islam dengan kepimpinan ulamak?

Dalam ertikata lain kepimpinan Islam itu mestilah berteraskan ulamak. Setinggi mana pun ilmu kita jika tidak dipadukan dengan ilmu para ulamak maka disitulah bermulanya masalah. Saya kira adinda Nik Abduh bijak apabila beliau menamtakan psotingnya dengan menyebut:

Jika anda seorang doktor, anda diamanahkan menjaga kesihatan tubuh. Jika anda seorang arkitek dan engineer, anda diamanahkan menjaga kesihatan bangunan. Jika anda seorang ekonomis, jagalah kesihatan kocek.
Jika anda bukan seorang ulama, janganlah anda melangkah ulama untuk menjaga ugama dan dakwah ini. Kelak anda marah jika anda digelar anak tak beradab atau murid yang nakal.

Kita dalam PAS jangan jadi budak - budak nakal. Malu kita..
Lainlah kalau kita memang jenis yang tidak tahu malu, wallahualam.
Masa untuk ahli-ahli Umno berhijrah

Suasana semakin tegang dalam umno.

Tak sampai dua minggu Majlis Tertinggi mereka bersidang pagi ini ada satu lagi persidangan khas. Semua gara-gara tuntutan dan desakkan agar Dollah ditunjukkan pintu keluar terlebih awal. Selepas mesyuarat MT Umno lalu beberapa negeri tiba-tiba menyatakan sokongan padu kepada pelan peralihan kuasa yang akan menyaksikan Dollah kekal sebagai Presiden Umno (dan PM) sehingga 2010.

Antara negeri-negeri itu termasuklah Pulau Pinang dan Kelantan.

Keputusan itu dikatakan tidak menyenangkan beberapa pihak yang mahukan Dollah berundur lebih awal atas sebab kehadiran beliau kini lebih merupakan liabiliti kepada Umno. Umno mahu dibaik-pulih, dan pembaikian itu tidak dapat dilakukan melainkan Dollah angkat kaki.

TPM yang juga Timbalan Presiden Umno yang dijadulakan terbang ke New York untuk menghadiri Persidangan PBB membatalkan pemergian beliau atas sebab mahu menghadiri mesyuarat MT khas pagi ini.

Apakah yang bakal berlaku?

Dollah mungkin setuju berundur awal atau mungkin tidak, jika setuju maka mereka yang dibalakngnya akan menganggap Dollah dipaksa keluar dan pasti protes. Jika tidak maka ramai pula lagi akan protes termasuklah Ku Li dan Tun Dr Mahathir. Sekali lagi Umno diselubungi kegawatan dan kali ini pada tahap yang agak kritikal.

Kita bukan mahu melonjak dan menari-nari atas kegeringan mereka itu, cumanya Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang baru-baru ini telah menyarankan agar ahli-ahli dan pimpinan Umno mencari jalan keluar. PAS sedia menjadi pengkalan atau wadah bagi mereka untuk meneruskan perjuangan, kali ini bersama-sama menjulang panji-panji Islam!

Perjuangan membela nasib dan masa depan ummah dan Negara perlu diteruskan dan bahtera PAS terus gagah meluncur membelah lautan itu.

Peristiwa Fathul Makkah atau Pembukaan Kota Mekah pada tanggal 10 Ramadhan tahun 8 Hijrah sewajarnya menjadi iktibar kepada kita, betapa akhirnya Rasulullah saw dapat menyatukan semua pihak atas nama Islam, yang satu ketika dahulu sama-sama berbalah, boleh bersatu bernaung di bawa keselamatan dan kesejahteraan Islam.

Untuk ulasan lanjut iktibar Fathul Makkah sila ke blog adinda saya Ustaz Nasrudin Tantawi di:

http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/2008/09/tazkirah-ramadhan-7-fathul-makkah.html

Sama-samalah kita renung dan memikirkan tawaran Presiden PAS itu apabila beliau menyebut:

Sehubungan itu, Parti Islam Se Malaysia (PAS) berpendapat bahawa sudah sampai masanya bagi umat Islam dalam negara kita ini untuk berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung.

PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit, tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya, maka PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.

Umno mungkin dapat diselamatkan dengan beberapa inisiatif kecemasan yang diambil oleh barisan pimpinan mereka, tetapi mungkin juga akan lebih tenat dan parah. Umno akan menghadapi pemilihan diperingkat bahagian dan dikuti dengan pemilihan diperingkat pusat Disember ini yang sudah semestinya menambahkan kegawatan dalam parti Melayu itu.

Elok sangatlah masing-masing memikirkan jalan keluar jika keadaan sudah terlalu meruncing serta mencemaskan dan tiada alternatif lain. Pimpinan Umno khasnya boleh menyaksikan betapa rakan-rakan mereka bekas Umno yang menyertai PAS sebelum ini terus mendapat tempat, dan kedudukan, dengan syarat masing-masing jujur dan ikhlas dalam perjuangan.

Saya akhiri posting ini dengan pandangan Presiden PAS berkenaan hal ini:

Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS.

Marilah bersama-sama kita bina wadah PAS ini supaya menjadi lebih kuat dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.

Thursday, September 25, 2008




Syawal semakin tiba sementara Ramadhan akan merangkak lalu. Ucapan salam Hari Raya terus saya terima dari rakan dan taulan, antaranya:

Salam Aidilfitri dari KedahLanieSemoga AidilFitri kali ini menanamkan lagikepada diri kita semua sifat-sifat perjuanganmenegakkan ISLAM....Allah'Huakbar....

KedahLanie@gmail.com
http://KedahLanie.blogspot.com

Juga saya turut terima ucapan berikut dari seorang sahabat lama:

Takbir bergema
Allah Maha Besar

Ramadhan berlalu pergi
Syawal menyapa mesra

Tangan dihulur
Pererat persahabatan

Kembali kita kepada Fitrah,
Menjadi abdi Tuhan Yang Maha Esa

Dengan sebenar-benarnya…

Semoga kita dirahmati
Semoga kita diampuni
Semoga kita bebas dari sengsara neraka

Eid Mubarak
Maaf Zahir Batin

Jamzuri Ardani
Nafizah Abd Rahman
Abdullah Mubarak
Muhammad Iqbal
Ahmad Marwan
Iffatul Aula
Husna Amani
Amir Imtiaz
Muaz Zuhair


Saya masih membuka tawaran untuk merakamkan ucapan salam Eidul Fitri di sini, sila kirimkan ucapan anda ke:

roslan _ s @ yahoo.com
Badan dan baju PAS

Saya pagi ini berhasrat memijak sedikit ke bumi kontroversi. Bukan apa sekadar berbincang secara ilmiah dan lebih meneropong ke dalam dari menyinggung atau menyakiti hati mana-mana pihak tambah yang kita gelar kawan.

