Sunday, April 27, 2014

Hudud mahu dilaksana ikut demokrasi berparlimen (27/4/14)


Berikut laporan akhbar rasmi PAS Harakah pada 19 April lalu:
KEMAMAN: “Dalam ilmu Allah, bukan ilmu saya,” tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjawab pertanyaan media berhubung masa depan Pakatan Rakyat berikutan usaha Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah termasuk hukum hudud.

Beliau menjelaskan, ini kerana pelaksanaan hukum hudud merupakan agenda perjuangan PAS dan bukannya Pakatan Rakyat.
Begitupun, Ahli Parlimen Marang itu optimis mereka yang memahami undang-undang jenayah syariah itu boleh menerimanya termasuk daripada kalangan bukan Islam.

Menurutnya, terdapat dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang boleh menerima pelaksanaan undang-undang tersebut termasuk hukum hudud.
Sehubungan itu, katanya PAS menunggu keikhlasan semua pihak berhubung usaha Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang tersebut yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 1993.

“Kita terima positif perkara yang berkait dengan Kelantan ini dan kita serah ikut cara Kelantan.
“PAS Pusat sokong sepenuhnya apa yang diusahakan oleh Kelantan itu,” tegasnya pada sidang media selepas merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di Kemasik, tengah hari tadi.

Berikutan pengumuman PAS Pusat dan Menteri Besar Kelantan bahawa usaha akan diambil di Dewan Rakyat bagi memastikan Undang-undang Hudud dapat dilaksanakan di negeri Kelantan, ramai pihak bangkit bersuara.
Umno dikatakan akan menyokong usaha berkenaan manakala anggota komponan BN khasnya MCA, Gerakan dan MIC termasuklah beberapa parti di Sabah dan Sarawak terang-terangan menyatakan akan menentangnya.

Yang menarik, rakan-rakan PAS yang membentuk Pakatan Rakyat, iaitu PKR dan terutamanya DAP telah menyatakan tentangan mereka terhadap hasrat PAS itu dan malah kalangan pimpinan DAP secara terbuka menggesa PAS agar keluar meninggalkan Pakatan Rakyat.
Demikianlah ujian dan cabaran yang dihadapi oleh PAS hari ini setelah lebih 60 tahun mengenggam cita-cita mahu melaksanakan Islam sebagai Ad Deen ataupun cara hidup. Bukannya baru semalam PAS menggenggam cita-cita ini tetapi PAS telah berjuang jatuh bangun, senang dan susah, pahit dan manis berpuluh tahun konsisten dengan niat dan matlamat perjuangan yang sama.

PAS tidak pernah sembunyikan agenda perjuangannya. PAS tidak pernah meminda, melupakan atau memadamkan cita-citanya. Samada dengan kawan mahupun ketika berhadapan dengan lawan.
Konsistennya PAS itu sehingga pada tahun 1993 melalui proses demokrasi, PAS telah berjaya meluluskan enakmen Hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan kemudiannya mendapat perkenan Tuanku Sultan untuk menjadi undang-undang. Begitu juga apabila menguasai Negeri Trengganu pada tahun 1999.

PAS tidak mengajukan cita-citanya dengan membelakangkan kaedah demokrasi berparlimen, tidak juga mengangkat senjata mahupun mengancam menggunakan kekerasan. Ianya terlaksana atas “sokongan” rakyat yang PAS wakili. Dan kini atas semangat Perlembagaan yang sama, PAS mahu membawa perkara ini ke Parlimen bagi mendapatkan kelulusan sehingga menungkinkan undang-undang yang di sokong rakyat Kelantan itu akhirnya melalui kelulusan Parlimen dapat terlaksana di Negeri Serambi Mekah berkenaan.
PAS telah memikirkan dan menimbang suasana serta rupa bentuk masyarakat sehingga menyarankan agar undang-undang itu nanti hanya terkena dan terpakai ke atas rakyat beragama Islam sahaja sebagaiaman segala peruntukkan dan peraturan yang melibatkan undang-undang syarak negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja.

Secara umumnya di Kelantan, orang Islam yang rata-rata berbangsa Melayu menyokong perlaksanaan undang-undang ini. Ianya “expansion” atau perluasan dari segala Enakmen yang ada yang berkaitan orang Islam di Kelantan.
Hak dan kepentingan masyarakat atau rakyat bukan Islam di Kelantan sedikit pun tidak terjejas oleh undang-undang ini. Mengapa komponan BN dan mengapa komponan PR khasnya DAP dan PKR melenting mahu menolaknya. Tidakkah penolakkan itu sendiri membelakangkan suara majoriti atau suara ramai di Kelantan sekaligus menafikan hak rakyat.

