Monday, November 30, 2009

PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Selangor menghampiri usia dua tahun. Tidak seperti rakannya di Perak yang tidak dapat bertahan angkara “politik pintu belakang” pihak musuh, kerajaan PR Selangor yang bertahan dengan 35 kerusi berbanding pembangkang 20 dan Bebas 1, dijangka mampu menghabiskan tempoh penggalnya.

Walaupun pihak musuh politik terus cuba mengadu-domba dan memporak-perandakan kerajaan yang setahun jagung usianya itu namun ternyata kematangan politik rakan-rakan dalam PR Selangor yang terdiri dari PKR, DAP dan PAS terus berjaya melayari persada politik dan mengatasi segala gelombang dan gelora yang ada.

Pengalaman memerintah Selangor bukan hanya baru buat PAS tetapi juga PKR dan DAP. Selangor adalah sebuah negeri maju dengan lanskap politiknya yang tersendiri dan banyaka berbeza dari negeri-negeri lain. Oleh itu ujian dan cabaran pada kerajaan ini khasnya pimpinan ketiga-tiga parti peringkat negeri sudah pastilah besar dan kemampuan terus bertahan sehingga hari ini membuktikan yang mereka komited dan mahu bersama melihat negeri ini terus menerajui agenda perubahan demi kesejahteraan negeri dan rakyatnya.

PAS Selangor menyertai pilihanraya umum ke 12 lalu dengan jentera pilihanraya yang paling besar, terlatih, tersusun dan penuh disiplin. Ia bukan sekadar menyediakan sokongan padu buat calon-calon PAS yang bertanding di 20 daripada 56 kerusi DUN malah turut menyumbang dengan penuh kesungguhan mengisi kekurangan dan kekosongan jentera rakan-rakan lain yang bertanding termasuklah PKR di 21 kerusi dan DAP di 15 kerusi.

Kerana itu walaupun PAS dengan 8 kerusi merupakan rakan kongsi yang terkecil sahamnya berbanding PKR 14 (setelah 1 melompat jadi Bebas) dan DAP 13, namun sumbangannya ke arah kemenangan besar PR pada PRU lalu perlu diakui dan diiktiraf oleh semua pihak.

Dengan kemenangan ini PAS menerobosi pengalaman baru, hakikatnya ia menang dan pernah menang di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi peluang memerintah sebuah negeri campuran seperti Selangor adalah yang pertama buatnya.

Dalam kerajaan PR Selangor PAS diberikan 3 dari 10 kerusi EXCO, memegang portofolio penting seperti Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam (Dato Dr Hasan Ali), Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan (Iskandar Abd Samad) dan Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan (Dr Halimah Ali).

Ternyata ketiga-tiga EXCO berkenaan berpengalaman dan memiliki kelayakan dan berwibawa selain 5 lagi ADUN PAS yang tidak kurang kebolehan dan kepakaran mereka masing-masing. PAS sudah pasti akan mahu mencurahkan khidmat yang terbaik buat kerajaan PR demi melihat ia kekal dan mampu menang lebih besar lagi pada PRU yang akan datang.

Selangor yang hampir setengah abad diperintah oleh parti Perikatan dan kemudiannya BN kini melihat tunggak kuasanya diterajui oleh PKR, DAP dan PAS. Parti yang berbeza fahaman dan ideologi ini kini diberi peluang dan mandat oleh rakyat Selangor untuk memimpin mereka.

Sudah pastilah semua pihak perlu bersedia untuk meneroka pengalaman baru selain PKR, DAP dan PAS, termasuklah kakitangan kerajaan, ahli-ahli perniagaan, hatta rakyat kebanyakkan semuanya akan berhadapan dengan pengalaman baru. Rakyat telah lali dengan BN sekian lama, lantaran muak dengan lenggok dan gaya kepimpinan BN kini mereka sanggup berhadapan dengan yang baru. Mereka bukan terpaksa tetapi mereka membuat perubahan itu dalam keadaan sedar dan faham.

Mungkin PKR adalah suatu parti baru, tetapi rakyat Selangor yang terdedah kepada maklumat dan pendidikan sudah kenal PKR. Apalagi PAS yang hampir seusia dengan Umno itu, dan DAP yang telah menjejak kaki ke DUN Selangor sejak 1969.