Azizi Abdullah adalah seorang penulis dan pengulas politik yang sangat saya hormati. dan kagumi. Kemahiran dan seni penulisan beliau yang dikurnia Allah swt sukar ditandingi dan memang beliau berbakat. Artikel terbarunya: “Badan saja PAS baju Keadilan” di http://aziziabdullah.blogspot.com/ memang pedas dan panas. Saya nasihatkan kita baca keseluruhannya terlebih dahulu sebelum mengambil sikap atau mengulas.

Kebelakangan ini semacam ada sindrom “tangkap muat”, mudah sahaja menjatuhkan hukum dan menembak tanpa mengkaji selidik secara objektif terlebih dahulu. Dalam bulan Ramadhan ini saya sendiri menjadi mangsa fitnah dituduh melahirkan blog anti pemimpin tertentu sedankan jari-jari ini tidak pernah sedikit pun terlibat, hanya Allah menjadi saksi.

Saya percaya Azizi menulis kerana sayangkan gerakan Islam yang bernama PAS ini. Ramai rakan-rakan lain juga begitu umpamanya Adinda Nasrudin Tantawi di http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/ Adinda Yusainie Yahya di http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/ Adinda Nik Abduh di http://nikabduh.wordpress.com/ . Lantas kalau kita juga begitu maka bacalah tulisan mereka dengan kasih sayang juga.

Memang pedas dan panas apabila Azizi mengkritik cara pergaulan kita dengan rakan dari PKR, hakikatnya beliau bukan mengkritik PKR tetapi mahu mengkritik ahli-ahli PAS agar tahu adab dan ruang pergaulan, yang penting jangan sehingga tercicir prinsip. Kerana PAS kuat dan PKR punya potensilah maka diadakan pakatan politik. Jika PAS tidak kuat sudah pasti ia liabiliti kepada PKR begitu juga sebaliknya. Bagi memastikan PAS terus kuat maka disitulah pentingnya PAS terus kekal berpegang pada prinsipnya.

Jika tidak maka lunturlah perjuangannya dan akhirnya PAS hilang hormat dan tidak lagi mampu dan kuat bertahan sebagaimana ia mampu menghadapi taufan dan badai selama lebih 50 tahun usianya.

Saya tertarik melihat antara yang terawal memberi respon terhadap artikel Azizi ini adalah Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub. Sebagaimana dilaporkan dalam Malaysiakini Salahuddin berkata:

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Salahuddin menyifatkan pandangan Azizi itu "tidak menggambarkan hakikat sebenar" yang berlaku.Menyentuh kerjasama dalam pilihanraya kecil tersebut, Salahuddin berkata, beliau mengarahkan ahli-ahli Pemuda PAS membantu PKR dalam muktamar dewan itu atas semangat setiakawan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, oleh kerana pilihanraya kecil itu ditandingi Anwar, sudah tentu baju, poster dan kemeja T PKR dibekalkan dan dipakai oleh ahli-ahli PAS."(Perbuatan itu) bukan penghakisan (pengaruh PAS) atau asimilasi, (dakwaan) itu tidak benar. Kita tetap dengan entiti dan identiti PAS," katanya.Beliau berkata, dakwaan sekarang tidak lagi kedengaran laungan takbir sebaliknya diganti dengan "reformasi" juga tidak tepat."Dalam program PKR, program Anwar, sudah tentu laungan reformasi itu lebih (kuat) kedengaran," katanya, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.Mengulas pengaruh PAS terhadap golongan muda saat ini, Salahuddin berkata, sokongannya sentiasa meningkat dari masa ke semasa."Daripada lebih kurang 1,000 ahli baru setiap bulan, 60 peratus orang muda," katanya.


Ketara Salahuddin menyanggah fikiran Azizi tetapi begitulah sifat orang-orang PAS. Kita memang mempertahankan kawan selagi kawan tidak menikam kita dari belakang. Memang saya masih ingat pesanan Almarhum Ustaz Fadzil semasa kempen pilihan raya terdahulu, bahawa kita membantu calon-calon PKR ditempat mereka bertanding seolah-olah yang bertanding itu calon PAS.

Saya boleh bersetuju dengan Salahuddin tetapi dalam waktu yang sama tidak pula memperkecilkan analisa dan pandangan Azizi, sewajarnya kita muhasabah dan perbaiki mana yang perlu. Cuma sebagaimana saya sebut di atas berkenaan sifat orang-orang PAS, berlainan pula tanggapan rakan kita.

Dalam Malaysiakini juga dilaporkan ulasan seorang pemimpin muda PKR Hasrul Muhaimin berkenaan tulisan Azizi:

Hasrul berkata, dalam pemerhatiannya, penyokong pembangkang lebih selesa dengan imej, dasar dan pendekatan PKR kerana PAS lebih menekankan soal agama sehingga menimbulkan rasa kurang selesa anak muda yang pelbagai latar belakang.

PAS ini banyak golongan ahli agama, dua tiga kali dia pergi kena nasihat, lepas itu dia seganlah nak pergi. Yang tidak pakai tudung, sudah tentu tidak pergi (mendekati PAS)," katanya.Bagaimanapun, persoalan "curi ahli" tidak timbul kerana, menurutnya, ia cuma "membuang masa" dan bagi penyokong pembangkang, kedua-dua parti itu "sama sahaja". "Mereka anggap PAS dan PKR sama saja. Mereka tidak peduli PAS atau PKR atau DAP, asalkan pembangkang, dia sokong. "Mungkin juga kita sedang menuju sistem dua parti yang hanya ada kerajaan dan pembangkang," katanya.


Ternyata lain ladang lain belalang, kepala sama hitam, hati lain-lain. Begitulah realitinya. Saya ingin mengakhiri tulisan ini dengan memetik artikel Azizi buat renungan kita semua:

Maka kerana itu, kita berpendapat teguran dan peringatan Presiden Pas di Kompleks Pas Kedah pada 17 Ramadan bukan saja sesuai tetapi sangat perlu dilihat oleh semua peringkat. Kita percaya Presiden sangat kuat mempercayai dan menyintai dasar Pas dan bimbang ahli-ahli Pas lupa tentang dasar sendiri.
Siaran langsung harian bersama Tuan Guru



Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang


Tahukah anda bahawa setiap hari dalam bulan Ramadhan ini disiarkan secara langsung solat subuh dan kuliah subuh dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu yang lazimnya dipimpin sendiri oleh Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang.

Tunggu dan ikuti siarannya, webtv live dari Masjid Ruslia di

http://www.terengganukini.net/

Wednesday, September 24, 2008



Hari ini kita telah berpuasa 24 hari dalam bulan Ramadhan, bermakna tinggal tidak sampai seminggu untuk kita mengejar berbagai ganjaran yang dijanjikan oleh Allah swt. Ini juga bermakna yang Syawal yang dimulakan dengan Hari Raya Eidul Fitri semakin menghampiri kita. Saya terus menerima ucapan salam Eidul Fitri dari para pengunjung dan pembaca blog ini. Antaranya:

Selamat Hari Raya diucapkan kepada saudara dan keluarga. Teruskan kejujuran dalam penulisan anda demi kekuatan jemaah Islam yang tercinta ini. Ir Azhan

Juga dari Puan Kartini yang berbunyi:

assalamu'alaikum wbt sempena Syawal yang akan menjelang tiba bbrp hari lagi, salam eidulfitri buat sdr roslan sekeluarga. semoga Syawal kali ini dihidupkan dengan tasbih, tahmid dan takbir dgn sebyk2nya. semoga golongan penulis spt saudara turut mempersiapkan diri bagi menjadi sebahagian daripada mereka yang akan menjadi pelapor benar kpd kerajaan Pakatan Rakyat yang akan dibentuk tidak lama lagi. TAKBIR!!!