Rakyat di Kelantan mahukan undang-undang ini dan mereka di Dewan Negeri di wakili oleh ADUN-ADUN PAS dan Umno, tiada MCA, tiada MIC, tiada Gerakan dan tiada DAP mewakili suara mereka di DUN Kelantan.
Kenapa mereka perlu tunduk pada suara minoriti, suara yang tidak diwakili di Kelantan?

Kelantan bukan Pulau Pinang, bukan juga Sabah mahupun Sarawak. Mengapa ada pihak mahu menafikan hak rakyat Kelantan dalam menentukan nasib dan masa hadapan mereka?
Negara kita telah ada dwi sistem perundangan sejak sebelum Merdeka lagi dan ianya bukan sesuatu yang baru. Mahkamah Syariah telah wujud disisi Mahkamah Sivil sekian lama. Begitu juga sebenarnya Mahkamah Anak Negeri di Borneo yang membicarakan kes-kes berkenaan adat anak tempatan di sana.

Isabella Bird dalam catatannya “The Golden Chersonese” (1883) ketika mencatat pemerhatiannya di Negeri Melaka pada 21 – 23 Januari 1879 menulis (m/s 135-136):
(Terjemahan) “ Mereka (orang-orang Melayu Melaka ketika itu) diperintah oleh undang-undang al Quran, kecuali apabila Imam, yang menterjemahkan kanun al Quran, memutuskan (tidak pada kebiasaannya) bertentangan dengan ekuiti, Majistret Inggeris akan mengiakan keputusan berkenaan. Malah udang-undang Mohammedan (undang-undang Islam) dan undang-undang adat dalam kes-kes sivil serta Imam-imam Masjid mebantu hakim dalam keputusan mereka.”

Oleh itu sewajarnya PAS diberi laluan untuk membawa rang undang-undang ini di Parlimen, dan jika memperoleh sokongan yang cukup, kerajaan Kelantan sewajarnya diberi keyakinan untuk melaksanakan undag-undang berkenaan.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat (yang semasa beliau MB Kelantan lah Enakmen ini diluluskan) pernah menyatakan:

Ke-semua ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira parti wajib menyokong rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan PAS di Dewan Rakyat bagi melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 atau hudud di negeri itu.
Usaha Pas untuk melaksanakan hudud di negeri ini telah mendapat sokongan penuh ADUN BN dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan semua pihak ter-utamanya yang beragama Islam wajib mengikut jejak yang sama

Enakmen ini tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan malah ianya diluluskan menurut proses yang ditunjukkan oleh Perlembagaan berkenaan. Rang undang-ndang yang mahu dikemukakan bertujuan menyelaraskan Enakmen berkenaan agar menepati tuntutan Perlembagaan Persekutuan.
Harus disedari bahawa Perlembagaan Persekutuan bukanlah al Quran yang tidak boleh dipinda-pinda. Ianya hidup dan boleh dipinda selagi mana menepati pertrauran yang terkadnung di dalamnya.

Bagi umat Islam dan bangsa Melayu yang merupakan penganut Islam majoriti dalam Negara, undang-undang ini adalah berdasarkan tuntutan aqidah sebagaimana di perintah oleh Allah swt dan Rasulnya Muhammad s.a.w.. Ianya jangan dilihat sebagai “political” iaitu undang-undang “PAS” atau seumpamanya. KIni ada usaha yang sedang dilakukan untuk memungkinkan tuntutan agama ini terlaksana, maka sebagai Muslim yang bertanggungjawab sewajarnyalah kita memberi sokongan tanpa mengira fahaman atau ideologi politik.
Bagi ahli-ahli Parlimen yang bukan Islam, memandangkan undang-undang ini merupakan “expansion” dari undang-undang syariah yang terpakai yang sedia ada yang hanya terkena ke atas orang-orang Islam sahaja, sewajarnyalah laluan diberikan. Sepatutnya hujah dan pandangan diberikan agar kepentingan masyarakat bukan Islam terus terjamin dan terpelihara bukannya berkeras menolak undang-undang ini.