Rakyat Selangor kenal PAS sekian lama. PAS adalah parti Islam dan kekal begitu walaupun pemimpinnya datang dan pergi. Dasar dan matlamat perjuangannya adalah Islam namun hak masyarakat bukan Islam turut dititpkan sebagai sebahagian dari perjuangan dan dasar pembelaannya. Ia telah cemerlang di Kelantan dan Terengganu. Rakyat Selangor mula berjinak dengan PAS pada tahun 1999 apabila memenangkan 4 calon PAS ke DUN Selangor. Dan kini ia memenangkan pula 8 calon PAS sekaligus memberi mereka peluang untuk membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP.

DAP dan PKR juga kenal PAS kerana itu PAS diterima sebagai rakan. PAS sudah pasti lebih baik dari Umno dan BN kerana itu mereka boleh diterima rakyat dalam PRU lalu bukan hanya di Selangor malah seluruh negara kecuali di Sabah, Sarawak dan Melaka. Persepakatan PR unik di Selangor dimana ketiga-tiganya perlu terus bergabung untuk mengekalkan hayat kerajaan ini, mana-mana satu kelompok yang meninggalkan kerajaan ini bermakna ia akan roboh. Atas kesedaran ini semua pihak insaf akan keperluan untuk kekal berkerjasama.

Menerima PAS sebagai rakan juga bermakna perlu menerima perjuangan PAS sebagaimana PAS menerima dan menghormati dasar dan perjuangan PKR dan DAP. PAS akan terus PAS dalam erti kata memperjuangan dasar dan matlamatnya dalam ruang lingkup realiti politik semasa. Dalam kes di Kelantan dan Terengganu satu ketika dahulu, sudah pastilah gelanggang di sana berbeza dibandingkan dengan Selangor, namun dalam apa sahaja ruang yang ada PAS perlu memain pernanan agar matlamat dan nilai perjuangannya tidak hapus atau pupus dan ia terus dihormati masyarakat.

PAS Selangor tahu bahawa Selangor bukan Kelantan atau Terengganu, namun perjuangan Islam tidak boleh dikatup atau dirihatkan semata-mata kerana Selangor bukan Kelantan atau Terengganu. Islam perlu hidup dan berperanan walaupun suasananya berbeza dan terbatas.

Di sinilah seruan Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor dalam ucapan dasar Muktamar PAS tahun 2000 lalu perlu diberi perhatian:

Saya sedar akan tuntutan supaya PAS teguh dari segi prinsip tetapi kontemporari dari sudut perlaksanaan dan futuristic dari sudut tuntutan fiqhul syara’. Maka kita akan dapat membezakan antara perkara yang tetap (at-thawabit) daripada perkara yang boleh saja berubah-rubah (al-muthaghayirat).

Beliau menambah:

Senario politik Malaysia bersama dengan demografinya yang unik memerlukan PAS memunggah segala khazanah ilmu syarak (agama) untuk diberi jalan yang seluas-luasnya bagi menerokai satu model perlaksanaan Islam yang sentiasa berpegang kepada prinsip disamping cukup peka terhadap peredaran zaman.

Sebenarnya perkara yang sama turut diulangi dan diulas oleh Presiden PAS kini Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam Mukatamar PAS ke 55 lalu.

Dalam rangka dasar inilah PAS Selangor perlu dan akan berperanan. Mempertahan dan mengukuhkan akhlak, keperibadian serta aqidah umat Islam adalah tanggungjawab perjuangan PAS, selain membutikan keadilan Islam kepada masyarakat yang bukan Islam.

Forum dan perbincangan bagi mengujudkan persefahaman khasnya bersama-sama rakan-rakan dalam PR penting bagi menjamin kelangsungan perjuangan PAS di Selangor.

Memang kelihatan apa yang PAS mahu lakukan seolah boleh merugikan sokongan masyarakat bukan Islam buat PR tetapi dalam waktu yang sama apa sahaja yang PAS gagal laksanakan boleh juga merugikan sokongan masyarakat Islam buat PR. Kerana itu kematangan dan persefahaman serta kerjasama erat kepimpinan ketiga-tiga parti khasnya dalam mengharungi politik di Selangor penting.