Sementara seorang rakan blogger, Sdr Zulfadli menulis:

Salam Ramadhan,
Dikesempatan ini ana ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Bonda tersayang dan keluarga yang berada di Kelantan, saff kepimpinan jemaah Islam PAS khususnya kepada TG Haji Hadi dan TG Nik Aziz, sahabat-sahabat seperjuangan, rakan-rakan sekerja juga seluruh muslimin dan muslimat. Tidak lupa kepada empunya blog, Kakanda Roslan SMS. Selamat Hari Raya 'Idulfitri dan maaf zahir batin.Jemput datang rumah.

Ikhlas dari,Zulfadli IbrahimSeri Kembangan

http://www.ibnuqalil.blogspot.com/

Sahabat saya Sdr Zaisham pula menukilkan:

Salam ...

Semoga memperoleh ketaqwaan dalam mencari keredhaan ALLAH SWT..
SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI.. MAAF ZAHIR & BATIN

Zaisham Shah Bhari
Kolej Komuniti Sungai Petani,

Seorang lagi sahabat seperjuangan Sdr Razali menulis:

Assalamualaikum wrbth.

Semoga saudara tetap mantap dalam menegakkan kebenaran dan teruskan pena jihad anda untuk kebaikan manusia sejagat. Hari Raya lambang kebebasan dari kongkongan penindasan dan kezaliman di atas insan. Mudah-mudahan Ramadhan telah merencana dan merangka modul latihan terbaik ke arah menegakkan makruf dan mencegah munkar.

Razali Tumirin & keluarga

Akhirnya seorang anak muda anak Terengganu diperantauan merakamkan:

Assalamualaikum

Buat Abang Roslan saya doakan supaya tetap dalam perjuangan mendaulatkan Islam.Saya ingin mengucapkan selamat hari raya buat umi dan abah di Dungun, mohon ampun dan maaf dari anakdamu di perantauan ini.

HAJAR ASQALANI




Saya turut menumpang gembira apabila menerima perutusan salam Eidul Fitri dari seorang pemimpin yang saya segani iaitu YAB Dato MB Selangor, Tan Sri Dato Abd Khalid Ibrahim. Dalam sibuk beliau mentadbir negeri, sudi juga beliau mengirimkan ucapan salam Eidul Fitri buat seorang kawan lama:

Saya dan isteri, dengan tulus dan ikhlas, mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri – Maaf Zahir dan Batin’ kepada seluruh rakyat Negeri Selangor dan penduduk Malaysia yang beragama Islam.

Saya menyeru kepada semua rakyat yang bukan beragama Islam supaya sama-sama menyambut perayaan ini dengan berkunjung ke rumah jiran dan rakan yang beragama Islam untuk menikmati juadah sambil bermaaf-maafan sebagai tanda mengeratkan lagi perpaduan yang sedia terjalin sekian lama.

Di samping itu, marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha agar kita sentiasa hidup dalam suasana muhibah, aman damai dan sejahtera di negara yang tercinta ini.

Terima kasih.

Ikhlas daripada;


Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim
1 Syawal 1429 H; 1 Oktober 2008.





Dan kepada anda yang berhajat untuk berkongsi salam Eidul Fitri masing-masing di sini, silalah kirimkan ucapan masing-masing ke:

roslan _ s@ yahoo.com

Sekian salam persaudaraan.
Menjejaki Lailatul Qadr

Allah swt berfirman:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar

(al Qadr: 1 -5)

Kini dipenghujung Ramadhan, tumpuan bagi mereka yang terus kekal komited dengan bulan ibadat yang penuh barakah ini adalah meninjau dan mencari-cari malam yang lebih baik dari seribu malam yang dijanjikan oleh Allah swt kepada hamba-hambaNya itu.

Maka bertungkus-lumuslah mereka yang taat dan patuh padaNya untuk mengejar malam yang menjanjikan 1,000 ganjaran itu. Bayangkan terserempaknya rombongan malaikat Jibril dengan kita sedang kita dalam keadaan khusyu dan ikhlas tunduk dan mengabdikan diri padaNya.

Bayangkan juga jika kita dalam keadaan lalai, leka apalagi sedang pula bermaksiat dan mengingkari tuntutan dan kehendakNya, moga dijauhi oleh Allah swt.

Fasa terkahir Ramadhan ini menjanjikan pembebasan dari azab api nereka ke atas mereka yang benar-benar taat dan menjiwainya. Termasukkah kita dikalangan mereka yang dimaksudkan itu, atau adakah kita sekadar berlapar dan berdahaga menjalani ibadat puasa tanpa sebenarnya beroleh apa-apa ganjaran pun?

Apakah perasaan anda jika dikurniakan Allah berjumpa dengan malam ini?

Yang penting kita terus kekal berada di atas landasannya. Sebagaimana kita menghayati dan menjiwai bulan yang penuh barakah ini, kita penuhi dengan tanda komitednya kita pada perintah dan ajaranNya, maka begitulah juga sepatutnya kita tidak kiralah samada di waktu Ramadhan atau di luarnya.

Iktibarnya adalah bahawa tidak ada “short cut” untuk beroleh ganjaran dari Allah swt. Ia perlu dibuktikan dengan komitmen dan istiqomah. Kejayaan tidak akan menjadi milik mereka yang gopoh dan gelojoh, apalagi menafsirkan tuntutan agama menurut akal dan kemahuannya semata-mata.

Moga-moga anda bertemu dengan Lailatul Qadr

Tuesday, September 23, 2008




Alhmadulillah ucapan salam Hari Raya Eidul Fitri terus saya terima untuk disiarkan di blog ini, terima kasih diucapkan. Antaranya:

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
Dengan menempa kerajaan dunia akhirat

Muda Mohd Noor (beliau adalah wartawan Malaysiakini)

Berikut saya terima pula dari Sdr Khairul Amri Yasin:

Salam….Alami, nikmati dan hargailah Aidilfitri kali ini…Maaf…zahir…batin
Khairul & family

Saya turut menerima ucapan dari Naib Presiden PAS, Tuan Hj Muhammad Sabu, terima kasih Abang Mat kerana sudi menyampaikan ucap salam di sini:

Selamat menyambut Aidil Fitri, semoga konsep kebajikan yang dipelajari sepanjang Ramadhan menjadi pedoman dan dilaksanakan oleh pimpinan PAS. Moga Islam dilihat pelindung kepada sekalian manusia.
Sekali lagi kepada sdr/i yang ingin saya siarkan ucapan salam Eidul Fitri masing-masing di sini sila email kan ucapan kepada saya di:
roslan _s @yahoo.com
Apa yang dimakan Teresa menjadi bualan

Kadangkala dalam keghairahan kita untuk memperkukuhkan lagi hujah kita, kita cuba memuatkan bunga-bunga tambahan yang bagi kita mungkin membantu meyakinkan lagi hujah kita itu tetapi rupanya kita tidak sedar kadangkala ianya meracun diri. Bunga-bunga itu tidak semestinya “palsu” atau tiruan, ia mungkin bunga hidup, tetapi keghairahan kita tadi mengakibatkan kita terbawa-bawa sehingga akhirnya yang hidup disangka tiruan.