Adakah menolak rang undang-undang ini kelak dilihat sebagai menentang Islam, kalau demikianlah keadaannya, memang benar, mana-mana parti atau pihak yang menolaknya khasnya di Parlimen kelak terang-terangan secara tak langsung menyatakan “protes” nya terhadap Islam dan perlaksanaan Islam.
Kalau PAS diseru agar ditolak oleh masyrakat bukan Islam (atas pandangan orang politik dari BN dan PR) semata-mata kerana mahu memperjuangkan hak orang Islam, maka mereka juga yakni orang politik BN dan PR yang menyarankan demikian mesti bersedia ditolak oleh pengundi Islam kerana mereka menolak “Islam” di Parlimen.

Kesimpulannya berbaik sangkalah kita, PAS mahu melaksana sesuatu yang wajib atas orang Islam, dan mereka punya suara majoriti di Kelantan, izinkanlah mereka berbuat demikian dan kita beramai-ramai menjadi saksi atas kejayaannya atau tidak.
Saya Muslim saya sokong Hudud di Kelantan.

Tuesday, April 22, 2014

Benarkah Masjid Negara dahulu dibina dengan wang judi? (22/4/14)


Masjid Negara yang merupakan mercu Kuala Lumpur sejak 50 tahun lalu mula dibina pada tahun 1963 dan siap dibina pada 1965. Ianya dibina di atas tanah seluas 13 ekar yang dahulu menempatkan sebuah gereja iaitu The Venning Road Brethren Gospel Hall. Menurut rekod masjid ini yang telah melalui berbagai ubah-suai sejak ia dibina ketika Almarhum YTM Tunku merupakan PM Malaysia kini boleh meneptakan 15,000 orang jemaah.
Saya sengaja membangkitkan isu Masjid Negara ini kerana sewaktu kecil-kecil dahulu saya masih ingat mendengar orang-orang tua bercerita bahawa masjid ini dibina oleh kerajaan bersekali dengan duit judi iaitu dari Loteri Kebajikan Masyarakat (yang kini telah tiada).

Lalu sempatlah saya menelaah rekod hansard Dewan Rakyat, dan ditakdirkan hari ini saya sempat membaca laporan dewan itu  bertarikh 7 Disember 1959 iaitu Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Pertama 1959-64.
Menurut laporan pada persidangan berkenaan Kerajaan Persekutuan yang di ketuai Almarhum YTM Tunku Abd Rahman, Perdana Menteri Malaya pertama telah memohon untuk membelanjakan RM2juta dari wang kerajaan bagi menampung sebahagian perbelanjaan membina dan menyiapkan Masjid Negara. Adapun bakinya akan disumbang dari hasil lain. Dan disinilah isu penggunaan wang hasil judi iaitu wang dari Loteri Kebajikan Masyarakat iaitu loteri yang dikendalikan oleh kerajaan Persekutuan ketika itu dibincangkan.

Bayangkan pembinaan masjid bertaraf masjid Negara, mahu ditampung dengan wang judi! Ramai yang mungkin tidak tahu perkara ini kecuali yang berumur 70 ke 80an hari ini. Mereka yang lain mungkin tidak maklum atau tidak tahu menahu langsung.
Perkara ini dibangkitkan oleh PAS ketika itu dikenali sebagai Persatuan Islam Se Tanah Melayu dalam perbahasan di Dewan Rakyat. YB wakil Bachok iaitu Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (ataupun Timbalan Presiden sekarang) telah bangkit dan menyatakan (sebagaimana terkandung dalam Hansard):

Enche' Zulkiflee bin Muhammad:  Tuan Yang di-Pertua, Head 101-Government Contribution to National Mosque. Saya, Tuan Yang di-Pertua.bagi pehak Persatuan Islam di-sini,tentu-lah amat sukachita bahawa Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu memperuntokan $2,000,000 bagi membenasa-buah Mesjid Negara dan berapa hendak di-bayar mengikut ansoran itu,ada-lah perkara pentadbiran. Tetapi, Tuan Yang di-Pertua, apa yang telah di-dengar berkenaan dengan pembenaan Mesjid Kebangsaan atau Masjid Negara ini, ia-lah sa-bahagian daripada-nya akan di-belanjakan dari wang loteri. Ini yang saya berkehendakan supaya Dewan ini memikirkan Iebeh lanjut berkenaan dengan peruntokan Mesjid ini.
Belum lagi selesai soal loteri dalam Dewan ini, saya tahu Kerajaan akan menggunakan undi2 yang ada pada-nya untok mengalakkan Persatuan Islam. Tetapi, satu soalnya, Tuan Yang di-Pertua, ia-lah kedudokan kita sa-bagai hendak membena sa-buah Mesjid Negara 'dengan menggunakan wang loteri, kalau-lah mustahak; dan perkataan mustahak ini saya akan bahathkan kemudian,kalau-lah mustahak bahawa Mesjid Negara ini dengan membelanjakan $5,000,000 umpama-nya. maka pada fikiran saya tidak-1ah salah bahawa Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu memikul belanja ini semua sa-kali.