Tohmahan dan cerita budak-budak nakal bahawa PAS Selangor mahu menyertai Umno sesungguhnya adalah sebahagian dari agenda yang mahu meruntuhkan PR jika dilihat secara serius. PAS Selangor tidak akan merongkai ikatan persahabatan bersama PR yang membentuk kerajaan di Selangor. Malah sejarah telah membuktikan apabila berkawan, PAS tidak pernah meninggalkan kawan-kawannya apalagi berpaling tadah.

Bagi PAS khasnya di Selangor, PR adalah jambatan yang paling baik untuk menzahirkan dasar dan matlamat perjuangan parti. PAS akan menggunakan segala kekuatan dan pengaruhnya untuk mempertahan dan memperteguhkan kerajaan ini. Rakan-rakan dalam PR Selangor berulang-kali telah diyakinkan akan perkara ini malah dalam Persidangan Meja Bulat antara PAS dan DAP Selangor baru-baru ini beberapa petua dan pantang larang parti telah dokongsi dengan DAP Selangor untuk meyakinkan mereka akan betapa istiqamahnya PAS dalam perjuangan.

Sesunggunya paduan tenaga antara PKR, DAP dan PAS Selangor mantap. PR Selangor mampu bertemu secara tetap setiap dua minggu sekali melalui Majlis Pakatan Rakyat Negeri dan sering pertemuan ini bermula dan berakhir dengan mesra dan semangat setiakawan.

Walaupun kadangkala kelihatan ada pergeseran dan pertelingkahan antara tokoh-tokoh tertentu dalam PR Selangor, namun ia semuanya dapat dilerai dan diselesaikan melalui
Musyawarah. Masing-masing diberi ruang dan peluang untuk bercakap khasnya apabila melibatkan prinsip dan dasar perjuangan.

Kekentalan dan keakraban hubungan inilah yang menghantui BN di Selangor. Harapan untuk menang dan kembali berkuasa di Selangor semkain tipis dan jauh. Tohmahan dan apa sahaja cerita budak-budak nakal akan hanya menghiburkan BN yang selamanya akan meratap tangis lantaran mantapnya kepimpinan PR Selangor. Kerana itu bagi para pejuang PAS bersamalah kita timbul dan berenang dengan arus perdana parti, jangan bergayut pada dahan yang reput dan buruk, kepentingan jemaah mengatasi kepentingan individu, berjuanglah ikhlas dan yakin kerana Allah swt.

Yakinlah saf kepimpinan yang ada di bawah bimbingan para ulamak yang tidak putus-putus memberi nasihat akan terus berpedomankan nas yang nyata dan jelas. Gabungan pengalaman, ilmu dan ketajaman politik pimpinan jangan dipandang murah lantaran tembakan liar merekayang jauh dan tidak bertanggungjawab.

PAS insyallah akan kekal bersama menerajui PR di Selangor.

Monday, November 23, 2009

Bersatu mengukuhkan jemaah melonjakkan kemenangan








Dalam posting saya sebelum ini saya ada menulis:

Semalam Badan Perhubungan PAS Selangor telah mengadakan mesyuarat bulanannya. Saya tidak berhasrat menyatakan apa yang dibincangkan di dalamnya kerana ia rahsia parti. Tetapi apa yang menarik adalah selepas bersurai, masing-masing ahli perhubungan yang sempat saya jumpa menyatakan komitmen masing-masing untuk terus melihat ke hadapan dan bekerja untuk parti. Kita tidak seharusnya membuang masa tetapi sebaliknya memberi tumpuan ke arah meneguhkan jemaah dan memperkasakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Tadi saya sempat mengunjungi blog Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor II yang juga EXCO kerajaan negeri, YB Iskandar Samad. Beliau juga seakan berkongsi perasaan yang sama apabila menulis dalam blognya:

Pada hari Khamis lepas, Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor telah mengadakan mesyuarat bulanan.

Ianya di antara mesyuarat yang paling produktif. Kami bersetuju untuk membeli bangunan, menganjurkan konvensyen dan membincangkan program-program tarbiyyah. Ianya tidak panas walaupun persepsi rakyat PAS Selangor sedang bergolak. Di dalam ucapan pembukaan, Dato’ Hasan mahu kita memandang ke hadapan dan jangan menoleh ke belakang.