Begitulah yang dapat saya simpulkan dari polemik berhubung pengalaman Teresa Kok, ahli Parlimen Seputih dan EXCO negeri Selangor dalam tahanan di bawah ISA selama 4 hari baru-baru ini.

Ketika Teresa ditahan di bawah akta zalim dan tidak berperikemanusiaan itu, beliau menerima simpati dan sokongan ramai. Jika tidak silap beliau ketika itu menjadi ahli parlimen wanita, serta ahli EXCO wanita yang pertama di tahan di bawah akta warisan penjajah itu. Semua pihak mendesak agar beliau segerea dibebaskan, kita sudah bosan melihat akta ini disundalkan untuk tujuan politik pihak-pihak tertentu.

Jika benar dakwaan-dakwaan terhadap beliau itu berasas, seret sahaja beliau ke mahkamah untuk membela diri, tetapi mengapa disundalkan akta ini yang mengekang kebebasan dan hak mereka yang ditahan di bawahnya.

Akhirnya atas tekanan ramai Teresa dibebaskan dengan tempuh penahanan antara yang terpendek dalam sejarah ISA (sebelum itu wartawan dari akhbar berbahsa Cina saya kira memegang rekod ditahan paling singkat dalam sejarah). Dan biasanya kalau ada mana-mana pimpinan PAS yang ditahan ISA dibebaskan sebegitu, pendukung yang diluar akan menganjurkan majlis besar-besaran ddan ceramah. Biasalah yang dibebaskan akan menceritakan darihal pengalaman tahanan dan kezaliman yang dikenakan atas mereka.

Masih terngiang ditelinga saya ceramah Almarhum Ustaz Buniyamin Yakub (yang kemudiannya pada tahun 1990 menjadi ahli parlimen PAS) dan Hj Mat Sabu (kuliah subuh di Masjid Airport Subang sejurus dibebaskan).

Teresa meluahkan pengalamannya di depan media. Cuma berlainan dengan bekas tahanan ISA dari PAS, Teresa memilih untuk turut menyerang kualiti makanan yang diberikan kepada beliau sepanjang tahanan. Disitulah saya rasa Teresa mendedahkan diri beliau untuk menjadi bahan serangan orang,s edangkan beliau sewajarnya dinobat sebagai wira.

Ungkapan beliau:

I can tell the food is worst……errrr….maybe similar to dog food

disiarkan secara penuh oleh Buletin Utama TV3 untuk ditonton orang-ramai.

Dua biji telur rebus, nasi, kuah dan timun yang dihidangkan kepadanya pada malam hari kedua penahanannya disifatkan oleh beliau sebagai “menyerupai” (similar) makanan anjing. Mungkin maksud beliau makanan seumpama itu tidak layak diberikan kepadanya tetapi cara olahan sebegitu, dan dibawa pula perumpamaan haiwan “anjing”, membawa maksud penghinaan luar tabiee.

Dan dalam akhbar hari ini Teresa berusaha membaiki kenyataannya itu, sesuatu yang sukar dilakukan memandangkan ia telah ditonton dan dibaca ramai. Kata Teresa beliau sebenarnya telah berkata:

Slightly better than dog food……..

Sepatutnya dihari pembebasannya Teresa mengawal emosinya. Benar beliau ditahan secara zalim, tetapi yang patut diserang adalah akta dan cara penahanan beliau. Meneroka jauh sampai menyentuh makanan yang dihidangkan bagi saya adalah satu kesilapan, lainlah kalau macam Allahyarham Ahmad Boestamam dahulu sebagaimana dirakamkan dalam buku-bukunya, lauk yang telah basi dan nasi bercampur pasir dihidangkan! Itu bukan lagi dog food, kerana anjing pun takkan memakannya!

Monday, September 22, 2008




Saya terus menerima ucapan Selamat Hari Raya Eidul Fitri dari para sahabat dan pengunjung blog ini. Terima kasih atas sumbangan sdr itu.

Kepada saudara roslan sms,

Saya ucapkan selamat menyambut malam lailatul Qadar dan selamat hari raya kepada roslan sekeluarga. Semoga anda terus menulis dan menyatakan yang haq didalam tulisan anda. Pertahan kanlah maruah islam dan ulama didalam setiap tulisan anda walaupun di saat blogger dan pimpinan yang lain mulai kendur dan bimbang dalam memperkatakan yang haq.

Bimbang takut diserang daripada berbagai sudut bukan sahaja dari luar jamaah, tetapi sesama jemaah. Apa yang penting, teruskan istiqamah dalam tulisan anda .

Mahazan Jusoh

Berikut pula ucapan yang saya terima dari sahabat baik saya Sdr. Samsuddin Osman atau DINSMAN (Ternyata Dinsman memang insan istimewa, selalu lain dari yang lain-lain).

Salam Sdr Roslan,
Ini ucap raya saya:

"Salam sdr Roslan. Terima kasih kerana beri peluang saya ucap selamat Aidil Fitri melalui blog sdr. Ya, Selamat Aidil Fitri semua! Semoga di waktu kita merayakan hariraya yang mulia ini kita tidak sampai terlupakan nasib saudara-saudara kita umat Islam di seluruh dunia yang sedang dijajah, dikuasai dan menjadi permainan kuasa-kuasa Barat yang anti-Islam. Apa yang sedang berlaku di Palestin misalnya adalah penghinaan sehina-hinanya ke atas kita orang Islam. Jadi tidak ada sebab pun untuk kita berseronok sangat. Kita sedang dihina. Insaflah, dan Bangkitlah! ... dan maaflah kalau ucapraya saya tak seperti ucapan raya. Mohon dimaafkan zahir-batin!" –Dinsman





Kepada anda yang ingin mengambil kesempatan menurunkan ucapan Selamat Hari Raya masing-masing di sini, sila email kan ucapan tersebut kepada saya untuk dimuatkan di sini.

roslan _ s @yahoo.com

Terima kasih.
Darah dan airmata perjuangan Bangsamoro di bulan Ramadhan

Sedang kita bersenang-senang menjalankan ibadah puasa Ramadhan kita berbuka dan bangkit bersahur dalam keadaan tenang dan selesa rupa-rupanya saudara-saudara seaqidah kita di Wilayah Mindanao, Selatan Filipina sedang bermandi darah.