Sebab kita pada hari ini telah melihat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menambah $500,000 kerana Sports Stadium dengan bagitu senang.
Saya berasa kalau-lah Yang Berhormat itu dapat mendengar expert2-pakar2 daripada ahli soal membuat Mesjid dan soal bagaimana patut-nya berseh Mesjid itu daripada wang loteri, saya berasa tidak-lah salah pula wang itu di-tambah $5,000,000.

Soal-nya. Tuan Yang di-Pertua, ialah saya berharap supaya Kerajaan Persekutuan, kalau hendak membena sa-buah Mesjid Negara, pikul-lah ia dengan wang Kerajaan itu sendiri.
Tuan Yang di-Pertua. pada fikiran saya bahawa Mesjid Negara ini walau pun akan menjadi simbol bagi sa-buah Kerajaan dan simbol orang2 Islam dalam negeri ini tidak mustahak-lah di-besar2kan sangat. Kita telah melihat banyak negeri yang Mesjid-nya besar' tapi orang2-nya kechi12 di-dalam Islam. Maka pada fikiran saya hendaklah di-sesuaikan perbelanjaan Mesjid ini dengan kewangan kita sendiri. Dan kalau mustahak, berbalek saya kapada perkara2 itu, chara hendak di-besarkan sangat Mesjid itu supaya kalau tidak ada apa benda yang hendak di-tunjokkan kapada negeri luar maka jaga-lah Mesjid kita itu dan $5,000,000 itu tertanggong-lah oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Berdasarkan ucapan di atas PAS secara rasminya menyatakan bantahan terhadap penglibatan wang judi dalam pembinaan Masjid Negara. Dan dalam penggulungannya Perdana Menteri mengesahkan bahawa Loteri Kebajikan akan menyumbang dana bagi membiayai sebahagian kos pembinaan masjid berkenaan selain peruntukkan kerajaaan sendiri.
Almarhum YTM Tunku telah menjawab:

Berkenaan dengan Masjid, ini-lah yang saya hendak chakapkan. Perkara ini bukan-lah baharu kita dengar, katanya duit lottery ini haram, ta' patut kita gunakan bagi Masjid kita, bagi Masjid mana pun. Tetapi saya ini bukan-lah sa-orang yang jahil, tetapi sa-orang yang memandangkan apa yang patut di-kehendaki. Kalau benar2 di-kehendak itu benda mustahak bagi bangsa dan ugama, kalau wang kita tak chukup, kita tahu apa yang kita berkehendakan itu, kita chari-lah wangnya. Jadi saya sendiri, kalau-lah kawan2 kita di-sini berkata, membuat Masjid dengan wang lottery ini haram, saya sendiri berani berkata biar-lah saya tanggong dosa-nya itu jikalau negeri ini boleh dapat kebajikan dari pada wang itu, saya tanggong-lah segala2- nya.
Dan berkenaan dengan lottery itu,bukan-lah negeri kita ini tak boleh beri wang sampai $6 million, boleh beri, tetapi ra'ayat jelata kita ini daripada segala lapisan, segala gulongan, semuanya suka hendak membantu sa-banyak sadikit. Sampaikan Lottry Board pun suka juga hendak membantu. Jadi, benda itu saya ingat, tidak-lah patut kita tolak. Ada juga satu pendapat bahawa Masjid ini ada-lah sa-bagai satu tanda bahawa negeri kita merasmikan Ugama Islam sa-bagai Ugama negeri ini. Saya ingat tak patut kita hendak membena sa-buah Masjid yang berharga kurang. sa-kurang2-nya samalah mana2 Masjid yang ada di-Tanah Melayu ini.