Ahad lepas saya dan rombongan dari Lajnah Penerangan PAS Selangor mengunjungi Pejabat ADUN Bangi bagi berjumpa dengan Ketua-ketua Penerangan Anjung Selatan iaitu dari kawasan-kawasan Serdang, Puchong, Kuala Langat dan Sepang. Sebelum ini kami telah mengunjungi Anjung Utara (Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang dan Kuala Selangor), Anjung Barat (Shah Alam, Kapar, Kelang dan Kota Raja) serta Anjung Timur (Selayang, Gombak dan Hulu Selangor).

Minggu hadapan kami bertemu Anjung Tenggara (Ampang, Pandan dan Hulu Langat) dan insyallah Anjung Tengah sebelum akhir tahun ini.

Memang sepanjang lawatan-lawatan ini,maklum balas yang diterima dari Ketua-ketua dan AJK Penerangan Kawasan dan Dewan-dewan sangat positif. Semuanya mahu lihat PAS dan Pakatan Rakyat di Selangor melonjak ke hadapan khasnya pada PRU ke 13 nanti. Semuanya mahu bekerja dan memperteguhkan jamaah.

YB Iskandar dalam blognya membuat perumpamaan (yang dipungut dari pensyarahnya ketika di UK) bahawa hidup bagaikan main golf (saya dan beliau tak main golf),beliau menulis:

Di satu lubang kita mungkin melebihi ”par” tetapi di lubang yang seterusnya kita mesti melupakan lubang yang sebelumnya dan berusaha mendapat ”hole in one”.

PAS Selangor menang 8 dari 20 kerusi yang ditandinginya dalam PRU lalu. DAP bertanding 15 dan menang 13, manakala PKR 21 dan menang 15. Bermakna PAS boleh menjangkau posisi yang lebih baik jika boleh perbaiki kedudukannya di 12 kerusi yang ia tewas selain mempertahankan 8 kerusi yang ada.

Kesimpulannya Pakatan Rakyat Selangor akan menjadi semakin teguh jika kita semua bekerja kuat dan berusaha mendapat “hole in one”. Maju ke hadapan dan ambil iktibar dari yang lepas-lepas.

Kita berjuang untuk mengejar kasih Allah bukannya kasih manusia. Kita berjuang punya matlamat bukannya didorong nafsu. Allah kasih pada mereka yang berjuang untuk mendaulatkan agama Nya sebagaimana kita. Tetapi kasih itu bersyarat, kasih itu hanya menjelma dan dapat dirasai apabila kita sesama anggota jemaah turut berkasih-sayang, hormat-menghormati, kukuh bagai satu bangunan.

Firman Allah swt surah as Saff-4:

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang untuk membela agama Nya dalam saf yang teratur rapi bagaikan sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Rasulullah saw dan para sahabat telah berjaya membuktikannya. Begitu juga para pejuang Islam dari zaman ke zaman. Kita tidak terkecuali, oleh itu bersama bergeraklah atas landasan ini. Jangan membuka ruang yang akan merenggangkan ikatan sesama kita.

Sebagimana ditegaskan oleh Iskandar:

Di dalam politik, kita harus berwaspada. Musuh-musuh tidak mahu melihat kita hidup aman damai dan menumpukan perhatian kepada kerja-kerja yang sebenar. Mereka mahu kita bergaduh dan bercakaran. Mereka mesti diperangi habis-habisan.

Ya Allah berilah kami kekuatan untuk mempertahankan kerajaan ini, berilah kami kemenangan di 8 kerusi yang telah Kau pinjamkan kepada kami itu selain kemenangan di kerusi-kerusi lain yang dimaksudkan. Kasihilah kami Ya Allah. Terimalah perjuangan kami dan lindungilah kami dari musuh-musuh kami yang tidak pernah senang dengan perjuangan ini.

Sila kunjungi laman blog YB Iskandar di http://iskandar56100.blogspot.com/

Saturday, November 21, 2009

Malaysia makmur dengan hasil haram?

Baru-baru ini di Parlimen isu jumlah hari cabutan untuk judi tikam nombor yang dihalalkan oleh kerajaan Pusat dipertikaikan.