Menurut laporan terbaru dari sana mimbar masjid-masjid di sekitar Lanao del Norte dan Lanano del Sur di wilayah berkenaan telah mengisytiharkan jihad dengan menyeru seluruh Bangsamoro agar bangkit bersatu mempertahankan Islam dari serangan musuh-musuhnya. Walaupun Front Pembebasan Islam Moro atau MILF memang telah sekian lama menjalankan jihad mengangkat senjata berdepan dengan tentera Filipina namun seruan jihad terbaru ini dikeluarkan terhadap orang-orang awam Bangsamoro keseluruhannya.

Seruan jihad ini dikatakan ada kaitan dengan serang hendap secara biadap yang dilakukan oleh tentera Filipina terhadap kedudukan pasukan MILF di Calanugas, Lanao del Sur ketika mereka sedang berhimpun berbuka puasa baru-baru ini.






Seharusnya perkembangan di wilayah Islam di bumi Filipina ini membangkitkan keprihatinan kita sebagai saudara-sauadara se Islam. Tentera Filipina dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu melenyapkan MILF sedangkan ebelum ini mereka kononnya berjanji akan mengurangkan aktiviti ketenteraan kerana menghormati bulan Ramadhan. Pintu perundingan juga ditutup apabila kerajaan Filipina dikatakan kononnya telah berhadapan dengan jalan buntu apabila menganggap MILF mengacukan senjata terhadap kepala mereka semasa berunding.

Baru-baru ini Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub telah mengeluarkan kenyataan atas nama Dewan Pemuda PAS mengutuk tindakan tentera Filipina itu

http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=16432&mode=thread&order=0&thold=0

Dewan Pemuda PAS menuntut agar Filipina digantung keahliannya di dalam ASEAN kerana telah terang-terangan mencabul hak asasi Bangsamoro dan menecetuskan ketidakstabilan dirantau sebelah sini..

Bagi saya secara peribadi seluruh umat Islam di Malaysia sewajarnya menyatakan bantahan secara besar-besaran terhadap kerajaan Arroyo dengan harapan Filipina akan segera menghentikan tindakan ganas mereka terhadap MILF dan Bangsamoro dan memaksa mereka kembali ke meja perundingan. Darah dan airmata sedang bertaburan disempadan kita, sedangkan kita asyik berseronok berdendang dengan lauk pauk dan suasana yang mewah.

Ya Allah berilah pertolongan dan selamatkan saudara-saudara kami di sana.

Sunday, September 21, 2008

Turunlah harga minyak menjelang Raya ini

Kepada kakitangan kerajaan tentulah seronok menyambut Hari Raya kali ini apabila menerima bonus masing-masing iaitu sebulan gaji. Bahagian pertama bonus yang dibayar dua kali itu telah pun masuk ke akaun masing-masing. Berjimat-jimatlah berbelanja kerana kita masih ditekan oleh kenaikan kos hidup yang mencengkam.

Sementara itu dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini turut dilaporkan yang kerajaan mungkin memutuskan untuk menurunkan lagi harga runcit petrol dan diesel dalam mesyuarat kabinet Rabu ini. Ini berikutan harga minyak mentah dunia jatuh hampir US$48 setong sejak Julai lalu iaitu dari US$148 ke US$100 setong kini.

Jika turunlah harga minyak menjelang Hari Raya ini sudah pasti ia bakal melegakkan kita semua terutama dalam menanggung kos pulang ke kampung masing-masing pada Hari Raya nanti. Pasti ia hadiah Hari Raya yang bermakna, tak kiralah siapa pun kerajaan ketika itu.



Berikut adalah beberapa lagi ucapan Salam Eidul Fitri dari para sahabat yang budiman. Pertama dari rakan blogger "Anak Muda Parlimen Batu" Sdr. Khairil Azuar Abdul Khalit:

Saya Khairil Azuar Abdul Khalit dari Blog Anak Muda Parlimen Batu ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA dan MAAF ZAHIR DAN BATIN kepada semua umat Islam yang berpuasa. Semoga lembaran ini membuka tirai kehidupan yang baru dalam memperteguhkan AGAMA ISLAM di Negara yang dikatakan Negara Islam ini. Semoga Hari Raya ini dapat menyatupadukan kembali silaturahim antara umat Islam yang semakin berpecah dek akibat berlainan idealogi politik. Politik ini kita jadikan satu landasan dalam perjuangan Agama Islam dan Rakyat Malaysia. Salam Perjuangan ....

Juga saya terima dari sahabat karib saya YB Dr Abd Rani Osman, ADUN PAS kawasan Meru, Selangor:

Selamat Hari Raya Puasa. Semoga digolongkan kita dalam golongan orang yang diterima amalannya sepanjang Ramadhan al Mubarak dan diberi hidayah serta kekuatan oleh Allah untuk menegakkan yang ma'aruf dan menentang kemungkaran. Itulah konsep taqwa yang sebenarnya.




Sekali lagi kepada sdr/i yang ingin menyampaikan salam atau ucapan Hari Raya untuk saya siarkan di sini sila email kan ucapan masing-masing itu ke:

roslan _ s @ yahoo.com


Saturday, September 20, 2008

Dollah bakal angkat kaki seawal bulan Syawal ini?

Usia politik Dollah sebagai Presiden Umno dan PM semakin ke maghrib. Tidak pernah sebelum ini mana-mana media arus perdana berani membayangkan tekanan yang dihadapi oleh mana-mana PM, tetapi sejak Khamis lepas sejurus mesyuarat Majlis Tertinggi Umno berbagai ulasan dan komentar dibuat.

Antaranya bahawa dalam mesyuarat tersebut Dollah telah didesak agar berundur diri bukan pada tahun 2010 sebagaimana tarikh peralihan kuasa yang dipersetujui antara beliau dan Najib tetapi seawal 9 Oktober depan iaitu terikh bila mana 191 bahagian-bahagian Umno seluruh Negara akan mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

Dollah perlu angkat kaki kerana kalangan MT berpandangan besar kemungkinan beliau akan memperolehi kurang dari 50% pencalonan untuk jawatan Presiden yang sepatutnya dipertandingkan pada bulan Disember nanti. Nasib Dollah kelam, prestasinya menjunam dan Umno tidak mampu bertahan lagi kiranya beliau kekal sebagai teraju. Tamparan terbesar apabila BN tewas dengan majoriti luar biasa dalam PR kecil Permatang Pauh baru-baru ini.

Masing-masing dalam MT khabarnya akui yang Umno semakin rapuh dan kini nazak di bawah Dollah (kecuali mengikut laporan Annuar Musa yang masih yakin pada Dollah). Jika Umno terus mahu kekal relevan sekurang-kurangnya Dollah mesti ditujukkan jalan keluar. Najib akan naik, kemungkinan besar berganding dengan Muhyuddin. Tun Dr Mahathir akan kembali kepangkuan Umno dan turut membantu dalam aspek membina kembali ekonomi Negara. Begitu juga Ku Li dijangka akan diberikan peranan penting.