Perdana Menteri bukan sekadar mengiakan sumbangan dari wang judi malah dengan berani menyatakan:
Jadi saya sendiri, kalau-lah kawan2 kita di-sini berkata, membuat Masjid dengan wang lottery ini haram, saya sendiri berani berkata biar-lah saya tanggong dosa-nya itu jikalau negeri ini boleh dapat kebajikan dari pada wang itu, saya tanggong-lah segala2- nya.

Apa berlaku selepas itu saya tidak pasti. Tetapi berdasarkan rekod di atas Kerajaan ketika itu memberikan persetujuan pembinaan Masjid Negara yang ada sekarang dengan peruntukkan darinya selain sumbangan wang judi Loterry Board Malaya.
Jika ini benar, hari ini bagaimana dengan ini, apakah langkah yang boleh diambil untuk membersihkan Masjid Negara?!

 

 

Friday, April 18, 2014

Karpal sudah tiada....Negara Islam bagaimana? (18/4/14)


Awal pagi semalam sebagaimana telah diketahui umum bekas Pengerusi DAP dan ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh telah meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri berhampiran Gua Tempurung di Lebuhraya Utara Selatan. Karpal adalah seorang ahli politik dan peguam yang terkenal.
Suka tidak suka mediang Karpal selain terkenal sebagaimana dinukilkan di atas beliau juga merupakan salah seorang penentang kuat sebarang usaha untuk memperkenal atau melaksanakan hukum dan peraturan Islam dalam Negara. Kenyataan paling keras yang pernah beliau keluarkan yang kini sinonim dengan beliau hidup atau mati adalah : “An Islamic state over my dead body”.

Tidak pernah sedikit pun semasa hidupnya, beliau bertindak lembut atau berlapang dada dalam isu Negara Islam, malah beliau bertegas sehinggalah akhir hayatnya. Ini terbukti apabila wartawan kanan akhbar The Star, Joceline Tan, memetik kata-kata terkahir mendiang kepadanya sebagaimana dilapor dalam akhbar berkenaan hari ini:
“We cannot stop them from tabling the Bill but we can vote against it..”

Beliau bertegas menyatakan walaupun tidak boleh menghalang PAS dari membentangkan rang undang-undang untuk perlaksanaan Hudud di Kelantan, namun akan berusaha menentang rang undang-undang berkenaan.
PAS dijadulkan berusaha membuka laluan bagi perlaksanaan Hukukm Hudud di Kelantan dengan membawa pindaan Perlembagaan dan “Private Bill” atau Rang Undang-undang Persendirian di Dewan Rakyat. Menurut MB Kelantan, Ustaz Dato Ahmad Yakob:

“Kerajaan Kelantan dengan ini akan menyiapkan satu rang undang-undang persendirian (private bill) yang akan dibawa ke mana-mana sidang Parlimen yang terdekat oleh salah seorang ahli Parlimen bukan kerajaan bagi mendapat kebenaran untuk Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.
Satu rang undang-undang persendirian (private bill) juga akan dibawa bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa) 1965 untuk memberi bidang kuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Syariah Negeri Kelantan bagi membolehkannya menghukum sebagaimana peruntukan dalam Enakmen Hudud,”

Terbaru menurut ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasruddin Hassan, Presiden PAS sendiri iaitu Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, ahli parlimen Marang, akan membentangkan rang undang-undang berkenaan dalam persidangan Parlimen tahun ini juga.
Berbalik kepada isu mendiang Karpal, mengapa begitu lantang beliau menentang perlaksanaan Islam?

Jawapan spontan yang diberikan sudah pastilah kerana beliau seorang bukan Islam, maka lumrahlah baginya untuk menolak apa sahaja yang berbentuk Islam. Logik ini terlalu umum, namun demikian harus diberi perhatian bahawa ramai juga yang bukan Islam yang boleh menerima malah tiada halangan terhadap perlaksanaan Hudud di Kelantan lebih-lebih lagi dengan jaminan bahawa ianya tidak akan terkena pakai atas mereka.
Lantas mengapa Karpal menolak?