Menurut rekod pada tahun 2008 sahaja kerajaan Pusat mengutip sejumlah RM2.37 billion hasil dari aktiviti perjudian yang dilesenkan termasuklah kasino (iaitu hampir dua kali ganda dari Bajet Selangor 2010 iaitu sebanyak RM1.3 bilion).

Sebagaimana dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan pecahan hasil yang diperolehi dari syarikat-syarikat judi berkenaan adalah Genting RM949.8 juta (lebih dua kali ganda dari hasil cukai yang dijangka untuk Selangor 2010 iaitu RM460 juta), Sports Toto RM509.74 juta, Magnum RM396.5juta, Pan Malaysia Pool RM270.76 juta dan Pan Malaysian Racing RM138 juta.

Untuk satu tahun syarikat-syarikat judi tikam nombor mengadakan sebanyak 72 cabutan khas (special draw) selain cabutan biasa sebanyak 3 kali seminggu yang dibenarkan kerajaan Pusat.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang khasnya dari DAP merungut bahawa terdapat terlalu banyak cabutan untuk setahun dan mendesak agar kerajaan mengurangkan jumlahnya.

Untuk rekod juga selain jumlah pendapatan dari cukaijudi seperti di atas turut dimaklumkan yang kerajaan memperolehi RM4.4 bilion hasil dari cukai-cukai yang dikenakan ke atas produk tembakau dan arak.

Apa nak dikatakan? Inilah realiti yang ada di hadapan kita pada hari ini. Lumayan sungguh hasilnya bukan?

Friday, November 20, 2009

Jawablah Roslan SMS...........

Satu ilmu yang saya belajar apabila berkecimpung secara serius dalam bidang penulisan ini sejak lebih 10 tahun lalu (berblog sejak 5 tahun lalu) adalah, bersilat biar terlebih dahulu dalam gelanggang sendiri. Kenal gelanggang sendiri sebelum mahu terjah terjun ke dalam gelanggang orang lain.

Menulis walau didorong apa sahaja semangat yang meluap-luap, biarlah berfakta, ada asas. Jangan bohong, jangan menipu jangan adu-domba apalagi menabur fitnah. Sentiasa waspada akan dosa dan pahala, matlamat jangan sekali-kali menghalalkan cara.

Penulis yang ada maruah dan harga diri sentiasa menghormati orang lain, walau terkadang ia mengkritik dan menegur, biarlah dalam keadaan sedar, jangan menggila, meleleh nafsu sehingga hilang pertimbangan. Bila kita menginjak dan mempersetan maruah dan harga diri orang lain, kelak maruah dan harga diri kita juga boleh diinjak dan dipersetan orang lain.

Saya menulis untuk menyumbang kepada perjuangan ini bukan untuk meretak atau menjahanamkannya. Sejak dari zaman pra reformasi (ketika Ustaz Hashim Jasin menang dalam PRK Parlimen Arau dan Almarhum Ustaz Dato Ishak Baharom dipecat dari jawatan Mufti bermula saya menulis dalam Harakah English Section) sehinggalah ke zaman meledaknya reformasi dan kini terbentuknya kerajaan PR, begitulah saya dan insyallah biarlah terus begitu.

Lalu apabila ada usul dan cadangan agar saya melayan dan memberi respon pada individu tertentu, maaf saya tidak berminat. Pengalaman hidup mengajar saya agar kenal diri dan jangan menari menurut rentak irama yang sumbang. Buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali.

Saya tidak berniat untuk jadi popular sehingga perlu bertelagah dan bertegang urat dengan maudu yang tidak relevan pada sasaran dan perjuangan saya. Saya mahu melihat perjuangan ini diterima rakyat. Saya mahu melihat parti yang saya perjuangkan menang dan beroleh kuasa. Yang lain maaf tidak menarik minat saya, biarlah luncai terjun dengan labu-labunya...........
Bersatu memperteguhkan PR Selangor

Semalam Badan Perhubungan PAS Selangor telah mengadakan mesyuarat bulanannya. Saya tidak berhasrat menyatakan apa yang dibincangkan di dalamnya kerana ia rahsia parti. Tetapi apa yang menarik adalah selepas bersurai, masing-masing ahli perhubungan yang sempat saya jumpa menyatakan komitmen masing-masing untuk terus melihat ke hadapan dan bekerja untuk parti. Kita tidak seharusnya membuang masa tetapi sebaliknya memberi tumpuan ke arah meneguhkan jemaah dan memperkasakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Saya yakin dengan komitmen penuh semua peringkat pimpinan dalam parti, PAS akan mampu memperteguhkan kerusi-kerusi miliknya selain menjangkau jauh untuk menawan lebih banyak kerusi-kerusi yang ia tewas sebelum ini.