Harga minyak dikatakan akan segera disemak semula, kemungkinan jatuh ke harga asal dahulu. Begitu juga dengan kadar dan kos lain yang melibatkan rakyat secara langsung. ISA juga dikatakan akan disemak semula, BPR diperkasakan, SPR dibebaskan, pembasmian kemiskinan dipertingkatkan dan berbagai lagi.

Dalam ertikata lain pelan “overhaul” buat Umno sedang dirangka dan Dollah perlu dirihatkan jika Umno mahu dipulihkan dari ketenatannya itu. (Menurut maklumat Dollah ditemani dengan banyak meja kosong semasa majlis berbuka puasa selepas mesyuarat MT, Dollah dipakaa terima signal bahawa beliau tidak diperlukan lagi).

Itupun dengan syarat kekuatan PR diperingkat Parlimen tidak meningkat. Kiranya ia meningkat melampaui 112 kerusi, dan semua pihak dalam PR bersepakat dan berpuas hati, kemungkinan “overhaul” Umno akan terbengkalai begitu sahaja bagaikan kereta buruk dibengkel, yang sudah layak ditimbang untuk dibesi burukkan. Kerana jika itu berlaku Dollah, Najib dan rakan-rakan terpaksa beralih tempat, dan mula memanaskan kerusi pembangkang, sesuatu yang tidak pernah terbayang sebelum ini.

Oleh itu apa yang bakal berlaku selepas ini pasti semakin rancak dan menjadi tumpuan ramai. Cuma kita berdoa apa pun yang bakal terjadi, jadilah ia dengan segera, tanpa terus mencederakan nasib dan harapan rakyat kebanyakan. Biar Negara kekal aman dan damai, dan sama-sama kita bina ia menjadi kuat demi kepentingan semua, insyallah.

Sebagaimana yang dijanjikan ini adalah antara ucapan Selamat Hari Raya Eidul Fitri yang saya terima hari ini untuk disiarkan di blog ini:

Saya mengambil peluang yang diberikan Sdr. Roslan menerusi blognya ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Pohon ampun dan maaf atas salah dan silap disepanjang berblog sepanjang tahun ini. Didoakan moga Allah berikan kekuatan iman dan walafiat demi meneruskan perjuangan membela agam, nusa dan bangsa.

MSO dari Makkah al Mukarammah



Kepada sahabat-sahabat yang ingin saya siarkan ucapan Hari Raya masing-masing di sini, harap email kan kepada saya di:
roslan_s @ yahoo.com


Lailatul Qadr dan ucapan Hari Raya

Hari ini tanggal 20 Ramadhan dan kita kini berada dalam fasa ketiga dalam menjalani ibadat puasa Ramadhan ini. Difasa inilah umat Islam rata-rata menunggu dan mengharapkan bertemu dengan malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam al Qadr atau Lailatul Qadr. Sama-samalah kita pertingkatkan amal ibadat kita dan mengharap bertemu malam berkenaan. Allah swt berfirman:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

(al Qadr: 1-5)


Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabdanya, bermaksud:


"...sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu."


(Hadis sahih riwayat Bukhari)

Disamping itu sudah pastilah dengan izin Allah swt, selesai sahaja Ramadhan ini maka akan berarak masuklah Syawal. Tanggal 1 Syawal kita semua akan merayakan Hari Raya Eidul Fitr, yang menandakan kejayaan bagi kita semua setelah melalui Madrasah Ramadhan selama sebulan dengan penuh khsuyuk dan keinsafan.

Lazimnya kita semua akan pulang bertemu dengan ayah-ibu, kaum keluarga samada di kampung atau Bandar untuk merayakan hari kebesaran ini. Kita akan bermaaf-maafan dan bersuka ria sesame sanak saudara pada hari itu.

Oleh itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk membuka peluang kepada Tuan/Puan, saudara/i sekalian untuk merakamkan ucapan selamat Hari Raya itu di blog saya ini. Setiap hari mulai hari ini saya akan membuka satu posting khas untuk menyiarkan ucapan anda semua. Ianya bolehlah dikirim ke email saya di

roslan_s@yahoo.com

untuk saya siarkan insyallah.

Ayuh kita menjejak Lailatul qadr.

Friday, September 19, 2008

Pastikan PAS terus bergerak atas landasan Islam
(Artikel terbaru saya dalam ruangan “Menongkah Arus” di Harakhdaily)

Kerana sayangkan PAS, satu-satunya gerakan Islam dalam negara yang berjuang mengikut lunas demokrasi bagi memartabatkan Islam di tanah air ini, maka kita akan lakukan apa sahaja untuk memastikan yang PAS ini terus bergerak mengikut landasan Islam yang telah diwarisi sejak dari zaman junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Kerana kita gerakan Islam, berjuang atas nama Islam dan Islam itu milik Allah, maka segala detail dan sudut gerak laku dan tindak kerja kita perlulah sentiasa menepati dan selari dengan apa yang telah digariskan oleh Allah dan RasulNya. Panduan tertinggi kita sudah pasti hanyalah al-Quran dan Sunnah selain ijmak dan qias.

Itulah yang membezakan gerakan Islam dengan mana-mana gerakan, organisasi, badan atau parti lain. Dan kita memilih untuk terus berada dalam PAS kerana kita yakin akan janji Allah dan RasulNya, kita sama ada menempuh kejayaan dalam hidup kita atau kita syahid berjuang atau generasi yang mendatang yang bakal menjulang kemenangan itu, apa pun Islam tetap berjaya selagi degupan jantung perjuangan ini terus berdegup, nafas perjuangan ini terus berhembus, yang penting adalah redha Allah SWT.

Hari ini kita merupakan antara parti yang memiliki kekuatan keahlian yang terbesar, dengan cawangan di merata pelosok tanah air, dan pimpinan yang berbagai kelayakan, pengalaman dan latar belakang.

Ia merupakan peningkatan berlipat kali ganda berbanding dengan PAS sewaktu awal penubuhannya dahulu. Hari ini kita merupakan parti di luar BN (saya tidak mahu sebut pembangkang) yang memiliki kerusi Parlimen dan Dun yang terbanyak yakni 107 kerusi. Iaitu 23 parlimen dan 84 Dun (termasuk Dun Sanglang yang terbaru).

Lantas kita sedar bahawa ini merupakan anugerah Allah SWT kepada kita yang perlu dipikul dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Apapun, asas dan prinsip kita tidak sekali-kali akan berubah, kita akan kekal mendaulatkan Islam sama ada dalam keadaan kita tinggal 1 kerusi parlimen dan beberapa kerat kerusi Dun atau kini dengan 107 kerusi.

Oleh itu apabila ada pemimpin yang mengeluarkan kenyataan memperingatkan kita darihal asas dan prinsip asal perjuangan kita, sepatutnya kita terima dan sama-sama akur. Biar kita beringat diwaktu senang jangan sebaliknya.

Semua kita bertanggungjawab memastikan kita tidak tergelincir apalagi berundur atas landasan yang telah ditetapkan, dan siapakah lagi yang terlebih berat tanggungjawabnya jika tidak pimpinan tertinggi.