Ideologi atau fahaman Karpal terserlah pada ideologi DAP, partinya, yang merupakan sebuah parti yang menganut fahaman sosialis,yang memperjuangkan hak kesaksamaan dikalangan rakyat jelata. Ianya berdiri atas prinsip sekularisma yang menolak sebarang fahaman asing selain prinsip demokrasi yang diperkenalkan Barat.
Dan sebagai seorang peguam, Karpal berdiri di atas kepercayaan bahawa Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipertahankan oleh semua rakyat, adalah Perlembagaan yang rupa dan bentuknya itu sendiri adalah sekular, dalam hal ini tiada ruang untuk memperkenal atau melaksanakan sistem dan pertauran keagamaan apa lagi Islam bagi menggantyikan peraturan yang sedia ada.

Kerana itu hidup atau mati Karpal akan menolak Negara Islam, lantas padanlah apabila beliau mengatakan …. “An Islamic State over my dead body!”
Apa pun hari ini Karpal telah tiada. Pemergiannya pasti akan dirasai. Tiada lagi kelantangannya selepas ini di Parlimen atau dipentas-pentas politik mahupun mahkamah.

Soalnya bagaimana dengan Islamic State yang beliau tentang sampai mati itu?
PAS sebagaimana yang disebutkan sudah pasti akan membentang “Private Bill” di Parlimen, ada atau tiada Karpal. Sebagaimana DAP, parti PAS juga berjuang dengan prinsip dan matlamat yang jelas iaitu mahu mepertahan dan melaksanakan Islam. Samada ditentang atau diterima bagi PAS itu merupakan satu tanggungjawab.

Sesungguhnya itulah yang dituntut dalam Islam, samada seorang Muslim itu akur ataupun tidak tetapi Islam punya cara hidup tuntutannya yang perlu diperjuang sehingga terlaksana oleh penganutnya.

Dunia sedang menunggu apakah pindaan di Parlimen itu kelak akan berjaya disokong oleh ahli-ahli Parlimen Malaysia sehingga memungkinkan Enakmen Kanun  Jenayah Syariha Kelantan 1993 dapat di laksanakan ataupun ianya akan ditolak.
Karpal sekiranya hidup telah dengan jelas menyatakan yang beliau akan menolak pindaan berkenaan. Di Dewan Rakyat hari ini terdapat 222 orang ahli. Tanpa Karpal tinggal 221. Bagi memungkinkan pindaan berkenaan diluluskan memerlukan dua pertiga sokongan ahli-ahli dewan ataupun 148 menyokong. Apakah PAS akan dapat angka berkenaan sedangkan PAS cuma mempunyai 21 orang wakil?

Oleh kerana sebagai seorang Islam, kita masing-masing diwajibkan menyokong perlaksanaan dan penguatkuasaan peraturan Islam maka kita menganggap semua ahli Dewan Rakyat Islam akan menyokong Private Bill ini maka seramai 137 ahli djangka menyokong iaitu:
PAS – 21
UMNO – 88
PKR – 16
PBB (Sarawak) – 10
DAP – 2

Ini bermakna “Private Bill” berkenaan masih kekurangan 11 sokongan. Dari manakah 11 itu nanti akan datang?
Bagi saya yang penting diperingkat ini adalah pembentangan  “Private Bill” berkenaan oleh kerana rakyat Kelantan sejak 1990 lagi menunggu perlaksanaannya iaitu lebih 24 tahun.  PAS akan berhadapan dengan wakil-wakil seumpama Karpal, yang bukan Islam, yang sekular. Cubalah meyakinkan mereka jika berupaya.

Tetapi yang lebih penting adalah 21 dari PAS tidak ada sebab, kesemuanya wajib menyokong. Jika ada ahli PAS di Dewan yang menolak atau tidak hadir maka wajarlah tindakan disiplin dikenakan ke atas mereka. Mereka itu wajar dipecat tanpa alasan.
Selain itu PAS perlu melobi baki 116 wakil Islam di Dewan. Umno setakat ini telah menyatakan akan membrikan sokongan. PAS perlu pastikan yang mereka menyokong. Bagaimana dengan 16 dari PKR yang Muslim termasuk Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim? 2 DAP yang Muslim iaitu YB Zairil Bukit Bendera dan YB Mohd Ariff Sabri Raub? Dan 10 dari PBB?

Kesimpulannya bagi saya PAS perlu diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka menterjemahkan keadilan Islam melalui perlaksanaan Enakmen ini di Kelantan.
Karpal sudah tiada, mudah-mudahan kekerasan hati yang dimiliki mendiang itu tidak diwarisi oleh ahli-ahli Dewan yang lain.