Yang pentingnya jemaah ini perlu berpadu, sokong-menyokong sesama kita dan bersatu menghadapi musuh bersama.

Siang tadi saya dan rakan-rakan mewakili jentera penerangan PAS, bertemu dengan jentera penerangan PKR dan DAP negeri. Persidangan julung-julung kali jentera penerangan PR Selangor berjaya diadakan. Kami bersepakat menubuhkan secretariat Penerangan PR Selangor yang akan bergerak menyelaras dan mengurus urusan penerangan PR peringkat negeri Selangor.

Sekarang bukan masanya untuk mencari perbezaan, sekarang masanya untuk mengenal-pasti persamaan, dan bergerak atas dasar persamaan itu untuk meyakinkan rakyat khasnya di Selangor ini bahawa kerajaan PR Selangor perlu kekal memerintah dan dipekasakan lagi pada PRU yang mendatang.

Gerak kerja telah disusun dan secretariat yang ditubuhkan insyallah akan dilancarkan secara rasmi oleh ketiga-tiga pimpinan negeri pada hujung tahun ini.

Kesimpulannya kami mahu beri isyarat pada BN, bahawa PR Selangor sudah bersedia bersatu menghadapi mereka. Awas, kersui milik anda bakal kami tawan termasuklah Pelabuhan Kelang yang dicuri secara kotor dari kami itu.

Wednesday, November 11, 2009

TAKZIAH

Takziah kepada YB Dato Kamarudin Jaafar di atas pulangnya ke rahmatullah isteri tercinta. Datin mengidap kanser sejak sekian lama. Saya mengenali Allahyarham Datin Kamariah ketika terlibat dalam majlis perkahwinan anakandanya beberapa bulan lalu.

Alfatihah.

Tuesday, November 10, 2009

Menyeru dengan lisan yang indah

Ahad lepas saya hadir ke Majlis Makan Malam sempena ulangtahun ke 10 Jabatan IT PAS Pusat yang telah disempurnakan oleh Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Saya dapati ucapan Tuan Guru pada malam itu sungguh bermakna, membawa mesej yang sangat mendalam kepada perjuangan khasnya bagi mereka yang memilih untuk berdakwah dan berjuang melalui ICT. Ucapan beliau disampaikan secara spontan namun ternyata kaya dan penuh ilmu bagi mereka yang menghargainya.

Ayat al Quran yang beliau pilih untuk mukadimmah ucapannya adalah:

Firman Allah SWT, “Dan siapakah lagi yang lebih indah cakapnya termasuklah lisannya daripada orang yang menyeru kepada agama Allah juga beramal dengan amalan yang soleh seraya menegaskan sesungguhnya saya termasuk dikalangan orang-orang menyedari Islam adalah sebenarnya.”

Antara petikan ucapannya yang saya rasa telah memberi kesna mendalam kepada diri saya sendiri dan mudah-mudahan sahabat yang lain adalah seperti berikut:

“Sesungguhnya, penyampaian melalui tulisan yang dicatit lebih berpanjangan dari ucapan yang diungkapkan. Maka, peranan ICT dalam menegakkan Islam sangat besar.

Terutamanya, teknologi maklumat menjadikan dunia yang lebih luas ini seolah perkampungan yang sempit.
Maklumat disebarkan dengan mudah, dicapai dengan mudah, maka kita juga menjadi sasaran.
Bukan sahaja kita menunaikan tanggungjawab menerang, tapi kita juga diserang. Disini, kita memerlukan kebijaksanaan dalam menangani keadaan semasa.
Kita diwajibkan untuk menggunakan uslub menerang lebih banyak daripada menyerang kerana matlamat kita adalah untuk menyelamatkan manusia.