PAS kita yakin akan terus teguh dan kukuh. Apa sahaja perbezaan pandangan di kalangan kita perlu kembali kepada panduan tertinggi kita. Perbezaan itu tidak wajar dibawa sehingga memecah-belahkan jemaah, kerana ini gerakan Islam, tiada siapa di antara kita yang mahu terlibat dan dipersalahkan dalam memecahkan kesatuan Islam yang telah sama-sama kita bentuk dengan darah dan air mata ini.

Sama-samalah kita bekerja untuk Islam, kita pertahankannya dan dalam waktu yang sama kita berkawan dan bertahaluf dengan sesiapa sahaja yang menghormati dan memahami dasar dan prinsip perjuangan kita itu.
Apa nasib saudara kita di Somalia dan Mindanao?

Hari ini sudah 19 Ramadhan, ada dikalangan kita sudah berkira-kira menyediakan peraiapan Hari Raya (ada yang sudah siap pun), balik kampung dan seumpamanya. Memang Hari Raya adalah hari perayaan khasnya bagi umat Islam yang telah melalui ibadat Ramadhannya dengan berjaya.

Namun saya pasti dalam menanti-nanti saat gembira itu kita juga risau dan bimbang memerhatikan dua perkembangan yang sedang berlaku yang melibatkan kita secara langsung. Pertama adalah nasib 64 orang warga Malaysia, krew dua buah kapal tangki MISC yang masih ditawan oleh pengganas Somalia. Keduanya adalah nasib para pejuang Islam Moro dari MILF yang sedang diburu dan dihujani peluru di bulan Ramadhan ini.

Semalam menurut laporan Bernama seorang tawanan kita telah menelefon keluarganya di tanahair menyatakan secara ringkas nasib mereka di Somalia. Katanya mereka hanya diberi makan sekali sehari dan merayu agar pihak kerajaan segera mengatasi kemelut yang mereka hadapi. Kita tidak mempertikaikan kemampuan dan usaha-usaha yangs edang dijalankan oleh semua pihak terutama MISC dalam berusaha membebaskan tebusan-tebusan ini, tetapi kita juga berharap apa sahaja tindakan yang mahu diambil samada membayar tebusan atau apa pun, ia perlu dilakukan segera.

Kita bersimpati dengan nasib kaum keluarga mereka masing-masing yang pastinya tertekan dan trauma dengan apa yang dihadapi lebih-lebih lagi oleh kesemua anak-anak bangsa kita di sana. Syawal semakin hamper, marilah kita berdoa di penghujung Ramadhan ini agar mereka semua akan dapat kembali ke tanahair dengan selamat dan merayakan Hari Raya bersama keluarga masing-masing.

Di Mindanao pula asakkan tentera Filipina terhadap para pejuang MILF semakin menjadi-jadi walaupun ketika umat Islam sedang menghadapi bulan Ramadhan ini. Sebuah agensi berita antarabangsa melaporkan sebentar tadi tentera Filipina yang dibantu oleh helicopter-helikopter penggempur telah berjaya menawan sebuah kem MILF berhampiran semapdan Lanao setelah menggasaknya hampir seminggu. Serangan udara dan meriam-meriam darat itu telah mengakibatkan 7 pejuang MILF syahid manakala berpuluh-puluh lagi cedera.

Menurut jurucakap tentera Filipina antara kemudahan yang terdapat di kem MILF yang ditawan itu adalah kuarters perumahan, kolam ikan dan sebuah masjid.

Marilah sambil kita bangkit bertahajud di bulan yang mulia ini kita tidak lupa mendoakan keselamatan dan perlindungan buat saudara-sauadara se Islam kita di sana. Semoga Allah mencampakkan kecekalan dihati mereka dan akhirnya kejayaan membela dan mempertahankan tanahair mereka demi mendaulatkan Islam yang tercinta.

Thursday, September 18, 2008

Apabila dua veteran bertemu

Pertemuan Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato Mustapha Ali dengan Mursyidul Am Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz pagi semalam bukan sekadar telah dilaporkan oleh media PAS tetapi turut juga dilaporkan oleh beberapa media arus perdana.

Memang sebelum ini beberapa media khasnya media alternatif melaporkan darihal pergeseran pandangan antarta kedua-dua tokoh veteran itu. Malah ada beberapa pihak yang nakal cuba mengeruhkan suasana dengan mengadu-domba dan menaburkan pelbagai fitnah bagi mengenakkan lagi rencam tulisan mereka.

PAS sudah masak dengan perbedaan pandangan. Sepanjang sejarahnya yang lebih 50 tahun itu, demi mendaulat dan mempertahankan Islam, akan ada sahaja perbezaan pandangan dan pendekatan, namun rata-rata semuanya selesai dan dilurutkan menurut disiplin dan akhlak Islam.

Contohnya kemasukan Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy ke dalam PAS dahulu pernah dibahasakan dengan hangat dalam JK PAS Pusat. Ada yang berpandangan Dr Burhanuddin akan membawa idea kiri dan sosialis malah kominis ke dalam parti. Tetapi akhirnya pandangan Almarhum Ustaz Hasan Adli diterima dan ternyata Dr Burhanuddin masuk dan menerajui PAS sehingga mencipta rekod yang gemilang.

Segala-galanya telah selesai dan jelas kata Mustapha setelah selesai pertemuan beliau dengan Tok Guru. Beliau dan Tok Guru merupakan dua orang tokoh veteran serta bertanggungjawab dalam mencorakkan PAS pada hari ini. Gandingan beliau selaku Ketua Pemuda dan Tok Guru sebagai Ketua Dewan Ulamak satu ketika dahulu telah banyak menyumbang ke arah kemajuan PAS pada hari ini.

Mustapha dan Tok Guru mengenali satu dengan lain berdekad-dekad lamanya, jauh lebih lama dari kehadiran beberapa dikalangan kita dalam PAS sendiri, apa lagi beberapa pengkritik yang baru mahu bertatih dalam parti.

Kerana itu biarlah kita semua berlapang dada, jangan terlebih sudu dari kuah. Beginilah cara pemimpin Islam meleraikan kekusutan dalaman. Soal apa yang dibincangkan dan apa yang telah dipersetujui tidak penting, biarlah ia berligar disekitar pengetahuan mereka berdua, apa yang penting parti perlu terus berdiri kukuh dan matlamat serta prinsip perjuangan parti dipertahankan.

Kata Tok Guru: “Ia seumpama kiambang bertaut merapatkan kembali hubungan kepimpinan dalam PAS”.

Bagi kita yang lain, peliharalah adab dalam berjemaah, taat dan wala’ pada pimpinan selagi mana mereka tidak melanggari syarak.
Nasihat dari Abang Mat

Saya tidak pernah mengulas artikel dari Harakah dalam blog saya ini, tetapi hari ini saya terpanggil untuk memberi komen terhadap satu artikel yang saya kira sangat menarik dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak khasnya pimpinan dan ahli-ahli PAS. Artikel tersebut ditulis oleh Hj Muhammad Sabu, Naib Presiden PAS danalam ruangannya “Membedah demokrasi”.