Bukan untuk menuduh dan menghukum orang walaupun kita boleh menuduh dan menghukum orang itu.

Sekiranya menuduh dan menghukum itu membawa fitnah maka dosanya adalah besar. Sila buka kitab Riyaadus Solihin. Terjemahannya ada dalam bahasa kita. Imam Nawawi menyebut satu hadith dimana Rasulullah SAW diwahyukan melalui mimpi. Mimpi seorang Rasul adalah benar dan wahyu daripada Allah.

Rasulullah SAW melawat neraka dan dilihat mereka yang diseksa dalam neraka itu, orang yang berzina dan memakan riba’ dan menyebarkan maklumat yang buruk sehingga perbohongan itu tersebar dengan luas, apatah lagi maklumat itu menjadi fitnah.
Dilihat seorang yang disangkut dengan penyangkut besi didagunya menembusi pipi dan mata diseksa didalam neraka, bila ditanya siapa itu, itulah penyebar maklumat bohong diseluruh pelusuk.

Disini, memberi peringatan kepada kita betapa kita perlu berhati-hati, apatah lagi kita adalah parti Islam yang menjadi model dan dilihat oleh orang lain.

Kesalahan satu titik dianggap kubah yg besar. Kesalahan yang kecil dibesarkan laksana bukit yang kukuh. Apa yang betul ditutup dan kita perlu bersabar dalam melaksanakan tugas.

Terpulanglah kepada kita masing-masing untuk menerima saranan dan pengajaran dari beliau. Namun saya yakin sebagai anggota jemaah yang bertanggungjawab, insyallah kita mudah menerima dan mempraktikkan saranan itu. Sahabat saya al Maniri di dalam blognya “Kalam Perantau” ada menyedut keseluruhan teks ucapan Tuan Guru itu. Sila ikuti di:

http://kalamperantau.wordpress.com/2009/11/10/menyebar-maklumat-bohong-ke-neraka/

Syabas para petugas dan pimpinan JIT PAS Pusat.

Saturday, November 07, 2009

PAS kekal bersatu

Ternyata Seminar Khas Memperkasakan Parti anjuran PAS Pusat siang tadi telah menjadi tumpuan umum. Banyak ulasan dan spekulasi dibuat. Ia telah menghangatkan suasana yang sebelum ini tenang dalam parti. Apapun kehadiran penuh sesak para perwakilan di Dewan Dato Fadzil Nor sejak awal pagi membuktikan yang ahli-ahli dan pimpinan PAS lebih terpanggil untuk mendapatkan penjelasan dan prihatin tentang masa depan parti.

Saya hadir sekitar jam 8.30 pagi dan suasana sudah sesak walaupun program dijadualkan bermula jam 9.30 pagi.

Apabila para pimpinan masuk ke dewan ternyata melihat dua pemimpin tertinggi parti Tok Guru Mursyidul Am dan Tok Guru Presiden duduk mesra berbual dan berbisik-bisik menyejukkan hati saya dan saya yakin begitu juga yang lain yang hadir, ikhlas mahu melihat parti ini terus bertahan, pimpinan dan prinsipnya.

Saya tidak berhajat mengulas apa yang dibahas dan dibincangkan (kerana diperingkat ini pasti ia telah tersebar luas) tetapi secara amnya majlis berlangsung dalam suasana yang sungguh matang dan tertib, walaupun ada yang memilih meninggi suara.

Ayat muqadimmah yang digunakan oleh Presiden dalam ucap uatamanya, surah al Maidah ayat ke 54-56 ternyata memberi kesan besar kepada semua yang hadir. Ayat yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa yang menyeleweng dikalangan kamu dari ugamanya (Islam), niscaya Allah akan mendatangkan suatu golongan dimana Allah mengasihani mereka dan mereka juga mengasihi Allah; mereka bersifat merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kemuliaan (kehebatan) terhadap orang-orang yang menentang Islam, mereka berjihad pada jalan menegakkan agama Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itu adalah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Ia menghendaki; dan Allah itu maha luas kurniaNya, lagi maha mengetahui.