Penulis telah mengajak kita melihat kejayaan yang ditempuh oleh junjungan kita Nabi Muhammad saw khususnya ketika Baginda menguasai Kota Medinah. Betapa tranformasi dari sebuah Negara konvensional zaman Arab jahiliyah telah berjaya dirobah oleh Baginda menjadi satu masyarakat yang benar-benar membawa keadilan sosial iaitu berteraskan Islam.






Transformasi sosial yang dipimpin oleh Rasulullah saw telah menjulang Islam dalam membentuk tamadun dan Negara. Lalu dalam suasana mahu mengambil alih kuasa ini penulis menegaskan:

Jangan sampai kita mengambil-alih kuasa tanpa membuat perubahan dasar. Teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dan para sahabat kanan beliau hendaklah menjadi ikutan pemimpin yang berazam untuk berkorban demi kepentingan Islam dan menaikkan semula imej dan maruah Islam serta ketamadunannya seperti yang dilihat diawal kebangkitan dahulu.

Dari dahulu sehingga kini kita menggalas perjuangan untuk menobat dan mendaulatkan Islam, maka sesuai sangatlah dalam apa kesempatan dan ruang yang ada maka Islam perlu kita utamakan apabila kita dikurnia ruang dan peluang oleh Allah swt.

Penulis lalu menukilkan harapannya yang saya percaya turut dikongsi oleh semua penudukung dan penyokong PAS apa peringkat sekalipun:

Inilah harapan saya kepada pemimpin-pemimpin PAS yang mengambil alih pemerintahan negeri atau pusat, samada sekarang atau pada masa akan datang.
Simpati buat Pak Sheih

Saya ingin merakamkan simpati kepada kawan saya Syed Azidi yang lebih dikenali sebagai blogger Kickdefella kerana ditahan polis semalam. Menurut laporan beliau ditahan di bawah Akta Hasutan kerana disyaki menggunakan blog beliau untuk menghasut rakyat. Alhmadulillah ISA tidak digunakan terhadap beliau.

Saya mengharapkan agar pihak polis segera menyelesaikan siasatan dan kembalikan beliau kepangkuan keluarga. Jika ada asas maka dakwalah beliau di mahkamah terbuka bagi memberi peluang kepadanya membela diri.

Saya sebenarnya lebih mengenali arwah bapa Sheih iaitu Allahyarham Kolonel Syed Abd Aziz semasa sama-sama menceburkan diri dalam perniagaan dahulu, semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan mereka yang soleh insyallah.

Dengan perkembangan yang serba tegang kebelakangan ini saya ingin menasihatkan kawan-kawan agar berhati-hati ketika mencetuskan penulisan khasnya di alam maya ini. Segala gerak dan cetusan kita itu kini sentiasa dipantau. Sebagai penulis yang bertanggungjawab kita semua sedar akan risiko yang menunggu kita, sekiranya yakin maka silakan, tetapi awas jangan sampai melanggar peraturan dan undang-undang kecuali kita bersedia menghadapi implikasinya. Berhati-hati bukannya bererti takut atau bacul, tetapi membuat perkiraan dan perhitungan semasak-masaknya, jangan meluru atau menerpa tanpa terlebih dahulu lihat kiri dan kanan.

Saya yakin ramai kita di sini menulis dengan ikhlas dan lebih mengharapkan ganjaran dikemudian hari kelak. Mudah-mudahan sumbangan kita itu beroleh pahala dan menyumbang ke arah perjuangan mulia yang sama-sama kita galas ini.

Wednesday, September 17, 2008

Perkembangan yang semakin mencabar

Najib bertukar portfolio dengan Dollah, pasti berita itu menjadi bahan bualan hangat orang-orang politik. Najib ambil-alih jawatan Menteri Kewangan I manakala Dollah ke Kementerian Pertahanan. Ianya diumumkan sejurus selepas mesyuarat kabinet tadi dan berkuatkuasa serta merta.

Saya melihat perkembangan ini dirangsang oleh perkembangan yang sedang berlaku disekeliling kita. Bagi kedua mereka repositioning ini akan sekurang-kurangnya membawa nafas baru dan mungkin mampu mengukuhkan kembali kedudukan mereka dan survival BN. Bagi yang bukan BN sudah pasti ianya merupakan desperate attempt kedua mereka untuk membaiki labu yang sudah semakin lunyai.

Saya melihat ini merupakan peralihan awal yang menandakan saat Dollah untuk membuka pintu keluarnya semakin hampir. Tekanan dari kabinet mungkin mahukan Dollah melakukan sesuatu bagi menyelamatkan survival BN maka tiada jalan lain melainkan beliau mula mengangkat kaki. Saya menjangkakan jika BN terus kekal berkuasa, Dollah akan ditunjukkan jalan keluar seawal Perhimpunan Umno bulan Disember ini, malah tadi pun Dollah menyatakan bahawa pelan peralihan kuasa antara beliau dengan Najib walaupun kekal 2010 namun boleh berlaku lebih awal.

Mungkinkah Najib tak sempat jadi PM kerana BN akan jatuh lebih awal? Ya kemungkinan itu ada tetapi syaratnya sekurang-kurangnya bilangan yang mencukupi dari kalangan ahli parlimen BN perlu menyeberang keluar dari BN, dan semua sekutu PR bersetuju dengan bentuk yang baru itu. Setakat ini rasanya 2 MP dari SAPP sudah pasti melompat ke PR setelah SAPP memutuskan keluar BN sebentar tadi. Jika angka ini bertambah Najib perlu berpuas hati dengan apa yang ada kerana nanti terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan baru.

Apapun sementara kemungkinan itu berlaku BN sedang sibuk memperbaiki rumah mereka. Dan Dollah sendiri sudah mula mengeluarkan ancaman apabila menyatakan yang DSAI sudah mula menjadi ancaman kepada ekonomi dan keselamatan Negara.

Itu bagi saya adalah taktik Dollah untuk memastikan yang tiada siapa bakal melompat keluar BN. Jika jatidiri mereka yang mahu keluar kental, tiada apa yang mampu menghalang mereka, jika tidak, laluan keluar semakin sempit.

Najib mungkin sedang bersedia menghadapi perbahasan Bajet 2009 apabila Parlimen bersidang kembali Oktober ini selepas Hari Raya. Beliaulah akan menjadi “frontman” nanti dan jika kekal lulus sepanjang tempoh perbahasan sehingga ke Disember, Najib pasti nanti menuntut kerusi PM dari Dollah dan dengan itu tamatlah era politik Dollah dalam kabinet dan Umno.

Begitulah kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku. Di bulan Ramadhan ini marilah kita berdoa apa pun, semoga Negara kita kekal aman dan bahana ekonomi yang menimpa kita akan segera reda. Semoga apa yang berlaku ini menjadi iktibar bagi kita dalam memacu perjuangan ini seterusnya yang tidak akan berhenti -henti sehingga akhirat nanti insyallah.