Sesungguhnya yang menjadi wali kamu ialah Allah, Rasul Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka sentiasa (patuh) kepada Allah.

Dan sesiapa yang berwalikan Allah dan Rasul Nya serta orang-orang yang beriman (yang begitu sifat-sifatnya) maka sesungguhnya golongan (parti) yang menegakkan agama Allah itu akan mendapat kemenangan.”

Ayat ini biasa diulang-ulang dalam majlis PAS, tetapi mengucapkannya pada hari ini ternyata memberi kesan kepada semua yang hadir, yang faham maksud dan rohnya. Bagi saya ayat ini telah menyelamatkan suasana dan menjayakan majlis ini keseluruhannya.

Yang pentingnya seminar pada hari ini menandakan bahawa PAS akan terus berperanan dalam masyarakat dan persada politik negara. Saf kepimpinan dan ahlinya akan kekal bersatu. Malah akan lebih bertenaga lagi. PAS terbit kuat dari seminar ini, insyallah. Berikut adalah petikan ucapan penggulungan Presiden:

“Pemimpin dipilih melalui muktamar parti, pemimpin adalah amanah.

Saya tidak akan membuang baju amanah ini... insyaAllah kita akan mengharungi gelombang perjuangan ini,

Kita ibarat orang-orang yang ada di medan (padang bola), yang lain daripada kita adalah penonton dan pengulas.

Walaupun ada teguran yang keras, suruh pecat kapten, buang pengurus, buang pemain, kita belum lagi habis separuh masa pertama.

Kita adalah kalangan profesional dalam bidang ini, bukan pemain-pemain kampung,"

Allahuakbar!

Thursday, November 05, 2009

Buka jalan untuk otonomi Selatan Thai

Wilayah Patani, Narathiwat dan Yala di Selatan Thai tidak selesai dirundung malang. Bumi yang punya talian rapat dengan negeri-negeri sempadan khasnya Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan itu terperangkap dalam konflik bersama kerajaan Pusatnya sejak zaman berzaman.

Budaya Melayu dan agama Islam mencorakkan penghidupan di wilayah ini, lantaran itu ia sering bertembung sehingga mengorbankan ribuan nyawa angkara perselisihan dengan kerajaan Pusat yang berbeza budaya dan agama itu.

Berbagai badan dan gerakan pembebasan muncul untuk memperjuangkan hak rakyat di sana dan antara yang tersohor adalah PULO atau Patanni United Liberation Organaisation yang telah bergerak sekian lama di sana.

Kita di sebelah sini sesungguhnya tidak sanggup melihat konflik sehingga menumpahkan darah dan mengorbankan nyawa itu. Jikaboleh biar tiada lagi sengketa, biar tiada lagi yang terkorban, biar rakyat di kedua-dua belah negara sempadan dapat hidup aman dan damai.

Dizaman Dr Mahathir dahulu pernah pemimpin gerakan pembebasan Thai diberkas di wilayah kita dan diserahkan kepada Tentera Thai, entah apa nasib beliau.

Lantas dewasa ini demi mengembalikan keamanan dan membawa kesejahteraan buat semua, biarlah kita berusaha membawa penyelesaian di wilayah berkonflik itu. Kalau kerajaan Thai boleh memberikan sekurang-kurangnya otonomi kepada ketiga-tiga wilayah berkenaan, sekurang-kurangnya masing-masing boleh memain peranan dalam membina dan memajukan wilayah masing-masing dan bergerak bebas dalam aman dan mengamalkan agama masing-masing tanpa tekanan.

Bolehkah ini berlaku?

Pemimpin dikedua-dua buah negara perlulah bersama mencari jalan penyelesaian. Libatkan juga negeri-negeri sempadan sini termasuklah MB-MB Perlis,Kedah, Perak dan Kelantan.

Menurut berita terkini Timbalan PM Thai yang juga memegang portfolio keselamatan enggan melayan cadangan pihak PULO agar pihak ketiga khasnya Malaysia dilibatkan dalam menjadi orang tengah, membawa keamanan kepada wilayah ini.

Marilah kita doakan agar perdamain dapat dirasakan diwilayah bergolak ini. Semua pihak perlu main peranan, ini konflik yang paling dengan kita, jangan biarkan bumi itu terus berdarah.